PUING-PUING BANGUNAN YANG DIPERCAYAI SEBAGAI ISTANA RATU HIMIKO

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (8 Februari 2014). Remains of building in Japan may be palace of ancient shaman Queen Himiko. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/remains-building-japan-may-be-palace-ancient-shaman-queen-himiko-001318

Penterjemah: Amir Zayyanid


Ahli-ahli arkeologi di Jepun telah menemukan puing-puing bangunan purba yang mereka percayai sebagai istana Ratu Himiko, yang dicatatkan pernah memerintah Yamatai pada kurun ke-3M. Perbahasan dalam kalangan ilmuwan tentang identiti Himiko dan lokasi kediamannya, Yamatai telah berlangsung lama, semenjak ratusan tahun dahulu dan ia diperincikan sebagai ‘perdebatan terhangat tentang sejarah purba Jepun’.

Ratu Himiko tidak ada disebutkan di dalam mana-mana sumber Jepun. Sebaliknya, ia muncul di dalam sebuah teks sejarah klasik Cina yang ditulis pada lewat kurun ke-3M, iaitu Sanguo Zhi (Catatan-Catatan Tiga Kerajaan). Catatan ini memberikan gambaran terawal dan paling sempurna berkenaan ratu purba tersebut. Sanguo Zhi (disusun pada 290M) dianggap sebagai salah satu sumber sejarah dinasti Cina yang paling dipercayai. Namun, catatan yang datang daripada budaya yang lain ini membuatkan lokasi tepat Yamatai tidak dapat dipastikan. Yamatai dikatakan merangkumi 30 buah negeri yang membentuk kepulauan Jepun, walaupun lokasi sebenarnya belum pernah dibuktikan. Teks berkenaan memerincikan bagaimana Himiko menaiki takhta:

“Negara tersebut sebelum ini diperintah oleh lelaki. Kira-kira 70 atau 80 tahun sesudah itu, berlaku huru-hara dan peperangan. Rentetan itu, masyarakat di sana bersepakat untuk menaikkan seorang wanita menjadi pemerintah mereka. Namanya adalah Himiko. Beliau sering menyibukkan diri dengan magis dan sihir, memukau rakyat jelatanya. Walaupun memiliki usiayang matang, beliau kekal membujang. Beliau mempunyai seorang adik lelaki yang membantunya dalam menguruskan pentadbiran negara. Selepas beliau menjadi pemerintah, tidak ramai individu yang dapat melihatnya. Beliau mempunyai seribu orang wanita yang berkhidmat sebagai dayang, namun hanya terdapat seorang lelaki sahaja yang berkhidmat untuknya. Lelaki tersebut menyediakan makanan dan minuman, dan bertindak sebagai medium komunikasi (antara beliau dan pihak lain). Beliau mendiami sebuah istana yang dikelilingi oleh sejumlah menara dan gudang, dengan pengawal-pengawal bersenjata sentiasa berada dalam keadaan bersiaga.”

Puing-puing bangunan ini ditemui di tapak arkeologi Makimuku, yang terletak berhampiran ibu kota purba, Nara dan usianya menjangkau sehingga kurun ke-3 atau kurun ke-4 Masehi. Penemuan ini menyusuli penemuan yang dilakukan pada bulan lalu yang melibatkan cermin Himiko, iaitu sebuah cermin magis yang kononnya berupaya menyeru imej penyihir-penyihir (pertapa) di gunung atau makhluk-makhluk kayangan bagi tujuan ritual pemujaan.

“Penemuan terkini membolehkan kami mengenal pasti bahawa bangunan-bangunan tersebut berdiri dalam geometri biasa pada paksi pusat di sebuah kawasan yang berbentuk sisi empat, terbentang sejauh 150 meter dari timur ke barat,” ujar Hironobu Ishino, pengarah Muzium Arkeologi Wilayah Hyogo. “Ia merupakan satu pendimensian yang luar biasa bagi binaan kurun ke-3 Masehi. Kini, kami semakin cenderung untuk mengatakan bahawa tapak berkenaan adalah kawasan kediaman dua orang ratu Yamatai, iaitu Himiko dan penggantinya, Toyo yang disebutkan di dalam sebuah hikayat rasmi Cina.”

Siapapun jua Himiko yang sebenarnya, beliau sememangnya telah meraih kedudukan yang cukup utuh dalam legenda Jepun, sama seperti King Arthur di dunia Barat. Beliau juga menjadi simbol feminis berikutan statusnya sebagai Ratu yang berkuasa dalam kalangan masyarakat patriarki.