- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (5 April 2014). Mysteries of the Kingdom of Shambala. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mysteries-kingdom-shambhala-001529
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mysteries-kingdom-shambhala-001529
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Shambhala, perkataan
Sanskrit yang membawa maksud ‘tempat aman’ atau ‘tempat sunyi’ merupakan sebuah
syurga mitos yang disebutkan di dalam teks-teks purba, termasuklah Kalachakra
Tantra dan lembaran-lembaran purba budaya Zhang Zhung usianya melangkaui ajaran
Buddhisme Tibet di bahagian barat Tibet. Menurut legenda, Shambhala merupakan
wilayah di mana hanya insan-insan yang berhati suci sahaja boleh hidup di
dalamnya. Di sana, cinta dan hikmah memenuhi segala inci kehidupan dan
penghuninya pula kebal daripada sebarang bentuk penderitaan, nafsu mahupun
penuaan.
Shambhala disebutkan
sebagai wilayah yang memiliki seribu nama. Kadangkala ia dipanggil sebagai
Tanah Larangan, Tanah Air Putih, Tanah Roh-Roh Yang Bersinar, Tanah Api Yang
Hidup, Tanah Para Dewa dan Tanah Keajaiban. Penganut Hindu memanggilnya sebagai
Aryavartha (Tanah Mereka Yang Layak Mendudukinya); masyarakat Cina mengenalinya
sebagai Hsi Tien, bermaksud Syurga Barat bagi Hsi Wang Mu; manakala penganut
kepercayaan lama Russia pula menyebut Shambhala sebagai Belovoyde. Di seluruh
Asia, wilayah ini paling masyhur dengan nama Sanskrit-nya, iaitu Shambhala,
Shamballa atau Shangri-la.
![]() |
Shambhala diperincikan sebagai sebuah wilayah syurga |
Legenda Shambhala
dikatakan berusia ribuan tahun, dan sebutan berkenaan wilayah mitos ini boleh
ditemui di dalam pelbagai teks purba. Lembaran-lembaran Bon ada berbicara
tentang wilayah yang berkait rapat (dengan Shambhala) yang bernama
Olmolungring. Teks-teks Hindu seperti Vishnu Purana menyebutkan Shambhala
sebagai tempat lahir Kalki, kelahiran semula terakhir Vishnu yang akan muncul
di Zaman Emas baru. Mitos Shambhala bagi penganut agama Buddha merupakan
adaptasi daripada mitos Hindu yang lahir lebih awal. Teks yang membincangkan
Shambhala secara mendalam adalah Kalachakra.
Kalachakra merujuk
kepada suatu ajaran dan amalan kompleks dan esoterik dalam Buddhisme-Tibet.
Shakyamuni Buddha disebutkan pernah mengajarkan Kalachakra di atas permintaan
Raja Suchandra dari Shambhala.
Sama seperti banyak
konsep yang ada di dalam Kalachakra, idea tentang Shambhala dikatakan mempunyai
maksud-maksud yang bersifat dalaman, luaran dan alternatif. Maksud luaran
mentafsirkan Shambhala sebagai sebuah wilayah yang wujud di sebuah tempat
fizikal, walaupun ia hanya boleh dimasuki dan dialami oleh individu yang
memiliki karma yang sesuai. Maksud dalaman dan alternatif bagi Shambhala pula
merujuk kepada pemahaman yang lebih halus, berkisar tentang simbolisasi
Shambhala pada tubuh dan minda seseorang serta semasa pengamalan meditasi. Dua
jenis peneranan yang bersifat simbolik ini secara umumnya diwariskan secara
lisan oleh seorang guru kepad murid.
Sebagaimana yang
dinotakan oleh Dalai Lama ke-14 semasa permulaan Kalachakra 1985 di Bodhgaya,
Shambhala bukanlah sebuah negara atau wilayah biasa:
“Walaupun mereka yang
memiliki penggabungan (dalaman) yang istimewa boleh sampai ke sana (Shambhala)
menerusi hubungan karma yang mereka punyai, ia (Shambhala) bukanlah sebuah
tempat fizikal yang boleh kita jumpai. Kita hanya boleh katakan bahawa ia
merupakan sebuah wilayah suci, wilayah suci yang wujud dalam alam manusia.
Melainkan seseorang itu mempunyai merit dan perkaitan karma yang hakiki, dia
sama sekali tidak akan berupaya untuk sampai ke sana.”
![]() |
Gambaran penganut agama Buddha tentang Shambhala dari Biara Sera |
RAMALAN
SHAMBHALA
Konsep kewujudan
Shambhala memainkan peranan penting dalam ajaran-ajaran agama di Tibet, dan ia
mempunyai kaitan khusus dalam mitologi Tibet berkenaan masa depan. Kalachakra
meramalkan keruduman (sahsiah) manusia secara bertahap berikutan penyebaran
idealogi materialistik di muka bumi ini. Apabila ‘kaum gasar’ yang mengikuti
idealogi ini bersatu di bawah kepimpinan seorang raja jahat dan apabila mereka
merasakan sudah tiada apa lagi untuk dikuasai, maka kabus akan diangkat lantas
mendedahkan gunung-ganang Shambhala yang bersalji. Kaum gasar ini kemudiannya
akan menyerang Shambhala dengan sepasukan tentera yang dilengkapi dengan
senjata-senjata yang menggerunkan. Kemudian, raja Shambhala pula akan muncul
bersama sepasukan besar tentera untuk mengalahkan ‘kekuatan hitam’ itu dan
muncul pada Zaman Emas yang meliputi dunia.
Walaupun Kalachakra
meramalkan tentang sebuah peperangan yang bakal meletus di masa depan, hal ini
ternyata berkonflik dengan ajaran-ajaran Buddha sendiri yang melarang sebarang
bentuk keganasan. Hal ini mendorong sebahagian ahli teologi untuk menafsirkan
peperangan tersebut dengan pemahaman yang bersifat simbolik – iaitu Kalachakra
tidaklah menganjurkan keganasan dalam bentuk memerangi individu. Sebaliknya, ia
merujuk kepada pertempuran dalaman yang dialami oleh pengamal agama dalam
rangka memerangi kecenderungan kesyaitanan yang wujud dalam dirinya.
LOKASI
RAHSIA SHAMBHALA
Merentas kurun,
sejumlah pengembara dan penuntut hikmah rohani telah melakukan ekspedisi
pencarian syurga mitos Shambhala ini. Walaupun ramai yang mendakwa berjaya tiba
di sana, tiada seorang pun yang mampu memberikan sebarang bukti tentang
kewujudannya, atau paling tidak, menunjukkan lokasi fizikalnya di peta dunia.
Namun, banyak sebutan perihal Shambhala menudingkan lokasinya di wilayah
pergunungan Eurasia.
Teks-teks purba Zhang
Zhung menyebutkan bahawa Shambhala terletak di Lembah Sutlej di Punjab atau
Himachal Pradesh di India. Masyarakat Monggolia pula meyakini bahawa Shambhala
terletak di lembah-lembah tertentu di Siberia selatan. Dalam kisah rakyat
Altai, Gunung Belukha dipercayai sebagai gerbang ke Shambhala. Ilmuwan-ilmuwan
Buddhisme moden menyimpulkan bahawa Shambhala terletak di puncak Himalaya,
tepatnya di Pergunungan Dhauladhar moden, sekitar Mcleodgani. Sebahagian
legenda menyebutkan bahawa gerbang ke Shambhala tersembunyi di sebuah biara
terpencil dan terbiar di Tibet. Ia kononnya dikawal oleh makhluk-makhluk yang
dikenali sebagai Pengawal Shambhala.
![]() |
Menurut tradisi agama Buddha, Shambhala terletak di Pergunungan Himalaya |
Bagi sebilangan pihak, faktor
yang membuatkan Shambhala tidak dapat ditemui adalah disebabkan oleh suatu
penerangan yang sangat ringkas – iaitu mereka meyakini bahawa Shambhala
terletak di hujung dunia realiti, berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan
antara dunia realiti dan dunia yang melangkauinya.
Walaupun ramai yang
tidak begitu peduli tentang Shambhala lantaran menganggapnya sebagai khayalan
atau dongengan mitos dan legenda, bagi sebahagian masyarakat, kepercayaan
terhadap Shambhala berupaya melahirkan suatu keinginan atau gejolak dalaman
yang mengharapkan agar pada suatu hari nanti, kerajaan ini dapat ditemui.
SUMBER
- Jason Jeffrey. Mystery of Shambhala.
- New World Encyclopedia. Shambhala.
- International Kalachakra Movement. Shambhala – The Magic Kingdom.
- Stranger Dimensions. The Prophecies of Shambhala.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Misteri Kerajaan Yang Hilang - Shambhala’
- Get link
- X
- Other Apps