- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (7 April 2015). The Dramatic Life and Death of Atahualpa, the Last
Emperor of the Inca Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/dramatic-life-and-death-atahualpa-last-emperor-inca-empire-002873
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/dramatic-life-and-death-atahualpa-last-emperor-inca-empire-002873
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pemerintah Inca,
Atahualpa, merupakan salah satu figura kunci dalam sejarah kolonisasi Eropah ke
atas Amerika Selatan. Sebagai maharaja terakhir bagi empayar terbesar dalam
Empayar pra-Columbia, Atahualpa merupakan seorang pemimpin yang sangat
berpengaruh. Namun pada tahun 1532, Atahualpa dijadikan sebagai tawanan oleh
sepasukan kecil tentera Sepanyol yang berjumlah 200 orang di bawah kepimpinan
konkuistador Francisco Pizarro di Cajamarca. Penangkapan pemerintah paling
berkuasa di Amerika Selatan ini merintis laluan kepada kolonisasi Sepanyol ke
atas Amerika Selatan. Untuk memahami situasi yang dihadapi oleh Empayar Inca
pada tahun 1532, kita perlu kembali ke beberapa tahun lebih awal.
![]() |
| Potret Atahualpa, Maharaja Keempat Belas Inca |
Pada tahun 1526 atau
1527 Masehi, pemerintah Inca yang bernama Huayna Capac (si muda yang gagah)
mangkat. Berkemungkinan kemangkatannya itu berpunca daripada jangkitan penyakit
yang dibawa oleh bangsa Eropah ke Dunia Baru. Krisis pemerintahan diperparah
lagi apabila waris yang dinamakan oleh Huayna Capac sendiri, iaitu Ninan
Cuyuchi turut mangkat. Kemangkatan mereka berdua ini membuatkan empayar
terbahagi kepada dua, yang masing-masing dikepalai oleh dua orang putera Huayna
yang lain. Di bahagian utara, Atahualpa memerintah bahagian empayarnya yang
berpusat di Quito (di sana, ibunya bergelar puteri) manakala saudara tirinya,
iaitu Huascar pula menguasai bahagian selatan yang memusatkan kuasanya di
Cusco.
![]() |
| Huru-hara melanda sejurus kemangkatan Huayna Capac |
Namun, keadaan ini
tidak berpanjangan lantaran sebuah perang saudara meletus dalam tempoh lima
tahun sesudah kemangkatan Huayna Capac. Pada suatu tahap, Huascar berjaya
menangkap dan memenjarakan Atahualpa, walaupun beliau kemudiannya berjaya
meloloskan diri. Atahualpa kemudian mara ke selatan bagi memerangi Huascar.
Dalam kesempatan kali ini, beliau berjaya menewaskan bala tentera seterunya itu
dan membunuh para pengikut Huascar sepanjang perjalanan.
Di Cajamarca,
Atahualpa mendirikan khemah di mana beliau mengatur rancangan untuk melancarkan
serangan terakhir ke atas Huascar. Dalam Pertempuran Quipaipan, Atahualpa
berjaya menimpakan kekalahan besar buat Huascar dan menangkap sendiri seterunya
itu. Beliau kemudian mengajak para pemimpin lain ke Cusco untuk menentukan
pembahagian empayar antara Huascar dan dirinya. Namun, kali ini tindakannya itu
hanya satu helah semata. Atahualpa membunuh mereka semua sebaik sahaja mereka
tiba di ibu kota dengan tujuan untuk menghapuskan sebarang ancaman yang berpotensi
menggugat takhtanya.
Walaupun Francisco
Pizarro tiba di Peru pada awal tahun 1531, beliau tidak berangkat ke Cusco
melainkan setahun setengah kemudian. Dengan membawa hanya seramai 200 orang
tentera, tindakannya untuk berangkat langsung ke pusat Empayar Inca merupakan
satu langkah yang berani di pihak Pizarro. Atahualpa yang mempunyai seramai 80
000 orang tentera sama sekali tidak melihat Pizarro dan pasukan tentera
Sepanyol yang dibawanya itu sebagai ancaman.
![]() |
| Pizarro dan para pengikutnya di Lima pada tahun 1535 |
Atahualpa memandang
rendah lawannya itu dan menerima jemputan Pizarro untuk menghadiri suatu jamuan
yang diadakan di Cajamarca. Atahualpa juga memutuskan untuk meninggalkan para
pahlawannya di pergunungan dan berangkat ke Cajamarca dengan membawa hanya 5000
orang yang tidak bersenjata. Pada masa yang sama, pihak Sepanyol melakukan
persiapan untuk memerangkap Atahualpa. Ketika pemerintah Inca itu tiba di
Cajamarca, beliau didatangi oleh Vicente de Valverde, seorang biarawan yang
menemani konkuistador.
Valverde cuba mempengaruhi Atahualpa agar menukar agama
menjadi Kristian dan menggesanya agar memperakui monarki Sepanyol, iaitu
Charles V sebagai pemerintah yang lebih berkuasa. Hal ini menaikkan amarah
Atahualpa yang tentu sekali enggan memenuhi permintaan tersebut. Atas isyarat
yang diberikan oleh Valverde, tentera-tentera Pizarro lantas melepaskan
tembakan ke arah pasukan pengiring Inca.
![]() |
| Konfrontasi Inca-Sepanyol di Cajamarca, dengan Atahualpa berada di tengah |
Dalam masa hanya satu
jam, 5000 orang Inca yang mengiringi Atahualpa habis dibunuh oleh tentera
Sepanyol. Satu-satunya kecederaan yang menimpa pihak Sepanyol adalah kecederaan
yang dialami oleh Pizarro sendiri, yang memotong tangannya sebaik sahaja beliau
menyelamatkan Atahualpa dari bahaya maut. Beliau seterusnya menangkap Atahualpa
lantaran mengetahui bahawa pemerintah Inca itu akan menghadirkan kemanfaatan
yang jauh lebih besar jika dibiarkan hidup. Membenarkan Atahualpa terus hidup
merupakan satu-satunya jaminan buat tentera Sepanyol bahawa 80 000 orang
pahlawan Inca tidak akan turun daripada pergunungan untuk menyerang dan
seterusnya menghancurkan mereka.
Walaupun kini menjadi
tawanan, Atahualpa masih merupakan pemerintah empayarnya dan pengaruh yang
dipegangnya masih besar. Beliau mengirim arahan agar Huascar, yang dikawal
ketat di Andamarca, dijatuhi hukuman bunuh lantaran beliau dapat tahu bahawa
pihak Sepanyol mempertimbangkan keputusan untuk menabalkannya sebagai maharaja
Inca. Pihak Sepanyol juga sempat memintas khabar angin yang mengatakan bahawa
salah seorang panglima Atahualpa sedang memberangkatkan sepasukan tentera
menuju Cajamarca atas perintah Atahualpa demi menyelamatkan dirinya sendiri.
Atas dakwaan cuba memberontak, pada tahun 1533, Atahualpa dibicarakan untuk
dijatuhi hukuman bakar hidup-hidup, sesuai dengan hukuman yang dikenakan ke
atas pengkhianat agama.
Atahualpa berasa gerun
terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan ke atasnya, lantaran masyarakat Inca
mempercayai bahawa roh tidak akan dapat pergi ke alam selepas mati jika tubuh
hangus dibakar. Lantaran itu, beliau pun menawarkan untuk memenuhkan sebuah
bilik besar dengan emas, dan amaun dua kali ganda bagi perak, dalam tempoh dua
bulan dengan harapan dapat mengelak dari dihukum mati. Namun, tawarannya itu ditolak.
Atahualpa kemudian menukar agama kepada Roman-Katolik demi mengelak dari
dihukum bakar hidup-hidup. Maka, beliau pun dibaptiskan dan diberi nama
Francisco Atahualpa. Atas permintaannya, beliau hanya dijatuhi hukuman gantung
sampai mati pada tanggal 26 Julai 1533. Jasadnya disemadikan mengikut adat
agama Kristian.
Dikatakan bahawa
pengikut-pengikut setia Atahualpa kemudiannya menggali semula jasadnya,
memumiakannya dan mengebumikannya secara rahsia di suatu tempat yang terletak
di bahagian utara empayarnya. Berkenaan harta yang dihimpunkan oleh para
pengikutnya demi membebaskannya, harta ini sama sekali tidak pernah ditemui.
Semenjak itu, pencarian harta kekayaan Atahualpa menjadi salah satu pemburuan
harta karun paling besar di dunia; mencetuskan banyak ekspedisi namun tiada
satu pun yang beroleh kejayaan.
SUMBER
- Copping, J. 2013. Explorer hot on the trail of Atahualpa and the Treasure of the Llanganates.
- Minster, C. 2015. Biography of Atahualpa, Last King of the Inca.
- Owen, J. 2015. Lost Inca Gold – Ransom, Riches, and Riddles.
- Sheffer, D. J. 2013. Inca Civil War. In: R.M. Seaman, ed. Conflict in the Early Americas: An Encyclopedia of the Spanish Empire’s Aztec, Inca, and Maya Conquests. ABC-CLIO: Snata Barbara, pp. 183-185.
- Archaeology. 2013. Atahualpa. Last Inca Emperor.
- History.com. 2015. This Day in History: Pizarro traps Inca emperor Atahualpa.
- Get link
- X
- Other Apps




