- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ivan Petricevic. (7
Disember 2014). The Mighty Wall of Hadrian, Emperor of Rome. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/mighty-wall-hadrian-emperor-rome-002418
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/mighty-wall-hadrian-emperor-rome-002418
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dibina oleh Hadrian si Maharaja
Empayar Rom, Tembok Hadrian terbentang megah di sepanjang England, sedikit ke
selatan dari sempadan modennya dengan Scotland. Panjang monumen mengagumkan ini
meliputi lebih 70 batu (120 km), bermula dari Wallsend di pantai timur Engalnd
di North Tyneside sehingga ke paya-paya air masin Solway Estuary di Cumbria,
pantai barat. Tembok ini dibina dalam dua fasa yang berbeza di bawah perintah
Maharaja Hadrian, salah seorang dari ‘Lima Maharaja Rom yang baik’. Hadrian
dianggap sebagai seorang Maharaja Rom yang terkemuka, memerintah dari tahun 117
sehingga 138M.
![]() |
Lokasi Tembok Hadrian |
Menurut catatan
sejarah, Hadrian merupakan seorang pemerintah yang sangat pemurah, menghulurkan
banyak wang untuk kegunaan masyarakat mahupun individu. Beliau juga dicatatkan
sebagai salah seorang maharaja yang pernah berhasrat untuk menjalani hidup
seperti rakyat kebanyakan. Selain itu, Hadrian turut masyhur dengan
pengembaraannya di seluruh empayar yang diperintah olehnya. Beliau jugalah yang
bertanggungjawab meletakkan batu asas bagi penubuhan Empayar Byzantine.
Tanpa dapat dinafikan
lagi, projek-projek pembinaan yang diperintahkan oleh Maharaja Hadrian adalah
legasinya yang paling berkekalan. Beliau menubuhkan sejumlah kota di seluruh
Semenanjung Balkan, Greece, Mesir dan bahkan di Asia. Gerbang Hadrian dibina
oleh penduduk Athens pada tahun 132M sebagai tanda penghormatan mereka terhadap
beliau. Hadrian juga bertanggungjawab mengarahkan pembinaan semula Pantheon, di
samping membina Kuil Venus dan Roma. Namun, monumennya yang paling penting
sudah tentulah tembok yang dibina di utara England.
![]() |
Runtuhan Tembok Hadrian |
Pada masa dahulu,
tembok tersebut dikenali sebagai Vallum Hadriani. Pembinaan tembok tersebut
diyakini bermula sekitar tahun 122M, bertepatan dengan tahun kunjungan Maharaja
Rom itu ke wilayah tersebut. Pada asalnya, tembok ini memiliki kelebaran
mencecah 3m (10 kaki) dan ketinggian 6m (20 kaki) di bahagian timur Sungai
Irthing, manakala 6m (10 kaki) lebar dan 3.5m (11.5 kaki) tinggi di bahagian
barat sungai. Tidak hanya di permukaan rata, tembok ini juga terbentang luas di
permukaan yang kurang rata. Diyakini bahawa tembok ini pada asalnya dilitupi
dengan plaster (lepa) dan dicat putih sekaligus memberikan tembok itu permukaan
yang bersinar, yang akan memantulkan cahaya matahari lalu membolehkannya dapat
dilihat walau dari jarak berbatu-batu jauh.
![]() |
Tembok Hadrian (Northumberland) terbentang sejauh berbatu-batu di atas permukaan kasar |
Projek pembinaan tembok
ini mengambil masa enam tahun untuk disiapkan dan pada mulanya, sejarahwan
memperkirakan bahawa ia dibina oleh golongan hamba. Namun di masa-masa
terkemudian, ternyata perkiraan tersebut silap. Tembok Hadrian dibina oleh legion-legion Rom yang berada di
Britain, berpangkalan di lebih sedozen perkubuan yang terdapat di sepanjang
tembok berkenaan. Tembok Hadrian menjalani sejumlah pembaikpulihan dan ia terus
berdiri kukuh di sempadan barat Empayar Rom sehinggalah ke zaman ketumbangan
empayar itu pada kurun ke-5M. Pasukan tentera Rom sememangnya terkenal kerana
dalam kalangan mereka terdapat anggota yang memiliki kemahiran seni bina,
pertukangan batu, juruukur dan tukang kayu.
Ekskavasi pertama yang
dijalankan ke atas Tembok Hadrian dipercayai dilakukan oleh William Camden pada
1600an. Namun, lukisan sebenar tentang tembok ini pertama kali dihasilkan pada
kurun ke-18 dengan penyelidikan-penyelidikan arkeologi rasmi dimulakan pada
kurun ke-19 dan ia terus berlanjutan sehingga ke hari ini.
![]() |
Ahli-ahli arkeologi menjalankan kerja ekskavasi di Vindolanda Rom (2011) berhampiran Tembok Hadrian |
Berkenaan faktor
pembinaan Tembok Hadrian, hal tersebut menjadi subjek perbincangan dan
perdebatan dalam kalangan sejarahwan dan ahli arkeologi. Penulis biografi
Hadrian mencatatkan bahawa, “(Hadrian) merupakan maharaja pertama yang membina
sebuah tembok sepanjang 80 batu untuk memisahkan bangsa Rom dan bangsa gasar.”
Namun begitu, tiada rekod yang menyediakan penjelasan tepat mengenai pembinaan
tembok ini. Pandangan umum mempercayai bahawa Tembok Hadrian dibangunkan untuk
mengawal imigrasi dan penyeludupan ke dalam England.
Dengan kewujudan tembok
berkenaan, legion-legion yang
bertugas dapat mengesan individu-individu yang keluar masuk dari wilayah
penguasaan Rom sekaligus membolehkan mereka untuk mengenakan cukai ke atas
mereka dan juga menjalankan pemeriksaan bagi membanteras penyeludupan.
Teori-teori lain pula berpandangan bahawa tembok ini dibina untuk mencerminkan
kekuasaan dan kegagahan yang dimiliki oleh Empayar Rom, mengawal pemberontakan,
dan/atau mencerminkan polisi pertahanan yang diamalkan oleh Hadrian.
Tembok Hadrian
diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1987, dan pada tahun 2005,
ia disenaraikan sebagai “Sempadan Empayar Rom” transnasional.
SUMBER
- Hadrian’s Wall: A History and Guide. Stroud” Tempus. 1998.
- Hadrian’s Wall – English Lakes.
- Hadrian – Ancient History Encyclopedia.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Tembok Besar Hadrian Oleh Empayar Rom’
- Get link
- X
- Other Apps