- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (14 Mei 2016). Lozen: An Intelligent and Brave Apache Warrior
Woman. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/lozen-intelligent-and-brave-apache-warrior-women-005889
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/lozen-intelligent-and-brave-apache-warrior-women-005889
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Lozen merupakan seorang
pahlawan wanita dari kaum Chiricahua Apache (juga dikenali sebagai Members
of Warm Spring Apache) yang hidup pada kurun ke-19. Selain daripada
kegagahannya sebagai seorang pahlawan, Lozen juga menempa nama sebagai seorang
ahli strategi ketenteraan yang cekap dan cukup mahir dalam bidang perubatan.
Tambahan lagi, Lozen juga berperanan sebagai ketua kerohanian masyarakatnya dan
menurut legenda, beliau memiliki keupayaan-keupayaan spiritual yang
membolehkannya mengesan pergerakan musuh sekaligus membantunya mengatur
strategi. Sebilangan pihak malah menggelarnya sebagai ‘Joan of Arc Apache’.
LOZEN – SATU GELARAN
Nama ‘Lozen’ hakikatnya
adalah satu gelaran perang kaum Apache yang diberikan kepada seseorang yang
mencuri sejumlah kuda semasa berperang. Dikatakan bahawa pada masa-masa
kehidupan Lozen, ramai anggota masyarakat Apache menggunakan gelaran atau nama
timangan dan jarang menggunakan nama sebenar. Hal ini kerana terdapat
kepercayaan yang mengatakan bahawa dengan berbuat demikian, mereka dapat
memelihara kuasa spiritual. Nama sebenar Lozen tidak lagi diketahui,
setidak-tidaknya dalam lingkungan umum.
Lozen dilahirkan pada
1840an, mungkin sekitar pertengahan ataupun lewat dekad berkenaan. Tempat lahir
Lozen dipercayai terletak di suatu lokasi di New Mexico / Arizona /Mexico
Utara, yang pada waktu dahulu dipanggil sebagai Apaceria. Saudar Lozen sendiri
merupakan ketua tentera Apache yang masyhur, bernama Victorio.
![]() |
| Victorio si ketua Chiricahua Apache, sekitar 1875 |
Sebagai gadis muda,
Lozen dikatakan tidak berminat terhadap peranan-peranan tradisional yang
dimainkan oleh kaum wanita puaknya, seperti kerja-kerja menguruskan rumah dan
sebagainya. Sebaliknya, beliau lebih bersemangat untuk mempelajari seni
mempertahankan diri dan menjalani kehidupan sebagai pahlawan. Dikatakan bahawa
Lozen dilatih dalam bidang-bidang yang lasak seperti itu di bawah tunjuk ajar
saudaranya sendiri, Victorio. Selain daripada seni bela diri, Lozen juga
mempelajari ilmu perubatan sehingga beliau mampu berperanan tidak hanya sebagai
seorang pahlawan, tetapi juga sebagai ahli perubatan.
KEUPAYAAN-KEUPAYAAN
LOZEN
Menjelang usia 20
tahun, Lozen menjadi seorang yang mahir mencuri kuda sekaligus hal ini
berkemungkinan menjadi faktor melekatnya gelaran ‘Lozen’ pada dirinya. Tambahan
lagi, Lozen sangat mahir dalam menunggang kuda, menembak dan mengatur strategi.
Beliau berperang di sisi saudaranya dan sering duduk di sebelahnya semasa
berada dalam mesyuarat-mesyuarat penting. Victorio sering menyatakan bahawa
Lozen adalah “tangan kanannya, gagah seperti lelaki, lebih berani berbanding
kebanyakan lelaki dan licik dan menyusun strategi. Lozen adalah perisai bagi
masyarakatnya.”
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan Lozen |
Lozen juga didakwa
dikurniakan dengan keupayaan untuk mengesan pergerakan musuh-musuhnya. Menurut
legenda, Lozen berupaya merenggangkan tangannya dengan telapak tangan menghadap
ke langit. Kemudian, beliau akan mengikuti Matahari sambil memanjatkan doa
kepada Ussen, si Dewata Pencipta Hidupan bagi kaum Apache. Kononnya, apabila
Lozen merasakan denyutan pada tangannya dan apabila telapak tangannya
menghitam, maka beliau akan dapat mengetahui daripada arah mana musuhnya akan
datang. Dengan berbekalkan keupayaan ini, Lozen membantu masyarakatnya untuk
mengelak daripada ditangkap oleh musuh.
MELARIKAN DIRI DARI
KAWASAN SIMPAN SAN CARLOS
Apapun, pada tahun
1870, kaum Apache diusir dari tanah air mereka dan digiring agar menghuni
kawasan simpan. Lozen dan masyarakatnya ditempatkan di Kawasan Simpan San
Carlos, di mana pada tahun 1877, mereka mengambil keputusan untuk melarikan
diri dari terus berada di situ, yang berkondisi sangat teruk. Mereka berjaya
kembali semula ke tanah air mereka, namun terpaksa berperang demi
mempertahankan kemerdekaan. Dua tahun kemudian, mereka digiring sekali lagi ke
sebuah kawasan simpan lain. Victorio, Lozen dan pahlawan-pahlawan Apache yang
lain terus menentang pihak yang menindas mereka.
![]() |
| Rumah perlindungan di San Carlos, Arizona sekitar 1880 |
BERGABUNG KEKUATAN DENGAN
GERONIMO
Pada tahun 1880,
Victorio terkorban dalam sebuah pertempuran. Lozen dan sekumpulan kecil
pahlawan Apache berhasrat untuk menuntut bela di atas kematian beliau. Lantas,
mereka pun melancarkan serangan di seluruh New Mexico dan Arizona. Kemudian,
Lozen dan pahlawan-pahlawannya bergabung kekuatan dengan Geronimo, seorang lagi
ketua tentera Apache. Tatkala Geronimo menyerah diri kepada kekuatan Amerika
pada tahun 1886, para pengikutnya, termasuklah Lozen diusir ke Florida dan
seterusnya ke Alabama.
![]() |
| Lozen dan Dahteste (duduk bersama di sebelah atas) bersama Geronimo |
Kaum Apache tidak dapat
membiasakan diri dengan keadaan cuaca di tanah baru yang dihuni oleh mereka.
Lantaran itu, dikatakan bahawa ramai daripada mereka meninggal dunia akibat penyakit
diftera (radang kerongkong) dan tuberkulosis (batuk kering). Lozen sendiri
tidak terkecuali daripada menjadi mangsa serangan penyakit itu dan akibatnya,
beliau meninggal dunia pada tahun 1889 akibat tuberkulosis. Dipercayai bahawa
jasadnya disemadikan di Alabama, di sebuah kubur yang tidak bertanda.
SUMBER
- Cleere, J. 2015. Western Women: Lozen fought alongside Victorio, Geromino.
- Manataka American Indian Council. 2016. Apache Women in History.
- Native Languages of the Americas. 2015. Lozen: Apache Warrior Woman.
- Romana, A. 2016. Lozen: The badass warrior woman you’ve probably never heard of.
- Great Dreams. 2016. Apache Indians Leaders.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Lozen – Pahlawan Wanita Apache Yang Gagah Dan Bijaksana’
- Get link
- X
- Other Apps




