- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (9 Jun 2016). Mimar Sinan – A Genius Architect for the
Ottoman Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mimar-sinan-genius-architect-ottoman-empire-006052
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mimar-sinan-genius-architect-ottoman-empire-006052
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Mimar Sinan
menghasilkan paling kurang 374 buah rekaan bangunan sepanjang hidupnya.
Kebanyakan projeknya ini dihasilkan semasa zaman pemerintahan Sulaiman Agung.
Namun, beliau juga berpeluang menumpahkan bakti kepada Sultan Selim II dan
Sultan Murad III.
Sinan dilahirkan pada
tanggal 29 Mei 1489 di Agirnas, Karaman Eyalet, kini Wilayah Kayseri (Caesarea
di Cappadocia), Turki. Walaupun sebilangan sejarahwan tidak meyakini bahawa
beliau adalah seorang warga Turki, sebilangan penyelidik memperakuinya. Mereka malah
menafikan bahawa Sinan adalah orang Armenia ataupun Yunani. Maklumat ini
disahkan menerusi sebuah penyelidikan yang dijalankan pada tahun 1935, tahun di
mana jasad Sinan digali semula dan tulang-tulangnya dikaji.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan Mimar Sinan |
Ketika Mimar Sinan
masih kecil, beliau sering ikut membantu bapanya yang bekerja sebagai seorang
tukang bina. Menurut kisah tradisi, ketika beliau masih belia, Mimar Sinan
mendengar berita tentang kunjungan Leonardo da Vinci ke ibu kota pada tahun
1502 dan 1505 Masehi. Seiring peredaran masa, beliau menumpahkan rasa kagum
terhadap tokoh Itali itu.
Pada tahun 1512, Mimar
Sinan dibawa ke Konstantinopel (Istanbul) dan beliau mula diajar dan dilatih
sebagai seorang Janisari. Beliau dilahirkan sebagai seorang Kristian, namun
kemudian memeluk agama Islam (menerusi sistem devsirme – satu sistem
penukaran agama secara paksa) dan mula berkhidmat sebagai anggota tentera
Janisari. Beliau sempat berperang bagi pihak Sultan Selim I dalam kempen di
Rhodes dan seterusnya di Belgrade.
![]() |
| Patung Mimar Sinan di Ankara, Turki |
Dipercayai bahawa sesudah
tahun 1520, Mimar menyandang jawatan sebagai salah seorang Janisari bagi Wazir
Agung Pargali Ibrahim Pasha, iaitu teman rapat Sultan Suleiman. Kemudian,
beliau menjadi pakar pemanah, seorang komander Janisari yang digelar sebagai
‘aga’ dan beliau terlibat dalam banyak pertempuran di Eropah, Timur Tengah dan
Parsi.
Pada masa yang sama,
beliau turut menimba ilmu seni bina dengan harapan suatu hari nanti beliau
berpeluang menghasilkan bangunan-bangunan indah. Kemudian, Mimar bertukar
lapangan menjadi kapten infantri, komander yang mengendalikan mesin-mesin
perang, dan juga ketua arkitek dalam pasukan tentera. Berikutan pencapaiannya
yang hebat dalam lapangan-lapangan tersebut, beliau dinaikkan pangkat menjadi
kolonel dalam barisan pengawal peribadi sultan.
ARKITEK SULTAN YANG
BERSIFAT RENDAH DIRI
Usia Mimar Sinan hampir
mencecah 50 tahun semasa beliau dilantik sebagai arkitek diraja. Tidak
diketahui siapakah yang bertanggungjawab mencungkil atau menemukan bakatnya
dalam lapangan itu. Berkemungkinan besar individu tersebut adalah Ibrahim Pasha
yang gemar mengambil tahu tentang kemahiran yang dimiliki oleh para tenteranya.
Beliau juga lazim berbual dengan mereka tentang minat masing-masing selain
daripada minat yang berkaitan perang. Mungkin sahaja pada suatu petang, Pasha
pernah bertanya tentang pelan bangunan yang dilukis oleh Mimar semasa sedang
berehat di kem perang.
Masjid pertama yang
direka oleh Mimar Sinan untuk Sultan Suleiman adalah Haseki Hurrem Cami, atau
masjid Hurrem Sultan. Kompleks Haseki Hurrem turut merangkumi sebuah medrese
(seumpama kolej), imaret (dapur awam), hospital dan sekolah. Mimar Sinan
memulakan rekaan masjid tersebut pada tahun 1538M dan menyiapkannya 20 tahun
kemudian. Namun, terdapat banyak lagi masjid dan bangunan-bangunan lain yang
turut diperintahkan pembinaannya oleh Hurrem dan Sultan Suleiman.
![]() |
| Roxelana (Hurrem Sultan) dan Suleiman Agung yang dilukis oleh pelukis Jerman, Anton Hickel (1780) |
Projek Mimar Sinan yang
dianggap paling mengagumkan adalah Masjid Suleiman, atau dikenali sebagai
Suleimaniye (atau Suleymaniye). Projek ini juga merupakan projek beliau yang
paling besar. Kerja-kerja pembinaannya dimulakan pada tahun 1550. Andre Colt
pernah menulis tentang masjid ini, “Menerusi pembinaan Suleimaniye, iaitu
masjid besar di Istanbul yang dinamakan bersempena Sultan Suleiman, Mimar Sinan
mengambil satu lagi langkah menuju kesempurnaan dalam bidang seni bina. Beliau
memilih sebuah pelan binaan yang sangat mirip dengan Saint-Sophia, demi,
katanya, mengalahkan keindahan seni bina Yunani di tanah mereka sendiri.”
Masjid ini diangap
sebagai simbol kekuasaan Empayar Uthmaniyah. Ia siap dibina pada tahun 1557 dan
dibuka pada tahun 1558. Kompleks masjid ini kemudiannya menjadi tempat
bersemadinya jasad sultan, isterinya, beberapa orang kerabat dan beberapa orang
sultan penggantinya. Dalam rekaan seni binanya, Mimar Sinan sering mengaitkan
tradisi Byzantine dengan gaya Empayar Uthmaniyah.
Mimar Sinan juga bertanggungjawab
mereka masjid-masjid yang didedikasikan kepada putera dan puteri Uthmaniyah –
puteri Mihrimah dan putera-putera seperti Selim, Cihangir dan Mehmet. Antaranya
adalah kompleks Sehzade Camii. Pada tahun 1543, putera sulung mereka iaitu
putera mahkota Mehmet mangkat akibat penyakit cacar. Walaupun usianya baru
mencecah 21 tahun, beliau menjadi sumber harapan Uthmaniyah. Sultan Suleiman
pada hakikatnya mempunyai seorang putera yang lebih tua, iaitu Mustafa,
puteranya dengan Mahidevran Sultan. Namun, baginda berhasrat menabalkan Mehmet
sebagai penggantinya.
Tatkala putera
kesayangannya itu mangkat, Sultan Suleiman duduk di sisi jenazahnya selama tiga
hari sebelum memperkenankan agar jenazah tersebut disemadikan. Sesudah hari
pertama berkabung, baginda meminta Mimar Sinan untuk membina sebuah kompleks
masjid yang jauh lebih indah berbanding projek-projeknya yang lalu. Kompleks
ini turut merangkumi sebuah sekolah, hostel, imaret, medrese dan
makam Putera Mehmet. Pembinaannya berlangsung dari tahun 1544 sehingga tahun
1548. Mimar Sinan sangat berpuas hati dengan hasil kerjanya itu dan beliau
malah memanggil Sehzade Camii sebagai ‘mahakarya’.
![]() |
Pemandangan di dalam Sehzade Camii
|
SUMBANGANNYA BUKAN
HANYA TERHAD PADA SENI BINA MASJID
Mimar Sinan juga menyumbangkan
seni bina bagi sejumlah sekolah, hospital, istana dan permakaman. Di sebuah
daerah di Istanbul yang dipanggil sebagai Besiktas, beliau membina sebuah makam
bagi ketua laksamana armada laut Uthmaniyah, iaitu Hayreddin Barbarossa Pasha.
Sultan Suleiman sendiri
mangkat pada tahun 1566, lapan tahun selepas kematian isteri kesayangannya,
Hurrem. Kemangkatannya membawa pengakhiran bagi satu era penting dalam sejarah
Uthmaniyah. Walau bagaimanapun, ia sama sekali tidak menutup lembaran yang
berkaitan dengan seni bina. Mimar Sinan masih mencurahkan baktinya di zaman
pemerintahan Selim II dan seterusnya Murad III.
![]() |
| Lukisan yang mungkin menggambarkan Mimar Sinan (kiri) sedang menyiapkan makam Sultan Suleiman I |
Beliau sempat
menghasilkan rekaan bagi sejumlah masjid, jambatan dan bangunan-bangunan lain
di Eropah Selatan. Antara lain termasuklah Jambatan Mehmed Pasa Sokolovic yang
masyhur, iaitu jambatan yang terletak di Sungai Drina, Visegrad. Jambatan
tersebut didedikasikan untuk Sokollu Mehmet Pasha, salah seorang individu
paling berpengaruh dalam Empayar Uthmaniyah pada kurun ke-16. Pada tahun 2007,
jambatan tersebut dimasukkan ke dalam Senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Sinan juga merupakan
seorang penulis yang mengarang tentang seni bina, di mana ia disalin oleh ramai
arkitek Uthmaniyah yang lain. Beliau memulakan kariernya sebagai arkitek pada
pertengahan usia, namun beliau berupaya menyumbangkan begitu banyak seni bina.
NAMA BAIKNYA KEKAL
ABADI
Mimar Sinan merupakan
arkitek bagi 92 buah masjid besar dan 52 buah masjid kecil. Selain itu, beliau
turut menyumbangkan rekaan bagi 7 buah seminari, 22 buah kompleks makam, 3 buah
rumah sakit mental, 35 buah istana dan rumah agam, 17 buah fasiliti kesihatan,
57 buah kolej, 46 buah rumah tumpangan, 48 buah dewan mandi, 17 buah dapur
awam, 8 buah jambatan dan banyak lagi binaan lain. Sentuhannya yang sangat
sofistikated membuatkan Mimar Sinan kadangkala disetarakan dengan Michelangelo.
![]() |
Akueduk Maglova oleh Mimar Sinan, dilukis oleh Jules Laurens (1847)
|
Mimar Sinan meninggal
dunia pada tanggal 17 Julai 1588. Usianya ketika menghembuskan nafas terakhir
adalah 98 tahun dan sultan yang memerintah Empayar Uthmaniyah pada masa itu
adalah Murad III, putera Selim II. Sinan dikebumikan di makam yang direka oleh
beliau sendiri. Dengan perkenan khusus daripada sultan, beliau dikebumikan
berhampiran dengan makam Sultan Suleiman dan Hurrem, terletak betul-betul di
luar tembok Masjid Suleimaniye.
SUMBER
- Andre Colt. Suleiman the Magnificent. 2012.
- John Freely. Ottoman Architecture. 2011. Mimar Sinan.
- The great architect Sinan (Koca Mimar Sinan).
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Mimar Sinan – Arkitek Genius Empayar Uthmaniyah’
- Get link
- X
- Other Apps






