- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (25 Januari 2018). The Man Who Stopped a Desert Using Ancient
Farming. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/man-who-stopped-desert-using-ancient-farming-009493
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/man-who-stopped-desert-using-ancient-farming-009493
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Penggurunan merupakan
sebuah masalah serius yang dihadapi oleh sejumlah negara pada hari ini.
Pelbagai pendekatan telah diambil untuk menangani kesan-kesannya yang negatif,
di mana sebahagian daripadanya membuahkan hasil yang lebih baik berbanding
sebahagian pendekatan lain. Seorang petani di Burkina Faso mengikuti
jejak-langkah nenek-moyangnya dan hadir dengan sebuah penyelesaian yang
inovatif.
Penggurunan
didefinisikan sebagai ‘sebuah proses degradasi tanah di kawasan gersang,
semi-gersang dan sub-lembab berikutan pelbagai faktor seperti perubahan cuaca
dan aktiviti manusia’. Inovasi-inovasi ‘moden’ dan juga amalan-amalan
tradisional telah diambil sebagai pendekatan untuk cuba menghentikan impak
negatif yang diakibatkan oleh penggurunan yang berlaku. Pengaplikasian yang
lebih berjaya menerusi pendekatan tradisional jelas kelihatan dalam kes Yacouba
Sawadogo, seorang petani yang mengambil inisiatif untuk menangani masalah
penggurunan di negaranya dengan menggunakan kaedah tradisional yang ringkas.
![]() |
| Tangkap layar daripada treler ‘The Man Who Stopped the Desert’ |
MEMIKUL
TANGGUNGJAWAB
Yacouba Sawadogo adalah
seorang petani di Burkina Faso. Bahagian utara negara Afrika ini terletak dalam
lingkungan Sahel, sebuah rantau semi-gersang yang diapit oleh Gurun Sahara di
utara dan Savana Sudan di selatan. Penggurunan telah menjadi suatu masalah
serius di bahagian utara Burkina Faso sejak 1970an lagi. Sebagai kesan daripada
aktiviti pertanian, penggunaan rumput dan kadar populasi yang melampau, tanah
atau pepasir di rantau berkenaan mengalami hakisan dan pengeringan yang cukup
membimbangkan dekad demi dekad. Pelbagai usaha telah dilakukan baik pada skala
kebangsaan mahupun antarabangsa demi memulihkan keadaan, namun tiada hasil
memuaskan.
![]() |
| Yacouba Sawadogo |
Pada 1980an, Sawadogo
yang menyaksikan bagaimana pendekatan-pendekatan yang diambil oleh pihak
berkuasa tidak membuahkan hasil, lantas memutuskan untuk mengambil
tanggungjawab. Beliau menggunakan dua kaedah tradisional – teknik Zai dan cordons pierreux, dalam usahanya menangani masalah penggurunan yang
dihadapi oleh negaranya. Memandangkan kaedah tradisional ini kelihatan pelik
pada pandangan mata masyarakatnya, maka Sawadogo pada mulanya dianggap sebagai
seorang yang telah hilang kewarasan akal dan sering direndah-rendahkan.
DUA
TEKNIK PERTANIAN
Zai
adalah
satu teknik pertanian yang secara tradisionalnya diamalkan di bahagian barat
Sahel, termasuklah Burkina Faso. Teknik ini melibatkan penggalian lubang-lubang
tanah yang tidaklah terlalu telap, supaya tanah-tanah yang memiliki sisa air
serapan dapat dikumpulkan. Lubang-lubang ini mempunyai kedalaman antara 5-15 cm
(1.97-5.91 inci) dan diameter antara 15-50 cm (5.91-19.69 inci). Baja atau
kompos boleh diletakkan di dalam lubang-lubang tersebut untuk meningkatkan
jumlah nutrien di dalam tanah. Tumbuhan kemudiannya boleh ditanam. Banyak
kelebihan yang dimiliki oleh teknik ini. Misalnya, teknik ini bersifat ringkas
dan murah, boleh diamalkan oleh mana-mana petani sekalipun.
Apapun, ia juga
merupakan sebuah teknik yang banyak menggunakan tenaga, justeru kosnya lebih
tinggi pada sudut tenaga manusia. Tambahan lagi, petani-petani perlu memantau
dan mengekalkan lubang-lubang Zai yang
mereka hasilkan. Apapun, kadar keefisienan Zai
sememangnya terbukti, memandangkan penggunaannya memberi kesan kepada
peningkatan hasil tuaian.
![]() |
| Teknik pertanian Zai |
Satu lagi teknik yang
diguna pakai oleh Sawadogo dikenali sebagai cordons
pierreux. Seperti Zai, teknik ini
bertumpu pada penggunaan penyerapan air dalam tanah dalam menangani masalah
penggurunan. Sementara lubang-lubang Zai mengumpulkan
tanah-tanah tersebut, cordons pierreux pula
menghalang penyerapan air daripada dipersiakan dengan memperlahankan alirannya.
Teknik ini menggunakan blok-blok batu kecil yang disusun dalam garisan nipis di
seluruh padang. Teknik ini dapat memperlahankan aliran penyerapan air justeru
memerlukan lebih banyak masa untuk air tersebut menyerap jauh ke dalam tanah.
![]() |
| Contoh teknik pertanian cordon pierreux |
KEJAYAAN DALAM USAHA MURNI
Kejayaan yang diraih
oleh Sawadogo dalam usahanya memerangi masalah penggurunan menjadikan beliau
sebagai seorang figura yang dihormati oleh komuniti yang dahulunya pernah
menghinanya. Pada tahun 2010, sebuah filem dokumentari berjudul The Man Who Stopped the Desert yang
berkisar tentang kehidupan Sawadogo ditayangkan di Norwich, UK. Filem ini
membolehkan usahanya itu sampai ke pengetahuan masyarakat antarabangsa di
samping memerikan masalah-masalah yang dihadapi serta langkah-langkah berpotensi
yang boleh diambil oleh negara-negara lain yang mengalami masalah sama seperti
Burkina Faso.
Kemasyhuran yang diraih oleh Sawadogo menerusi filem ini
membolehkan beliau mencapai khalayak yang lebih luas dan membenarkannya untuk
berkongsikan teknik-teknik pertanian yang dimilikinya kepada para petani –
menjadikan mereka lebih berkelengkapan dengan alatan yang lebih efektif dalam
rangka menangani masalah penggurunan.
SUMBER
- 1080 Films, 2018. The Man Who Stopped the Desert.
- FarmingAfrica, 2014. Zai system overcomes desertification.
- Mr Mondialisation. 2017. Yacouba Sawadoo, l’homme qui faisait reculer le desert.
- Mwenda, M. 2016. Yacouba Sawadogo. The African farmer who stopped the desert.
- Rinkesh, 2018. What is Desertifacation?
- Sumitra, 2014. Meet Yacouba Sawadogo – The Man Who Stopped the Desert.
- United Nations Environment Programme, 2018. Planting Pits (Zai).
- Get link
- X
- Other Apps




