- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (20 Julai 2014). The Magnificent Ishtar Gate of Babylon.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/magnificent-ishtar-gate-babylon-001866
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/magnificent-ishtar-gate-babylon-001866
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Gerbang Ishtar
merupakan gerbang kelapan bagi kota Babylon (terletak di Iraq moden) dan
merupakan gerbang utama bagi kota berkenaan. Reka bentuk gerbang ini amat
indah; gerbangnya diselaputi dengan batu-baya yang dikilaukan dengan lazuardi (lapis
lazuli). Relif singa, naga dan auroch yang berbaris dan bersilih-ganti di
bahagian kiri dan kanannya mewakili unsur para dewata yang berkuasa.
Relif-relif ini seakan-akan cuba menyampaikan mesej bahawa Babylon dilindungi
oleh dewa-dewa agung. Dalam erti kata lain, pihak yang cuba-cuba mencabar
kekuasaannya adalah pihak yang dangkal.
Gerbang yang megah ini
didedikasikan kepada Dewi Ishtar dan ia pernah disenaraikan sebagai salah
sebuah daripada Tujuh Keajaiban Dunia Purba sebelum tempatnya digantikan oleh
Rumah Api Iskandariah pada kurun ke-3SM. Pada hari ini, Gerbang Ishtar yang
telah dibina semula dengan menggunakan batu-bata asal bertempat di Muzium
Pergamon, Berlin.
Bangsa Babylon meraih
kuasa pada lewat kurun ke-7SM dan mereka merupakan pewaris tradisi-tradisi
urban yang sememangnya telah lama wujud di Mesopotamia selatan. Mereka
kemudiannya memerintah sebuah empayar sebagai kuasa dominan di Timur Dekat,
sebagaimana kedudukan itu disandang oleh bangsa Assyria sebelumnya. Zaman
tersebut dikenali sebagai Empayar Neo-Babylon memandangkan Babylon sebelum ini
pernah berkuasa jauh lebih awal dan menjadi sebuah negara kota yang merdeka,
terutama pada zaman pemerintahan Raja Hammurabi (1792-1750SM). Dengan
kebangkitan semula bangsa Babylon di bawah pemerintahan Nabopolassar, sebuah
era kegemilangan seni bina yang baru pun berlangsung dan puteranya,
Nebuchadnezzar II menjadikan Babylon sebagai salah sebuah keajaiban dunia
purba.
Raja Nebuchadnezzar II
(605-562SM) mengarahkan pembinaan Gerbang Ishtar pada tahun 575SM. Pembinaan
gerbang ini merupakan sebahagian daripada rancangannya untuk memperindahkan ibu
kotanya itu. Pada zaman pemerintahan beliau inilah Babylon menjadi salah sebuah
kota yang paling megah di dunia purba. Beliau turut memerintahkan pembinaan
semula perkarangan-perkarangan diraja, yang antara lain melibatkan pembinaan
semula ziggurat Etemenanki (Kuil Marduk). Malahan, beliau turut dikreditkan
dengan pembinaan Taman Tergantung Babylon yang dikatakan dibangunkan khusus
untuk isterinya, Amyitis.
![]() |
| Penciptaan semula di zaman moden bagi Gerbang Ishtar, Babylon yang masyhur yang turut menggambarkan kemegahan bangunan di dalam kota |
Gerbang Ishtar
berukuran hampir 12 meter tinggi dan mempunyai ruangan hadapan yang luas di
sebelah selatan. Bumbung dan pintunya diperbuat daripada kayu pokok sedar (cedar),
manakala batu-batu di sekelilingnya pula dihiasi dengan jubin-jubin yang
diandaikan sebagai lapis lazuli, iaitu batu berwarna biru yang dianggap
amat berharga sejak sekian lama lantaran warnanya yang galak.
Pintu gerbang ini juga
dilengkapkan dengan Laluan Perarakan, sebuah koridor sepanjang setengah batu di
mana batu-batunya berwarna merah dan kuning. Tembok Laluan Perarakan ini
memiliki ketinggian yang mencecah 15 meter di kedua-dua belah sisinya. Tembok
ini dihiasi dengan lebih 120 imej singa, kerbau, naga dan bunga dan ia
diperbuat daripada jubin-jubin berwarna kuning dan perang. Inskripsi-inskripsi
yang terdapat pada tembok ini antara lain turut mengandungi doa-doa yang
dipanjatkan oleh Raja Nebuchadnezzar kepada ketua dewa, Marduk. Laluan
Perarakan ini membawa orang yang melaluinya menuju ke kuil Marduk. Pada setiap
tahun, patung para dewata akan diarak melalui Gerbang Ishtar dan seterusnya
melalui Laluan Perarakan sebagai tradisi sambutan Tahun Baru.
![]() |
| Pembinaan semula Laluan Perarakan, dengan gambaran singa, naga dan kerbau berbaris memanjang |
![]() |
| Model kota di laluan perarakan utama (Aj-ibur-shapu) menuju ke Gerbang Ishtar di Babylon. Model dari Muzium Pergamon |
Semasa Babylon
menjalani kerja-kerja ekskavasi, ahli-ahli arkeologi menemukan sejumlah
serpihan batu yang berserta dengan tulisan kuneiform di kawasan sekitar Gerbang
Ishtar. Teks-teks tersebut ditafsir dan difahami menerusi kaedah perbandingan
dengan inskripsi-sempurna lain yang terdapat pada sebuah bongkah batu kapur.
Setelah selesai ditafsir, ahli arkeologi mendapati bahawa inskripsi tersebut
merupakan luahan daripada Raja Nebuchadnezzar II yang menerangkan tentang
pembinaan dan tujuan pembangunan gerbang tersebut:
“Aku, Nebuchadnezzar,
si Raja Babylon, si putera amanah yang dilantik menerusi kehendak Marduk, si
putera yang tertinggi daripada sekalian putera, (insan) yang disayangi oleh
Nabu si penasihat ulung, yang mempelajari hikmah, yang menyelami kemenjadian
dewata dan memuliakan keagungan mereka, si gabenor yang tidak (kenal erti)
lelah, yang sentiasa mengambil berat akan penjagaan kultus Esagila dan Ezida
serta sentiasa prihatin dengan kebajikan Babylon dan Borsipa, si ahli
bijaksana, si raja yang merendah diri, si penjaga Esagila dan Ezida, si putera
sulung kepada Nabopolassar…
Kedua-dua gerbang
Imgur-Ellil dan Nemetti-Ellil yang mengapit laluan (masuk ke) Babylon telah
menjadi rendah (rosak). Maka, aku pun runtuhkan gerbang-gerbang ini dan
meratakan foundasinya dengan asfalt dan batu-batu lalu membangunkan gerbang
yang diperbuat daripada batu-bata, dengan batu biru yang terdapat padanya
diperindahkan dengan gambaran kerbau-kerbau dan naga-naga.
Aku bumbunginya dengan
sedar-sedar (cedar) besar yan panjang. Aku gantungkan pintu-pintu sedar yang
dihiasi dengan gangsa pada seluruh ruangan gerbang. Aku letakkan kerbau liar
dan naga bengis pada gerbang masuk serta hiaskannya dengan kemegahan dan
kemewahan agar manusia yang melihatnya, melihat dengan penuh ketakjuban.
Aku arahkan agar kuil
Esiskursiskur (rumah keraian tertinggi bagi Marduk, si Raja Dewa, yang menjadi
sebuah tempat untuk bersuka ria dan berlangsungnya keraian bagi dewa utama dan
kecil) dibina teguh laksana gunung di Babylon, dengan diperbuat daripada asfalt
dan batu-bata yang dibakar.”
![]() |
| Inskripsi pada bangunan oleh Raja Nebuchadnezzar II |
Gerbang Ishtar yang
sebelum ini dikenali sebagai sebuah legenda ternyata merupakan sebuah realiti
sejarah apabila ia ditemui dan kemudiannya diekskavasi pada tahun 1902 sehingga
1914 Masehi oleh Robert Koldewey, seorang arkitek dan ahli arkeologi Jerman
yang menempa kemasyhuran dengan melakukan kerja-kerja ekskavasi yang terperinci
ke atas kota purba Babylon.
SUMBER
- MacAskill, E. (2002). Iraq appeals to Berlin for return of Babylon gate. The Guardian.
- Encyclopedia Britannica. (2014). Ishtar Gate.
- Wikipedia. The Ishtar Gate.
- Get link
- X
- Other Apps




