- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (27 Februari 2016). The Sins and Glories of the Pharaoh Ay.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/sins-and-glories-pharaoh-ay-005427
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/sins-and-glories-pharaoh-ay-005427
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Firaun Ay dikenali
dalam buku-buku masyhur sebagai individu yang telah membunuh Tutankhamun.
Lazimnya, beliau diperincikan sebagai seorang firaun jahat daripada dinasti
ke-18. Walau bagaimanapun, sejarah sebenar pada hakikatnya sangat berbeza. Ay
muncul dalam sejarah sebagai salah seorang individu terpenting di zamannya.
Semasa Tutankhamun
mangkat, Ay berusia sekitar 70 tahun atau mungkin lebih tua. Beliau mempunyai
banyak pengalaman sebagai seorang penasihat para firaun dan beliau sendiri
adalah seorang pembesar atau pemimpin. Pemerintahan Ay bermula secara tidak
langsung semasa Tutankhamun masih hidup lagi. Namun, perjalanannya menuju takhta
Mesir bermula buat pertama kali pertama apabila beliau menjadi wazir kepada
Akhenaten. Beliau dipersiapkan dengan sebaiknya untuk memerintah Mesir pada
waktu yang tepat. Malahan, beliau mungkin mempunyai kaitan dengan keluarga
diraja.
KELUARGA AY
Ay dipercayai merupakan
seorang warga tempatan Mesir yang dilahirkan di Akhim sebagai anak lelaki
kepada Yuya dan Tuya. Yuya berkhidmat sebagai anggota paderi Min di Akhim. Nama
Yuya bukanlah suatu nama yang biasa di Mesir sekalius hal ini mengisyaratkan
bahawa beliau mungkin berasal dari Assyria. Namun, pendapat ini tidak memiliki
bukti untuk mengesahkannya. Bersama isterinya Tuya (Tjuyu), beliau turut
dikurniakan seorang anak perempuan – bakal Ratu Tiye, ibu kepada Akhenaten.
Yuya menjadi seorang individu yang sangat berpengaruh di balairung istana
Amenhotep III, begitu juga moyangnya, Thutmose IV. Besarnya pengaruh Yuya
sehinggakan beliau diberikan kelebihan yang jarang dimiliki oleh mana-mana
pegawai lain, iaitu diizinkan membina makam sendiri di Lembah Raja-Raja.
Menurut sebuah
inskripsi yang terdapat di Makam Ay di Theban (WV23), beliau jua merupakan bapa
kepada Ratu Nefertiti yang masyhur dan Mutnodjmet, yang kelak menjadi isteri
kepada firaun Horemheb. Keluarga Ay merupakan karakter penting bagi Zaman Amarna
dan dekad terakhir Dinasti Ke-18. Ay memerintah Mesir pada tahun 1325 sehingga
1321SM. Beliau mempunyai dua orang isteri utama, iaitu Iuy dan Tey.
MENGAHWINI ANKHESENAMUN
Selepas Tutankhamun
mangkat, Ay mengahwini janda Ankhesenamun, yang berkemungkinan adalah cucunya
sendiri. Menurut arkib Hittite, Ankhesenamun menulis sepucuk surat yang sangat
memilukan hati kepada raja Hittites, Suppiluliuma I. Beliau meminta kepada raja
itu agar menghantarkan salah seorang puteranya untuk mengahwini beliau dan seterusnya
menjadi firaun. Ankhesenamun menyatakan bahawa beliau enggan menjadi isteri Ay.
Suppiluliuma I pada awalnya memasang syak-wasangka terhadap permintaan
tersebut. Namun setelah melakukan penelitian lanjut dan mengesahkan bahawa
kandungan surat tersebut sememangnya benar. Beliau segera menghantar puteranya,
Zannanza ke Mesir. Malangnya, putera muda itu dibunuh semasa dalam
perjalanannya, berkemungkinan besar oleh bangsa Mesir.
![]() |
| Patung Tutankhamun dan Ankhesenamun di Kuil Luxor |
Oleh kerana itu,
Ankhesenamun pun terpaksa mengahwini Ay yang sudah tua bangka. Seandainya Ay
tidak mengahwininya, Ankhesenamun mungkin perlu menyertai harem yang dipenuhi
wanita janda, wanita sunyi, andartu dan wanita-wanita firaun yang malang.
Kehidupan di dalam harem tidaklah begitu bak bagi wanita yang berketurunan diraja.
Ankhesenamun mungkin tidak dapat bertahan lama dengan kelasakan bekerja di
harem. Sebilangan sejarahwan berpendapat bahawa Ay mengahwini gadis muda itu
untuk membantunya dan memberikannya kehidupan yang lebih baik berbanding
kebanyakan janda lain di Mesir Purba.
BAPA RATU NEFERTITI
YANG PRIHATIN
Nama Ay (it-netjer)
membawa maksud ‘Bapa Dewa’, namun pada hakikatnya, beliau mungkin lebih sesuai
disebut sebagai bapa dewi. Sekiranya Ay benar-benar bapa kepada Nefertiti, maka
apa yang diberikannya untuk Nefertiti adalah hal yang terbaik sehingga berupaya
menjadikan Nefertiti sebagai wanita yang paling berkuasa di zamannya. Faktor
yang menjadikan Nefertiti amat berkuasa dan berpengaruh masih lagi menjadi
sebuah misteri. Bukti menunjukkan bahawa Ay sangat dihormati dalam balairung
suami Nefertiti – iaitu Akhenaten. Akhenaten menugaskan Ay dengan banyak
pekerjaan seperti ‘Jurutulis Bertugas Diraja’, ‘Penjunjung Kipas di Sisi Kanan
Raja’, ‘Penjaga Kesemua Kuda Diraja’, dll. Sama seperti orang tuanya, Ay turut
diberikan izin daripada firaun untuk membina makamnya sendiri di permakaman
diraja.
![]() |
| Gambaran Akhenaten, Nefertiti dan tiga orang puteri mereka, batu kapur: Kerajaan Baru, zaman Amarna, dinasti ke-18; sekitar 1350SM |
Selepas Akhenaten
mangkat, Ay kembali ke Thebes. Beliau tidak berminat untuk mengamalkan
kepercayaan terhadap Dewa Aten, sama seperti yang dilakukan oleh puteri dan
menantunya di kota mereka – Amarna. Adakah Nefertiti masih hidup pada waktu
ini? Terdapat banyak teori yang dilontarkan berkenaan hal ini. Namun apa yang
pasti, Ay amat mengambil berat terhadap pemerintahan Semenkhkare dan
Tutankhamun. Sambil menantikan detik bersejarah yang menabalkannya sebagai
firaun, Ay merupakan seoran wazir yang setia dan penasihat yang bijaksana.
HUBUNGAN DENGAN
MENANTUNYA
Horemheb mengahwini
puteri kedua Ay, iaitu Mutnodjmet. Pada fasa awal perjalinan hubungan di antara
Ay dan Horemheb, mereka berdua kelihatan akrab. Namun, peredaran masa
menjadikan mereka sebagai seteru. Horemheb merupakan seornag pahlawan. Sebelum
mengenali Ay, beliau tidak memiliki cita-cita politik. Namun, berikutan
perkahwinan puteranya sekaligus kenaikan kedudukannya, Horemheb mula memasang
impian untuk menjadi firaun sesudah kemangkatan Tutankhamun. Firaun muda itu
sememangnya merupakan seorang kanak-kanak yang penuh berpenyakit, justeru umum
maklum bahawa beliau tidak dapat hidup lama.
Beberapa rekod menyatakan bahawa
hubungan di antara Horemheb dan Ay putus selepas Ay memerintahkan menantunya,
atau anak lelaki Horemheb keluar daripada kota, jauh daripada dunia politik.
Lalu,beliau menggunakan detik tersebut untuk mengatur pertabalan dirinya
sebagai firaun.
![]() |
| Perincian patung Horemheb, di Muzium Kunsthistorisches, Vienna |
Selepas Ay mangkat,
Horemheb pula yang menjadi firaun. Pada zaman pemerintahannya, beliau cuba
menghapuskan segala inskripsi yang cuba mengaitkan dirinya dengan Amarna.
Beliau tidak mahu dikaitkan dengan dunia lama, tempat beliau berasal. Mungkin,
beliau berhasrat dapat membina sebuah keluarga diraja yang baru, yang akan
memerintah Mesir selama berabad-abad lamanya. Namun, hajatnya ini tidak
kesampaian.
DI MANAKAH MUMIA AY?
Makam pertama Ay dibina
di Tell-el-Amarna, sebuah kota besar yang dibina oleh Akhenaten. Makam beliau
mengandungi versi gurindam pujian terpanjang buat Aten. Kemudian, Ay membina
makamnya di bahagian barat Lembah Raja-Raja. Makam tersebut kelihatan amat
mirip dengan makam Tutankhamun sekaligus mengisyaratkan bahawa ia dibina oleh
artisan yang sama. Makam ini pernah dijarah pada zaman dahulu. Sama seperti
makam Tutankhamun, hanya ruang pengebumian sahaja mempunyai lukisan.
![]() |
| Makam Ay di Theban |
Sarcofagus beliau
dipamerkan di Muzium Mesir di Kaherah selama beberapa tempoh, namun kini ia
diletakkan semula di makam. Namun, mumia Ay tidak pernah dijumpai. Sebahagian
penyelidik meyakini bahawa mungkin mumia beliau adalah Man C dari DB320.
Sebilangan penyelidik yang lain pula menyatakan bahawa beliau sudah pun boleh
dijumpai di Muzium Kaherah, namun sebagai mumia yang tidak berbungkus dan tidak
dikenali.
Penyelidikan sebelum
ini mengemukakan pendapat bahawa Horemheb berkemungkinan telah menghapuskan
mumia di sana untuk memastikan agar Ay tidak dapat memasuki alam selepas mati.
Namun, keadaan ini tidak cenderung berlaku. Seandainya mumia Ay dapat
ditemukan, banyak persoalan tentang kehidupannya, kematiannya, pemakanannya,
penyakitnya dan usianya dapat diketahui. Buat masa ini, firaun agung Ay masih
kekal menjadi salah satu misteri terbesar Mesir Purba.
SUMBER
- Brier, Bob. The Murder of Tutankhamun: A True Story. 1998.
- Desroches-Noblecourt, Christiane. Tutankhamun: Life and Death of a Pharaoh. 1963.
- Aldred, Cyril. Akhenaten: King of Egypt. 1991.
- www.kingtutone.com/pharaoh/ay/
- Get link
- X
- Other Apps




