KHAZANAH MOLDOVA YANG INDAH – ORHEI LAMA

Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (20 November 2019). The Little-Known Treasure of Beautiful Moldova – Old Orhei. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/old-orhei-0012884

Penterjemah: Amir Zayyanid


Moldova mungkin merupakan salah sebuah negara Eropah yang paling kurang dikunjungi. Namun, ia memiliki bilik penyimpanan arak terbesar di dunia. Sejarahnya pula terbentang sehingga ribuan tahun lamanya. Lantaran itu, negara ini pernah menjadi tapak kepada pelbagai budaya dan tamadun. Orhei Lama merupakan sebuah kawasan arkeologi yang terletak di sebuah lanskap yang indah, menempatkan sejumlah besar tinggalan yang usianya menjangkau zaman prasejarah hingga ke zaman pertengahan.


MENGIMBAU SEJARAH ORHEI LAMA

Orhei Lama berlokasi di sebuah lembah sungai yang suatu masa dahulu pernah menjadi laluan perdagangan yang penting. Tinggalan-tinggalan arkeologi dari zaman Neolitik dan era-era terkemudian banyak ditemui di sana. Pada tempoh antara kurun ke-3SM dan kurun pertama Masehi, bangsa Dacia mendirikan sebuah kubu bulat yang dibangunkan dengan tujuan untuk mengawal kawasan strategik tersebut.

Lokasi Moldova, Eropah


Kawasan itu pernah diserang dan dijarah oleh Monggol pada kurun ke-13 dan Horde Emas, yang menguasai Russia dan Ukraine pula menyerang dan menakluk wilayah tersebut pada kurun ke-14 Masehi. Mereka membina bandar pertama di Orhei Lama, yang pada masa itu dikenali sebagai Yangi-Shehr, mendirikan sebuah kubu dan sebuah caravanserai (rumah penginapan) buat para pedagang. Bandar tersebut bersifat multi-budaya di mana penganut Kristian dan Muslim masing-masing menjalani kehidupan secara bersama. Orda Emas kemudiannya tumbang pada kurun ke-14 dan wilayah merdeka Moldova pun muncul. Pada waktu itu, Yangi-Shehr mula dikenali sebagai Orhei.

Masyarakat Moldova mendirikan sebuah kubu baru dan juga sebuah biara besar di kawasan tersebut. Namun, bangsa Tartar-Crimea, pengganti kepada Orda Emas datang dan memusnahkan bandar lama Orhei pada kurun ke-16. Lalu, sebuah bandar baharu yang dikenali sebagai Orhei Baru pun dibina kira-kira 6 batu (10km) dari petempatan lama yang telah dimusnahkan itu. Setelah itu, masyarakat Moldova perlu pula menentang Uthmaniyah selama bertahun-tahun lamanya. Namun, mereka kemudiannya terpaksa tunduk di bawah pemerintahan Empayar Islam tersebut.

Di zaman pemerintahan Uthmaniyah, lembah berhampiran Orhei Lama digunakan oleh para pemberontak Kristian, atau dikenali sebagai Hadjuk. Sebuah biara gua dibina dan digunakan oleh mereka yang melarikan diri dari pemerintahan Islam.

Pada tahun 1905, Gereja Ortodoks membina sebuah biara dan gereja di rabung yang terdapat di lembah itu. Ia kemudiannya ditutup semasa kawasan berkenaan dikuasai oleh Stalin pada tahun 1939, walaupun pada masa itu ia masih tetap didiami oleh sebilangan kecil biarawan. Orhei Lama lantas menjadi sebahagian daripada Republik Moldova ketika ia berpisah daripada Kesatuan Soviet pada tahun 1991.


PERINCIAN ORHEI LAMA, BANDAR BERSEJARAH

Mercu tanda paling masyhur yang terdapat di Orhei Lama adalah biara gua, yang berlokasi di sebuah rabung berbatu lagi terpincil di Sungai Raut. Biara gua tersebut ditarah daripada batu dan membentuk sejumlah kecil bilik dan sebuah gereja kecil. Graffiti hasilan para biarawan yang pernah mendiami gua berkenaan masih lagi boleh dilihat sehingga kini.

Biara gua di Orhei Lama, Moldova


Gereja dan biara kayu yang didedikasikan kepada Kenaikan St. Mary berdiri megah di puncak rabung. Baru kebelakangan ini, ia menjalani pembaikpulihan setelah bertahun-tahun lamanya dibiar dan diabaikan oleh pemerintah komunis. Monumen berkenaan dianggap sebagai salah sebuah contoh indah yang mempersembahkan seni bina kayu tempatan. Ia mempunyai dua puncak menara, kubah kecil dan kebun-kebun. Tinggalan tembok pertahanan kurun ke-14 masih berdiri teguh bersebelahan dengan biara tersebut.

Di likuan Sungai Raut terdapat beberapa sisa peninggalan bandar lama Orhei. Antaranya seperti dewan-dewan mandi yang dibina oleh Orda Emas, yang disebut sebagai Dewan Mandi Tartar yang masih boleh dikunjungi pada hari ini.

Ruangan dalam biara gua, Orhei Lama


Caravanserai zaman pertengahan dan biara Kristian juga masih terdapat di tapak berkenaan. Antara runtuhan lain yang ada bandar lama itu juga adalah sebuah istana gabenor, kediaman-kediaman yang diperbuat daripada batu dan citadel. Sebahagian tembok zaman pertengahan juga antara yang masih kukuh berdiri. Turut terdapat di sana adalah sejumlah rumah kurun ke-18 dan ke-19 yang dibangunkan dengan seni bina lokal dan ianya masih dihuni oleh keluarga petani tempatan.


MELANCONG KE ORHEI LAMA

Beberapa hari diperlukan untuk bergerak dari ibu kota Moldova di Chisinau ke Orhei Lama, yang boleh dilakukan dengan pengangkutan awam. Bersebelahan dengan tapak arkeologi itu terletak Kampung Butuceni yang turut berada berhampiran dua buah pusat pameran yang mempamerkan relik-relik dan artifak-artifak yang diperoleh daripada kerja-kerja penggalian yang dijalankan di Orhei Lama. Rumah-rumah penginapan juga banyak tersedia di Butuceni.

Runtuhan kubu zaman pertengahan di Orhei Lama


Pejabat pelancong di gerbang bandar lama berkenaan menjual tiket masuk dan papan-papan berbahasa Inggeris turut tersedia bagi memberikan maklumat berkenaan kawasan itu. Laluan pendakian yang banyak terdapat di sekitar tapak arkeologi itu membawa para pengunjung untuk tiba di tempat yang membolehkan mereka melihat pemandangan indah. Namun, pengunjung diingatkan agar berpakaian sewajarnya memandangkan kawasan tersebut mengamalkan sikap dan sifat konservatif.


SUMBER
  • Curta, F. & Stephenson, P. (2006). Southeastern Europe in the Middle Ages, 500-1250. Cambridge University Press.
  • Bacumenco-Pirnau, L. and Bejenaru, L. 2018. Daily life objects of bone and antler in the towns of Medieval Moldavia. Case study: Old Orhei (Republic Moldova). Quaternary International. 472, pp.160-167