- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (25 Ogos 2018). The Great City of Uruk Became Sumerian Powerhouse
of Technology, Architecture and Culture. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/uruk-sumerian-003653
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/uruk-sumerian-003653
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sebagai kota halaman
tempat Gilgamesh lahir dan memerintah, Uruk merupakan sebuah pusat urbanisasi
dan pembentukan negara pada milenium ke-4 Sebelum Masehi. Dalam Epik Gilgamesh,
Raja Gilgamesh direkodkan telah membina tembok monumental bagi kota ini.
Berkemungkinan terdapat kebenaran di sebalik legenda itu, memandangkan
tembok-tembok tersebut serta struktur-struktur kota yang lain telah pun ditemui
oleh ahli-ahli arkeologi.
DI MANAKAH URUK?
Uruk merupakan salah
sebuah kota yang paling penting di Mesopotamia Selatan. Kota ini terletak
kira-kira 241km (150 batu) arah selatan dari Baghdad, ibu kota Iraq moden. Di
zaman purba, Uruk berlokasi di tebing timur bagi sebuah selat dari Sungai
Furat. Namun, merentas milenium, selat tersebut mengering dan laluannya berubah
menjauhi kota itu sekitar 19km (12 batu).
![]() |
| Pemandangan umum tapak arkeologi Uruk di Warka, Iraq |
Kota purba Uruk turut
dikenali dalam Bahasa Arab sebagai Tell al-Warka dan dalam Bahasa Aramia/Ibrani
pula disebut sebagai Erech. Tapak Uruk dipercayai telah dihuni seawal zaman
Ubaid (yang berlangsung pada milenium ke-7 sehingga milenium ke-4SM). Walapun
sejarah Uruk mungkin dapat dijejak kembali secara arkeologinya pada milenium
ke-6SM, atau mungkin sedikit jauh lebih awal, kegemilangan kota ini hanya
berlaku pada tahun 3800SM. Memandangkan Uruk menjadi pusat utama urbanisasi dan
pembentukan negara bagi tamadun Mesopotamia, maka tempoh yang bermula secara
kasar dari tahun 3800 sehingga 3200 Sebelum Masehi dikenali sebagai Zaman Uruk.
ZAMAN URUK
Zaman Uruk dicirikan
dengan pembentukan negara-negara kota pertama di Mesopotamia. Pada zaman Ubaid
yang berlangsung lebih awal, kampung-kampung didirikan di Mesopotamia selatan.
Kampung-kampung ini kemudiannya berkembang menjadi pekan ataupun bandar.
Pengurbanisasian sebegini terus berlanjutan dengan Uruk mendahului kesemua pekan
atau bandar lain. Urbanisasi kota purba ini dapat dibuktikan menerusi
penghasilan seni bina monumentalnya.
![]() |
| Meterai silinder Jasper: singa-singa raksasa dan helang-helang berkepala singa, Mesopotamia, zaman Uruk (4100SM-3000SM) |
Sebagai contoh, raja
legenda Gilgamesh secara tradisinya dikreditkan sebagai raja yang
bertanggungjawab membina tembok kota Uruk. Tembok-tembok kota yang ampuh ini
ada disebutkan di dalam Epik Gilgamesh, di mana si raja-perwira itu meminta
Ur-shanabi (versi Mesopotamia bagi Charon dalam mitologi Yunani) untuk
memeriksa keindahan tembok berkenaan. Sebahagian daripada tebok kota itu
berjaya ditemukan semasa ekskavasi-ekskavasi yang dilakukan pada awal abad
ke-20. Struktur-struktur monumental lain yang terdapat di Uruk antaranya
seperti Ana Ziggurat, beberapa buah kuil besar yang lain, dan juga
bangunan-bangunan pentadbiran.
![]() |
| Sebahagian daripada bahagian hadapan kuil Inanna di Kara Indasch, Uruk |
EKSKAVASI DI KOTA
MESOPOTAMIA
Uruk telah menjalani
penggalian dan ekskavasi terutama oleh pasukan-pasukan arkeologi Jerman.
Kerja-kerja arkeologi mereka di tapak berkenaan telah membantu meningkatkan
lagi kefahaman kita tentang kota purba tersebut. Selain daripada seni bina
monumental yang terdapat di tapak kota itu, bukti-bukti arkeologi lain yang
ditemukan turut membuktkan kegemilangan Uruk pada milenium ke-4SM. Misalnya, di
dalam kota inilah dijumpai bukti awal penulisan dalam bentuk gambaran ringkas
yang diukir pada tablet-tablet tanah liat. Barangan mewah dari wilayah-wilayah jauh
turut ditemui sekaligus mengisyaratkan kepada kita bahawa kota purba Uruk telah
pun menjalinkan hubungan perdagangan dengan kuasa-kuasa luar. Tambahan lagi,
artifak-artifak yang dijumpai memberikan petanda bahawa para pemerintah Uruk
menjalankan suatu polisi perluasan pengaruh secara agresif.
![]() |
| Patung lelaki, mungkin Lugal-kisal-si, raja Uruk. Batu kapur, zaman awal Dinasti Ke-III, dari Adab (Bismaya) |
BUKTI PERLUASAN
PENGARUH URUK
Pada mulanya, perluasan
pengaruh Uruk hanya bertumpu pada bahagian barat daya dataran Iran yang
terletak di sebelah timur Mesopotamia. Di Susa (sebuah kota yang terletak
kira-kira 250km atau 155 batu arah timur dari Uruk) misalnya, dijumpai
mohor-mohor seramik dan bullae (alat pengira). Objek-objek ini
dipercayai digunakan bagi tujuan pentadbiran dan konsep kefungsian objek
sebegini mungkin dibawa masuk ke situ oleh penduduk Uruk.
Ahli arkeologi turut
berpendapat bahawa perluasan pengaruh Uruk melebar lebih jauh. Sebagai contoh,
bukti-bukti kebudayaan Uruk ada dijumpai di tapak-tapak yang terletak di
kawasan sejauh Syria dan bahagian tenggara Anatolia. Status
petempatan-petempatan ini masih lagi menjadi subjek perdebatan dalam kalangan
sejarahwan, memandangkan terdapat pelbagai pandangan yang dilontarkan berkenaan
tapak-tapak tersebut.
Sebahagian sejarahwan
berpandangan bahawa tapak-tapak tersebut merupakan koloni atau pos-pos
perdagangan yang dibangunkan oleh penduduk Uruk, manakala sebilangan sejarahwan
lain pula berpendapat bahawa petempatan tersebut didirikan sendiri oleh
penduduk tempatan yang cuba meniru kebudayaan Uruk.
Kegemilangan Uruk
kemudiannya mengalami pasang surut pada milenium berikutnya. Pada suatu waktu,
Uruk berupaya mengekalkan kemerdekaannya sementara dalam tempoh lain pula, kota
purba itu terpaksa tunduk di bawah kekuasaan para pemerintah asing. Uruk terus
menjadi sebuah kota yang signifikan bagi pelbagai ketamadunan yang datang
memerintah Mesopotamia, seperti bangsa Akkadia, Assyria, Achaemenid dan
Seleucid. Kota itu kemudiannya ditinggalkan sepenuhnya pada kurun ke-2 Masehi.
SUMBER
- Anon. The Epic of Gilgamesh. [Dalley, S. (trans.). 2008. The Epic of Gilgamesh, in Myths from Mesopotamia, Creation, the Flood, Gilgamesh, and Others. Oxford: Oxford University Press.
- Hays, J. 2013. Sumer, Sumerians, Uruk, Nippur and Ur.
- Hirst, K. K. 2017. Uruk-Mesopotamian Capital City in Iraq.
- Pike, J. 2018. Uruk.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2014.
- The Metropolitan Museum of Art. 2003. Uruk: The First City.
- Crystalinks.com 2018. Uruk.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Uruk – Antara Kota Terawal Dunia Berusia 6000 Tahun’
- Get link
- X
- Other Apps





