SEJARAH PENGUASAAN EMPAYAR SONGHAI DI AFRIKA BARAT

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (26 April 2016). How Did the Songhai Empire Dominate West Africa? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/songhai-empire-0011792

Penterjemah: Amir Zayyanid


Empayar Songhai mendominasi Afrika Barat pada kurun ke-15 dan ke-16 Masehi. Empayar ini adalah kuasa yang menggantikan Empayar Mali, empayar yang bertapak di rantau tersebut sejak ratusan tahun lamanya. Pemerintahan Mali yang mengalami kemerosotan membuka peluang kepada Songhai untuk memberontak dan membentuk empayar mereka sendiri lalu menjadi kuasa terbesar di Afrika Barat. Namun, masalah dalaman dan serangan-serangan daripada pihak luar kemudiannya turut membawa Empayar Songhai menuju kejatuhannya.

Empayar Songhai berpusat di sekitar bandar Gao, yang telah pun tertubuh sejak kurun ke-9 lagi. Walau bagaimanapun, bandar tersebut hanya dijadikan sebagai ibu kota Songhai pada tahun 1010 Masehi. Peningkatan kuasa di samping lokasinya yang strategik (terletak di Sungai Niger) kemudiannya menjadi faktor yang menyumbang kepada berubahnya kota ini menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting. Pada tahun 1010 Masehi itu jugalah Songhai menjadikan agama Islam sebagai agama rasminya, berkat dakwah Dia Kossoi, raja Songhai pertama yang direkodkan oleh sejarah.

Laluan-laluan perdagangan di Sahara Barat 1000-1500. Lubuk-lubuk emas ditandakan dengan warna perang muda


PERLUASAN WILAYAH EMPAYAR SONGHAI

Dalam kurun-kurun berikutnya, Songhai memperteguhkan lagi kuasanya. Namun, kemewahan yang dimiliki oleh bandar Gao ini tidak dikecapi tanpa menarik perhatian dunia luar. Lantas, sebuah siri kempen ketenteraan dilancarkan oleh Mansa Musa dari Empayar Mali yang bangkit memerangi Songhai. Kekuatan Mali muncul juara dan menjadi penguasa Songhai pada tahun 1325. Namun pada tahun 1375, Empayar Mali mula melemah dan Songhai mengambil peluang untuk meraih kemerdekaan.

Lantaran Empayar Mali terus mengalami kemerosotan, maka Songhai berupaya mengekalkan kemerdekaan mereka dan bahkan berpeluang untuk memperluaskan lagi kuasanya. Apapun, pada masa itu ia masih lagi cuma sekadar sebuah kerajaan kecil dan hanya sekitar sekurun setelah kemerdekaannya, barulah Empayar Songhai mula membentuk. Pemerintah yang bertanggungjawab menubuhkan Empayar Songhai adalah Sunni Ali, yang mewarisi takhta pada sekitar tahun 1464 Masehi.

Timbuktu adalah sebuah kota perdagangan penting buat Empayar Songhai


KEKUATAN TENTERA EMPAYAR SONGHAI

Sunni Ali, yang juga dikenali sebagai Ali Ber, merupakan seorang pemimpin yang memiliki kekuatan tentera yang cukup ampuh sehingga banyak memberikan sumbangan terhadap empayar pemerintahannya. Dengan menewaskan musuh-musuh yang membuat serangan ke atas wilayah empayarnya, seperti Tuarges di utara dan Mossi di selatan, Sunni Ali berupaya menjamin sempadan Empayar Songhai. Tambahan lagi, Sunni Ali turut menakluk beberapa buah kota perdagangan penting yang lain, seperti Timbuktu dan Djenne. Penaklukan ini membawa lebih banyak kekayaan mengalir masuk ke dalam empayarnya.


PENAMAT DINASTI SUNNI

Sunni Ali mangkat pada tahun 1492 dan takhtanya diambil-alih oleh puteranya, Sunni Baru. Setahun kemudian, dinasti Sunni menemui penamat apabila Sunni Baru digulingkan oleh seorang pemberontak yang bernama Abu Bakr Ture, atau juga dikenali sebagai Askia Agung. Pada masa itu, masyarakat Songhai terbahagi kepada dua; golongan penternak-nomad yang mengamalkan paganisme dan golongan penduduk tetap yang menganut agama Islam. 

Walaupun Sunni Ali berjaya menyenangkan hati kedua-dua belah pihak ini, hal yang sama tidak dapat dilakukan di zaman pemerintahan puteranya. Sunni Baru memihak kepada para penternak-nomad yang beragama pagan. Hal ini justeru mendorong kepada pertuduhan rakyat yang menganggap beliau merupakan seorang Muslim yang buruk. Lantas, sebuah pemberontakan yang diketuai oleh Askia Agung pun tercetus.

Pemberontakan tersebut berjaya menggulingkan Sunni Baru dan dinasti Askia pun ditubuhkan. Seperti Sunni Ali, Askia Agung sentiasa berusaha untuk memperluaskan wilayah Empayar Songhai menerusi jalan ketenteraan. Tambahan lagi, beliau turut menjalankan reformasi dalam pentadbiran empayarnya. Sebagai contoh, sebuah kompleks bureukrasi bagi pentadbiran kerajaan ditubuhkan, dan sebuah sistem politik berdasarkan pada penafsiran syariat Islam diperkenalkan – sebuah gerakan yang disasarkan untuk menyenangkan hati para penyokongnya yang daripada lingkungan orang Islam.

Sunni Ali, Askia Agung meluaskan Empayar Songhai menerusi jalan ketenteraan dan perlaksanaan reformasi


EMPAYAR SONGHAI MELEMAH

Pemerintaha Askia Agung berakhir pada tahun 1528 apabila beliau diturunkan oleh putera merangkap penggantinya, Askia Musa. Empayar Songhai terus mengecapi kemewahan di bawah pemerintahan dinasti Askia walaupun pergaduhan dalam kalangan kerabat diraja kerapkali melemahkan empayar. Selain daripada permasalahan dalaman ini, Empayar Songhai juga terpaksa menghadapi ancaman-ancaman daripada pihak luar memandangkan kekayaan empayar tersebut dicemburui oleh wilayah-wilayah jirannya.

Pada tahun 1582, Askia Dawud mangkat setelah memerintah selama 33 tahun dan isu penabalan pemerintah baru sekali lagi menjadi satu permasalahan. Perbalahan dalam kalangan kerabat diraja melemahkan Empayar Songhai dan Ahmad I al-Mansur, iaitu sultan Maghribi, mengambil kesempatan tersebut untuk melancarkan serangan.
Tahun 1591 menandakan penamat bagi Empayar Songhai. Pada tahun tersebut, pasukan tentera Maghribi menyerang Empayar Songhai, menewaskan pasukan tenteranya dalam Pertempuran Tondibi, dan menjarah bandar-bandar besar seperti Goa, Timbuktu dan Djenne lalu secara efektif meluputkan kekuatan Empayar Songhai.

Afrika Barat setelah serangan Maghribi ke atas Empayar Songhai


Walau bagaimanapun, pasukan tentera Maghribi ini menyedari bahawa mereka tidak berupaya untuk mengekalkan penguasaan ke atas wilayah-wilayah yang ditaklukinya itu lantaran jarak yang jauh antara bandar-bandar tersebut dengan ibu kota mereka. Oleh kerana itu, mereka pun memutuskan untuk meninggalkan sahaja wilayah tersebut. Pukulan penamat terhadap Empayar Songhai diberikan oleh kerajaan-kerajaan kecil dan wilayah-wilayah peruftian yang pernah dikuasai oleh empayar tersebut. Wilayah-wilayah ini bangkit menentang Empayar Songhai lalu mengakibatkannya terpecah dan seterusnya, runtuh secara total.


SUMBER