- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (20 Januari 2014). The fight to save the ancient texts of
Timbuktu. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-general/fight-save-ancient-texts-timbuktu-001243
https://www.ancient-origins.net/news-general/fight-save-ancient-texts-timbuktu-001243
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Terletak di gerbang
menuju gurun Sahara di kawasan Mali moden, dengan berada di dalam lingkungan
zon subur di Sudan, Timbuktu merupakan salah sebuah bandar Afrika yang namanya
sangat berpengaruh dalam sejarah. Ditubuhkan pada kurun ke-5 Masehi, Timbuktu
berkembang menjadi sebuah ibu kota pendidikan dan kerohanian serta mencapai
masa-masa kemuncaknya pada kurun ke-15 dan ke-16 Masehi.
Sekitar 700 tahun yang
lalu, Timbuktu menjadi sebuah hub yang sangat sibuk di mana para pengembara
dari Eropah, Afrika sub-Sahara, Mesir dan Maghribi saling bertemu untuk
memperdagangkan garam, emas, gading dan juga hamba sahaya. Namun, bukan itu
sahaja ‘barangan’ yang menjalani pertukaran tangan di sana. Timbuktu adalah
sebuah tempat di mana idea, falsafah, pemikiran intelek dan kepercayaan agama
saling bertemu dalam sebuah percampuran yang dinamik. Salah satu kaedah utama
di mana idea-idea tersebut saling bertukar adalah menerusi penjualan buku.
Menurut sebuah perincian tentang Timbuktu pada tahun 1526 yang dikarang oleh
diplomat bernama Leo Africanus, disebutkan bahawa, “Lebih banyak keuntungan
dihasilkan menerusi penjualan buku berbanding cabang perdagangan yang lain.”
Teks-teks purba
Timbuktu adalah suatu perkara yang amat mengagumkan – ia dibungkus dengan kulit
unta, kambing, atau anak lembu dengan penggunaan dakwat emas, merah dan hitam.
Halaman-halamannya pula dipenuhi dengan perkataan-perkataan yang ditulis dalam
kaligrafi indah berbahasa Arab dan Afrika, di samping turut mengandungi
rekaan-rekaan geometrik yang menarik.
Pada hari ini, terdapat
ratusan ribu manuskrip purba yang disimpan di sebuah rumah peribadi. Walaupun
dalam banyak keadaan para arkeologis mencemuh pemilikan peribadi ke atas
relik-relik purba, akan tetapi bagi kes ini, dengan cara sedemikianlah
relik-relik berkenaan dapat terpelihara dan terselamat. Merentas tahun, banyak
manuskrip yang musnah ataupun dicuri oleh kuasa-kuasa yang memerintah Timbuktu,
termasuklah Perancis yang mengkolonikan Mali pada tempoh antara tahun 1892 dan
1960, dan juga kumpulan-kumpulan Al-Qaeda yang pada tahun 2013 melancarkan
serangan ke atas Timbuktu sekalius mengakibatkan kemusnahan makam-makam di
sana. Manuskrip-manuskrip purba yang mereka temui turut hangus dibakar.
Walau bagaimanapun,
banyak manuskrip berjaya diselamatkan apabila pemiliknya bertindak
menyeludupnya keluar dari Timbuktu dan meletakkannya di tempat yang selamat.
Usaha ini diselaraskan oleh Abdel Kader Haidara yang melakukan kerja-kerja
menyelamat dengan menggunakan pengangkutan keldai mahupun perahu.
Manuskrip-manuskrip ini sememangnya sangat berbaloi untuk diselamatkan –
subjek-subjek yang dirangkumi dalam koleksi yang usianya menjangkau dari kurun
ke-13 hingga kurun ke-17 adalah al-Qur’an, Sufisme, falsafah, perundangan,
matematik, perubatan, astronomi, sains, syair dan banyak lagi. “Setiap buku
mengandungi jawapan, dan sekiranya anda menganalisanya maka anda akan (dapat)
menemui penyelesaian,” ujar Haidara. “Segala yang wujud pada hari ini telah pun
wujud pada masa-masa sebelum ini.”
Manuskrip-manuskrip ini
bagaikan sebuah jendela yang membawa kita menelusuri minda para pemikir ulung
di zaman lampau. Diperturunkan dari generasi ke generasi dalam keluarga
Timbuktu, manuskrip-manuskrip tersebut menawarkan sejarah kesederhanaan Islam,
di mana para ilmuwan turut memperbahaskan tentang hak-hak wanita dan bagaimana
mereka meraikan penganut Kristian dan Yahudi.
Apa yang dilakukan oleh
Haidara ini merupakan sebuah keajaiban. Secara keseluruhan, beliau
bertanggungjawab menyelamatkan lebih daripada 300 000 buah manuskrip dan
membawanya ke tempat yang selamat di Bamako. Perjalanan yang ditempuh oleh
manuskrip-manuskrip ini melibatkan rasuah, keganasan, konflik dan ancaman
bahaya sebelum dapat tiba di destinasinya, seringkali bersembunyi di dalam
kereta, kereta tolak dan khemah. Tidak luput juga ia pernah disembunyikan di
sebalik timbunan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Walau bagaimanapun,
dengan takdir kejam yang sentiasa berbolak-balik, manuskrip-manuskrip ini
menghadapi ancaman baru yang lain – iaitu pereputan. Berpindah daripada cuaca
yang panas dan kering ke sebuah lokasi yang lebih sejuk bermaksud ia terdedah
kepada keadaan cuaca yang boleh merosakkan fizikal manuskri-manuskrip tersebut.
Sekiranya ancaman fizikal daripada situasi ini terus berlanjutan dan jika kulat
dan kulapuk tersebar berikutan meningkatnya kadar kelembapan, maka kerosakan
yang dialami akan menjadi parah.
Apapun, segalanya belum
berakhir; sebuah inisiatif yang dipanggil sebagai Projek Perpustakaan Timbuktu
Di Tempat Pengasingan (Timbuktu Libraries
in Exile Project) telah melancarkan sebuah usaha untuk menyelamatkan
manuskrip-manuskrip ini dan memastikan agar ianya dapat terpelihara sehingga
masa-masa akan datang. Projek ini bertujuan untuk menyimpan manuskrip-manuskrip
tersebut dalam keadaan kalis-lembab serta lebih tersusun sepanjang keberadaannya
di luar Timbuktu.
Sebuah usaha
pengumpulan dana peringkat antarabangsa juga diadakan bagi menampung dana yang
diperlukan demi menggerakkan usaha pemeliharaan ini, dengan peletakan sasaran
sebanyak $100 000.
Walau apa sekalipun
kedudukan politik, agama mahupun masa silam anda, kita semua boleh seiya sekata
dalam mengatakan bahawa mempelajari daripada sejarah secara kolektif merupakan
suatu perkara yang berbaloi untuk diperjuangkan.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Perjuangan Untuk Menyelamatkan Manuskrip Purba Timbuktu’
- Get link
- X
- Other Apps

