NABOPOLASSAR – PENGASAS EMPAYAR NEO-BABYLON

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (22 Ogos 2018). Nabopolassar: The Rebel Ruler of Babylonia Who Had the Gods on His Side. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/nabopolassar-0010582

Penterjemah: Amir Zayyanid


Nabopolassar adalah pengasas Empayar Neo-Babylon, sebuah empayar yang berkuasa pada sekitar kurun ke-7 dan ke-6 Sebelum Masehi. Namun, empayar Neo-Assyria sama sekali tidak membuatkan Nabopolassar meraih kuasa dengan mudah, walaupun empayar tersebut sedang mengalami keruduman. Seandainya beliau mahu berkuasa, beliau perlu berebut dan bersaing untuk mendapatkannya. Mujur, beliau sentiasa disebelahi tuah, atau bahkan para dewa itu sendiri.

Pada zaman Nabopolassar inilah Empayar Neo-Assyria berada dalam zaman kemundurannya. Empayar tersebut merupakan kuasa dominan di Timur Tengah pada waktu itu, dan peluang yang terhidang ini dimanfaatkan oleh Nabopolassar di mana beliau melancarkan pemberontakan ke atas pemerintah-pemerinta atasannya. Pemberontakan tersebut meraih kejayaan sekaligus beliau menjadi pemerintah Babylon. Nabopolassar mangkat setelah memerintah selama hampir 20 tahun dan takhtanya itu diwarisi oleh puteranya, Nebuchadnezzar II.

‘Nebuchadnezzar Memerintahkan Pembinaan Taman Tergantung Babylon untuk Menggembirakan Permaisurinya Amyitis (Nebuchadnezzar dan Semiramis)’ (1676) oleh Rene-Antoine Houasse


KETUMBANGAN ASSYRIA DAN KENAIKAN KUASA SANG PEMBERONTAK

Sebelum beliau menaiki takhta, Nabopolassar merupakan seorang pembesar yang tidak dikenali dari Chaldea. Pada tahun 631SM, raja agung terakhir Assyria, iaitu Ashurbanipal mangkat dan digantikan oleh salah seorang puteranya yang bernama Ashur-etil-ilani. Namun, pemerintah terakhir Assyria ini bersifat lemah sekaligus perang saudara pun meletus. Ashur-etil-ilani digulingkan oleh salah seorang panglimanya sendiri, iaitu Sin-shumu-lishir dan beliau sendiri kemudiannya ditangkap oleh Sin-shar-ishkun, saudara kepada Ashur-etil-ilani. Dalam keadaan huru-hara ini, wilayah-wilayah naungan Empayar Assyria, termasuklah Babylon, berhenti membayar ufti kepada Assyria dan mula merampas kembali kemerdekaan mereka.

Pemberontakan Nabopolassar bukanlah yang pertama berlaku, memandangkan beberapa orang pemerintah tempatan sebelum ini juga pernah menafikan kekuasaan Assyria demi menuntut takhta Babylon. Namun, masing-masing ditundukkan tanpa menunggu masa yang lama. Sebagai contoh, pada tahun 693SM, seorang putera Chaldea yang bernama Mushezib-Marduk dipilih untuk menggantikan Nergal-ushezib, seorang boneka Babylonia-Elam. Nergal-ushezib sebelum ini menggantikan seorang putera Assyria, Ashur-nadin-shumi yang mati dibunuh oleh kaum Elam. Apa pun, pemerintahan Mushezib-Marduk tidak berpanjangan lantaran raja Assyria, Sennacherib menyerang dan menjarah Babylon pada tahun 689SM.

Raja Babylon dengan cokmar, yang berdiri di atas sebuah mihrab berbentuk segi empat tepat dan bercorak papan-catur, disusuli dewi rezeki (dengan kalung), dan raja berjubah bersama haiwan korban. Mereka berdiri di harapan dewa Matahari yang memegang sebilah pisau bergerigi dan meletakkan sebelah kakinya di atas kerbau berkepala manusia


TUAH NABOPOLASSAR

Walau bagaimanapun, keadaan agak berbeza bagi Nabopolassar. Pada tahun 626/625SM, beliau diangkat menjadi pemerintah Babylon menerusi persetujuan umum. Tatkala hal ini diketahui oleh Sin-shar-ishkun, beliau segera menyiapkan sepasukan tentera dan berangkat menuju Babylon dengan harapan untuk dapat merampas kembali kekuasaan ke atas wilayah itu.

Namun, tuah menyebelahi Nabopolassar. Sebuah lagi pemberontakan meletus di Assyria, dan Sin-shar-ishkun terpaksa berpatah-balik untuk mempertahankan takhtanya. Hal ini membawa maksud bahawa Nabopolassar mempunyai masa untuk menghimpunkan kekuatannya untuk mendepani pasukan tentera Assyria. Kaum Chaldea kemudiannya menjalinkan persetukuan dengan Medes (satu lagi bekas-naungan Assyria), Scythia dan Cimmeria.

Medes dan bangsa Parsi di tangga timur Apadana di Persepolis, Iran


NABOPOLASSAR BERTINDAK OFENSIF

Pada tahun 616SM, Nabopolassar dan sekutunya mengambil langkah ofensif dan menyerang Assyria. Kota Assur dijarah pada tahun 614SM dan dua tahun kemudian, ibu kota Assyria di Nineveh turut tumbang. Walaupun situasi ini merupakan satu pukulan kuat bagi kaum Assyria, empayar mereka sama sekali tidak berakhir lantaran mereka yang terselamat sempat melarikan diri ke Hurran. Di sana, Ahsur-uballit ditabalkan sebagai pemerintah baru Assyria. Kemudian, kaum Assyria sekali lagi melarikan diri, kali ini ke Carchemish, yang berada di bawah kekuasaan Mesir.


NABOPOLASSAR DALAM KITAB BIBLE

Harran ditakluk pada tahun 610SM dan saki-baki kaum Assyria yang terselamat bertahan di Carchemish. Firaun Mesir, Necho II menghantar sepasukan tentera untuk membantu kaum Assyria. Episod ini ada direkodkan di dalam Kitab Perjanjian Lama, memandangkan peristiwa ini melibatkan Josiah, raja Judah. Josiah berpihak kepada masyarakat Babylon dan beliau memerangi bangsa Mesir semasa mengembara ke arah utara di sepanjang pantai Mediterranean. Babak bersejarah ini meragut nyawa Josiah, namun pada masa yang sama, pasukan tentera Mesir juga dihancurkan dalam pertempuran yang meletus.

Raja Josiah oleh Julius Schnorr von Carolsfeld


Susulan daripada pertempuran ini, kaum Assyria mengalami kekalahan di tangan putera Nabopolassar, iaitu Nebuchadnezzar dalam Pertempuran Carchemish pada tahun 605SM, walaupun dibantu oleh bangsa Mesir. Nabopolassar mangkat pada tahun sama, atau mungkin pada tahun berikutnya. Kedudukannya digantikan oleh Nebuchadnezzar.


SEBUAH SILINDER UNTUK MEMPERINGATI NABOPOLASSAR

Sesuai juga kiranya artikel ini menyebutkan tentang sebuah artifak yang memiliki kaitan dengan Nabopolassar. Sebuah silinder tanah liat yang dikenali sebagai ‘Silinder Nabopolassar’ ditemui di Baghdad sekitar tahun 1921. Menerusi inskripsi yang terdapat pada silinder ini, kita dapat mengetahui bahawa Nabopolassar mengkehadapankan dirinya sebagai seorang lelaki yang patuh terhadap agama dan berikutan kepatuhan inilah, kononnya para dewa menyebelahi dirinya.


Slinder kecil ini merekodkan kerja pembangunan di tembok kota Babylon yang dijalankan oleh Nabopolassar. 625-605SM. Muzium British, London


Penulis inskripsi ini, yang sebahagian sejarahwan berpendapat Nabopolassar sendiri, menyebutkan bagaimana Nabopolassar menewaskan kaum Assyria dengan bantuan para dewa. Tambahan lagi, teks ini juga ada menyebutkan tentang kerja-kerja pembaikpulihan yang dilakukan oleh Nabopolassar ke atas beberapa buah struktur di Babylon.


SUMBER