- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (28 Mac 2015). The Monumental Tomb of Queen Tin Hinan, Ancient
Ancestress of the Tuaregs. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/monumental-tomb-queen-tin-hinan-ancient-ancestress-tuaregs-002833
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/monumental-tomb-queen-tin-hinan-ancient-ancestress-tuaregs-002833
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ratu Tin Hinan terkenal
dalam sejarah kaum Tuareq sebagai seorang pemerintah wanita kurun ke-4 yang
berprestij tinggi, digelari sebagai “Ibu Kita Semua”. Lokasi makam
monumentalnya berjaya dikenal pasti pada tahun 1925 di gurun Sahara. Namun,
penemuan-penemuan arkeologi yang besar pada tahun-tahun sekitar itu seperti
penemuan makam Firaun Tut telah membayangi dan menenggelamkan sensasi penemuan
tentang Tin Hinan.
Bagi sebilangan
masyarakat, tahun 1920an merupakan suatu tempoh yang amat mengujakan untuk
menjalani hidup. Perang Besar baru sahaja melabuhkan tirai pada tahun 1918, dan
beberapa buah negara pula menikmati lonjakan ekonomi pada waktu itu di mana
keadaan ini membolehkan rakyatnya menjalani kehidupan yang mewah dan senang-lenang.
Dalam lapangan arkeologi, tempoh ini melihatkan sejumlah penemuan sensasi
dilakukan, antaranya seperti penemuan makam Tutaankhamun oleh Howard Carter dan
ekskavasi kota Ur oleh Leonard Woolley yang kedua-duanya ini ditemukan pada
tahun 1922.
Semasa ‘makam Tin
Hinan’ ini ditemui dan dibuka oleh Byron Khun de Prorok dan Pasukan Tentera
Perancis pada tahun 1925, berita tentang penemuan tersebut tidak menerima
liputan yang meluas jika dibandingkan dengan penemuan-penemuan lain. Antara
faktor yang membawa kepada keadaan ini adalah status Prorok yang dianggap
sebagai ‘penjarah makam’ di zamannya dan beliau kurang dihormati oleh komuniti
saintifik.
![]() |
| Pada 1920an, Byron Khun De Prorok (lahir 1896) merupakan pengarah ekskavasi arkeologi di Carthage |
‘Count’ Byron Khun de
Prorok merupakan seorang ahli arkeologi amatur dari Poland-Amerika yang
berminat terhadap legenda-legenda purba. Dengan sokongan daripada Perancis,
yang merupakan koloni utama di kebanyakan wilayah Afrika Barat, de Prorok
berupaya melancarkan ekspedisinya di gurun Sahara. Tepat di Abalessa yang
terletak di wilayah Hoggar, selatan Algeria, de Prorok menemukan sebuah makam
monumental. Binaan berbentuk bulat yang berlokasi di atas sebuah bukit dan
berhampiran dengan kawasan sungai atau wadi ini diperbuat daripada batu.
Ketinggiannya hampir mencecah 4 meter (13 kaki) dan berdiameter sekitar 23
meter (75 kaki). Menurut penduduk tempatan, makam tersebut adalah milik Tin
Hinan.
Tin Hinan, yang namanya
itu boleh dimengertikan secara harfiah sebagai ‘wanita dari khemah’ dianggap
sebagai nenek-moyang purba bagi kaum Tuareg. Menurut legenda-legenda tempatan,
Tin Hinan tiba di daerah Hoggar pada ratusan tahun dahulu dengan menaiki seekor
unta berwarna putih-susu dan membawa bersama hambanya yang setia, Takamet.
Mereka berdua dihikayatkan telah mendiami daerah pergunungan Algeria dan Tin
Hinan sendiri menjadi ratu pertama kaum Tuareg.
Tuareg merupakan
masyarakat nomad Berber dari Sahara. Pada kurun ke-20, mereka dikenali sebagai
‘Masyarakat Berhijab’ atau ‘Masyarakat Biru’, merujuk kepada pakaian mereka
yang berwarna indigo cerah.
![]() |
| Kaum lelaki Tuareg dalam pakaian tradisional mereka di Gurun Sahara, Mali |
Kasta pahlawan kaum
Tuareg meyakini bahawa mereka merupakan keturunan langsung Tin Hinan manakala
golongan petani atau rakyat awam pula menganggap diri mereka sebagai keturunan
Takamet.
Pada tahun 1925, de
Prorok langsung tidak berasa ragu-ragu untuk membuka makam tersebut, walaupun
kaum Tuareg sendiri melihat perbuatan itu sebagai suatu bentuk penodaan. Ribut
petir secara tiba-tiba melanda semasa ekspedisi ini dijalankan, sekaligus
kejadian ini melahirkan tanggapan tahyul kononnya jin-jin yang naik marah
dengan penggalian arkeologi ini bertindak melepaskan amarahnya. Namun, ribut
petir ini berlangsung tidak lama dan de Prorok terus sahaja menyambung
kerja-kerja arkeologinya.
Makam ini mengandungi
sejumlah bilik, walaupun gerbang masuknya hanya sebuah. Berdasarkan plan
binaannya, pihak arkeologi berpendapat bahawa makam ini pada asalnya adalah
kubu Rom. Sebilangan daripada mereka bahkan mengaitkan struktur ini dengan
serangan Rom ke atas Sahara di bawah kepimpinan Lucius Cornelius Balbus pada
19SM. Ketika tentera Rom meninggalkan kawasan ini, kubu tersebut berkemungkinan
digunakan semula oleh penduduk tempatan dan kemudiannya ia bertukar fungsi
menjadi sebuah makam.
![]() |
| Model makam Tin Hinan di Muzium Prasejarah dan Etnografi Kebangsaaan Bardo, Algeria |
![]() |
| Kawasan yang dipercayai sebagai makam Tin Hinan |
Di penjuru barat daya
makam ini, de Prorok dan pasukannya menemukan bilik pertama. Di dalam bilik ini
terdapat sebuah kubur yang berada di bawah sembilan potongan batu yang
berbentuk tidak tetap. Apabila batu-batu ini dialihkan, de Prorok menemukan
rangka seorang wanita dengan kakinya disilangkan manakala kepalanya pula dicondongkan
sedikit ke satu sisi. Menurut beliau, rangka ini pada suatu masa dahulu
dibaringkan di atas sebuah platform kayu dan ditutup dengan jubah kulit
berwarna merah. Namun, kesemuanya ini telah lama reput dan terurai menjadi
debu. Tangan kanan wanita ini dihiasi dengan tujuh gelang perak yang berat
belaka, manakala tangan kirinya pula dipakaikan dengan tujuh gelang emas.
![]() |
| Tinggalan rangka Tin Hinan |
Sejumlah perhiasan
lain, seperti manik-manik batu firus (turquoise),
batu delima, batu amazonite, dan batu carnelian turut ditemui di makam ini.
Ahli arkeologi mengutarakan pendapat bahawa barangan-barangan berharga ini
berasal dari Carthage, di utara. Ujian pentarikhan karbon ke atas makam ini
dapat dilakukan menerusi penganalisaan tembikar-tembikar yang ditemukan di
sini.
Ketika platform kayu
ini menjalani ujian pentarikhan karbon pada tahun-tahun berikutnya, hasil ujian
mendapati bahawa wanita tersebut dikebumikan di situ pada suatu tempoh antara
kurun ke-3 dan kurun ke-5 Masehi, tempoh yang tidak jauh berbeza dengan
pentarikhan yang diraih menerusi analisis tipologi yang dilakukan ke atas
tembikar.
Kehadiran objek-objek
berharga di kubur ini memberi isyarat bahawa wanita yang dikebumikan di sini
merupakan seseorang yang berstatus tinggi dalam kalangan masyarakatnya. Walau
bagaimanapun, selain daripada sumber lisan penduduk tempatan, sebilangan
pengkaji berpendapat bahawa tiada bukti lain yang dapat mengesahkan bahawa
rangka tersebut adalah milik Tin Hinan. Namun, apapun jua identiti rangka
wanita yang ditemui di makam tersebut, hal ini sama sekali tidak memberikan
kesan kepada rasa hormat kaum Tuareg terhadap ratu purba mereka itu.
Antara bentuk pemuliaan
Tin Hinan yang masih dilakukan sehingga ke hari ini adalah sambutan Keraian Tin
Hinan, iaitu satu keraian yang bukan sahaja dikhususkan kepada ratu ini, malah
terhadap peranan yang dimainkan oleh kaum wanita dalam kalangan masyarakat
Algeria moden.
SUMBER
- de Prorok, B. K. 1926. Digging for Lost African Gods. New York: G.P. Putnam’s Sons.
- El Houssaine Naaim, 2015. Amazigh Civilization: A Lesson in How to Treat Women.
- LaFeminista, 2010. The Tuaregs I: Tin Hinan: The mother of us all.
- Algeria.com. 2015. Tin Hinan Festival: A Tribute to the Legendary Taureg Queen.
- Look and Learn. 2013. The tomb of Tin Hinan, desert Queen of the Tuaregs.
- Get link
- X
- Other Apps





