- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (20 Januari 2020). Mada’in Saleh: Saudi Arabia’s Abandoned Nabatean
City. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mada-saleh-0013171
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mada-saleh-0013171
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Walaupun
runtuhan-runtuhan arkeologi mungkin bukanlah hal pertama yang akan terlintas
dalam fikiran seseorang apabila membayangkan tentang Arab Saudi, pada
hakikatnya ia memiliki banyak tapak bersejarah yang amat mengagumkan. Mada’in
Saleh, yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO mengandungi
banyak monumen dan makam. Ia merupakan lokasi pertama di Arab Saudi yang meraih
signifikasi sebegini. Mada’in Saleh pernah menjadi kota kedua paling penting
bagi ketamadun Arab pra-Islam yang paling penting, iaitu tamadun Nabatea.
SEJARAH MADA’IN SALEH
Keadaan di Arab Saudi
tidaklah sentiasa gersang sebagaimana pada hari ini. Tamadun-tamadun purba
berupaya berkembang sehingga mencapai kegemilangan. Pada suatu masa sekitar
tahun 800SM, bangsa Assyria menyedari kebangkitan sebuah masyarakat Arab yang
dikenali sebagai Tsamud, yang dipercayai telah menubuhkan petempatan pertama di
Mada’in Saleh. Menurut al-Qur’an, mereka adalah masyarakat pagan. Allah
mengutus Nabi Saleh untuk memberikan peringatan kepada kaum Tsamud. Namun,
mereka enggan mendengar. Lantaran itu, mereka pun dibinasakan dan hanya
golongan yang beriman dengan kepercayaan yang benar sahaja terselamat.
![]() |
| Tarahan-tarahan di batu pasir yang terdapat di Mada’in Saleh, Arab Saudi |
Pada kurun ke-3 dan
ke-2 Sebelum Masehi, kebudayaan Dedan (juga dikenali sebagai Lihyan) menghuni
tapak ini dan meninggalkan banyak contoh pertukangan batu di kawasan tersebut.
Mereka mengubah Mada’in Saleh menjadi sebuah kota kafilah di mana para pedagang
berhenti berehat dan menjual barangan yang dibawa oleh mereka.
Kaum Nabatea menghuni
kota ini pada kurun pertama Sebelum Masehi. Mereka pada asalnya adalah kaum
nomad yang menubuhkan sebuah kerajaan yang berkuasa di Sinai dan sebahagian
daripada Jordan moden di barat laut Semenanjung Arab. Di bawah pemerintahan
kaum Nabatea, petempatan Mada’in Saleh berkembang menjadi sebuah kota yang
megah. Mereka membangunkan sebuah sistem pengairan yang berasaskan pengumpulan
hujan di dalam tangki-tangki. Hal ini membantu perkembangan sektor pertanian
mereka.
Mada’in Saleh menjadi
kota kedua paling penting bagi kerajaan Nabatea, yang ibu kotanya adalah kota
masyhur Petra di Jordan. Kaum Nabatea merujuk Mada’in Saleh sebagai Hegra dan
ia berkembang begitu mewah lantaran ia memonopoli perdagangan rempah dan
setanggi.
![]() |
| Tapak arkeologi Mada’in Saleh, Arab Saudi |
Pada tahun 106M,
pasukan legion Rom di bawah kepimpinan Maharaja Trajan menguasai kerajaan
tersebut dan mengubahnya menjadi wilayah naungan mereka di Semenanjung Arab.
Mengubah laluan-laluan perdagangan membawa maksud kota kafilah Mada’in Saleh mula
mengalami keruduman. Pada zaman awal Islam, populasi kota lama itu sudah pun
berkurangan dan ia hanya berfungsi sebagai salah sebuah pos berehat dalam
laluan jemaah haji.
Menjelang Zaman
Pertengahan, Mada’in Saleh ditinggalkan. Namun, Uthmaniyah kemudiannya membina
sebuah kubu di kawasan berkenaan. Pun begitu, kubu ini musnah semasa Perang
Dunia Pertama. Ahli-ahli arkeologi mula meneroka tinggalan kota ini pada kurun
ke-19.
KEINDAHAN MADA’IN
SALEH, ARAB SAUDI
Kota kafilah ini secara
kasarnya terletak di titik tengah antara Mekah dan Petra. Ia berlokasi di
dataran rata, berhampiran sebuah oasis. Kawasan ini turut ditandakan dengan
batu-batu pasir yang menjadi sebahagian daripada Pergunungan Hijaz.
![]() |
| Ruangan yang berfungsi sebagai rak yang ditarak di makam-makam yang terdapat di Mada’in Saleh |
Mada’in Saleh yang
sering dirujuk sebagai al-Hijri oleh warga Arab Saudi tempatan, memiliki
runtuhan-runtuhan yang sama seperti yang terdapat di Petra. Terdapat empat buah
necropolis di kawasan yang meliputi kawasan seluas lebih 8 batu (12km).
Lebih 130 buah makam diukir pada batu terdapat di sana, dengan setiap satunya
dihiasi secara terperinci dengan tulisan Nabatea yang menandakan status sosial
serta pangkat ketentaraan yang dimiliki oleh si mati. Sebahagian daripada
makam-makam yang lebih terkemudian mempunyai inskripsi dalam bahasa Latin.
Teks-teks ini amat berharga memandangkan kaum Nabatea tidak meninggalkan
sebarang catatan sejarah bertulis yang terperinci tentang tamadun mereka
sendiri.
Kebanyakan makam sudah
pun mengalami hakisan yang teruk akibat tiupan angin gurun. Namun, ruangan
dalam masih boleh dilihat dengan sempurna memandangkan ianya kosong. Sebuah
kawasan keagamaan di mana dewata Nabatea, iaitu Dushara dipuja. Kawasan ini
ditutup oleh sebuah tembok bata-jemur. Sebuah koridor sempit yang diperindah
dengan sejumlah kuil purba turut ditarah pada dua buah batu tinggi dan koridor
ini membawa pengunjung menuju ke sebuah balairung.
![]() |
| Deretan makam di Mada’in Saleh |
Terdapat sejumlah
perigi yang dahulunya pernah menjadi sebahagian daripada sistem pengairan kaum
Nabatea yang membantu kota kafilah itu berkembang pesat walau berada di
tengah-tengah gurun. Daripada sekitar 60 buah perigi yang ada, sebahagian
daripadanya memiliki ketinggian yang mencecah 20 kaki (7m) dan ditarah pada
batu. Sebilangan yang lain pula dibina di permukaan tanah dan disokong dengan
bongkah-bongkah batu yang membentuk dinding di sekelilingnya. Di tengah-tengah
tapak ini terdapat sejumlah rumah batu jemur yang sudah pun musnah.
MERASAI PENGALAMAN DI
MADA’IN SALEH, ARAB SAUDI
Oleh kerana visa bagi
orang-orang bukan Islam untuk memasuki Arab Saudi amat sukar didapatkan, maka
tapak Mada’in Saleh tidak dikunjungi oleh pelancong yang datang secara
bergerombolan sekaligus menjadi faktor ianya terpelihara dengan baik, di
samping faktor cuaca yang kering.
Mada’in Saleh terletak
berhampiran al-‘Ula di Wilayah Madinah. Pengunjungi boleh menempah pakej
pelancongan ke tapak bersejarah tersebut, namun bagi para pengembara yang lebih
berani dan gemarkan cabaran, mereka juga boleh menyewa kenderaan dan mengembara
sendiri ke lokasi itu. Sejumlah bayaran turut dikenakan untuk meneroka tapak
bersejarah ini dan maklumat-maklumat yang diperlukan ada disediakan oleh para
petugas untuk para pengunjung.
SUMBER
- Khairy, N. I. (2011). The Mada’in Saleh Monuments and the Function and Date of the Khazneh in Petra. Palestine Exploration Quarterly. 143(3), 167-175.
- Nehme, L. Villeneuve, F. Al Talhi, D. Al Anzi, A. Bouchaud, C. Charloux, G… & Al Hajiri, M. (2011). Report on the second season (2009) of the Mada’in Salih Archaeological Project.
- Saleh, M. (2013). Honeycomb weathering of sandstone outcrops at Al-Hijr (Mada’in Salih), Saudi Arabia.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Mada’in Saleh – Kota Umat Nabi Salleh?’
- Get link
- X
- Other Apps




