- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (7 Mac 2015). The Underground World of the Hagia Sophia. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/underground-world-hagia-sophia-002748
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/underground-world-hagia-sophia-002748
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Selama lebih kurang
seribu tahun sehingga detik ketumbangannya di tangan Turki Uthmaniyah pada
tahun 1453 Masehi, kota Konstantinopel merupakan salah sebuah kota terbesar
dalam Dunia Kristian. Di tengah-tengah kota ini terletak Hagia Sophia
(bermaksud ‘Kebijaksanaan Suci’ dalam bahasa Yunani), salah sebuah bangunan
paling ikonik di Konstantinopel. Struktur Hagia Sophia pada masa kini memiliki
sejarah yang boleh dijejak kembali pada zaman pemerintahan Maharaja Justinian
sekitar kurun ke-6M dan yang ketiga dibina di tapak berkenaan.
Jika dibandingkan
dengan strukturnya yang dahulu, basilica Justinian merupakan satu
kejayaan dalam seni bina. Ia merupakan sebuah monumen yang melambangkan
keemilangan empayar (sekaligus maharaja). Tiada siapa yang dapat menafikan
bahawa Hagia Sophia adalah sebuah mahakarya. Akan tetapi, apa yang terletak di
bawah permukaan struktur ini mungkin sama menarik, kalau bukan lebih menarik,
berbanding apa yang dapat kita saksikan di atas permukaannya.
![]() |
| Pemandangan Hagia Sophia yang indah, Istanbul |
Terdapat banyak
pendapat yang dilontarkan berkenaan kewujudan ruangan luas yang tersembunyi di
bawah Hagia Sophia. Antara lain, ilmuwan sedia maklum bahawa bilik bawah tanah
di sesebuah gereja merupakan suatu ciri umum bagi seni bina gereja di zaman
awal Kristian. Amalan Kristian yang mengebumikan si mati di bilik bawah tanah
gereja agak berbeza dengan amalan pagan yang mengebumikan si mati di luar tembok
kota.
Dua gereja yang
dianggap paling penting dalam dunia Kristian pada kurun ke-6M, iaitu gereja Old
St. Peter di Rome dan Church of the Holy Sepulchre di Jerusalem turut mempunyai
ruangan bawah tanah. Bagi Gereja Old St. Peter misalnya, strukturnya dibina di
atas sebuah tanah perkuburan dan terletak berhampiran sebuah kuil bagi satu
dewa pujaan Etruscan. Sementara itu, bagi Church of the Holy Sepulchre pula, ia
dibina di atas sebuah kuil yang didedikasikan kepada Dewi Aphrodite.
Memandangkan Hagia
Sophia merupakan salah sebuah gereja terpenting dalam agama Kristian, maka
tidak hairanlah sekiranya ia turut mempunyai ruangan bawah tanah yang sama
seperti Gereja Old St. Peter dan Church of the Holy Sepulchre. Tambahan lagi,
Hagia Sophia juga berkemungkinan dibina di atas sebuah kuil pagan, sama seperti
dua gereja tersebut.
Walau bagaimanapun,
tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi berkenaan ruangan tersembunyi di
bawah Hagia Sophia, walaupun bangunan keagamaan tersebut telah pun menjalani
sejumlah peninjauan oleh para penyelidik sejak tahun 1935. Menurut satu
legenda, Iblis (Devil) dipercayai telah dipenjarakan di bawah Hagia
Sophia. Dalam legenda lain pula disebutkan bahawa relik-relik Byzantine
disembunyikan oleh para paderi di dalam kamar-kamar rahsia yang terdapat di
ruangan bawah tanahnya semasa penaklukan kota tersebut di tangan Uthmaniyah.
Apapun, kesemuanya itu cuma sekadar legenda tanpa kewujudan bukti untuk
mengesahkan kebenarannya.
Walaupun tidaklah
terletak tepat di bawah Hagia Sophia, kedudukan Tangki Basilica yang masyhur
itu berjarak hanya 150m arah barat daya dari struktur keagamaan itu. Ia dibina
oleh Maharaja Justinian I pada tahun 532M. Tangki ini mempunyai ukuran panjang
yang mencecah 138 meter dan lebar 64.6 meter, meliputi kawasan seluas 1000
meter persegi. Perincian-perincian indah turut dimasukkan ke dalam binaan yang
mengagumkan ini, antaranya termasuklah 336 batang tiang marmar yang menyokong
strukturnya, di mana setiap satu batang tiang adalah setinggi 9 meter dan ianya
disusun ke dalam 12 barisan dengan setiap baris mempunyai 28 batang tiang.
Pada tahun 1937, para
penyelidik memulakan tinjauan ke atas ruangan bawah tanah yang terletak tepat
di bawah Hagia Sophia. Tinjauan ini berakhir tanpa hasil yang muktamad
berikutan meletusnya Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1945, kerajaan memutuskan
agar air yang terdapat di bawah Hagia Sophia dibuang untuk tujuan penyelidikan.
Namun, paras air tidak dapat diturunkan dan motor pam pula terbakar sekaligus
usaha tersebut terpaksa diberhentikan.
![]() |
| Meneroka terowong-terowong bawah tanah Hagia Sophia |
Pada tahun 2005, satu
usaha tinjauan ke atas perigi-perigi yang terdapat di dalam dan sekitar Hagia
Sophia dijalankan dengan matlamat jangka panjang iaitu memahami kefungsian
terowong-terowong bawah tanah dan sistem air yang digunakan bagi kemudahan
bangunan tersebut dan kawasan sekitarnya. Tinjauan ini berhasil menemukan
sembilan buah perigi di dalam dan sekitar Hagia Sophia dan kebun-kebunnya. Lima
daripada sembilan perigi tersebut masih mengandungi air dan dua buah lagi
sedang diteroka oleh pasukan peninjau. Tambahan lagi, terowong-terowong yang
digunakan untuk menyediakan pengudaraan dan mengurangkan kelembapan turut
berjaya ditemui.
Pada tahun 2009,
pembuat filem yang bernama Goksel Gulensov menghasilkan sebuah dokumentari yang
menerokai ruangan bawah tanah Hagia Sophia. Pasukan beliau diberikan kebenaran
untuk melakukan selaman ke dalam dua buah takungan yang menghubungkan Hagia
Sophia dengan Istana Topkapi serta Tangki Bawah Tanah.
Berhampiran dasar
takungan pertama, para penyelam berjaya menemukan dua keeping kayu yang tebal,
sebuah baldi dan tulang seekor haiwan. Pada takungan kedua pula pasukan itu
menemukan sejumlah kelalang yang berusia dari tahun 1917, kaca daripada
chandelier-chandelier Hagia Sophia, seutas rantai dengan dua gelung cincin di
hujungnya, dan serpihan gelas kotor. Didakwa bahawa kelalang-kelalang tersebut
mungkin dibuang oleh tentera-tentera British yang mahu mendapatkan air suci
semasa mereka menyerang kota itu pada tahun 1917.
![]() |
| Terowong gelap dengan batu-batu kecil yang digilap, di ruangan dalam Basilica Hagia Sophia, Istanbul Turki |
Tinjauan tahun 2005 dan
dokumentari tahun 2009 ini mungkin merupakan langkah pertama ke arah memahami
ruangan bawah tanah Hagia Sophia dengan lebih lanjut. Dipercayai bahawa lebih
banyak penerokaan dan penyelidikan diperlukan sebelum rahsia di bawah Hagia
Sophia dapat diungkapkan.
SUMBER
- Ozkan-Aygun, C. 2006. The Wells, Subterranean Passage, Tunnels and Water Systems of Hagia. Frankfurter elektronische Rundschau zur Altertumskunde. 2006(1), pp. 35-40.
- Hagia Sophia. 2015. In the Depths of Hagia.
- Hagia Sophia. 2015. Tunnels of Hagia Sophia.
- National Turk. 2013. What are the secrets of Hagia Sophia mentioned in Dan Brown’s latest novel Inferno / Istanbul News.
- Yedig, S. 2009. Diving into the secrets of Hagia Sophia.
Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Terowong Rahsia Di Bawah Hagia Sophia’
- Get link
- X
- Other Apps



