- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Aleksa Vuckovic. (13 Disember 2019). The Story of Harald Fairhair, First King
of Norway. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/harald-fairhair-0012999
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/harald-fairhair-0012999
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sejarah awal Norway,
dan Scandinavia secara umum, dicirikan dengan kehadiran pelaut, pedagang dan
pahlawan gagah. Ia turut diperkayakan dengan mitologi masyarakat tempatan di
samping sejumlah nama-nama besar yang bercita-cita tinggi. Putera-putera gagah
dari daratan utara ini menguasai laluan-laluan laut Eropah utara selama
berkurun-kurun dan dengan tangan mereka sendirian, berupaya mengubah sejarah
banyak negara. Walau bagaimanapun, kekuatan mereka ini tidak pernah muncul
sebagai entiti tunggal yang dominan.
Sebaliknya, mereka
terpecah dan terbahagi kepada sejumlah kerajaan kecil yang setiap satunya
diperintah oleh pembesar masing-masing – setiap seorang menginginkan rampasan
harta terbesar dan serangan yang paling berjaya. Begitulah keadaannya di sana,
sebelum muncul seorang lelaki yang menyatukan mereka semua dan membentuk sebuah
kerajaan baru lagi luas, di mana seorang pemerintah tunggal menjadi penguasa.
Lelaki ini bernama Harald Fairhair.
Dianggap secara meluas
sebagai raja pertama Norway, figura sejarah yang kabur identitinya ini masih
menjadi bahan perdebatan dalam kalangan ilmuwan sehingga ke hari ini. Adakah
beliau benar-benar wujud? Adakah saga-saga yang memerihalkannya itu benar dan
sahih? Pada hari ini dan di dalam artikel ini, kami akan cuba memberikan
jawapan kami yang tersendiri, seiring kita meneroka kisah mengujakan mengenai
lelaki di sebalik negara Norway moden – Harald Fairhair.
JEJAK-LANGKAH
BAPANYA – HARALD FAIRHAIR MERAIH KUASA
Pada era Viking,
masyarakat yang celik huruf di Norway dan Scandinavia tidak wujud secara
meluas, begitu juga dengan bahan-bahan bertulis melainkan inskripsi-inskripsi
berbahasa rune. Bahan-bahan bertulis
hanya datang ke sana bersama agama Kristian. Dalam erti kata lain, tidak banyak
sumber bertulis pada zaman awal melainkan sejumlah saga yang ditulis pada
beberapa kurun setelah sesebuah peristiwa itu berlaku. Dalam masyarakat Viking,
jasa-jasa besar dan wira-wira hebat dijadikan sebagai subjek lagu mahupun
hikayat. Namun, ianya hanya hadir dalam bentuk lisan.
Puisi Skaldic merupakan satu tradisi yang
besar di utara – skald-skald (pemujangga)
yang mahir diambil khidmatnya oleh para raja untuk mendendangkan pujian ke atas
jasa-jasa yang mereka lakukan. Seringkali, ianya melibatkan penokokan tambah.
Dalam satu sudut, pemujangga sebegini merupakan unit propaganda yang penting di
zaman pertengahan awal Scandinavia dan hakikat ini turut difahami oleh Harald.
Walau bagaimanapun,
tradisi lisan mempunyai kecenderungan untuk hilang atau pupus seiring
pergerakan masa dan catatan-catatan yang memerihalkan Harald Fairhair – yang
jumlahnya tidak lebih dari sedozen – dihimpunkan pada masa terkemudian, sesudah
hayatnya berakhir. Sumber-sumber rujukan utama berkenaan kisah hidup beliau
boleh didapati di dalam sejumlah saga, terutama sekali Heimskringla yang mengandungi Saga
of Halfdan dan Saga of Harald
Fairhair. Begitu juga dengan saga Orkneyinga,
saga Floamanna, saga Egil dan beberapa saga yang lain. Antara
sumber rujukan lain yang penting juga adalah Historia Norwegiae karangan Theodricus Monachus. Dalam kalangan
saga-saga yang disebutkan ini, tiada yang berusia melebihi kurun ke-12 Masehi.
![]() |
| Lembaran tunggal yang terselamat, dikenali sebagai ‘daun Kringla (Krinlubladid)’, disimpan di National and University Library of Iceland, salah satu sumber utama sejarah Harald Fairhair |
Maklumat-maklumat yang
dapat kita perolehi daripada sumber-sumber ini antara lain adalah Harald sudah
pun ditakdirkan untuk memikul tanggungjawab besarnya itu memandangkan bapanya
sudah pun memulakan rancangan untuk menyatukan kerajaan-kerajaan kecil di bawah
satu panji. Bapanya itu bernama Halfdan Si Hitam (Halfdanr Svarti), dilahirkan
sekitar 810M di dalam sebuah dinasti legenda Scandinavia, iaitu Ynglings.
Kedua-dua saga kurun ke-12M iaitu Heimskringla
dan Fagsrkinna memerincikan
kepada kita beberapa maklumat penting berkenaan Halfdan, dan juga sejumlah
sejarah tentang Harald Fairhair.
Halfdan sendiri
dilahirkan sebagai putera kepada seorang raja kecil – Gudrod Si Agung dan
isterinya, Asa Haraldsdottir si puteri raja Kerajaan Agder, sebuah lagi
kerajaan kecil yang lain. Bapa Halfdan dibunuh semasa beliau masih lagi bayi.
Lantaran itu, ibunya melarikan diri dan kembali ke kerajaan bapanya, Agder di
mana beliau membesarkan puteranya itu. Hikayat menganjak masa sekitar 19 tahun
kemudian, di mana Halfdan Si Hitam mewarisi gelaran Raja Agder dan beliau
dengan pantas mempamerkan kebolehannya dalam memerintah, terutama apabila
beliau dengan jayanya meluaskan wilayah dan menambah lagi perbendaharaan
kerajaan.
Kempen penaklukan ke
atas kerajaan-kerajaan kecil di sekeliling Agder yang dilancarkannya dengan
penuh berhati-hati dan bertaktikal jelas sekali merintis jalan untuk puteranya
agar menyambung usahanya menyatukan kesemua kerajaan ini. Halfdan pertama
sekali menakluk separuh Vingulmark, sebuah kerajaan kecil yang diperintah oleh
Raja Gandalf Alfgeirsson. Kemudian, beliau menundukkan pla Raumarike, sebuah
kerajaan yang beliau kuasai selepas memenangi sejumlah konflik dengan para
pemerintahnya.
Setelah itu, menerusi
perkahwinan yang licik, beliau berjaya merampas kerajaan Sogn. Beliau
mengahwini puteri raja Sogn dan dikurniakan seorang putera. Putera ini
dinamakan sebagai pewaris takhta Sogn, namun beliau mangkat pada usia muda
justeru meninggalkan takhta untuk Halfdan, bapanya.
Menerusi kelicikan,
peperangan yang bertaktikal dan permainan politik yang cerdik, Halfdan Si Hitam
berupaya meluaskan wilayah kekuasaannya dan membina sebuah kerajaan yang besar.
Namun malangnya, rancangan beliau itu tersungkur lemas ke dalam lautan luas –
secara harfiah – apabila pedati yang mengangkutnya terjatuh ke dalam ais di
Randsfjorden. Halfdan dan seluruh pengiringnya pada waktu itu mati lemas.
Beliau meninggalkan seorang pewaris untuk menggantikan kedudukannya, iaitu
Harald Fairhair.
![]() |
| Ilustrasi dari saga Halfdan si Hitam, bapa kepada Harald Fairhair |
HARALD
FAIRHAIR MENJAMIN TAKHTA DAN KEKUASAANNYA
Sejurus sahaja selepas
kemangkatan Halfdan, Harald yang masih muda dan pakcik merangkap pelindungnya,
Guthorm, menerima ancaman. Berikutan kemangkatan Halfdan, kerajaan-kerajaan
yang beliau takluki sebelum ini dengan mudah boleh melakukan pemberontakan,
cuba untuk merebut semula kemerdekaan yang dirampas. Faktor yang memberi
kesukaran buat Harald adalah kerajaan yang diwariskan kepadanya tidak bersifat
tunggal – geografinya berselerak dan tidak saling terjalin-hubung sekaligus
ianya sukar untuk ditadbir.
Tidak lama kemudian, situasi
buruk itu berlaku dan Harald Fairhair yang masih muda dengan pantas dihadapkan
dengan realiti menjadi seorang raja. Seteru pertama beliau adalah Hake
Gandalfsson, putera raja bagi kerajaan Vingulmark yang penguasa sebelumnya,
iaitu Gandalf Alfgeirsson diguling dan dibunuh oleh Halfdan. Saudara-saudara
Hake, iaitu Hysing dan Helsing turut terbunuh dalam pertempuran yang
berlangsung pada beberapa tahun lalu.
Dengan
niat mahu menuntut bela, Hake berhasrat mahu menggulingkan Harald yang
dianggapnya masih belum banyak pengalaman. Lantas, beliau pun menghimpunkan
sebuah angkatan tentera yang besar dari Vestfold, berjumlah kira-kira 300 orang
pahlawan dengan lengkap bersenjata. Pada zaman pertengahan awal Viking, angka
sebegini sudah cukup besar dan sukar pula untuk ditewaskan. Saga-saga yang
memerihalkan situasi ini menceritakan kepada kita bagaimana Harald dan Guthorm
dengan liciknya menewaskan Hake Gandalfsson dengan jumlah tentera yang jauh
lebih kecil, berkemungkinan menerusi helah serangan hendap.
Menerusi kecekapannya
mentadbir kerajaan, Harald berupaya membangunkan pasukan tentera yang lebih
besar dengan tujuan untuk menjamin kuasanya. Hal ini ternyata merupakan suatu
langkah yang bijak kerana kelak, beliau bakal berhadapan dengan ujian
terbesarnya. Sebuah angkatan lawan terbentuk di Norway, di mana mereka
bermaksud untuk merebut semula kerajaan-kerajaan yang dikuasai oleh Harald dan
cuba untuk menghalangi usahanya untuk menyatukan Norway.
Angkatan ini melibatkan
Sulki, si raja bagi Kerajaan Rogaland berserta saudarnaya, Earl Soti. Kemudian,
Eirik si raja Hordalan bersama mereka ikut serta Kjotvi Si Kaya yang merupakan
raja Kerajaan Agdir dan puteranya, Thorir Haklang. Angkatan ini turut
melibatkan dua orang bersaudara yang memerintah Telemark, iaitu Hadd si Keras
(Hadd the Hard) dan Hroald Hrygg.
Mereka inilah musuh
terbesar yang dihadapi Harald. Kedua-dua belah pihak berusaha keras untuk
menghimpunkan seramai mungkin tentera. Konflik mereka ini memuncak pada tahun
872M, apabila meletusnya Pertempuran Hafrsfjord di kawasan berhampiran
Stavanger. Pada masa itu, pertempuran ini dilihat sebagai salah sebuah
pertempuran terbesar di Norway.
![]() |
| Pertempuran Hafrsfjord membawa kepada penyatuan Norway oleh Harald Fairhair |
Jumlah tentera yang
besar ini bertembung dalam sebuah pertempuran laut di fjord yang merupakan sebahagian dari kawasan Rogaland. Kebanyakan
seteru Harald tumbang dalam pertempuran ini – misalnya Eirik terbunuh, Sulki
dan Soti terjatuh (lemas) sementara Thorir Haklang pula menjadi gila lantas
dibunuh. Bapanya, Kjotvi Si Kaya adalah satu-satunya yang terselamat. Beliau
melarikan diri sebaik sahaja melihat pasukannya mengalami kekalahan besar. Nama
beliau tidak lagi disebutkan sesudah itu.
Kemenangan Harald
Fairhair di Hafrsfjord dianggap secara luas dalam kalangan masyarakat tempatan
sebagai episod kelahiran sebuah kerajaan Norway yang merdeka dan bersatu.
Sejarah sememangnya senada dengan dakwaan tersebut, memandangkan sesudah
berakhirnya pertempuran itu, Harald mengisytiharkan dirinya sebagai raja
tunggal Norway – tanpa ada seorang pun seteru untuk merebut gelaran tersebut.
![]() |
| Pecahan Norway pemerintahan Raja Harald Fairhair |
Selepas meraih
kemenangan yang besar itu, Harald dengan pantas bertindak mengukuhkan
pemerintahannya. Sekali lagi, beliau mempamerkan kecerdikannya dalam
berdiplomasi dengan mengahwini puteri seorang raja Denmark. Pada masa itu,
Denmark merupakan kerajaan yang paling hampir dengannya dan paling berkuasa di
selatannya justeru Harald mahu menjadikan mereka sebagai sekutu.
Harald Fairhair tidak
hanya menjalinkan persekutuan, malah beliau menampilkan imejnya sendiri sebagai
monarki sebenar Norway. Bukti lanjut berkenaan kestabilan pemerintahan Harald
ke atas seluruh Norway adalah situasi di mana raja Denmark mengetuai
rundingan-rundingan serius sebelum bersetuju untuk menyerahkan puterinya untuk
dikahwini.
Sejumlah besar
puisi-puisi pemujangga (skaldic) yang
dihasilkan semasa tempoh kehidupan Harald Fairhair masih wujud sehingga ke hari
ini. Ianya banyak memberikan fakta sejarah mahupun penokokan tentang beliau.
Antaranya seperti sebuah hikayat yang diromantiskan, di mana Harald dikisahkan
memutuskan mahu menyatukan Norway. Seiring berjalannya puisi dan hikayat itu,
Harald diperihalkan telah jatuh cinta dengan seorang gadis yang bernama Gyda,
salah seorang gadis tercantik di Norway.
Namun, Gyda menolak
luahan cintanya dan menyatakan bahawa beliau hanya akan menerima cinta raja
yang menguasai seluruh Norway. Lantaran itu, Harald pun bersumpah untuk
memenuhi impian tersebut demi meraih cinta Gyda.
Sebuah lagi pemerincian
yang bersifat romantis antara lain adalah yang menyebutkan bahawa Harald
bersumpah untuk tidak menyisir rambut sebelum impiannya untuk menjadi Raja
Norway tertunai. Lantaran itu, beliau dikenali sebagai Harald Lufa (Harald Si
Rambut Serabai). Selepas kempen penaklukannya selesai, hikayat menceritakan
bagaimana beliau dijamu di Maeri oleh Earl Rognvald.
![]() |
| Raja Harald Fairhair dimuliakan dalam sebuah jamuan |
Pembesar yang sama itu
kemudiannya menyisir rambut Harald yang sudah tumbuh panjang, menunjukkan
kepada semua yang ada di sana akan betapa cantiknya rambut beliau. Maka, Harald
pun meraih gelaran Harald Fairhair. Perkara ini sudah tentu merupakan penokokan
daripada pemujangga dan tidak memiliki sebarang asas dalam sejarah sebenar,
walaupun Earl Rognvald itu merupakan seorang figura sejarah realiti – salah
seorang pendokong terawal Harald semasa beliau baru sahaja dimahkotakan,
bersama Earl Atli.
Gelaran yang satu itu
juga merupakan satu metafora yang sangat menarik – metafora yang direka dan
dimasukkan oleh penghikayat Kristian pada kurun-kurun selepas kemangkatan
Harald. Metafora ini bersifat jelas – seorang pembesar memotong rambut serabai
milik seorang pahlawan (metafora bagi Viking yang bersifat berpuak-puak dan
bersalahan dengan agama Kristian) dan mendedahkan penampilan seorang raja yang
memiliki rambut yang cantik (metafora bagi pengaruh Kristian yang lebih
bertamadun).
Kemenangan Harald
Fairhair di Hafrsfjord dan kenaikan kuasanya sebagai seorang monarki turut
memberikan pengaruh kepada negara-negara jiran – terutama sekali petempatan di
Iceland. Sebilangan besar bangsawan, pahlawan dan keluarga mereka yang
menentang Harald dalam konflik ini memilih untuk melarikan diri berbanding
menerima nasib di tangan beliau. Dan destinasi pilihan mereka adalah Iceland
yang baru sahaja ditemui dan belum lagi diduduki pada masa itu.
Harald Fairhair juga
meluaskan pengaruhnya hingga ke Orkneys dan Scotland. Para Viking yang
memerintah di sana dituntut untuk membayar ufti dan memperakui beliau sebagai
raja mereka.
PERANG
PARA PUTERA & CUCU HARALD FAIRHAIR
Dalam
penulisan-penulisan pada tempoh yang lebih terkemudian, ada diperihalkan
tentang dua orang putera Harald iaitu Erik Bloodaxe dan Haakon the Good. Haakon
yang lebih muda dihantar ke istana Raja Athelstan di England, sama ada sebagai
tawanan diplomatik mahupun utusan. Walau apapun statusnya, beliau meluangkan
masa mudanya di Anglo-Saxon dan Denmark-England. Sementara itu, abangnya, Erik
Bloodaxe mewarisi takhtwa Norway selepas kemangkatan Harald Fairhair. Menjelang
masa-masa itu, Erik sudah pun mempunyai putera-puteranya sendiri.
![]() |
| Syiling Erik Bloodaxe, putera Harald Fairhair yang mewarisi takhtanya sebagai raja |
Namun sejurus Erik
menjadi raja, Haakon Haraldsson berlayar dari England dalam cubaan untuk
merampas takhta dari abangnya. Tidak seperti Erik dan lain-lain di Norway yang
masih mengamalkan kepercayaan pagan, Haakon menganut agama Kristian yang
menjadi kelaziman Anglo-Saxon. Terdapat kemungkinan bahawa ekspedisi beliau ini
menerima sokongan daripada masyarakat Inggeris.
Apapun, sebaik sahaja
mendarat di Norway, Haakon mula menubuhkan persekutuannya yang tersendiri.
Beliau menawarkan janji untuk menghapuskan cukai yang dikenakan ke atas
hartanah warisan, yang mana cukai ini dimulakan oleh bapanya, Harald Fairhair.
Beliau turut menjalinkan persekutuan dengan Sigurd, Earl of Lade dan dengan
pantas menubuhkan pengaruh yang kuat di Norway, baik secara langsung mahupun
tidak langsung.
Erik Bloodaxe kelak
menyedari bahawa keadaan politik tidak menyebelahinya dan beliau sendiri
dikelilingi oleh para musuh di samping tidak mempunyai ramai sekutu. Lantaran
itu, beliau pun melarikan diri ke Orkneys, dan dari sana, bergerak ke Jorvik di
Northumbria. Di sana, beliau dibunuh bersama puteranya, Haeric dalam
Pertempuran Stainmore yang berlangsung pada 954M ketika menentang Earl of
Bernicia.
Namun, putera-puteranya
masih kekal menjadi kekuatan yang menentang Haakon di Norway. Mereka mengetuai
sejumlah pertempuran berdarah dalam memerangi pasukan tentera Haakon. Dalam
pertempuran pertama yang berlangsung di Avaldsnes, Haakon meraih kemenangan dan
salah seorang putera Erik, iaitu Guttorm terbunuh. Pada tahun berikutnya,
Pertempuran Rastarkal meletus dan Haakon meraih satu lagi kemenangan. Kali ini,
putera Erik yang bernama Gamle pula terkorban.
![]() |
| Obelisk peringatan bagi tentera-tentera yang terkorban dalam Pertempuran Rastarkalv |
Beberapa tahun sesudah
mengalami kekalahan ini, tepatnya pada tahun 961, tiga orang putera Erik
Bloodaxe yang masih hidup kembali ke Norway dan memberikan kejutan kepada
Haakon dalam Pertempuran Fitjar. Namun, pertempuran ini tetap jua dimenangi
oleh Haakon walaupun beliau terpaksa membayarnya dengan nyawanya sendiri.
Beliau mengalami kecederaan parah dan mangkat akibat daripada itu.
Gelaran Raja Norway
kemudiannya diserahkan kepada Harald Greycloak, putera kepada Erik Bloodaxe
yang tertua dalam kalangan mereka yang terselamat. Namun, pemerintahan cucu
Harald Fairhair ini ditandai dengan tahun-tahun yang penuh dengan peperangan di
Norway dan beliau pada akhirnya dibunuh oleh persekutuan raja Denmark, Harald
Bluetooth yang menjadi Raja Norway selama beberapa tahun sebelum beliau sendiri
digulingkan dan dibunuh. Kitaran ini terus-menerus berulang…
PEDANG YANG TIDAK PERNAH BERSARUNG
Tidak diragukan lagi
bahawa sejarah Norway dan permulaannya sebagai sebuah negara ditandai oleh
sifat gemar berperang dan tamak masyarakat Norsemen. Berpegang pada gaya hidup
Viking, perubahan gaya hidup mereka daripada pahlawan laut kepada pedagang
tidak berjalan dengan licin. Sebaliknya, ia ditandai dengan sejumlah peperangan
dan pembunuhan. Namun, Harald Fairhair, figura yang walaupun kabur identiti
serta kesahihan riwayat hidupnya, sangat penting untuk dikenang.
SUMBER
- Du Chaillu, P. 1889. The Viking Age. Charles Scribner’s Sons.
- Kendrick, T. 2004. A History of the Vikings. Dover.
- Lincoln, B. 2014. Between History and Myth: Stories of Harald Fairhair and Founding of the State. The University of Chicago Press.
- McKitterick, R. 1995. The New Cambridge Medieval History – Volume 2: c.700-c.900. Cambridge University Press.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Harald Fairhair: Raja Pertama Norway’
- Get link
- X
- Other Apps







