- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel:
John Black. (16 Jun 2013). The Mystery of the Miniature Pyramids of Sudan.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa-news-history-archaeology/mystery-miniature-pyramids-sudan-00557
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa-news-history-archaeology/mystery-miniature-pyramids-sudan-00557
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Selama ratusan tahun,
masyarakat Mesir membangunkan piramid sebagai makam. Ia merupakan satu budaya
yang kita masih tidak dapat ketahui lagi berasal daripada mana. Malahan, kita
juga tidak tahu mengapa bentuk piramid itu sangat penting bagi para Firaun.
Lebih daripada itu, kita sedia maklum bahawa di dalam Piramid Agung Khufu, satu
makam Khufu pun tidak pernah ditemukan. Piramid ini langsung tidak mempunyai
sebarang ukiran hieroglif melainkan sebilangan kecil di suatu bahagian terpencil
di dalam piramid, melibatkan figura Khufu yang dilukis secara kasar sekaligus
membuatkan kefungsian piramid sebagai makam sebagai satu argumen yang terdedah
kepada persoalan.
Kefungsian piramid
sebagai makam mula hilang pada penghujung kurun ke-6SM dan hal ini mencetuskan
tanda tanya dalam kalangan kita, “Mengapa hal itu terjadi?” Hal ini kerana
sebelum itu, kefungsian piramid sebagai makam dianggap sangat penting. Pada
masa sekitar jugalah masyarakat Nubia (kini Nubia membentuk sebahagian daripada
Sudan) menyerang dan menguasai Mesir. Mereka memerintah Mesir selama hampir 100
tahun sebelum diusir. Walau bagaimanapun, pengaruh Mesir terhadap masyarakat
Nubia terus melekat.
Piramid-piramid yang
ditemui di Meroe, Sudah merupakan piramid-piramid yang bersaiz sederhana.
Jumlahnya mencecah 80 buah. Bentuknya mirip tetapi tidaklah identikal dengan
piramid-piramid Mesir. Piramid-piramid di Meroe ini digunakan sebagai makam
bagi golongan kerabat diraja dan bangsawan kaya Nubia. Sehingga kini, lebih 220
buah piramid diraja ditemui di Sudan.
Masyarakat Nubia
membina piramid mereka sama seperti piramid Mesir (cuma bersaiz lebih kecil)
dengan terdapat batu puncak di bahagian atas. Ia juga digunakan secara
eksklusif oleh golongan diraja dan bukan untuk orang awam. Batu puncak tersebut
dipercayai berfungsi sebagai simbol matahari. Secara keseluruhan,
piramid-piramid yang ditemui di Sudan jumlahnya jauh lebih banyak berbanding di
Mesir, sekaligus mencetuskan persoalan, “Adakah masyarakat Nubia ‘mencuri’
tradisi piramid daripada masyarakat Mesir?”
Apa yang menarik
tentang piramid-piramid masyarakat Nubia adalah binaan yang ditemukan di sebuah
tanah perkuburan yang terletak di Sedeigna, Sudan, berjarak 450 batu dari
Meroe. Kerja-kerja ekskavasi terkini menemui sebuah lapangan piramid mini yang
tersusun rapat dan padat, berjarak 30 inci sehingga 32 kaki di mana
piramid-piramid yang lebih kecil dipercayai dibina di atas kubur kanak-kanak.
Inskripsi-inskripsi yang ditemukan di sana mendedahkan bahawa perkuburan
tersebut pernah menempatkan ribuan bilik pengebumian di ruang bawah
piramid-piramid kecil itu.
Lazimnya dalam kawasan
perkuburan seperti ini, kita boleh melihat kewujudan sekitar 20-30 buah piramid
atau makam bagi golongan elit. Namun keadaan di Sedeigna ini berbeza, seperti
yang dikatakan oleh Vincent Francigny, seorang penyelidik dari Muzium Sejarah
Alam Amerika. Menurut beliau, walaupun mereka mengetahui bahawa piramid-piramid
di Sedeigna ini dibina semasa zaman di mana kefungsian piramid hanya terkhusus
kepada golongan kerabat sudah pun mula memudar, hal ini masih lagi belum dapat
mencerahkan tentang faktor di sebalik banyaknya jumlah piramid di situ serta
kefungsiannya. Mungkin keadaan ini menandakan bahawa piramid-piramid yang
berbentuk pelbagai sudah terbuka untuk kegunaan orang awam sekaligus
mengisyaratkan wujudnya kesamarataan dalam kalangan masyarakat ketika itu.
Sebahagian piramid yang
ditemui mempunyai batu berbentuk bulat yang aneh. Kefungsian batu tersebut
masih tidak dapat dijelaskan lantaran ia sama sekali tidak memberi sokongan
terhadap struktur piramid. Francigny meyakini bahawa struktur bulat itu
berkemungkinan adalah tradisi pengebumian masyarakat Nubia yang usianya jauh
lebih tua dan kemudian, tradisi tersebut digabungkan dengan pengaruh daripada masyarakat
Mesir.
Sedeigna merupakan
sebuah bandar yang menghubungkan Kerajaan Meroe (Nubia) dan Mesir. Ia merupakan
tempat pertama yang akan dikunjungi oleh para pedagang yang bermusafir dari
Mesir ke Nubia sekaligus keadaan ini boleh menjelaskan tentang kekayaan yang
dimiliki oleh Sedeigna sehingga mampu membina begitu banyak piramid di sana.
Seandainya kita lebih
cenderung kepada idea yang mengatakan bahawa masyarakat Nubia ‘mencuri’ tradisi
piramid daripada masyarakat Mesir, keadaan ini agak menarik terutama dari sudut
bagaimana sebuah tamadun yang berbeza boleh menyalin suatu tradisi dari tamadun
lain apabila mereka menganggap tradisi itu sebagai suatu hal yang penting.
Malahan, apabila golongan diraja sendiri yang menggunakannya, sudah tentu
tradisi itu sememangnya memiliki nilai yang tersendiri pada pandangan mereka.
Lebih daripada itu, masyarakat Mesir pula sendiri kemudiannya meninggalkan
tradisi membangunkan piramid seakan-akan mereka sudah tidak menganggap penting
binaan piramid.
Sememangnya kita sedia
maklum bahawa terdapat banyak teori tentang siapa yang sebenarnya membina
piramid, dan teori masyhur berpendapat bahawa binaan sebegitu sudah pun wujud
sekitar tahun 10 000SM dan ia bukanlah dibina oleh masyarakat Mesir. Namun
menurut teori itu, binaan piramid ditemui oleh masyarakat Mesir lalu mereka
mengadaptasi dan menggunakannya sebagai sebuah makam. Kemudian, tujuan atau
fungsi sebenar piramid hilang seiring peredaran zaman dan secara bertahap,
tradisi itu ditinggalkan. Corak sebegini dapat kita lihat dalam ketamadunan
manusia di mana ia sentiasa berulang dan berulang.
Pun begitu, saya tetap
akan persoalkan sekali lagi tentang idea ‘menyalin tradisi piramid’ yang
dikemukakan oleh ahli-ahli arkeologi. Hal ini kerana jika ianya benar-benar
berlaku, maka masyarakat Nubia sepatutnya tidak lagi menyalin (atau meniru)
tradisi pembinaan piramid sejurus selepas masyarakat Mesir sendiri meninggalkan
tradisi tersebut.
Apapun, raja-raja Nubia
sememangnya dianggap sebagai separa-dewa (setidak-tidaknya, raja-raja awal
mereka). Mereka juga meyakini Amun sebagai dewa utama mereka. Disebutkan bahawa
para paderi mereka akan berbicara dengan Amun di dalam kuil. Tidakkah hal ini
kedengaran seperti lazim didengari oleh kita? (Merujuk kepada tradisi keagamaan
masyarakat Mesir)
SUMBER
- Miniature Pyramids of Sudan by Eric A. Powell, Archaeology Magazine, pp. 30-34.
- 35 Ancient Pyramids Discovered in Sudan Necropolis
- Ancient Kingdoms in Land of War
- Ancient Nubia
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Misteri Piramid-Piramid Miniatur Sudan’
- Get link
- X
- Other Apps