- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (25 Jun 2014). The Four Mythological Symbols of China. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/four-mythological-symbols-china-001792
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/four-mythological-symbols-china-001792
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dalam ilmu astronomi
Cina purba, langit mereka dibahagikan kepada empat seksyen. Setiap seksyen
mengandungi tujuh buah ‘rumah agam’ sekaligus secara keseluruhan, terdapat
sebanyak 28 buah Rumah Agam. Kesemua Rumah Agam ini boleh dianggap sama seperti
buruj-buruj zodiak dalam astronomi Barat walaupun mereka menghitung peredaran
bulan menerusi pergerakan bintang dalam tempoh sebulan berbanding matahari
dalam tempoh setahun tropika.
Hal ini membolehkan
masyarakat Cina purba mengenal pasti kedudukan matahari dan bulan sepanjang
peredarannya, serta menentukan waktu dan musim. Setiap seksyen langit dikaitkan
dengan satu makhluk mitologi yang secara kolektif dikenali sebagai Empat
Simbol. Makhluk-makhluk tersebut adalah Naga Azure di Timur, Harimau Putih di
Barat, Kura-Kura Hitam di Utara dan Burung Vermillion di Selatan. Selain
daripada signifikasi astronomi, setiap satu daripada Empat Simbol ini
diselubungi oleh mitologi.
Menurut bukti
arkeologi, konsep Empat Simbol telah pun wujud seawall zaman Neolitik China
(sekitar 6000 tahun lalu). Hal ini berdasarkan kepada beberapa cengkerang kima
dan tulang-belulang yang membentuk imej Naga Azure dan Harimau Putih yang
ditemui di makam yang terletak di Henan. Tambahan lagi, didakwa bahawa salah
satu artifak yang ditemui di makam Pangeran Yi dari Zeng (sekitar 433SM) iaitu
almari pakaian mempunyai corak Empat Simbol dan 28 Buah Rumah Agam.
Naga Azure merupakan
makhluk mitologi yang ditugaskan di Timur. Menurut mereka, apabila
ketujuh-ketujuh rumah agam di bahagian itu (iaitu Tanduk, Leher, Akar, Ruang,
Hati, Ekor dan Bakul Berongga) bergabung, maka mereka akan menghadirkan bentuk
naga. Naga Azure dikaitkan dengan musim bunga. Lantaran naga dianggap oleh
masyarakat Cina sebagai haiwan yang paling suci, maka ia merupakan ketua dalam
Empat Simbol. Walaupun naga-naga Cina secara umumnya dikaitkan dengan air, Naga
Azure terkecuali daripada perkaitan sebegitu. Elemennya adalah kayu. Dalam
mitologi Cina, naga dianggap sebagai makhluk yang gagah dan digeruni. Akan
tetapi, tidak seperti naga-naga di Barat, naga-naga Cina dipercayai bersifat
adil, baik hati dan pembawa tuah dan kekayaan.
![]() |
| Naga Azure di Timur |
Makhluk mitologi yang
ditugaskan di Barat adalah Harimau Putih, dan tujuh rumah agam yang dikaitkan
dengannya adalah Kaki, Sendi, Perut, Kepala Berambut, Jaring, Paruh Kura-Kura
dan Tiga Bintang. Harimau Putih dikaitkan dengan musim luruh. Elemennya pula
adalah logam dan ia dianggap sebagai Dewa Perang. Lantaran itu, Harimau Putih
dipandang sebagai makhluk pelindung, tidak hanya dari manusia, tetapi juga
roh-roh jahat.
![]() |
| Harimau Putih di Barat |
Di Utara, makhluk
mitologi yang bertugas adalah Kura-Kura Hitam dan tujuh rumah agamnya adalah
Gayung, Kerbau, Gadis, Sifar, Bumbung, Khemah dan Tembok. Kura-Kura Hitam
dikaitkan dengan musim sejuk dan elemen air. Makhluk mitologi ini secara umum
dikaitkan dengan panjang usia dan kebijaksanaan (dalam mitologi Cina, sifat tersebut
sememangnya sinonim dengan kura-kura biasa).
![]() |
| Kura-Kura Hitam di Utara |
Makhluk mitologi yang
bertugas di Selatan pula adalah Burung Vermillion dan tujuh rumah agamnya
adalah Perigi, Hantu, Pokok Willow, Bintang, Jaring Besar, Sayap dan Pedati. Burung
Vermillion dikaitkan dengan musim panas. Tambah menarik, burung ini dianggap
identikal dengan phoenix. Phoenix secara tradisi dikaitkan dengan elemen api
dan begitu juga halnya bagi Burung Vermillion. Dalam mitologi Cina, phoenix
dianggap sebagai simbol tuah.
![]() |
| Burung Vermillion di Selatan |
Menerusi Empat Simbol
yang menjadi sebahagian daripada kepercayaan masyarakat Cina purba ini,
astronomi dan mitologi wujud secara bersama dan beriringan. Malah, ia juga
boleh dianggap sebagai gabungan yang harmoni di antara sains dan seni. Dengan
mengenali makhluk-makhluk mitologi tersebut, kita tidak hanya dapat mempelajari
kemajuan sains dalam kalangan masyarakat Cina purba, namun kita turut
mengetahui sistem kepercayaan dan bagaimana mereka memahami seterusnya menerangkan
tentang dunia yang mereka diami ini.
SUMBER
- Cultural-China. 2010. The Azure Dragon.
- Cultural-China. 2010. The Black Tortoise.
- Cultural-China. 2010. The Four Symbols and Twenty-Eight Mansions.
- Cultural-China. 2010. The Vermillion Bird.
- Cultural-China. 2010. The White Tiger.
- Schumacher, M. 2014. Shijin (Shishin) – Four Legendary Chinese Creatures Protecting the Four Compass Directions.
- Wikipedia. 2014. Four Symbols (China).
- Wikipedia. 2014. Twenty-Eight Mansions.
- Get link
- X
- Other Apps




