- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (6 Mei 2018). The Zhou Dynasty: The Longest-Lasting Dynasty in
Chinese History. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/zhou-dynasty-longest-lasting-dynasty-chinese-history-0010006
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/zhou-dynasty-longest-lasting-dynasty-chinese-history-0010006
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dinasti Zhou merupakan
dinasti yang paling lama bertahan dalam sejarah China, bermula dari kurun ke-11
sehingga kurun ke-3 Sebelum Masehi. Para pemerintah daripada zaman ini tidak
asing lagi dengan keulungannya dalam medan tempur. Walau bagaimanapun, mereka
juga berupaya membangunkan sebuah suasana di mana elemen-elemen kebudayaan
dapat berkembang maju.
Dinasti Zhou muncul
menggantikan Dinasti Shang. Sejarah Dinasti Zhou boleh dibahagikan kepada dua
bahagian, iaitu Zhou Barat dan Zhou Timur. Lebih daripada itu, Zhou Timur boleh
dipecahkan lagi kepada Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh dan Zaman
Negara-Negara Berperang, zaman yang memperlihatkan keruduman pemerintahan Zhou
serta perpecahan China. Dinasti Zhou menemui pengakhirannya apabila Negara Qin
tampil juara dalam siri pergelutan kuasa, menyatukan China dan seterusnya
menubuhkan dinasti diraji pertama China, iaitu Dinasti Qin.
PARA PEMERINTAH AWAL
DINASTI ZHOU
Direkodkan bahawa
pengasas Dinasti Zhou adalah Raja Wu dari Zhou. Walau bagaimanapun,
ayahandanya, iaitu Raja Wen dari Zhou diberikan kredit kerana menanam benih
awal pemberontakan menentang pemerintahan Dinasti Shang. Dengan usahanya
membentuk persekutuan dengan pembesar-pembesar di wilayah sekeliling, Raja Wen
berupaya membangunkan sebuah kekuatan tentera yang boleh berhadapan dengan
ketumbukan tentera Shang. Raja Wen juga direkodkan sebagai seorang pemerintah
yang adil dan baik hati, serta sering dikatakan bahawa meritnya yang banyak itu
menjadi faktor yang menyumbang kepada pengurniaan Mandat Tuhan kepada puteranya
sekaligus mendorong kepada penubuhan Dinasti Zhou.
Dinasti Shang mengalami
kekalahan di tangan Zhou dalam Pertempuran Muye yang berlangsung sekitar tahun
1046SM. Dalam kesempatan itu, Raja Zhou dari Shang, pemerintah terakhir Dinasti
Shang bertindak membunuh diri sekaligus menamatkan pemerintahan dinasti
tersebut.
![]() |
| Kiri: Raja Wu dari Zhou. Kanan: Raja Zhou dari Shang |
Sejarah Dinasti Zhou
dapat dibahagikan kepada dua, iaitu Zhou Barat dan Zhou Timur. Zhou Barat bermula
sekitar tahun 1045 sehingga tahun 771SM manakala Zhou Timur pula bermula dari
tahun 770 sehingga 256SM. Walaupun Raja Wu berjaya menggulingkan pemerintahan
Dinasti Shang, Dinasti Zhou tetap jua tidak berupaya menguasai secara mutlak
wilayah-wilayah Shang di timur. Lantaran itu, tugas untuk memperteguhkan
kedudukan dinasti baru ini diletakkan di atas bahu saudara raja, iaitu Pangeran
Zhou.
Selain daripada
menakluk wilayah-wilayah tersebut untuk Dinasti Zhou, Pangeran Zhou juga
berkhidmat sebagai pemangku bagi anak saudaranya, iaitu Raja Cheng dari Zhou
yang naik takhta ketika masih kanak-kanak. Dinasti Zhou Barat menemui
penghujungnya pada tahun 771Sm apabila Raja You terbunuh dalam sebuah serangan
ke atas istananya. Serangan tersebut diketuai oleh bapa mertuanya, iaitu
Pangeran Shen (yang naik berang kerana puterinya digugurkan daripada gelaran
permaisuri manakala status cucunya sebagai putera mahkota dilucutkan) dan
menerima bantuan daripada Quanrong, sebuah puak nomad gasar.
![]() |
| Potret Pangeran Zhou dari Sancai Tuhui |
Selepas Raja You
dibunuh, bekas putera mahkotanya iaitu Putera Yijiu (cucu kepada Pangeran Shen)
ditabalkan sebagai Raja Ping sekaligus menandakan permulaan pemerintahan
Dinasti Zhou Timur. Walaupun zaman dinasti ini berpanjangan sehingga tahun
256SM, ia boleh dibahagikan kepada dua tempoh utama – iaitu Zaman Musim Bunga
dan Musim Luruh dan Zaman Negara-Negara Berperang. Walaupun Raja Ping
ditabalkan sebagai pemerintah baru bagi Dinasti Zhou, kuasa pusat Zhou tetap
juga mengalami keruduman manakala kerajaannya pula berpecah-belah sekaligus
membawa dinasti tersebut ke Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh.
ZAMAN MUSIM BUNGA DAN
MUSIM LURUH SERTA ZAMAN NEGARA-NEGARA BERPERANG
Zaman ini, yang
berpanjangan sehingga tahun 476SM, memperlihatkan kebangkitan dan ketumbangan
banyak negara kecil di China. Walaupun tempoh tersebut diselubungi
kehuru-haraan politik, zaman tersebut juga ditandai dengan kemekaran falsafah
Cina. Pada zaman Musim Bunga dan Musim Luruh inilah berkembang majunya ‘Seratus
Sekolah Pemikiran’, termasuklah ajaran Confucianism, Taoism dan Legalism.
![]() |
| Confucius, Lao-tzu dan Arhat si penganut ajaran Buddha |
Di lapangan politik
pula, sebanyak tujuh buah negara utama muncul lantas memulakan Zaman
Negara-Negara Berperang. Negara-negara tersebut adalah Qin, Qi, Chu, Yan, Han,
Zhao dan Wei. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak membawa penamat kepada
kehuru-haraan tersebut lantaran negara-negara ini terus-menerus berperang
selama hampir dua kurun. Pada zaman ini, kuasa sebenar bertumpu pada
ketujuh-tujuh negara tersebut, sementara Raja-Raja Zhou hanya memegang kuasa
pada nama.
Dinasti Zhou menemui
pengakhiran pada tahun 256SM, apabila ibu kotanya di Chengzhou (kini Luoyang)
ditakluk oleh Qin dan pemerintah terakhirnya, Raja Nan dibunuh. Memandangkan
kuasa sebenar Dinasti Zhou sudah pun mengalami keruduman sejak sekian lama
sebelum berlakunya peristiwa peralihan dinasti ini, maka pengakhiran Dinasti
Zhou tidak dianggap sebagai suatu peristiwa bersejarah yang besar.
![]() |
| Gambar patung moden yang didirikan sempena Pangeran Zhou, pengasas kota Luoyang asal |
SUMBER
- China Education Center Ltd. 2018. History of Zhou Dynasty 1122-255BC.
- Fercility. 2018. The Zhou Dynasty – Ancient to Imperial China.
- New World Encyclopedia. 2013. Zhou Dynasty.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2016. Zhou Dynasty.
- Theobald, U. 2000. Zhou Dynasty (11th cent-221BCE).
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Dinasti Zhou – Dinasti Paling Lama Dalam Sejarah China’
- Get link
- X
- Other Apps





