- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (6 Mac 2016). Tiye: One of the Most Influential Women of
Ancient Egypt. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tiye-one-most-influential-women-ancient-egypt-005481
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tiye-one-most-influential-women-ancient-egypt-005481
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tiye merupakan Isteri
Diraja Agung bagi Amenhotep III, firaun Mesir yang sering dibandingkan dengan
Louis XIV. Puteranya, Akhenaten merupakan salah satu pencetus kontroversi
terbesar dalam sejarah firaun di Mesir. Tiye juga merupakan nenek kepada Tutankhamun,
dan saudara perempuan kepada Ay. Beliau adalah salah seorang wanita yang paling
berpengaruh dalam Mesir Purba. Apapun, namanya hilang dalam lipatan sejarah
berkurun-kurun lamanya.
Tiye, yang juga
dikenali sebagai Taia, Tiy dan Tiyi, dipercayai hidup pada suatu tempoh antara
tahun 1398 – 1338SM. Kisah hidupnya diselubungi misteri, sama seperti
figura-figura sejarah lain yang hadir dari zaman ini. Dunia kehidupannya
tumbang bersama ibu kota yang diperintah oleh puteranya, Akhenaten, iaitu Amarna.
Menurut
inskripsi-inskripsi purba, Tiye adalah puteri kepada Yuya dan Tuya. Beliau juga
merupakan saudara perempuan kepada firaun Ay. Sebahagian ahli kaji Mesir purba
berpendapat bahawa tiada kaitan yang wujud di antara Ay dan Tiye.
Namun,
kedudukan saudaranya itu (yang juga dikenali sebagai Anen) dilihat menjadi
bukti – Ay adalah Paderi Kedua Amun dan banyak mewarisi gelaran daripada Yuya.
Selain daripada faktor-faktor ini, tiada sebab lain yang dapat menerangkan
bagaimana Ay boleh meraih kedudukannya di dalam istana diraja. Dalam erti kata
lain, beliau mempunyai kaitan (pertalian darah) dengan Yuya, Tuya dan Tiye.
![]() |
Barangan kemas Mesir purba |
MUMIA
BERAMBUT CANTIK
Semasa Victor Loretin
menemukan sebuah kamar yang menempatkan mumia-mumia pada tahun 1898, beliau
menemui seorang mumia wanita yang memiliki rambut yang mengurai panjang lagi
cantik – suatu ciri yang amat jarang dilihat pada seorang mumia. Pada tahun
2010, ujian-ujian DNA yang dijalankan oleh pasukan dari Supreme Council of Antiquities, National
Geographic dan Siemens mendapati
bahawa ‘Wanita Tua’ cantik yang ditemukan di KV35 ini adalah Ratu Tiye.
Penyelidikan juga mendapati bahawa mumia wanita itu adalah nenek kepada
Tutankhamun, ibunda kepada Akhenaten dan seorang mumia wanita lain yang ditemui
di KV35, yang digelari ‘Cik Puan Muda’.
![]() |
Mumia Ratu Tiye, kini disimpan rapi di Muzium Mesir |
Mumia Ratu Tiye ini
ditemui dalam keadaan tidak berbalut atau berbungkus. Jasadnya mengalami
kerosakan teruk akibat petualangan pencuri-pencuri purba yang menceroboh
makamnya. Seluruh abdomen bahagian depan, termasuklah rongga dadanya mengalami
kerosakan. Mumia beliau ditemui dan diperincikan oleh G.E. Smith sebagai wanita
berusia pertengahan yang ditemui dalam keadaan tangannya mengulur atau menegak
di sisinya, dengan tapak tangan kanan diletakkan di peha kanan. Namun, tangan
kirinya pula disilangkan ke atas dada sekaligus mengisyaratkan bahawa beliau
berkemungkinan memegang sesuatu semasa dikebumikan.
Perincian ini adalah
petanda awal yang mengisyaratkan bahawa beliau adalah seorang ratu. Gigi dan
rambutnya berada dalam keadaan yang sangat terpelihara. Pun begitu, mumia ini
dikebumikan semula di KV35 tanpa membawa bersama sebarang barangan pengebumian.
Bahkan, pihak yang menguburkannya semula langsung tidak membalut atau
membungkus semula jasadnya.
Ratu Tiye
berkemungkinan pada asalnya dikebumikan di Amarna, makam diraja Akhenate.
Akhenaten dan Maetaten (cucunya) dikebumikan di sisinya. Kuil pengebumian
bersepuh emas tempat di mana Tiye ditemui berada bersama Akhenaten ditemui di
makam KV55 9 (pemakaman terakhir Akhenaten). Namun, shabtis beliau ditemui di makam WV22 – makam milik Amenhotep III.
PENASIHAT
DAN ORANG KEPERCAYAAN YANG BIJAK
Tiye diyakini sebagai
seorang penasihat yang berkhidmat untuk Amenhotep III dan Akhenaten.
Kedudukannya di istana kedua-dua firaun ini agak tinggi. Beliau berkahwin
dengan Amenhotep pada tahun kedua pemerintahannya. Ketika itu, mereka berdua
masih kanak-kanak namun meluangkan seluruh kehidupan secara bersama. Tiye muncul
dalam sejarah sebagai seorang penasihat yang bijak dan wanita yang paling
penting dalam istana Amenhotep. Beliau turut menjadi individu yang penting
semasa zaman pemerintahan puteranya.
![]() |
Patung besar Amenhotep III |
Amenhotep dan Tiye
mempunyai beberapa orang anak. Namun tidak dapat diketahui bagaimana kebanyakan
anak mereka melepasi usia kanak-kanak. Tiye juga berkemungkinan merupakan
ibunda kepada puteri tertua firaun, iaitu Sitamun. Tiye diangkat kedudukannya
sebagai Isteri Diraja Agung semasa zaman pemerintahan Amenhotep. Antara
puterinya yang lain termasuklah Isis, Henuttaneb, dan Nebetah (yang mungkin
adalah individu yang sama dengan puteri Baketaten). Beliau setidak-tidaknya
mempunyai dua orang putera, zuriat bersama Amenhotep. Putera pertama adalah
Thutmose si Paderi Tinggi Ptah manakala putera kedua pula dilahirkan sebagai
Amenhotep IV, namun dikenali dalam sejarah sebagai seorang raja yang
mencetuskan revolusi, iaitu Akhenaten.
![]() |
Isteri Diraja Agung Tiye, ibu pemimpin Dinsati Amarna – kini disimpan di Muzium Neues |
Amenhotep merupakan
seorang firaun yang lasak, banyak meluangkan masanya di luar dan amat bertuah
kerana dikurniakan seorang isteri yang sanggup mengikutnya. Istana mereka
dilimpahi kekayaan, dan semasa hayat Tiye, Mesir kelihatan seolah-olah sebuah
tapak pembinaan yang besar. Diyakini bahawa hubungan yang terjalin antara
pasangan ini tidak hanya sekadar berpasak pada perkongsian zuriat. Tiye
merupakan seorang wanita yang berpendidikan, selayak seorang raja. Beliau
merupakan penasihat dan orang kepercayaan suaminya. Beliau tersenarai dalam
lingkungan kecil kepercayaan Amenhotep III.
Sumber-sumber yang ada menunjukkan
bahawa beliau adalah seorang yang bijaksana, yakin diri dan amat berpengarh.
Tiye memainkan peranan yang aktif dalam politik Mesir, hubungan antarabangsa
dll. Beliau adalah ratu pertama Mesir yang dikenali, yang namanya muncul dalam
tindakan-tindakan rasmi kerajaan. Sejarahwan mendapati bahawa pemerintah
kerajaan Mitanni yang bernama Tushratta pernah berutus surat dengan Tiye.
Tiye dipuja sebagai
dewi Hathor-Tefnut di kuil yang terletak di Sedeinga, Nubia. Terdapat sejumlah
makam suci yang dibangunkan sebagai dedikasi untuknya. Terdapat juga tasik
buatan yang dibina pada tahun ke-12 pemerintahan Amenhotep khusus untuknya
PENAMAT
HIKAYAT
Tatkala Amenhotep
mangkat selepas memerintah selama 39 tahun, Tiye menguruskan pengebumiannya di
Lembah Raja-Raja, tepatnya di sebuah makam yang kini dikenali sebagai WV22.
Tiye sendiri kemudiannya mangkat, diperkirakan pada tahun ke-12 pemerintahan
Akhenaten (sekitar 1338SM). Dipercayai bahawa punca kemangkatannya itu adalah
disebabkan oleh wabak penyakit. Pada waktu-waktu yang sekitar sama itu jugalah
ramai figura sejarah yang sezaman dengan Tiye hilang dari lembaran sejarah.
![]() |
Ratu Tiye, yang suaminya, Amenhotep III mungkin digambarkan berada di sebelahnya pada patung yang telah hancur ini |
Beliau mangkat pada
usia sekitar 50 tahun. Tidak lama selepas kemangkatannya, Akhenaten kehilangan
autoriti pemerintahannya dan bandarnya mula hilang pengaruh. Zaman tersebut
masih memegang banyak rahsia untuk diungkapkan oleh sejarah, namun sejarahwan
meyakini bahawa Tiye adalah individu penting dalam istana Mesir purba.
Berikutan kemangkatannya, sebuah zaman pun menemui penamatnya. Kemangkatan Tiye
boleh dianggap sebagai petanda berakhirnya kegemilangan Dinasti Ke-18.
SUMBER
- Tyldesley, J. Chronicle of the Queens of Egypt. 2006.
- Dodson, A. Hilton, D. The Complete Royal Families of Ancient Egypt. 2004.
- Fletcher, J. Chronicle of a Pharaoh – The Intimate Life of Amenhotep III. 2000.
- http://www.guardians.net/hawass/Press%20Releases/new_ct-scans_of_egyptian_mummies_07-10-2007.htm
- http://anubis4_2000.tripod.com/mummypages1/18B.htm
- https://oi.uchicago.edu/sites/oi.uchicago.edu/files/uploads/shared/docs/nn30.pdf
- http://euler.slu.edu/~bart/egyptianhtml/kings%20and%20Queens/Tiye.html
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Tiye: Kisah Isteri Firaun Paling Berkuasa Dalam Sejarah’
- Get link
- X
- Other Apps