KEMENANGAN KE ATAS HUN: CATATAN MASYHUR YANG HILANG TENTANG KEMENANGAN DINASTI HAN DITEMUI BERUKIR DI GUNUNG MONGGOLIA

Pautan ke artikel asal:
Theodoros Karasavvas. (22 Ogos 2017). Victory Over the Hun: Famous Lost Account of Han Dynasty Triumph Found Carved onto Mongolian Mountain. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/victory-over-hun-famous-lost-account-han-dynasty-triumph-found-carved-021576

Penterjemah: Amir Zayyanid


Ahli-ahli arkeologi mendakwa bahawa mereka telah berjaya menemukan inskripsi kemenangan pasukan tentera purba China yang mana ianya diukir pada cenuram. Menurut pakar, inskripsi tersebut mengisahkan bagaimana Dinasti Han menewaskan puak nomad Hun.


INSKRIPSI MASYHUR DITEMUI

South China Morning Post melaporkan bahawa inskripsi yang diukir pada cenuram yang terletak di Monggolia yang dihasilkan pada tahun 89M telah ditemui oleh sepasukan ahli arkeologi dari Mongolia’s Genghis Khan University dan China’s Inner Mongolia University dalam sebuah ekspedisi arkeologi bersama yang berakhir pada 1 Ogos lalu. Dikenali sebagai ‘Inskripsi Kemenangan di Gunung Yanran’, tulisan-tulisan yang diukir di situ dihasilkan oleh seorang sejarahwan yang bernama Ban Gu, tepat di Pergunungan Khangai di Monggolia tengah.

Para penyelidik mengambil teks purba ‘Inskripsi Kemenangan di Gunung Yanran’ dari cenuram Monggolia


RIWAYAT HIDUP DAN SUMBANGAN BAN GU

Ban Gu (32-92M) adalah seorang sejarahwan dan penyair China purba yang menempa nama menerusi sumbangannya menghimpunkan Kitab Han, kitab sejarah kedua yang memerihalkan tentang 24 buah dinasti China. Beliau juga menulis sejumlah fu, iaitu tulisan yang sebahagian besarnya berbentuk sastera, sebahagiannya prosa dan sebahagian lagi adalah puisi, di mana tulisan sebegini secara khusus dapat dikaitkan dengan era Han.

Pada tahun 89M, Dou Xian mengetuai sepasukan tentera yang terdiri daripada 30 000 orang. Pasukan ini bermaksud untuk memerangi Xiongnu Utara di Monggolia moden, dan Ban Gu terlibat dalam menemani Dou Xian dalam ekspedisi ini. Pasukan tentera Dou Xian berjaya menewaskan Xiongnu di Pergunungan Jiluo. Untuk meraikan kemenangan tersebut, Dou Xian memerintahkan agar sebuah stele (prasasti) diukir pada Pergunungan Yanran. Ban Gu menamakan inskripsi tersebut sebagai ‘Inskripsi Kemenangan di Pergunungan Yanran.’

Pandangan jarak dekat sebahagian ukiran yang menceritakan tentang kekuatan ketenteraan China purba


Walaupun kepulangan Dou Xian disambut dengan penuh penghormatan lantaran kemenangannya ke atas Xiongnu, pada tahun 92M, Maharaja He mengesyakinya merancang pemberontakan dan ingin merampas takhta. Justeru, beliau pun menangkap Dou Xian dan menghalaunya ke kawasan terpencil. Di sana, Dou Xian dipaksa membunuh diri. Sebagai anggota yang turut mengiringi Dou Xian dalam ekspedisi berkenaan, Ban Gu juga ditangkap dan beliau meninggal dunia pada usia 60 tahun di penjara ibu kota.


PENEMUAN BARU MEMBERIKAN KEFAHAMAN TENTANG SEJARAH PURBA CHINA

Ahli-ahli arkeologi menyatakan dalam sidang media bahawa penemuan semula inskripsi ini mungkin dapat memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang zaman yang sangat penting dalam sejarah China, iaitu zaman di mana Dinasti Han berada di kemuncak kuasanya sehingga berupaya menghancurkan puak nomad Hun. Ketua arkeologis yang terlibat dalam penemuan itu, Professor Chimeddorji dari Universiti Monggolia Dalam memaklumkan kepada South China Morning Post bahawa pasukannya berjaya memuktamadkan penemuan itu setelah menjalankan penyelidikan rapi di tapak arkeologi berkenaan.

“Kami mengambil sejumlah gambar dan menggosok-gosok inskripsi (yang sudah berdebu itu) untuk memastikan apa yang cuba dimaksudkan oleh teks-teks tersebut,” ujarnya. Beliau turut menambah, “Kemudian, kami membandingkan setiap aksara yang diukir pada cenuram itu dengan teks yang terdapat dalam rekod-rekod sejarah. Lantas, kami mendapati bahawa 220 daripada 260 perkataan ganjil sepadan dengan teks tersebut. Menerusi pemerhatian yang dijalankan, kami menyimpulkan bahawa inskripsi tersebut ditulis oleh Ban Gu.”

Ban Gu merupakan seorang sejarahwan masyhur di China. Lukisan ini diambil dari sebuah buku tahun 1921


Chimeddorji bersikap optimis bahawa penemuan tersebut berupaya menambahkan lagi bukti-bukti yang dapat membantu sejarahwan untuk lebih memahami sejarah dan hubungan yang terjalin di antara China dan Monggolia. “Paling utama, penemuan ini mengesahkan ketepatan catatan-catatan sejarah Dinasti Han, terutama yang berkaitan dengan karya-karya Ban Gu,” jelas Chimeddorji kepada South China Morning Post. Beliau menyambung lagi, “Kini, kami dapat mengenal pasti lokasi tepat di mana Gunung Yanran purba berada dan jalur pergerakan puak Hun. Daripada sini, kita juga dapat menemukan lokas-lokasi sepadan serta mercu-mercu tanda lain yang direkodkan dalam teks-teks sejarah China dan kemudian, melakukan penyelidikan yang mendalam tentang bagaimana Han berjaya menewaskan Hun.”


KEMENANGAN DOU XIAN DAN IMPAKNYA YANG BERPANJANGAN

Kemenangan Dou Xian ke atas puak Hun memberikan impak yang besar dalam sejarah China lantaran ia menamatkan konflik di antara dua tamadun itu yang telah berlangsung berkurun lamanya, di samping memaksa puak Hun meninggalkan Dataran Monggolia. Walaupun catatan Ban Gu ini hilang daripada pengetahuan manusia selama beratus-ratus tahun, karyanya itu tidak pernah kehilangan pengaruhnya dalam budaya dan tradisi China. Pergunungan Yanran sentiasa dipandang sebagai simbol kekuatan dan kekuasaan. Inskripsi legenda Ban Gu ini juga terus dicari oleh ahli-ahli arkeologi selama lebih seribu tahun, sebelum ditemukan baru-baru ini.

Chimeddorji memaklumkan kepada South China Morning Post bahawa ada sepasukan ahli arkeologi Monggolia yang mendakwa telah menemukan inskripsi Ban Gu pada tahun 1990. Namun, jejak langkah pasukan arkeologi ini gagal disusuli oleh banyak pasukan ahli arkeologi dari Monggolia secara khusus dan dunia secara umum. Walau bagaimanapun, beliau dengan bangganya menyatakan bahawa pasukan arkeologisnya berjaya menemukan semula inskripsi legenda ini setelah mengatur rancangan perjalanan dan penerokaan dengan begitu berhati-hati, memakan masa lebih tiga tahun. Beliau juga mengatakan bahawa projek-bersama ini merupakan yang pertama di mana mereka turut melibatkan penutur bahasa China asli. Hal ini membantu pasukannya untuk menafsir serta menyokong teks-teks yang ditemui itu dengan sebaiknya.

Sebagai penutup bagi artikel ini, Gu Ruma, timbalan pengarah Pusat Penyelidikan Monggolia di Universiti Monggolia Dalam memaklumkan bahawa pasukan ahli arkeologi yang terlibat dalam ekspedisi tersebut kini sedang menyiapkan kertas penyelidikan berkenaan penemuan mereka itu dan ia akan dibentangkan di dalam mesyuarat tahunan Pertubuhan Penyelidikan Sejarah Monggolia (Mongolian Historical Studies Society) pada tanggal 25 Ogos.