- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Saurav Ranjan Datta. (17 November 2019). King Sashanka: Unifier of the Bengal
People and Lands. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/sashanka-0012874
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/sashanka-0012874
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Di India, wilayah
Bengal terletak di sebelah timur dan ia agak dikenali dengan kekayaan budaya,
sastera, dan sejarahnya. Wilayah ini juga adalah contoh terbaik yang mewakili
usaha kemerdekaan rakyat India dari cengkaman pemerintahan British memandangkan
ribuan masyarakat Bengali mengorbankan nyawa mereka pada kurun ke-18, 19 dan
awal kurun ke-20 demi mencapai kemerdekaan. Pada suatu masa dahulu, wilayah
Bengal pernah disatukan di bawah pemerintahan seorang raja yang bernama
Sashanka, yang berkuasa di India pada kurun ke-7 Masehi.
SIAPAKAH
SASHANKA?
Sashanka, atau juga
dieja sebagai ‘Shashanka’, merupakan pemerintah pertama di wilayah yang pada
hari ini membentuk Bengal Barat dan wilayah jirannya, Bangladesh. Beliau
memerintah pada separuh pertama kurun ke-7M, di mana pakar-pakar sejarah
meletakkan tempoh pemerintahannya pada tahun 600 (atau sebelum 606) hingga
637M. Daripada suatu sudut, kita boleh katakan bahawa Sashanka ini adalah raja
pertama Bengali, sebuah komuniti yang menuturkan bahasa Bangla/Bengali dan
lebih cenderung memiliki perkaitan dengan entiti geografi berkenaan (berbanding
India secara keseluruhan).
Sashanka bukan hanya
seorang raja – legasinya juga hadir dalam bentuk keupayaannya yang mampu
menyatukan masyarakat dan wilayah pemerintahannya. Sebelum era pemerintahan
Sashanka, wilayah Bengal berdiri sebagai wilayah bawahan atau naungan kepada
banyak empayar berkuasa, antaranya seperti Empayar Maurya dan Empayar Gupta.
Namun, Sashanka muncul untuk memerdekakannya. Beliau juga hadir dengan membawa
polisi penaklukan yang agak agresif sehingga berjaya menakluk banyak kerajaan
yang melangkaui sempadan Bengal moden.
Nama Sashanka dalam
bahasa India memiliki perkaitan dengan bulan. Sehingga kini, beliau dianggap
sebagai salah seorang figura sejarah yang kabur latar belakangnya berikutan
fakta-fakta seputar beliau kebanyakanya datang daripada catatan-catatan
bersifat bias oleh Banabhatta (penulis Harshacharita) – seorang penyair istana
bagi Raja Harshavardhana (memerintah sehingga 647M). Raja ini adalah musuh
kepada Sashanka. Perincian-perincian lain tentang diri Sashanka datang daripada
seorang sami Buddha-Cina yang bernama Xuanzang (hidup sekitar 602-664M), di
mana penaungnya semasa berada di India juga adalah Raja Harshavardhana.
![]() |
| Syiling era Sashanka yang menggambarkan Siva duduk menghadap kerbau yang duduk (kiri). Laksmi duduk menghadap bunga teratai; disirami oleh gajah-gajah kecil di sisinya |
Sashanka sememangnya
ada meninggalkan beberapa buah inskripsi tersendiri. Terdapat juga beberapa
teks yang menyebutkan namanya, yang dikarang oleh pihak-pihak lain. Pada hakikatnya,
sebuah inskripsi di Kubu Rohtasgarh di Bihar mode nada menyebut tentang seorang
Mahasamanta (pegawai berpangkat tinggi, mungkin gabenor) yang bernama Sashanka
– di mana inskripsi ini memberikan petanda bahawa Raja Sashanka berkemungkinan
adalah ahli Empayar Gupta sebelum beliau memanjat tangga kuasa dan menabalkan
dirinya sebagai raja.
Untuk membuat
pentarikhan, ilmuwan tidak memiliki pengetahuan tentang zaman kanak-kanaknya
atau bahkan latar belakang keluarganya. Peristiwa-peristiwa di mana beliau
meraih kuasa juga tidak dapat dipastikan, atau diketahui. Walau bagaimanapun,
beberapa catatan dari penganut Buddhisme ada menyediakan serba-sedikit maklumat
tentang zaman pemerintahan beliau.
![]() |
| Kubu Rohtasgarh |
PERGELUTAN
PARA PEMERINTAH DALAM BEREBUTKAN KUASA
Sashanka berkemungkinan
pernah berkhidmat untuk Maharaja Gupta yang bernama Mahasenagupta. Berikutan
empayar gemilang itu semakin melemah, beliau mengambil kesempatan untuk
menubuhkan Kerajaan Gour (atau Gauda dalam beberapa catatan). Empayar Gupta
yang mengalami kemerosotan menyaksikan banyak kuasa serantau muncul. Setelah
Sashanka naik takhta sebagai seorang raja di bahagian timur India, pergelutan
kuasa berlaku secara berterusan dalam episod-episod hidupnya.
Misalnya, Sashanka dan
pemerintah Malwa yang bernama Devagupta (mungkin putera atau kerabat
Mahasenagupta) yang berada di satu pihak menentang Raja Mauhkharis yang bernama
Grahavarman dan Raja Pushyabhuti yang bernama Rajyavardhana. Setelah itu,
beliau menentang pula adik Rajyavardhana iaitu Harshavardhana yang bergabung
kuasa dengan Bhaskaravarmana si pemerintah Kamrupa.
Sebelum melanjutkan
penulisan tentang pergelutan tersebut, mari kita telusuri terlebih dahulu
sempadan geografik bagi kerajaan-kerajaan yang terlibat. Kerajaan yang
diperintah oleh Sashanka berpusat di Karnasuvarna sebagai ibu kotanya, sebah
tempat yang secara kasarnya terletak di daerah Murshidabad, Bengal Barat moden.
Pada masa-masa kemuncaknya, kerajaan beliau meliputi bahagian barat dan utara
Bengal (kini meliputi Bengal Barat dan separuh utara Bangladesh). Beliau juga
sempat menguasai sebahagian daripada wilayah Magadha (kini Bihar) setelah
melemahkan Empayar Gupta. Sashanka juga berupaya menaungi sebahagian daripada
wilayah Odisha moden. Pada suatu tahap, sempadannya pernah melangkaui sehingga
ke Varanasi.
![]() |
| Runtuhan ibu kota Karnasubarna, pemerintahan Raja Sashanka |
Di pihak lain,
Harshavardhana dikenali sebagai pemerintah paling berkuasa di bahagian utara
India, dengan ibu kotanya terletak di Thaneswar (kini Haryana). Maukharis pula
memusatkan kuasanya di Kannauj (Kanyakubja) di Uttar Pradesh. Sementara itu,
Malwa membentuk Madhya Pradesh moden, manakala Kamarupa pula membentuk bahagian
timur laut negara Assam moden. Menerusi perincian ringkas sebegini, dapatlah
kita lihat wilayah geografik manakah yang memiliki kepentingan strategik
tertinggi semasa hayat dan pemerintahan Sashanka.
Lewat kurun ke-6 dan
awal kurun ke-7 Masehi menyaksikan berlakunya pergelutan demi merebut keulungan
kuasa dalam kalangan kerajaan-kerajaan ini. Sashanka bertindak licik apabila
beliau segera membentuk pakatan dengan Devagupta dalam rangka menyeimbangkan
gandingan kuasa yang terbentuk antara Maukharis dan Bhaskaravarmana. Berikutan
meningkatnya tekanan daripada Maukharis yang menjalinkan usahasama dengan
Pushyabhutis, Sashanka meminta agar Devagupta dari Malwa mara memeragi
Maukharia. Bersama-sama pasukan tentera mereka menggempur Kanyakubja dan
membunuh raja Maukhari yang bernama Grahavarmana.
![]() |
| Syiling Harshavardhana, sekitar 606-647M |
Grahavarmana sempat
berkahwin dengan saudara perempuan raja Rajyavardhana si raja Pushyabhuti,
iaitu Rajyashri. Tatkala beliau mendengar khabar bahawa Rajyshari dipenjarakan
oleh Devagupta, langsung sahaja Rajyavardhana memberangkatkan pasukan
tenteranya untuk memerangi Devagupta – meninggalkan takhtanya di tangan
adiknya, Harshavardhana. Devagupta yang dipengaruhi keterujaan bertindak mara
menghadapi pemerintah Thaneswar itu tanpa terlebih dahulu menunggi bantuan
Sashanka. Rentetan itu, beliau ditewaskan oleh musuhnya semasa dalam
perjalanandan berkemungkinan terbunuh dalam pertempuran yang berlangsung.
Sashanka cuba untuk
memberikan bantuan kepada Devagupta, namun keadaan sudah pun terlambat ketika
beliau tiba. Entah bagaimana, beliau berhasil membunuh Rajyavardhana yang mana
perincian tentang hal ini agak kabur. Apabila mendengarkan berita tersebut,
adik Rajyavardhana iaitu Harshavardhana yang kini telah pun menjadi raja
Thaneswar bersumpah untuk menuntut bela terhadap Sashanka. Untuk itu, beliau
pun mara menuju wilayah Kerajaan Gour dengan membawa bersama bala tenteranya
yang besar.
Harshavardhana juga
membentuk sebuah pakatan dengan raja Kamarupa iaitu Bhaskaravarmana yang
merupakan seteru alami jirannya, Sashanka. Namun, apa yang berlaku dalam
pertempuran yang meletus tidak direkodkan dalam mana-mana sumber, baik dalam
biografi Harsha karangan Bana sekalipun. Walau bagaimanapun, ilmuwan
berpendapat pertempuran tersebut berlangsung seimbang dan walaupun Sashanka
dipukul mundur sehingga tidak memungkinkannya untuk menguasai kerajaan Kannauj
dan Maukhari, beliau tetap berupaya mengekalkan penguasaannya ke atas
kebanyakan wilayah asalnya di Timur.
BEBERAPA
MAKLUMAT TENTANG PERIBADI SASHANKA
Tidak banyak maklumat
tentang kemangkatan Sashanka. Berkemungkinan beliau menghembuskan nafas
terakhirnya akibat suatu penyakit pada tahun 637M, atau mungkin sebelum itu.
Kerajaannya tidak lama kemudian dikuasai oleh Bhaskaravarmana dan Harsha.
Kehuru-haraan total lantas muncul secara bertahap tetapi pasti dalam kalangan
para pembesar tempatan di rantau itu, sebelum nantinya muncul dinasti Palas di
mana Gopala meduduki tampuk kuasa sebagai pemerintah Bengal pada pertengahan
kurun ke-7M.
Walaupun tidak banyak
yang diketahui tentang hayat Sashanka, ilmuwan sedia maklum bahawa kedudukannya
sempat diwarisi oleh puteranya, Manava di mana pemerintahannya berlangsung
singkat. Sashanka juga diketahui mengamalkan agama Shaivisme – iaitu sebuah
aliran Hinduisme yang mempercayai Dewa Shiva sebagai dewata terulung. Jika kita
memilih untuk menerima catatan-catatan daripada sami Cina yang bernama
Xuanzang, maka Sashanka boleh disifatkan sebagai seorang yang anti-Buddhisme
dan sangat menggalakkan Shaivisme dalam kerajaannya.
![]() |
| Patung Shiva |
Identiti Sashanka
sebagai seorang pahlawan gagah dan panglima berkebolehan cukup diketahui pada
masa kini. Pun begitu, beliau juga merupakan seorang pentadbir yang cekap
memandangkan tiada sebarang catatan tentang pemberontakan mahupun ketidakpuasan
hati pada zaman pemerintahannya. Beliau juga mengekalkan banyak sistem
pemerintahan Empayar Gupta, sebuah era dalam sejarah India yang dianggap
sebagai zaman keemasan.
Pasukan tenteranya
berkemungkinan terdiri daripada unit infantri, kavalri, dan unit bergajah
berserta unit angkatan laut sebagai tambahan. Sashanka boleh disimpulkan
sebagai seorang pemerintah yang gemilang, di mana keulungan dan pencapaiannya
entah bagaimana tidak didokumentasikan dengan sebaiknya. Sifat beliau sebagai
seorang yang tidak gentar terhadap apapun jua dapat dilihat menerusi penentangannya
terhadap Harshavardhana dan Bhaskaravarmana tanpa sedikit pun berasa goyah, di
mana ia merupakan suatu perkara yang tidak mudah untuk dilakukan pada masa itu.
Kekuasaannya yang cukup
besar juga dapat dibuktikan menerusi catatan-catatan Banbhatta dan Xuanzang
yang walaupun bersifat terlampau bias, mereka secara alami agak terganggu
dengan tindakan-tindakan Shashanka memandangkan mereka berdua berada di kem
yang berlawanan. Dalam suatu sudut, Sashanka pada hari ini boleh dianggap
sebagai pemerintah yang menubuhkan sebuah entiti bernama Bengal.
SUMBER
- Majumdar, R.C. 2011. History of Bengal: Volume I. BR Publishing Corporation.
- Sengupta, N. 2002. History of the Bengali Speaking People. Ubs Pub Distributors Ltd.
- Get link
- X
- Other Apps





