- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Oliver. (20 Mei 2018). The Chinese Emperor Who Built a Lake of Wine and a
Forest of Meat. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/chinese-emperor-built-lake-wine-and-forest-meat-0010076
https://www.ancient-origins.net/history/chinese-emperor-built-lake-wine-and-forest-meat-0010076
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pemerintah terakhir
Dinasti Shang terkenal sebagai seorang pemerintah yang gemar bersenang-lenang.
Tatkala beliau dan permaisurinya ingin menyenangkan diri, mereka akan
mengunjungi istananya yang mewah dan menikmati arak daripada kolam arak buatan.
Panggilan ‘kolam arak’
ini bukanlah suatu metafora dan sama sekali tidak memaksudkan bahawa saiznya
kecil. Dikatakan bahawa kolam arak milik Raja Zhou Xin ini terbentang seluas
dua kilometer. Saiznya cukup besar sehinggakan raja boleh sahaja menempatkan
perahunya di dalam kolam tersebut dan mendayungnya.
Di tengah-tengah kolam
ini tedapat sebuah pulau buatan yang dilengkapi dengan hutan daging.
Pokok-pokok di sana diperbuat daripada batang-batang pencucuk daging. Manakala
dahan-dahannya pula dibentuk oleh kepingan-kepingan tebal daging ayam, lembu
dan khinzir. Raja Zhou Xin seringkali menghabiskan masanya dengan mendayung
perahu, mencedok dan meneguk arak daripada kolam itu dan memetik dan menikmati
daging enak daripada dahan-dahan yang bergantungan.
Kemewahan istana milik
Raja Zhou Xin ini tidak pernah disaksikan di mana-mana ceruk dunia dan
pesta-pesta yang diadakan di dalamnya boleh dikatakan secara keseluruhan
merupakan pesta liar yang melibatkan peminuman arak dan seks bebas. Dicatatkan
bahawa pesta-pesta tersebut lazimnya dihadiri oleh sehingga 3000 orang hadirin
yang kesemuanya berkeadaan telanjang, sesuai dengan peraturan yang ditetapkan
oleh raja.
Lebih daripada itu,
raja juga lazim mengarahkan mereka agar meminum arak daripada kolam dengan gaya
yang saling tidak tumpah seperti haiwan. Kalau tidak meneguk arak, mereka
disuruh menyelam atau berenang di dalam kolam tersebut. Tidak kurang juga ada yang
saling berkejaran, memeriahkan pesta liar yang dipenuhi dengan kelucahan itu.
Dalam kelangsungan pesta-pesta sebegini, si raja dan permaisurinya akan
mengambil tempat di tengah-tengah hadirin sambil berkeadaan mabuk.
![]() |
| Raja Zhou gemar meluangkan masanya di atas kolam arak miliknya |
PERMAISURI DAJI
Dikatakan bahawa Raja
Zhou Xin sebenarnya merupakan seorang raja yang baik, paling tidak, semasa
tahun-tahun awal pemerintahannya. Beliau meraih reputasi sebagai seorang
pemerintah yang bijaksana dan bersifat tenang. Jika dibandingkan perwatakannya
pada tahun-tahun awal, ia sememangnya berbalikan dengan perwatakannya di usia
lanjut yang gemar bersenang-lenang di kolam arak.
Sebaik usianya
meningkat tua, Raja Zhou Xin menjadi seorang yang mabuk kuasa. Sukar untuk
mengemukakan secara pasti apakah faktor yang mendorong kepada perubahan
tersebut. Namun, kebanyakan penulis China di zaman purba menudingkan kesalahan
ke atas isteri raja, yang bernama Daji. Daji dicatatkan sebagai wanita yang
paling jelita di China pada waktu itu. Pada saat raja bertemu dengannya buat
kali pertama, beliau serta-merta menjadi obses terhadapnya sehingga melupakan
segala tanggungjawab yang digalasnya.
Daji adalah seorang
wanita yang gemar berpesta. Beliau kuat minum dan tanpa segan silu berbicara
tentang hal-hal sulit seperti seks secara terbuka. Raja Zhou pula sanggup
melakukan apa sahaja demi memenangi hati Daji. Selepas sahaja mengenali gadis
jelita itu, Raja Zhou mula memerintahkan para pemusiknya agar mengarang
lagu-lagu yang bersifat lancang dan lucah. Atas permintaan Daji, raja malah
membelanjakan banyak harta kerajaan semata-mata untuk membina kolam arak yang besar.
“Tuanku perlu memiliki
Kolam Arak dan Hutan Daging ini, supaya tuanku dapat membuktikan kepada
menteri-menteri tuanku bahawa tuanku adalah lelaki terhebat dalam kerajaan
ini,” ujar Daji ketika cuba memujuk Raja Zhou Xin untuk akur dengan
permintaannya itu.
![]() |
| Sebelum mengenali Daji, Zhou Xin merupakan seorang raja yang baik |
LUBANG ULAR
Setidak-tidaknya, lebih
kurang begitulah kisah seputar pasangan diraja ini. Hakikatnya, sukar untuk
membezakan antara fakta dan fiksyen. Sebahagian kisah perihal Daji sama sekali
tidak masuk akal. Terdapat satu legenda yang mendakwa kononnya Daji adalah
semangat musang berekor sembilan yang berupaya untuk mengubah-ubah bentuk
tubuhnya. Malahan, pesta-pesta yang lazim beliau adakan kononnya adalah
semata-mata bertujuan untuk menghimpunkan orang ramai supaya nantinya beliau
dapat memakan mereka.
Bagi legenda-legenda
seperti ini, beliau secara harfiah disifatkan sebagai syaitan. Hal ini
berkemungkinan mencerminkan ketidakterimaan rakyat jelata terhadap perubahan
yang berlaku pada diri raja mereka yang dahulunya bersifat baik, kini bertukar
menjadi raja yang zalim dan gemar berfoya-foya.
Pada pandangan mereka,
kolam arak milik raja itu lebih daripada sekadar satu kemewahan yang terdapat
di dalam istana raja. Sebaliknya, ia merupakan suatu beban kewangan yang
natijahnya menghancurkan total kerajaan. Malahan, pesta-pesta yang diadakan
oleh raja lazimnya dibiayai dengan menggunakan wang daripada rakyat. Raja
mengenakan cukai yang tinggi ke atas setiap individu. Selain daripada memeras
wang rakyat, beliau malah jarang memunculkan diri di balairung istana. Dalam
erti kata lain, enggan memainkan tanggungjawabnya sebagai seorang raja.
HUKUMAN MERIAM BAKAR
Korupsi yang
berlanjutan ini membuatkan rakyat jelata naik berang dan sebahagian daripada
mereka cukup berani untuk menyuarakannya secara terbuka. Namun,
kritikan-kritikan tersebut sama sekali tidak diterima oleh raja.
Tatkala bapa saudara
Raja Zhou Xin menasihatkannya tentang pengaruh yang dimiliki oleh Daji serta
kekerapan pesta yang diadakan di kolam arak, Raja Zhou memerintahkan agar
beliau disiat hidup-hidup dan jantungnya yang masih berdegup direntap daripada
tubuhnya. Pada zaman itu, mereka meyakini bahawa jantung milik lelaki hebat
mempunyai tujuh ruang (tidak empat ruang). Makanya, ketika melakukan penyeksaan
tersebut, si raja berseloroh dengan mengatakan bahawa beliau mahu melihat sama
ada bapa saudaranya itu merupakan seorang lelaki yang hebat ataupun bukan.
Seiring peredaran masa,
raja dan permaisuri mereka pelbagai bentuk hukuman. Misalnya, mereka membina
sebuah lubang yang di dalamnya ditempatkan sejumlah ular. Mana-mana individu
yang membangkang atau menentang mereka akan dihumban ke dalam lubang tersebut.
Mereka berdua juga mencipta hukuman yang dipanggil sebagai Hukuman Meriam
Bakar. Hukuman ini melibatkan sebuah meriam tembaga bersaiz besar yang
dimuatkan dengan arang. Hukuman ini direka khas untuk membakar mangsa
hidup-hidup.
Individu pertama yang
menjadi mangsa hukuman ini adalah canselor diraja yang bernama Mei Bo. Beliau
dihukum akibat mengingatkan raja agar tidak membunuh rakyat atau menteri
sendiri. Lantaran itu, beliau dibawa ke balairung istana, ditelanjangkan lalu
diikat pada meriam. Kemudian, arang dicurahkan pada tubuhnya dan api pun
dinyalakan sekaligus menjilat setiap inci badan milik Mei Bo.
Seluruh isi balairung
ketika itu dipaksa untuk menyaksikan penyeksaan tersebut. “Sesiapa yang berani
menuturkan kata-kata yang menyinggung hati beta, akan dikenakan hukuman yang
sama seperti Mei Bo,” ugut si raja. Makanya, bisikan-bisikan halus yang sebelum
itu memenuhi ruangan balairung serta-merta hilang dan ditenggelami oleh erangan
Mei Bo. Tidak seorang pun daripada mereka dibenarkan beredar melainkan sesudah
penyeksaan tersebut berakhir – saat di mana bau busuk daripada daging Mei Bo
yang hangus terbakar memenuhi setiap inci ruangan balairung.
![]() |
| Salah satu hukuman yang dijatuhkan oleh Zhou Xin adalah menghumban mangsa ke dalam lubang ular |
RAJA WU DARI ZHOU
Rentetan kematian Mei
Bo, rakyat dan menteri berasa gerun untuk melemparkan sebarang kata-kata
bantahan terhadap raja. Raja Zhou Xin dan permaisurinya dibiarkan
bersenang-lenang dengan kolam arak mereka dan melayani fikiran serta kegiatan
liar mereka.
Namun, Raja Zhou Xin
tidak menyedari bahawa kedudukannya sedang diperhatikan. Raja Wu dari kerajaan
Zhou telah lama menyusun rancangan untuk menyerangnya. Beliau hanya menantikan
detik yang sesuai untuk berbuat demikian. Apabila perisik-perisik yang
dihantarnya melaporkan bahawa rakyat jelata telah pun menentang raja mereka,
barulah Raja Wu bertindak melancarkan serangan.
Beliau hanya menghantar
sekitar seratus orang tentera untuk melakukan serangan. Ternyata, jumlah
tersebut sudah memadai. Kebanyakan tentera Zhou Xin meletakkan senjata dan
menyerah diri sejurus selepas tentera-tentera musuh tiba. Sebahagian daripada
mereka malah menyertai pasukan tentera Raja Wu. Dalam tempoh masa yang singkat,
ibu kota Shang pun tumbang dan barisan tentera terakhir Zhou Xin berpaling
tadah.
Beliau sendiri
melarikan diri ke istana mewahnya dan berdiri di sisi kolam araknya buat kali
terakhir. Sebelum tentera musuh tiba, beliau sempat membumi-hanguskan istananya
sendiri. Di saat-saat akhir hayatnya, Raja Zhou Xin tidak berganjak daripada
kolam araknya dan riwayat hidupnya ditamatkan di sana. Dengan kemangkatan Raja
Zhou Xin, Dinasti Shang yang telah memerintah selama lebih 550 tahun pada
akhirnya tumbang dan era baru dalam sejarah China pun bermula.
Walau bagaimanapun,
kolam arak milik beliau terus diabadikan dalam sejarah. Sehingga ke hari ini,
3000 tahun sesudah berakhirnya era Dinasti Shang, frasa ‘Kolam Arak dan Hutan
Daging’ terus digunakan di seluruh negara bagi merujuk kepada korupsi – ciri
yang diwakili oleh Raja Zhou Xin.
SUMBER
- Lowe, Michael and Edward L. Shaughnessy. “The Shang: China’s First Historical Dynasty.” The Cambridge History of Ancient China: From the Origins of Civilization to 221 BC. Cambridge University Press. 1999.
- Ames, Roger T. Wandering at Ease in the Zhaungzi. State University of New York Press. 1998.
- Chew, Katherine Liang. Tales of the Teahouse Retold: Investiture of the Gods. Writers Club Press. 2002.
- Gracie, Carrie. “Sima Qian: China’s ‘grant historian’. BBC News, Beijing. October 8, 2012.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Maharaja China Yang Membina Sebuah Kolam Arak Dan Hutan Daging’
- Get link
- X
- Other Apps



