ARUJ BARBAROSSA – LANUN BARBAR YANG MASYHUR

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (9 Ogos 2016). Aruj Barbarossa: Most Notorious Pirate of the Barbary Corsairs. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/aruj-barbarossa-most-notorious-pirate-barbary-corsairs-006416

Penterjemah: Amir Zayyanid


Aruj Barbarossa, juga dikenali dalam bahasa Turki sebagai Oruc Reis adalah salah seorang lanun yang paling masyhur dalam sejarah. Beliau hidup pada tempoh antara kurun ke-15 dan ke-16 Masehi dan dikenali sebagai salah seorang corsair Barbar yang amat popular. Sebagai seorang yang menjalinkan hubungan baik dengan Uthmaniyah, sasaran lazim bagi Aruj dan rakan-rakan corsair-nya yang lain sudah tentulah kapal-kapal Kristian dan bukan-Islam yang berlayar di lautan barat Mediterranean.

Corsair-corsair Barbar adalah lanun-lanun atau privateers (ketua kapal persendirian) yang berpangkalan di pelabuhan-pelabuhan Barbar, iaitu bahagian barat Afrika Utara, bermula dari Tripoli di timur hingga ke Maghribi di barat. Semasa hayat Aruj, Pantai Barbar merupakan sebahagian daripada wilayah yang dikuasai oleh Empayar Uthmaniyah. Pada tahun 1517, Aruj menyerahkan kota Aljir (Algiers) kepada Uthmaniyah semasa menjadi pemerintah kota tersebut.


KEHIDUPAN ARUJ BARBAROSSA

Aruj Barbarossa dilahirkan sekitar tahun 1474 di Pulau Lesbos, Greek. Pulai ini ditakluk oleh Uthmaniyah daripada bangsa Genoa pada tahun 1462. Bapa Aruj, iaitu Yakup berkemungkinan adalah seorang sipahi, yakni pahlawan berkuda. Walau bagaimanapun, sebilangan sejarahwan berpendapat bahawa Yakup adalah seorang janisari dari Vardar, sebuah kawasan yang terletak di Macedonia moden. Ibu Aruj, iaitu Katalina pula adalah seorang wanita Kristian tempatan yang merupakan balu kepada seorang paderi Ortodoks. Aruj mempunyai seorang abang bernama Ishak, serta dua orang adik lelaki bernama Khizr (masyhur dikenali sebagai Hayreddin) dan Ilias.

Peta Lesbos (Mytilene) tahun 1597, lokasi kelahiran Barbarossa


EMPAT ORANG BERADIK

Seiring peredaran masa, keempat-empat beradik ini menjadi seorang pelayar. Corsair bukanlah satu-satunya lanun yang terdapat di Mediterranean. Dalam sebuah perjalanan laut yang ditempuhi oleh mereka, keempat-empat beradik ini bertembung dengan Kesatria-Kesatria St. John, iaitu lanun-lanun Kristian yang beroperasi dari Pulau Rhodes. Dalam pertempuran laut yang berlangsung, salah seorang adik Aruj, iaitu Ilias terbunuh. Aruj sendiri ditangkap oleh para kesatria dan dipenjarakan di pulau mereka. Di sana, beliau menanti waktu untuk dijual sebagai hamba. Sejarahwan berpendapat bahawa Aruj sama ada meloloskan diri daripada tawanan lalu membawa diri ke Mesir melalui Itali, ataupun berkhidmat sebagai hamba di sebuah kapal geliung sehingga beliau ditebus oleh seorang putera Mesir dan kemudian dihantar ke Iskandariah.

Imej litograf Aruj Barbarossa


Peristiwa ini dianggap menjadi titik di mana Aruj dan adik-beradiknya yang terselamat berubah haluan hidup menjadi lanun bagi bertindak balas ke atas petualangan Kesatria-Kesatria St. John. Dicatatkan bahawa ketika berada di Mesir, Aruj berpeluang menghadap sultan Mamluk, Al-Ashraf Qansuh al-Ghawri dan menerima pengurniaan sebuah kapal daripadanya. Kapal ini dilengkapkan dengan anak-anak kapal dan Aruj pun mula menyerang kapal-kapal Kristian.


BABA ARUJ DAN PERTEMPURAN-PERTEMPURANNYA

Dalam pada itu, Reconquista Sepanyol sudah pun berakhir pada tahun 1492M dan para pemerintah baru Kristian di Sepanyol enggan melayan orang-orang Muslim dan Yahudi di sana dengan baik. Justeru, ramai orang Muslim dan Yahudi memutuskan untuk melarikan diri dari Sepanyol dan menuju ke Afrika Utara. Dicatatkan bahawa Aruj datang untuk memberikan bantuan kepada kumpulan pelarian ini supaya dapat meloloskan diri daripada cengkaman Sepanyol.

Lantaran jasa baik yang dicurahkannya ini, Aruj pun dikenali sebagai Baba Aruj (Ayahanda Aruj). Sebahagian sejarahwan turut menyatakan bahawa nama Baba Aruj kemudiannya diubah oleh masyarakat Eropah sehingga menjadi Barbarossa, memandangkan sebutan bagi keduanya hampir serupa. Malahan, ada pula yang berpandanan bahawa nama Barbarossa (bahasa Itali bagi ‘janggut merah’) diberikan kepada Aruj lantaran warna jambangnya yang berwarna merah.

Ilustrasi Aruj Barbarossa


Walau bagaimanapun, Aruj tidak berasa cukup dengan sekadar membantu para pelarian. Selain tidak melayani masyarakat Muslim dan Yahudi dengan baik, pihak Sepanyol juga memperluaskan kuasa mereka hingga ke Afrika Utara sesudah berakhirnya Reconquista. Aruj menjadi seorang tentera upahan dan beliau diupah oleh pemerintah kota pelabuhan di Bougie untuk merampas semula kota yang dikuasai oleh Sepanyol itu.

Namun, misi ini berakhir dengan kegagalan dan Aruj bahkan kehilangan tangan kirinya semasa melakukan pengepungan. Tangannya dipotong oleh pakar bedahnya dan digantikan dengan tangan palsu yang diperbuat daripada perak. Aruj sempat mengepung kota tersebut untuk kali kedua, namun cubaan itu juga berakhir dengan kegagalan.

Walaupun mengalami pukulan hebat seperti ini, Aruj berupaya mengekalkan reputasinya sehingga beliau diupah pada tahun 1516 oleh kota Aljir untuk mengusir tentera Sepanyol. Kal ini, kemenangan berpihak pada Aruj. Bukan hanya berjaya mengusir pasukan tentera Sepanyol, malah beliau turut membunuh bekas pemerintah kota Aljir iaitu Selim bin Tumi sekaligus menjadikannya sebagai pemerintah kota Aljir. Setahun kemudian, beliau menjalinkan persekutuan dengan Uthmaniyah.

Oruc menawan sebuah kapal geliung


Namun, pemerintahan Aruj tidak berlangsung lama memandangkan pihak Sepanyol menghantar sepasukan tentera untuk memeranginya pada tahun 1518. Pasukan tentera Sepanyol ini mengepung Aruj di Tlemcen, sebuah bandar berhampiran Aljir. Walaupun jumlah musuh yang dihadapinya jauh lebih ramai, Aruj dan pasukan tenteranya berjaya bertahan selama 20 hari, sebelum diatasi oleh kelebihan angka yang dimiliki oleh pihak Sepanyol. Aruj dan abangnya, Ishak terkorban dalam peristiwa ini dan dicatatkan bahawa kepala beliau yang telah dipenggal dipacakkan pada sebatang kayu. Kedudukan Aruj digantikan oleh satu-satunya saudara beliau yang masih hidup, iaitu Hayreddin yang merupakan seorang lanun (laksamana) yang digeruni.


SUMBER
  • Garces, M. A. 2002. Cervantes in Algiers: A Captive’s Tale. Nashvilled: Vanderbilt University Press.
  • Karg, B. & Spaite, A. 2007. The Everything Pirates Book: A Swashbuckling History of Adventure on the High Seas. Avon, Mass: Adams Media.
  • O&P News. 2010. The Pirate Who Has Lived on for 500 Years.
  • Histclo. 2007. The Barbary Pirates (16th-19th Centuries).