- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (22 Oktober 2018). The Ilkhanate Had Only Two Goals: Conquest and
Power. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/ilkhanate-0010875
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/ilkhanate-0010875
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ilkhanate merupakan
salah satu daripada empat buah khanate yang muncul berikutan perpecahan
Empayar Monggol. Khanate ini diasaskan oleh Hulagu Khan, salah seorang
cucu Genghis Khan. Kekuasaan Ilkhanate berpanjangan daripada pertengahan kurun
ke-13 sehingga separuh pertama kurun ke-14 Masehi. Khanate ini
memusatkan kuasanya di Parsi dan wilayah naungannya meliputi Turki di sempadan
barat melebar sehingga ke barat laut sub-benua India di sempadan timur. Sama
seperti khanate-khanate yang lain, Ilkhanate turut menumpukan
kewujudannya pada dua matlamat utama – iaitu penaklukan dan kuasa.
SEJARAH AWAL ILKHANATE
Permulaan Ilkhanate
dapat dijejak kembali pada kempen penaklukan Genghis Khan ke atas Empayar
Khwarazmi yang berlangsung dari tahun 1219 sehinga 1224 Masehi. Kempen tersebut
menandakan bermulanya serangan Monggol ke atas negara-negara Islam di Timur
Tengah. Dengan pelancaran kempen penaklukan ini, pasukan tentera Monggol
terus-menerus meluaskan kekuasaan mereka di rantau berkenaan. Tanggungjawab
untuk melebarkan pengaruh Monggol di Timur Tengah diserahkan kepada para panglima
terkemuka empayar dan menjelang pertengahan kurun ke-13, sebahagian besar Parsi
tumbang di tangan Monggol.
Pada tahun 1255 atau
1256 Masehi, sebuah ekspedisi baru dilancarkan oleh Monggol ke Timur Tengah.
Pucuk kepimpinan bagi ekspedisi ini diletakkan pada bahu seorang ahli kerabat
Monggol sendiri. Pada tempoh masa itu, Empayar Monggol diperintah oleh Dinasti
Toluid. Khan Agung yang berkuasa ketika itu, iaitu Mongke Khan merupakan putera
sulung Tolui (putera keempat Genghis Khan bersama isteri pertamanya, Borte).
Justeru, tugas untuk menundukkan negara-negara Islam dan mara ‘jauh ke
sempadan Mesir’ diserahkan kepada saudaranya, Hulagu Khan. Keadaan ini mungkin
boleh dianggap sebagai kelahiran Ilkhanate.
![]() |
Hulagu Khan, pengasas Ilkhanate bersama isterinya, Ratu Doquz Khatun yang menganut agama Kristian
|
ILKHANATE PARSI
Kempen ketenteraan
Hulagu Khan ini mempunyai sejumlah objektif. Antara lain adalah untuk
menundukkan kaum Lur (masyarakat yang menghuni bahagian selatan Iran),
menghapuskan Hashashin, serta menundukkan atau menghancurkan Kekhalifahan
Abbasiyah yang berpusat di Baghdad, Dinasti Ayyubiah di Syria dan Kesultanan
Mamluk Bahri di Mesir. Diperkirakan bahawa dua daripada 10 orang tentera di
seluruh empayar diberikan kepada Hulagu sekaligus membentuk pasukan tentera
Monggol paling besar pernah dihimpunkan oleh mereka. Kaum Lur dengan mudah
berjaya ditewaskan oleh Hulagu Khan dan reputasi Monggol membuatkan Hashashin
yang kegerunan menyerahkan kubu kebal mereka, Alamut tanpa berperang.
Hulagu Khan seterusnya
menyasarkan Kekhalifahan Abbasiyah. Beliau memulakan kempen ketenteraannya itu
pada bulan November 1257. Mereka menuntut agar Khalifah menyerah diri. Namun
memandangkan beliau enggan berbuat demikian, maka Hulagu pun mengepung Baghdad,
ibu kota Abbasiyah. Baghdad tumbang pada bulan Februari 1258 dan pasukan
tentera Monggol membunuh habis para penghuninya. Kehancuran Kekhalifahan
Abbasiyah di tangan Monggol ini sering dianggap sebagai salah satu episod
paling duka buat sejarah Islam. Pasukan tentera Monggol kemudiannya
menghancurkan pula Dinasti Ayyubiah di Syria, dengan bantuan sekutu-sekutu
Kristian mereka.
![]() |
| Pengepungan Alamut pada 1256 |
Dengan kehancuran
Kekhalifahan Abbasiyah dan Dinasti Ayyubiah, satu-satunya kuasa Islam yang
masih berbaki di Timur Tengah adalah Kesultanan Mamluk Bahri di Mesir. Namun,
sebelum sempat Hulagu melancarkan kempen memerangi mereka, beliau terpaksa
kembali ke Karakorum, ibu kota Monggol. Hal ini kerana Mongke Khan telah
meninggal dunia pada tahun 1259 dan Hulagu dipanggil pulang untuk mengambil
bahagian dalam pemilihan Khan Agung baru.
Makanya, ketumbukan
tentera Monggol pun beredar bersama Hulagu dan sekitar 10 000 orang tentera
ditinggalkan di bawah kepimpinan panglima Kitbuqa di Syria untuk berperanan
sebagai pasukan yang mengawal wilayah-wilayah Timur Tengah yang telah dikuasai.
Pasukan tentera Mamluk mengambil kesempatan ke atas situasi ini dan selepas
Hulagu Khan meninggalkan Timur Tengah, mereka segera memukul tentera Monggol.
Pada tahun 1260, pasukan tentera Mamluk memerangi dan menewaskan tentera
Monggol dalam Pertempuran Ayn Jalut. Pertempuran ini merupakan titik pengubah
yang penting dalam sejarah dunia dan Islam, memandangkan ia menandakan tamatnya
perluasan kuasa Monggol di Timur Tengah.
![]() |
| Hulagu dan pasukan tenteranya. ‘Jami’ al-Tawarikh’, Rashid al-Din |
ILKHANATE VS ORDA EMAS
Selepas selesainya
acara pemilihan Khan Agung yang baru, Hulagu Khan pun kembali ke Timur Tengah
dan menyusun perancangan untuk menyerang Mamluk bagi membalas dendam di atas
kekalahan yang dialaminya di Ayn Jalut. Walau bagaimanapun, Ilkhanate
berhadapan dengan seranan Orda Emas di Caucasus. Antara punca berlakunya
konflik ini adalah Berke Khan, pemimpin Orda Emas pada waktu itu adalah seorang
Muslim yang berhasrat untuk menghukum Hulagu di atas kehancuran Baghdad.
Lantaran itu, Ilkhanate
terpaksa melupakan hasratnya untuk memerangi Mamluk demi menumpukan perhatian
terhadap peperangan menentang Orda Emas. Perpecahan Empayar Monggol mendorong
berlakunya lebih banyak konflik sebegini dan sebagai susulan, Ilkhanate tidak
berpeluang untuk meluaskan lagi wilayahnya lebih jauh ke barat.
![]() |
| Lukisan era Timurid oleh Muhammad ibn Mahmudshah al-Khayyam Iran, tentang seorang pemanah berkuda Ilkhanid, awal kurun ke-15 |
ILKHANATE MEMELUK AGAMA
BARU
Hulagu Khan meninggal
dunia pada tahun 1265 dan kedudukannya diwarisi oleh puteranya yang bernama
Abaqa Khan. Menjelang penghujung kurun ke-13 Masehi, para pemerintah Ilkhanate
memeluk agama Islam, walaupun mereka mencampur-adukkan ajaran Sunni dan Syiah.
Abu Sa’id Bahadur Khan, pemerintah terakhir Ilkhanate, mangkat pada tahun 1335
tanpa meninggalkan pewaris. Oleh kerana itu, kesatuan khanate pun hancur
dan putera-putera Monggol berbondong-bondong menguasai wilayah-wilayah
Ilkhanate sehingga tahun 1353.
SUMBER
- Global Security. 2011. Ilkhan Mongols.
- New World Encyclopedia. 2018. Hulagu Khan.
- New World Encyclopedia. 2018. Il-Khan dynasty.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2016. Hulegu.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. Il-Khanid dynasty.
- Get link
- X
- Other Apps




