- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (12 Mei 2018). The Wonders and the Terrors of the Qin Dynasty.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/wonders-and-terrors-qin-dynasty-0010037
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/wonders-and-terrors-qin-dynasty-0010037
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dinasti Qin merupakan
dinasti diraja pertama dalam sejarah China. Ia juga merupakan dinasti yang
paling singkat memerintah, berlangsung hanya selama 15 tahun iaitu tahun
221-206SM. Apapun, signifikasi dinasti sama sekali tidak dapat dinafikan,
terutama apabila pemerintah legendanya menggerakkan penyatuan China ke bawah
satu pemerintahan, merintis foundasi Tembok Besar China dan mengarahkan
pembinaan Tentera Terracotta.
RAJA QIN
Pengasas dinasti ini
adalah Qin Shi Huang, raja Qin, salah sebah negara yang wujud pada zaman
Negara-Negara Berperang. Pada tempoh masa tersebut, China terbahagi kepada
beberapa buah negara berkuasa dan negara Qin, di bawah kepimpinan Qin Shi
Huang, berjaya menakluki kesemua negara lain sekaligus membawa kepada penubuhan
Dinasti Qin. Walaupun Qin Shi Huang pernah menyatakan hasratnya agar dinastinya
itu memerintah China selama 10 000 generasi (secara simbolik bermaksud
selama-lamanya), Dinasti Qin hanya dapat bertahan tidak sampai dua dekad.
Apapun, impak dinasti ini cukup besar sampaikan ia dapat dirasakan sehingga ke
hari ini.
![]() |
Qin Shi Huang, Maharaja Pertama China
|
PENYATUAN CHINA OLEH
QIN
Zaman yang mendahului
zaman pemerintahan Dinasti Qin dikenali sebagai zaman Negara-Negara Berperang.
Zaman ini hadir sebagai susulan tumbangnya Dinasti Zhou. Lantaran Zhou tidak
lagi berupaya mengawal empayar, kuasa-kuasa wilayah pun lahir. Menjelang zaman
Negara-Negara Berperang, China terbahagi kepada tujuh buah negara utama – iaitu
Chu, Han, Qi, Qin, Wei, Yan dan Zhao. Era ini berakhir pada tahun 221SM, iaitu
apabila negara Qin berjaya menewaskan kesemua negara lain sekaligus menyatukan
China di bawah pemerintahan satu dinasti.
![]() |
| Peta perkembangan Qin |
FAKTOR QIN BERUPAYA
MENGUNGGULI NEGARA-NEGARA LAIN
Terdapat sejumlah
faktor yang menyumbang kepada kejayaan negara Qin. Salah satunya adalah
kedudukan geografinya yang strategik. Dengan terletak di wilayah Shaanxi, negara
Qin secara semula jadi dilindungi gunung-ganang dan gaung yang menghindarkannya
daripada ancaman timur. Ia juga dengan mudah dapat mengakses ke dataran China
Utara menerusi Sungai Kuning. Kawasan yang dikuasai oleh Qin kaya dengan sumber
semula jadi dan para pemerintahnya berupaya meraih lebih banyak sumber dengan
memperluaskan sempadan, suatu tindakan ketenteraan yang dapat mereka lakukan
tanpa risau terhadap tindak-balas pantas negara musuh.
Tambahan lagi, para
pemerintah negara Qin berjaya mengukuhkan kuasa pusat. Hal ini membolehkan
mereka melaksanakan sistem undang-undang yang ketat di seluruh wilayah
kekuasaannya. Mereka juga membahagikan negara kepada beberapa buah wilayah dan
daerah yang setiap satunya ditadbir oleh pegawai lantikan raja. Keadaan ini
meningkatkan keefisienan pentadbiran Qin berbanding negara-negara lain.
Selain itu, keampuhan
pasukan tentera Qin di samping kepakaran mereka dalam mengendalikan pedati
menyumbang kepada kejayaan mereka di medan perang. Tidak cukup begitu,
pemerintah Qin terkenal dengan kekejaman, suatu ciri yang diwakili oleh Qin Shi
Huang, pemerintah Qin yang berjaya menyatukan China.
![]() |
Patung maharaja Qin, China
|
KUASA QIN SHI HUANG
YANG TIADA TANDINGAN
Sebelum menjadi
maharaja pertama Dinasti Qin dan China, Qin Shi Huang dikenali sebagai Ying
Zheng dan pada waktu itu, beliau hanya bergelar Raja Qin. Beliau menaiki takhta
pada tahun 246SM pada usia 13 tahun, selepas ayahandanya mangkat. Memandangkan
usianya yang muda, urusan-urusan negara dikendalikan oleh Lu Buwei, pemangku
dan ketua penasihat negara Qin. Pada suatu tahap, Lu Buwei didapati tidak
amanah dalam tugas dan beliau dibuang negeri pada tahun 235SM, yang kemudiannya
beliau bertindak membunuh diri. Hal ini membenarkan Ying Zheng menyandang kuasa
penuh ke atas negara Qin. Kempen terakhirnya untuk menyatukan China dimulakan
sekitar tahun 230SM dan berakhir pada tahun 221SM, apabila negara Qi akhirnya
berjaya ditakluki.
Qin Shi Huang mangkat
pada tahun 210SM. Beliau bukan hanya berjaya membentuk pasukan tentera yang
gagah perkasa sehingga berupaya menundukkan pasukan-pasukan tentera dari negara
lain. Malahan, beliau turut membina pasukan tentera yang besar untuk
mengikutinya ke alam sesudah mati – iaitu Tentera Terracotta.
Dianggarkan
bahawa seramai 700 000 orang pekerja terlibat dalam pembinaan makam Qin Shi
Huang dan Tentera Terracotta. Beliau meraih reputasi tersendiri sebagai seorang
maharaja tirani memandangkan undang-undang dan hukumannya yang keras
menyaksikan seramai ratusan ribu, kalau bukan jutaan manusia dikerah sebagai
hamba bagi menjayakan projek pembinaan yang diperintahkan olehnya. Antara lain
termasuklah pembinaan Tembok Besar.
Takhta Maharaja Qin
kemudiannya disandang oleh puteranya, Qin Er Shi yang memerintah hanya selama
tiga tahun sebelum beliau dipaksa bunuh diri oleh Zhao Gao, pegawai paling
berkuasa dalam Empayar Qin. Pemerintah terakhir dinasti tersebut adalah Ziying,
yang memerintah bukan sebagai Maharaja China, sebaliknya hanya sebagai Raja
Qin. Pemerintahannya berlangsung hanya selama sebulan setengah sebelum beliau
ditundukkan oleh Liu Bang, pengasas Dinasti Han.
![]() |
| Tentera Terracotta di Makam Qin Shi Huang |
LEGASI DINASTI QIN
Walaupun Dinasti Qin
hanya berkuasa selama 15 tahun, pada hakikatnya ia memiliki legasi yang berpanjangan
dalam sejarah China. Kebanyakannya adalah legasi Qin Shi Huang. Misalnya, pada
zaman dinasti inilah penyelarasan sistem tulisan China berjaya dilakukan.
Sistem tulisan ini menggantikan pelbagai sistem tulisan daerah dan ia masih
digunakan sehingga kini. Di samping itu, dinasti ini juga menyelaraskan ukuran
berat dan panjang serta syiling gangsa di seluruh China, yang mana hal ini
membantu memudahkan urusan perdagangan.
![]() |
| Tembok Besar China, berhampiran Simatai |
Satu lagi legasi
penting Dinasti Qin adalah sumbangannya yang mempromosikan Legalisme, satu
aliran pemikiran yang penting dalam falsafah China. Pada ketika falsafah
Confucianisme yang lebih bersifat kemanusiaan menjadi pilihan dinasti-dinasti
terdahulu, pengaruh Legalisme terus meresap dalam kalangan masyarakat semasa
zaman pemerintahan Dinasti Qin. Tidak ketinggalan, pada zaman Dinasti Qin ini
jugalah pembinaan Tembok Besar China dimulakan.
SUMBER
- China Education Center Ltd. 2018. History of Qin Dynasti 221-206 BC.
- Dhwty. 2016. The Ruthless Chinese Emperor Qin Shi Huang: How He Unified and Tyrannized His Subjects.
- History.com. 2017. Qin Dynasty.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2014. Warring States.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Qin dynasty.
- Theobald, U. 2000. Qin Dynasty (221-206BCE).
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Dinasti Qin: Pembina Terracota Dan Maharaja Pertama China’
- Get link
- X
- Other Apps





