- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (27 Mac 2018). The Lost City of Thinis, First Capital of a United
Egypt. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/lost-city-thinis-first-capital-united-egypt-009807?
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/lost-city-thinis-first-capital-united-egypt-009807?
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Thinis merupakan sebuah
kota bagi tamadun Mesir purba. Di kala Thinis atau nama alternatifnya, This
merupakan sebutan Yunani bagi merujuk kota tersebut, masyarakat Mesir purba
mengenalinya sebagai Tjenu. Kota ini pernah memainkan fungsi sebagai ibu kota bagi
Mesir purba semasa Zaman Dinasti Awal. Kewujudan Thinis diperakui oleh
penulis-penulis purba seperti Manetho, yang secara meluas dipercayai sebagai
seorang paderi Mesir yang hidup di zaman Ptolemy.
Sebutan-sebutan
berkenaan Thinis juga dapat ditemui di dalam teks-teks keagamaan, seperti dalam
jampi-jampi tertentu yang terkandung di dalam The Book of Going Forth by Day (lebih masyhur dikenali sebagai
Kitab Kematian). Walaupun wujud rujukan-rujukan berkenaan kota ini di dalam
sumber-sumber sastera purba, lokasi tepat Thinis masih belum dapat diketahui
justeru ia kekal sebagai misteri besar bagi ahli-ahli arkeologi dan kaji purba
Mesir. Rentetan itu, Thinis sering disebut sebagai sebuah ‘kota yang hilang’.
![]() |
| Raja Dinasti Pertama Mesir, Menes atau Narmer |
IBU
KOTA PERTAMA
Dinasti Pertama Mesir
ditubuhkan apabila Mesir Hulu dan Mesir Hilir disatukan di bawah pemerintahan
seorang firaun. Menurut Manetho, pengasas Dinasti Ke-18 merupakan seorang
lelaki yang bernama Menes (hari ini dikenal pasti sebagai Narmer, yang
dahulunya dianggap sebagai pewaris Menes). Firaun ini dicatatkan sebagai
pemimpin sebuah konfederasi puak yang dikenali sebagai Konfederasi Thinis.
Apabila Mesir Hulu dan Mesir Hilir disatukan, Menes menjadikan Thinis sebagai
ibu kotanya dan memerintah empayar daripada sana.
Pada zaman Dinasti
Ketiga, kota Memphis dibangunkan dan ia kemudiannya menjadi ibu kota Mesir yang
baru. Berikutan pertukaran ibu kota ini, Thinis mengalami keruduman dari sudut
kepentingan. Walau bagaimanapun, Thinis masih merupakan sebuah pusat serantau
yang penting dan selama beberapa tempoh, ia berfungsi sebagai ibu kota bagi 8
buah nome (wilayah-wilayah pecahan Mesir) Mesir Hulu. Kedudukannya sebagai ibu
kota bagi nome tersebut kemudiannya digantikan oleh kota Abydos.
![]() |
| Kawasan berhampiran Abydos (Osireion dalam gambar), selepas kedudukan politiknya diserahkan kepada Thinis |
KEKAYAAN
YANG BERPANJANGAN
Sumber-sumber bertulis
mengisyaratkan bahawa walaupun sesudah tidak lagi menjadi ibu kota Mesir,
Thinis tetap jua merupakan sebuah kota yang teramat kaya. Semasa zaman
pemerintahan Thutmose III, iaitu firaun ke-6 bagi Dinasti ke-18, cukai tahunan
yang dikenakan ke atas Thinis dicatatkan melibatkan enam deben (unit ukuran
berat Mesir purba) emas, separuh deben perak dan sejumlah produk seperti
bijirin, ternakan dan madu.
Kekayaan Thinis
sememangnya terbukti jika dibandingkan dengan Abydos, sebuah kota lain yang
terletak berhampiran di mana jumlah penghasilan cukai yang dikeluarkan oleh
Abydos jauh lebih kecil. Sebagai contoh, Abydos dituntut untuk membayar tiga
deben emas pada setiap tahun, iaitu separuh daripada jumlah yang dibayar oleh
Thinis. Contoh lain pula adalah di kala Abydos hanya perlu mengeluarkan
sebanyak tiga gantang bijirin setiap tahun sebagai cukai, Thinis perlu memberikan
sebanyak 62 gantang.
Malahan, Thinis tidak
hanya sebuah kota yang mewah, akan tetapi ia merupakan kuasa besar di
rantaunya. Direkodkan bahawa pemerintah wilayah Thinis, iaitu Antef pernah
menguasai seluruh oasis di rantau Gurun Barat. Menerusi penguasaannya itu,
beliau mampu mengeluarkan penghasilan yang berupaya meningkatkan kekayaan
Thinis.
![]() |
| Kitab Kematian karangan Hunefer, memerincikan daripada Anubis hingga ke Thoth |
SIGNIFIKASI
KEAGAMAAN THINIS
Thinis juga mempunyai
peranan yang agak signifikan dalam kepercayaan agama masyarakat Mesir purba.
Kota ini disebutkan beberapa kali dalam Book
of Going Forth by Day. Sebagai contoh, jampi ke-18 mengandungi
perkataan-perkataan berikut:
“Wahai Thoth yang bersumpah atas nama Osiris dalam menghadapi
musuh-musuhnya, yang bersumpah (atas namanya) bagi melawan musuh-musuhnya dalam
Persidangan besar di Abydos pada malam jamuan perhitungan si mati, pada malam
dihitungnya bekalan Anugerah, semasa tarian sedang berlangsung di Tjeni.”
Dalam jampi lain, iaitu
Jampi Pleyte 168, seruan berikut pula dapat dilihat,
“Bangkitkanlah diri engkau, Thinis dari Alam Kematian, dalam bentuk
(putera) Horus, agar dia bersenang hati dengan engkau.”
Walaupun kewujudan
Thinis diperakui dalam sumber-sumber bertulis, lokasi tepat kota purba ini
masih kekal misteri. Ahli-ahli arkeologi masih belum berjaya menemukan kota ini
dan mereka hanya mampu mengandaikan sahaja di mana lokasi kemungkinannya.
Mereka mencadangkan bahawa Thinis berkemungkinan terletak di kawasan yang
berhampiran dengan Abydos, dan calon yang paling sesuai adalah kota Girga
moden. Calon lain pula adalah kota el-Birba moden. Seandainya kota yang hilang
ini dapat ditemukan, ia pasti akan meningkatkan lagi kefahaman kita terhadap
zaman Dinasti Awal Mesir purba.
SUMBER
- Weigall, A.E.P.B. 2015. A Guide to the Antiquities of Upper Egypt. Cambridge: Cambridge University Press.
- Alen, S. 2017. Ancient Egyptian cities Thinis and Thebes.
- Anon. The Book of the Dead or Going Forth by Day. [Allen, T. G. (trans). 1974. The Book of the Dead or Going Forth by Day.
- Harvey, I. 2017. The lost cities of the ancient world.
- Manetho, History of Egypt. [Waddell, W.G. (trans). 1940. Manetho’s History of Egypt. In The Fragments of Manetho.
- Marzouk, S. 2017. A Guide to the Fascinating Lost Cities of Egypt.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Thinis: Ibu Kota Pertama Mesir Purba’
- Get link
- X
- Other Apps



