DINASTI SHANG – DINASTI KEDUA CHINA MENURUT HISTORIOGRAFI

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (2 Mei 2018). The Shang Dynasty: Second in Traditional Historiography, First in Archaeology. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/shang-dynasty-second-traditional-historiography-first-archaeology-009990

Penterjemah: Amir Zayyanid


Dinasti ini didahului oleh sebuah dinasti semi-mitos. Walau bagaimanapun, daripada sudut pandang arkeologi, Dinasti Shang dianggap sebagai dinasti pertama China. Zaman kemuncak dinasti ini berlangsung pada Zaman Gangsa China, dengan kehadiran sejumlah pemerintah yang baik hati, pasukan ketenteraan yang sentiasa bersiaga, serta siri inovasi tata-hidup dan kebudayaan Cina.

Menurut historiografi tradisional China, Dinasti Shang merupakan dinasti kedua yang ditubuhkan di China, menggantikan Dinasti Xia. Walau bagaimanapun, tidak seperti Dinasti Xia, kewujudan Dinasti Shang sudah pun diperakui dan disahkan, di mana sumber-sumber bertulis yang memerihalkannya turut disokong oleh kewujudan bukti arkeologi. Dinasti Shang kemudiannya digantikan oleh Dinasti Zhou.

Kapak perang gangsa Dinasti Shang. Kapak ini digunakan dalam pertarungan satu lawan satu dan juga berfungsi sebagai objek ritual yang menyimbolkan kuasa dan autoriti ketenteraan. Makam tempat kapak ini ditemui dipercayai milik seorang lelaki yang kaya dan berpengaruh


BILA DAN SEBERAPA LAMA DINASTI SHANG BERKUASA?

Sehingga kini, tiada persepakatan dalam kalangan ilmuwan berkenaan tempoh kekuasaan Dinasti Shang. Tarikh penubuhan Dinasti Shang dianggarkan sekitar 1760-1520SM, manakala kejatuhannya pula dipercayai berlaku pada suatu tempoh masa antara tahun 1122-1030SM.

Hal ini berlaku demikian kerana wujudnya percanggahan antara sumber bertulis dan sumber arkeologi. Misalnya, historiografi tradisional China menyatakan bahawa Dinasti Shang memerintah bermula dari tahun 1766 sehingga tahun 1122SM. Namun, hasil penemuan arkeologi mengemukakan fakta bahawa bukti terawal bagi dinasti ini bertarikh sekitar 1600SM dan ia wujud sehingga tahun 1046SM.


PEMERINTAH BARU MEMBELAKANGKAN POLISI LAMA

Menurut tradisi, Dinasti Shang diasaskan oleh Tang, yang merupakan pemerintah sebuah negara naungan Dinasti Xia. Pemerintah terakhir Dinasti Xia, iaitu Jie dicatatkan sebagai seorang pemerintah yang bersifat korup dan tirani, justeru beliau bukanlah pemerintah yang digemari rakyat. Pada masa yang sama, kekuatan negara Shang mengalami perkembangan di bawah kepimpinan Tang. Mereka kemudiannya memberontak terhadap Jie yang didakwa telah kehilangan Mandat Tuhan sekaligus haknya untuk memerintah terlucut. Peristiwa penentu bagi pemberontakan ini adalah Pertempuran Mingtiao, di mana Jie ditewaskan oleh Tang. Pemerintah terakhir Dinasti Xia itu melarikan diri dari medan tempur, membawa diri ke sempadan lalu meninggal dunia tidak lama kemudian.

Raja Tang dari Dinasti Shang sebagaimana yang dibayangkan oleh pelukis Dinasti Song, Ma Lin


Setelah menubuhkan dinasti baru, Tang dicatatkan telah membelakangkan banyak polisi kejam yang dijalankan oleh pemerintah lalu. Pada masa yang sama, beliau turut memberikan bantuan kepada anggota masyarakat yang tidak bernasib baik. Sebagai contoh, Tang dicatatkan menghapuskan sistem percukaian melampau yang dikenakan semasa zaman pemerintahan Jie. Tambahan lagi, Tang dikatakan pernah memberikan syiling-syiling emas khusus kepada golongan miskin yang sebelum ini terpaksa menjual anak mereka pada masa-masa kebuluran. Syiling-syiling tersebut digunakan untuk membeli semula anak mereka.


ARTIFAK-ARTIFAK DINASTI SHANG MENGISAHKAN TENTANG PEPERANGAN

Tang juga melakukan perubahan dalam sistem ketenteraan. Walaupun ilmuwan sedia maklum tentang polisi para pemerintah Dinasti Shang yang mengekalkan jumlah pasukan tentera tetap seramai 1000 orang, jumlah tersebut dikurangkan di zaman Tang. Beliau turut mengurangkan tempoh perkhidmatan wajib para tentera.

Apapun, dinasti ini sememangnya diketahui sentiasa terlibat dalam kancah peperangan dengan jiran-jiran gasar mereka, sebagaimana yang didedahkan secara tidak langsung menerui tulang-tulang ramalan (yang banyak memberikan maklumat tentang dinasti tersebut, di samping ia turut digunakan untuk meramalkan masa depan).

Cengkerang kura-kura dengan inskripsi ramalan (tulang ramalan) dari Dinasti Shang, bertarikh dari zaman pemerintahan Raja Wu Ding


Ketika sebuah angkatan tentera bersaiz besar diperlukan bagi menghadapi konflik peperangan, para pemerintah Shang lazimnya akan menyeru negara-negara naungan mereka, termasuklah para bangsawan, raja-raja bawahan, dan ketua-ketua puak untuk menghimpunkan pasukan tentera dari kerajaan masing-masing. Mereka turut dituntut agar melengkapkan pasukan tentera mereka.

Hal ini termasuklah kelengkapan senjata-senjata gangsa, antara artifak yang banyak ditemui oleh ahli-ahli arkeologi. Walau bagaimanapun, memandangkan gangsa itu mahal nilainya, maka senjata dan baju perisai yang diperbuat daripada bahan ini lazimnya digunakan secara eksklusif oleh golongan elit yang berkemampuan. Barisan tentera biasa secara umum dilengkapkan dengan senjata yang diperbuat daripada batu dan baju perisai daripada kulit.

Pedang pendek berpangkal lengkung, Dinasti Shang. Kurun ke-12 hingga kurun ke-11, pemegang gangsa dengan bilah batu firus (turquoise) dan jed


Penggunaan gangsa merupakan ciri menonjol bagi DInasti Shang, jika dilihat dari sudut pandang arkeologi. Selain daripada senjata dan baju perisai, zaman ini juga masyhur dengan pelbagai jenis bekas ritual yang diperbuat daripada gangsa, yang mana artifak ini banyak ditemukan di dalam makam golongan elit.

Antara pencapaian lain yang dikecapi oleh dinasti ini adalah perkembangan sistem kalendar 360 hari (dibahagikan kepada 12 bulan dengan 30 hari dalam setiap bulan), permulaan tulisan Cina, dan penciptaan teknik pembinaan yang dinamakan sebagai hangtu (tanah bertanda), yang membenarkan percambahan kota.

Houmuwu Ding, juga dikenali sebagai Simuwu Ding adalah alat gangsa paling berat ditemui di China setakat ini. Ia diperbuat pada lewat zaman Dinasti Shang di Anyang (1300-1046SM)


PENGAKHIRAN DINASTI

Sama seperti Jie dari Dinasti Xia, raja terakhir Dinasti Shang, iaitu Zhou (juga dikenali sebagai Xin) merupakan seorang pemerintah yang korup. Hakikatnya, beliau dicatatkan bersifat jauh lebih teruk berbanding pemerintah terakhir Xia. Lantaran itu, sebuah pemberontakan pun meletus dengan diketuai oleh Raja Wu dari Zhou, yang berjaya menggulingkan Raja Zhou sekaligus menamatkan pemerintahan Dinasti Shang. Beliau kemudiannya menubuhkan Dinasti Zhou.


SUMBER