- Get link
- Other Apps
- Get link
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (6 Jun 2019). How A Handful of Yamnaya Culture Nomads Became the
Fathers of Europe. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/yamnaya-culture-0012105
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/yamnaya-culture-0012105
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Asal-usul bangsa Eropah
moden diselubungi misteri dan sentiasa dipalit kontroversi. Ahli-ahli arkeologi
dan linguistik sejak sekian lama berdebat tentang asal-usul keluarga penutur
Indo-Eropah dan juga tentang asal-usul tamadun Eropah serta bagaimana mereka
mula hidup secara menetap. Penemuan-penemuan terkini dalam tahun-tahun
kebelakangan mengisyaratkan bahawa asal-usul kebudayaan Eropah, dan juga
beberapa kebudayaan Asia Tengah, berada dalam lingkungan sebuah budaya
arkeologikal yang dikenali sebagai Yamnaya.
PERPINDAHAN
GENETIK vs. PERPINDAHAN FAHAMAN
Satu sumber utama yang
mencetuskan perbezaan pendapat tentang asal-usul kebudayaan-kebudayaan Eropah
moden adalah sama ada ianya melibatkan perpindahan manusia secara fizikal atau
adakah ia hanya sekadar pertukaran fahaman. Pada tempoh masa sebelum 9000BP (Before Present; Sebelum Sekarang),
Eropah masih berada dalam zaman Paleolitik. Benua itu secara umum dihuni oleh
komuniti pemburu-pengumpul hasil hutan dan mereka menjalani kehidupan yang
tidak jauh berbeza berbanding keadaan mereka ketikamana tiba buat kali pertama
di Eropah kira-kira 37 000 tahun lalu.
Namun bermula sekitar
9000BP, kehidupan pertanian dan perkampungan mula tersebar di seluruh Eropah
dan menjelang 5000BP, benua itu dihuni secara meluas oleh petani-petani zaman
Neolitik. Sekitar 5000BP atau 3000BP, sebuah kebudayaan Zaman Gangsa mula
menyebar di seluruh Eropah, berkemungkinan datang dan bermula dari
steppe-steppe Eurasia.
Dalam satu sudut
pandang, perubahan ini memiliki kaitan dengan rangkaian-rangkaian perdagangan
yang wujud di Eurasia. Masyarakat Eropah menjalinkan hubungan perdagangan
dengan masyarakat Timur Tengah dan steppe-steppe Eurasia. Mereka turut menyerap
masuk teknologi dan gaya hidup yang lebih maju yang diamalkan oleh
masyarakat-masyarakat asing (atau pendatang baru) itu.
Namun, pendirian asal
kebanyakan ahli arkeologi Eropah berpendapat bahawa perpindahan ini hadir dalam
bentuk sebuah serangan. Pada tahun 3000SM, penternak-penternak nomad dari
steppe-steppe Eurasia menggantikan dan berkahwin-campur dengan masyarakat
petani Neolitik yang menghuni Eropah kira-kira 4000 tahun lebih awal.
Pandangan-pandangan
yang lebih terkini turut memperdebatkan bahawa masyarakat petani Neolitik di
Anatolia (Turki moden) mula bermigrasi dan tersebar di seluruh Eropah sekitar
7000SM tanpa banyak bercampur dengan komuniti pemburu-pengumpul asli
(tempatan). Hal ini mengisyaratkan bahawa kedua-dua keadaan ini berkemungkinan
merupakan kesan susulan daripada berlakunya perpindahan manusia secara fizikal.
Walaupun masih terdapat
banyak soalan-soalan yang tidak terjawab, urutan genom-genom manusia purba
telah mendedahkan bahawa perubahan-perubahan kebudayaan di Eropah ini antara
lain adalah susulan daripada perpindahan atau proses migrasi manusia.
Migrasi awal masyarakat
petani dari Anatolia jauh melangkaui skop artikel ini, akan tetapi penyelidikan
terkini mengemukakan pendapat bahawa permulaan Zaman Gangsa di Eropah berlaku
disebabkan oleh perkembangan kebudayaan Yamnaya.
BUKTI
BERLAKUNYA MIGRASI
Kajian-kajian terkini
yang dilakukan selama beberapa tahun telah mendedahkan bahawa masyarakat Eropah
Utara dan Eropah Tengah serta beberapa komuniti di Asia Tengah berketurunan
daripada Yamnaya. Menurut pendapat ini, pada permulaan tahun 2800-3000SM, kaum
Yamnaya berpindah dari suatu tempat yang pada hari ini diebut sebagai Russia
barat atau Ukraine. Mereka kemudiannya berpindah ke dataran-dataran yang
terdapat di Eropah Tengah.
Kaum Yamnaya bermigrasi dari Russia barat moden atau Ukraine dan memasuki dataran Eropah tengah |
Urutan genom-genom
manusia memudahkan lagi usaha menjejak migrasi manusia ini memandangkan
populasi yang berbeza akan mempunyai genetik yang tersendiri, yang kemudiannya
boleh digunakan untuk menjejak laluan migrasi. Eurasia mempunyai ratusan genom
manusia purba yang berbeza-beza, di mana genom-genom ini boleh dikaji dalam
rangka menafsir migrasi purba yang berlaku dalam kalangan populasi Eurasia.
Lebih banyak genom-genom purba untuk dilakukan urutan genom membawa maksud
lebih banyak data dapat diperoleh justeru lebih tinggi hasil akhir yang boleh didapatkan.
Antara aspek menarik
yang terdapat dalam migrasi kaum Yamnaya ini adalah ia kelihatannya melibatkan
ramai penghijrah dari kalangan kaum lelaki. Bukti genetik mengisyaratkan bahawa
kebanyakan kaum lelaki Yamnaya berkahwin campur dengan wanita-wanita Eropah
untuk melahirkan sejumlah populasi Eropah moden, secara khususnya masyarakat
Eropah Utara dan Eropah Tengah. Kaum Yamnaya juga muncul sebagai akar bagi satu
kebudayaan yang disebut sebagai Corded
Ware.
Corded Ware Yamnaya |
Kaum Yamnaya mengharungi
perjalanan jauh ini dengan menaiki kuda, haiwan yang dipercayai baru sahaja
dijinakkan pada waktu itu. Kuda dijinakkan pada suatu tempoh sebelum 3000SM di
Asia Tengah. Salah satu kebudayaan terawal yang dikaitkan dengan penjinakan
kuda adalah kebudayaan Botai. Penjinakan kuda mungkin memberikan mobiliti yang
lebih tinggi buat masyarakat nomad sekaligus membolehkan mereka mengharungi
perjalanan yang lebih jauh.
PERPINDAHAN-PERPINDAHAN
LAIN
Dalam mengkaji tentang
migrasi-migrasi manusia, para saintis tidak hanya menemukan bukti migrasi itu
menerusi penyelidikan genom. Akan tetapi, mereka juga menyelidiki pola
perpindahan wabak atau penyakit. Saintis telah berupaya menjejak penyebaran
virus dalam populasi manusia. Salah satu contohnya adalah virus Hepatitis V
(HBV)
Menerusi penyelidikan
genom-genom purba, saintis berupaya menjejak bagaimana virus mengikuti
perpindahan manusia merentas peredaran sejarah. Mereka juga menemukan paling
tidak satu genom HBV yang telah pupus. Kaum Yamnaya dan populasi-populasi purba
Eurasia yang lain membantu saintis untuk lebih memahami bukan sahaja sejarah
manusia, akan tetapi sejarah virus manusia.
KEBUDAYAAN
DAN BENTUKAN SOSIAL YAMNAYA
Maklumat kecil yang
dimiliki perihal kaum Yamnaya kebanyakannya hadir menerusi sumber arkeologi.
Istilah Yamnaya datang daripada ungkapan bahasa Russia yang berbunyi Yamnaya
Kultura. Ungkapan ini boleh dimengertikan sebagai ‘budaya lubang’. Hal ini
merujuk kepada kubur pelbagai jenis yang mereka tinggalkan.
Kaum Yamnaya adalah
masyarakat penternak nomad yang pada asalnya hidup di steppe-steppe Eurasia
sebelum berpindah ke barat. Terdapat satu pendapat yang menyebutkan bahawa kaum
Yamnaya bertanggungjawab ke atas pembentukan konsep hartanah dimiliki oleh
keluarga-keluarga tertentu dan konsep pemindahan pemilikan hartanah tersebut
kepada individu dalam lingkungan keluarga berkenaan.
Sebelum ketibaan kaum
Yamnaya, kubur masyarakat Eropah bersaiz besar dan diguna secara bersama,
lazimnya lebih daripada satu keluarga. Namun, kubur kaum Yamnaya bersifat
individu. Hal ini mungkin berkait rapat dengan gaya hidup nomad mereka. Lebih
banyak pergerakan membawa kepada kurangnya masa untuk membangunkan komuniti
pelbagai-keluarga berskala besar seperti puak.
Makam kebudayaan Yamnaya |
Kaum Yamnaya juga merupakan
salah satu kebudayaan Zaman Gangsa pertama di Eropah. Penggunaan gangsa dan
tembaga dalam kalangan mereka mungkin memberikan mereka kelebihan ke atas
kebanyakan masyarakat Neolitik, penghuni-penghuni Zaman Batu di Eropah pada
masa itu. Malah, sebahagian saintis berpendapat bahawa kaum wanita Eropah
mendapati kaum lelaki Yamnaya lebih menawan dan menarik untuk dikahwini
lantaran kegagahan mereka sebagai pahlawan di samping kemajuan yang mereka
miliki dalam penggunaan teknologi.
Kaum Yamnaya yang memasuki
Eropah kebanyakannya adalah kaum lelaki. Nisbah lelaki kepada perempuan yang
bermigrasi ke sana berkemungkinan setinggi 14:1. Justeru itu, kurang munasabah
untuk mengatakan bahawa kaum lelaki Yamnaya yang bermigrasi ke rantau itu
majoritinya adalah pahlawan. Namun, terdapat juga kecenderungan bahawa migrasi
ini merupakan sebahagian daripada serangan terancang. Apapun, pergerakan mereka
ke kawasan baru ini berkemungkinan telah dirancang.
Pembinaan semula patung wajah lelaki dari Yamnaya |
Terdapat juga
kebarangkalian bahawa faktor migrasi ini adalah untuk mencari koloni-koloni
yang secara politik dan budaya berada sejajar dengan tanah air mereka, dengan
tujuan untuk meluaskan budaya dan pemilikan keluarga mereka ke atas tanah-tanah
baru. Hal ini membuatkan tujuan migrasi mereka itu sama seperti koloni-koloni
yang ditubuhkan oleh Yunani dan Rom di seluruh Mediterranean. Mungkin juga
mereka bermigrasi atau menjadi pihak penyerang dengan niat untuk meraih
kekayaan hasil daripada rampasan demi menaikkan status mereka dalam kalangan
masyarakat serantau, sama seperti yang dilakukan oleh Viking.
Gaya hidup kaum Yamnaya
dilihat bercampur antara penternakan, pertanian, perburuan dan pengumpulan
hasil hutan yang mana gaya hidup ini sama dengan kebudayaan-kebudayaan Eropah
di zaman terkemudian seperti Celt dan Jermani. Hal ini agak munasabah
memandangkan penemuan-penemuan terkini mengisyaratkan bahawa masyarakat Jermani
dan Celts merupakan keturunan Yamnaya.
YAMNAYA
DAN BAHASA PROTO-INDO-EROPAH
Kalaupun bukan mustahil,
sukar untuk para penyelidik menentukan bahasa yang terkait dengan sesebuah
kebudayaan arkeologi, Bahasa yang dituturkan oleh sesebuah komuniti purba tidak
meninggalkan sebarang jejak dalam rekod arkeologi melainkan mereka meninggalkan
rekod-rekod bertulis yang terpelihara dan boleh diterjemah.
Walaupun wujud
permasalahn ini, terdapat kaedah untuk mengenal pasti bahasa yang dituturkan
secara meluas oleh sesebuah kebudayaan arkeologi. Penyebaran pengaruh genetik
Yamnaya di seluruh Eropah dan Asia Tengah secara kasar sepadan dengan
penyebaran bahasa Indo-Eropah.
Asal-usul bahasa
Indo-Eropah merupakan satu lagi lapangan yang dipenuhi dengan perdebatan dan
kontroversi. Dua pendapat utama melihat penutur-penutur Proto-Indo-Eropah, yang
secara hipotesisnya merupakan nenek-moyang kepada bahasa-bahasa Indo-Eropah,
adalah masyarakat petani Anatolia yang mula berkembang-tersebar dari tanah air
mereka pada tahun 7000SM, ataupun masyarakat penternak nomad dari steppe-steppe
Eurasia yang mula bermigrasi dari tanah air mereka sekitar tahun 4000SM.
Kaum Yamnaya adalah masyarakat nomad penternak |
Hipotesis kedua ini
dikenali sebagai Hipotesis Kurgan, yang bersempena nama sejenis kubur yang
digunakan oleh masyarakat di rantau itu pada tempoh waktu tersebut.
Kebudayaan-kebudayaan Kurgan, yang antara lain adalah kaum Yamnaya,
mengebumikan jasad anggota masyarakatnya yang telah meninggal dunia dalam
sebuah kubur yang dilitupi dengan gundukan-gundukan tanah.
Kebudayaan-kebudayaan Kurgan diperkirakan melakukan bukan hanya satu, tetapi
banyak migrasi yang mungkin kaum Yamnaya adalah kaum yang pertama melakukannya.
Migrasi-migrasi ini secara tradisinya diyakini berlaku pada tempoh 4000SM hingga
1000SM.
Migrasi-migrasi Indo-Eropah menurut Hipotesis Kurgan |
ADAKAH
YAMNAYA MERUPAKAN PENUTUR BAHASA INDO-EROPAH PERTAMA?
Penutur-penutur bahasa
Proto-Indo-Eropah merupakan sebahagian daripada apa yang disebutkan oleh
ahli-ahli arkeologi dan linguistik sebagai kebudayaan Proto-Indo-Eropah (PIE).
Buat masa sekarang, kebudayaan PIE bersifat teori secara umum dan teori ini
dihasilkan daripada kesimpulan-kesimpulan yang digariskan daripada
perkataan-perkataan Proto-Indo-Eropah yang mendedahkan budaya masyarakat
mereka. Misalnya, Proto-Indo-Eropah mempunyai perkataan untuk haiwan ternakan
seperti biri-biri, kambing dan lembu. Ia juga mempunyai perkataan yang merujuk
secara khusus kepada gandum dan barli. Hal ini mengisyaratkan bahawa penutur
bahasa berkenaan sudah terbiasa dengan haiwan dan tuaian ini, dan malah mereka
turut terlibat dalam mengembangkannya.
Suatu kaedah untuk
menyemak-silang kemungkinan perkaitan yang wujud antara genetik dan linguistik
yang mungkin menghubungkan antara kaum Yamnaya dan bahasa-bahasa Indo-Eropah
adalah dengan melihat kepada bukti arkeologi Yamnaya dan melihat sama ada ia sepadan
dengan kebudayaan PIE.
Kumpulan-kumpulan bahasa Indo-Eropah pada 500SM |
Kebudayaan PIE paling
tidak sebahagiannya mengamalkan gaya hidup menetap, menanam hasil tuaian
seperti gandum dan barli serta barangkali hidup di dalam bangunan (walaupun
tidak begitu kukuh strukturnya). Berdasarkan jangkaan-jangkaan tentang
kebudayaan PIE, hal ini berupaya mengurangkan bantahan terhadap idea bahawa
kebudayaan PIE boleh dikenal pasti atau dijejak menerusi kaum Yamnaya.
Dalam pada itu, para
penyelidik turut sedia maklum bahawa kaum Yamnaya merupakan sebuah masyarakat
yang mengamalkan aktiviti pertanian. Mereka mempunyai pendekatan yang kompleks
terhadap aktiviti sara hidup yang merangkumi pertanian. Wujud juga
kebarangkalian di mana mereka pernah tiba di Eropah, hidup di sana dan mula
mengamalkan aktiviti pertanian dengan lebih kerap.
Jika mereka menyerap
amalan pertanian ini daripada kebudayaan bukan-Indo-Eropah tempatan, kita dapat
menemukan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan pertanian sebagai perkataan
pinjaman dan bukannya daripada leksikon asli Proto-Indo-Eropah.
Sebagai contoh, tiada
perkataan PIE asli bagi merujuk kepada ‘laut’. Perkataan bagi laut tidak
konsisten di kebanyakan sub-kumpulan bahasa Indo-Eropah dan dalam beberapa kes,
ia muncul sebagai kata pinjaman daripada bahasa asing sebagaimana yang berlaku
bagi Yunani, iaitu thalassa.
Sedangkan perkataan-perkataan asli PIE untuk barli dan gandum yang wujud
mengisyaratkan bahawa penutur Proto-Indo-Eropah, walau siapapun mereka
sebenarnya, hakikatnya sudah terbiasa dengan amalan pertanian di saat mereka
menjadi kumpulan linguistik yang tersendiri.
Sekiranya bukti
arkeologi dibandingkan dengan penemuan yang dijangkakan daripada kumpulan PIE, bkti
tersebut tidak dapat disangkal namun ia tidak pula berkonflik dengan hipotesis
yang mengatakan bahawa Yamnaya adalah budaya PIE yang misteri lagi sukar
difahami. Hal ini juga konsisten dengan penemuan yang mengisyaratkan bahawa
penyebaran genetik kaum Yamnaya secara kasarnya memiliki perkaitan dengan
penyebaran bahasa Indo-Eropah di Eropah dan Asia Tengah.
Menurut Hipotesis
Kurgan, asal-usul bahasa pertama Indo-Eropah wujud sekitar 1000 tahun selepas
tempoh di mana kaum Yamnaya dipercayai bermigrasi dari tanah air mereka. Namun,
segala perkara yang lain kelihatan sepadan. Hal ini setidak-tidaknya
menghadirkan sebuah kebarangkalian wujudnya perkaitan yang boleh diterima di
antara kaum Yamnaya dan bahasa-bahasa Indo-Eropah, walaupun perkaitan ini
mungkin tidak memaksudkan mereka sebagai penutur asal Proto-Indo-Eropah.
YAMNAYA
DAN PERMULAAN GLOBALISASI
Dalam sejarah,
masyarakat nomad penternak seringkali disifatkan sebagai kaum gasar yang gemar
berperang dan sukar bekerjasama. Hal ini sememangnya difahami lantaran
masyarakat yang mencatat atau merekod sejarah cenderung hadir daripada kumpulan
masyarakat yang mengamalkan pertanian dan hidup secara menetap, yang mana
mereka ini lazim menjadi sasaran masyarakat nomad penternak.
Munasabah juga
seandainya tamadun-tamadun petani memandang rendah terhadap penyerang-penyerang
nomad dan menggambarkan mereka dengan naratif yang negatif. Ada benarnya juga
hakikat di mana kadangkala masyarakat nomad penternak ini bersifat gemar
berperang lantaran banyaknya contoh dalam lipatan sejarah yang membuktikannya.
Namun, bukti-bukti arkeologi juga menunjukkan bahawa mereka mempunyai sisi yang
lain.
Mereka sememangnya
lazim terlibat dalam penyerangan, akan tetapi terdapat juga bukti yang
memperlihatkan bahawa mereka terlibat dalam perdagangan dan berkomunikasi
secara signifikan dengan pelbagai kumpulan petani-menetap. Bukti-bukti yang ada
menunjukkan bahawa masyarakat nomad penternak membantu dalam menghasilkan
rangkaian perdagangan yang luas, yang terbentang hampir di seluruh Eurasia di
mana barangan dan maklumat dapat dipindahkan. Banyak kumpulan masyarakat yang
terlibat dalam rangkaian ini berkemungkinan merupakan puak-puak atau federasi
kaum yang bersifat disentralisasi.
Apapun, mereka
sememangnya membantu dalam mencipta perdagangan dalam-benua yang menghubungkan
tamadun-tamadun pertanian sepanjang zaman purba. Boleh dikatakan bahawa gerakan
pertama kea rah pengglobalisasian ekonomi dan budaya diimplementasikan oleh
masyarakat nomad penternak yang bermigrasi dari steppe-steppe Eurasia Tengah.
SUMBER
- Bower, B. 2017. How Asian nomadic herders built new Bronze Age cultures. Society for Science and the Public News.
- Gibbons, A. 2015. Nomadic herders left a strong genetic mark on Europeans and Asians.
- Gibbons, A. 2017. Thousands of horsemen may have swept into Bronze Age Europe, transforming the local population. Science.
- Juras, A, et al. 2018. Mitochondrial genomes reveal an east to west cline of steppe ancestry in Corded Ware populations. Scientific Reports (Nature).
- Noyer, R. Date Unknown. Proto-Indo-European Language and Society.
- Tarlach, G. 2018. Ancient DNA Reveals New Human History of Eurasian Steppes. Discover Magazine.
- Strom, C. 2019. Dyeus Pater – The Original All-Father of the Gods. Ancient Origins.
- Welsh, J. 2012. How European Farmers Spread Agriculture Across Continent. Live Science.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Mengapa Kaum Nomad Yamnaya Dianggap Sebagai Bapa Eropah’
- Get link
- Other Apps