PRINCE OF PERSIA SEBENAR DAN RAJA SEGALA RAJA YANG MENGINSPIRASIKAN BANYAK FILEM MODEN

Pautan ke artikel asal:
Valdar Roric. (19 Jun 2016). Revealing the Real Prince of Persia and a King of Kings Who Inspired Modern Movies. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/revealing-real-prince-persia-and-king-kings-who-inspired-modern-movies-006124

Penterjemah: Amir Zayyanid


Prince of Persia merupakan sebuah francais permainan video yang pada mulanya dihasilkan oleh Jordan Mechner. Pada tahun 2010, permainan video tersebut diadaptasi menjadi sebuah filem aksi-fantasi berjudul Prince of Persia: The Sands of Time. Karakter utama bagi filem tersebut adalah Putera Dastan yang dilakonkan oleh Jake Gyllenhaal. Namun, apakah kisah sebenar yang boleh kita ungkapkan di sebalik karakter fiksyen Prince of Persia?


KARAKTER-KARAKTER PARSI DALAM FILEM DAN SEJARAH

Putera Dastan yang ditampilkan di dalam filem ini dicipta berdasarkan suatu karakter yang terdapat di dalam mitologi Parsi, iaitu Rostam Dastan. Perwira mitos Parsi ini pula dapat dijejak asal-usulnya daripada seorang figura sejarah sebenar yang bernama Rostam Farrokhzad, saudara kepada raja Parsi yang bernama Yazdegerd Ketiga merangkap komander pasukan tentera Empayar Parsi. Yazdegerd Ketiga adalah raja ke-38 (dan terakhir) bagi Empayar Sassanid yang memerintah pada tahun 632 sehingga 651 Masehi. Namanya itu membawa maksud ‘dicipta oleh Tuhan’ dan beliau menaiki takhta selepas menghadapi tempoh konflik dalaman yang agak panjang.

Syiling Yazdegerd III


Bagi Rostam Farrokhzad, selain daripada menyandang jawatan sebagai ketua tentera, nama beliau juga hidup sebagai karakter di dalam puisi epik Parsi yang berjudul Shahnameh. Rostam  merupakan anggota keluarga Diraja Ispahbudhan, iaitu salah satu dari tujuh buah puak Parthia. Di dalam Shahnameh, beliau diperincikan sebagai seorang yang bijaksana dan gemar berperang selain disifatkan sebagai seorang penakluk. Beliau adalah penghitung bintang dan lelaki yang memiliki kedalaman fikiran; beliau sentiasa mendengar dengan teliti buah-buah fikiran yang dikemukakan oleh para penasihatnya.

Di dalam Decline and Fall of the Sassanian Empire: The Sassanian-Parthian Confederacy and the Arab Conquest of Iran, Rostam diperincikan sebagaimana berikut, “Seorang lelaki yang dikurniakan dengan tenaga luar biasa, seorang pentadbir yang berkebolehan dan panglima yang gagah.” Beliau dicatatkan banyak memenangi pertempuran yang disertainya.

Rostam Farrokhzad dalam epik Shahnameh


Legenda atau kisah tradisi ada menyebutkan bahawa pada hari terakhir pertempuran menentang tentera-tentera Arab, pasukan tentera Rostam dibadai dengan ribut pasir yang cukup dahsyat. Ketika Rostam berlindung di sebalik unta yang dimuatkan dengan senjata, Hilaal ibn ‘Ullafah secara tidak sengaja memotong tali kekang muatan tersebut tanpa mengetahui yang Rostam sedang bersembunyi di sebalik unta itu. Tidak semena-mena, senjata-senjata tersebut jatuh menimpa Rostam dan mematahkan tulang belakangnya.

Dalam keadaan separuh mati dan tubuh yang tidak lagi dapat bergerak, Rostam lantas dibunuh dan kepalanya dipenggal oleh Hilaal. Hilaal kemudiannya membawa kepala Rostam itu ke hadapan seluruh tentera lalu berteriak, “Aku bersumpah dengan nama Tuhan Kaabah bahawa aku telah membunuh Rostam!” Semangat tentera-tentera Sassanid habis luntur dan para komander mereka pula tidak berupaya untuk menyusun semula pasukan tentera. Berikutan kematian Rostam, Yazdegard III mati dibunuh pada tahun 651M di tangan Mahuy Suri dan pasukan tentera Arab kemudiannya dengan pantas berjaya menakluki Khorasan.


RAJA XERXES I

Satu lagi figura sejarah Parsi yang terkenal adalah Raja Xerxes I. Namanya membawa maksud ‘memerintah para perwira’. Beliau merupakan ‘raja segala raja’ yang kelima bagi Empayar Achaemenid dan zaman pemerintahannya berlangsung daripada tahun 486SM sehingga tahun 465SM di mana beliau mati dibunuh oleh Artabanus, komander pengawal peribadi diraja. Frasa ‘raja segala raja’ membawa maksud ‘raja tertinggi’ atau ‘raja agung’ dan istilah ini diserap ke dalam bahasa Parsi walaupun ianya memiliki asal-usul Semitik.

Xerxes I adalah raja Parsi yang disebut sebagai Ahasuerus di dalam Book of Esther. Beliau juga masyhur lantaran serangan yang dilancarkan ke atas Yunani (Greece) pada tahun 480SM. Sama seperti pemerintah pendahulunya, Darius I, Xerxes I memerintah Empayar Parsi pada zaman kemuncaknya. Walau bagaimanapun, Xerxes I berjaya meluaskan lagi jajahan takluknya dengan menguasai banyak tanah besar Yunani berikutan kejayaan dalam pertempuran-pertempuran seperti di Thermopylae dan Artemisium sekaligus melangkaui merit Darius.

Xerxes menghadiri acara memukul dan ‘merantai’ Hellespont (ilustrasi tahun 1909)


Xerxes I merupakan putera Darius I dan Atossa, puteri Cyrus Agung. Beliau dimahkotakan dan ditabalkan sebagai raja pada tahun 486SM, ketika berusia sekitar 36 tahun. Pemindahan kuasa ke tangan Xerxes berjalan dengan lancar berikutan autoriti besar yang dimiliki oleh ibunya, Atossa. Kenaikan kuasanya ini sama sekali tidak dicabar oleh sesiapa. Dengan pantas, Xerxes berjaya menghancurkan pemberontakan yang meletus di Mesir dan Babylon semenjak beberapa tahun yang lalu.


PERTEMPURAN-PERTEMPURAN DAN FILEM LAIN

Dalam Pertempuran Thermopylae, sepasukan kecil tentera Yunani yang diketuai oleh Raja Leonidas dari Sparta menahan gempuran pasukan tentera Parsi yang saiznya jauh lebih besar. Namun, mereka pada akhirnya tetap berjaya ditewaskan. Selepas menamatkan kempen ketenteraan di Yunani, Xerxes kembali ke Parsi dan menyelia sejumlah besar projek pembinaan di Susa dan Persepolis yang tergendala di zaman pemerintahan ayahandanya.

Imej raja Xerxes I pada makamnya di Naqsh-e Rustam


Pada tahun 465SM, Artabanus membunuh Xerxes dengan bantuan seorang sida-sida yang bernama Aspamitres. Artabanus merupakan komander pengawal peribadi diraja dan pegawai yang paling berkuasa dalam istana Parsi.

Makam Naqsh-e Rustam, yang memiripi makam Darius I, dianggap sebagai makam Xerxes. Namun seiring peredaran masa, lahir banyak gambaran tentang Raja Xerxes. Mungkin gambaran yang paling masyhur muncul menerusi filem One Night with the King di mana watak Xerxes dilakonkan oleh Luke Goss. Xerxes juga tampil dalam filen tahun 2014 yang berjudul 300: Rise of an Empire. Filem digarap dengan berdasarkan pada dua buah pertempuran epik, iaitu Pertempuran Artemisium dan Pertempuran Salamis.


SUMBER
  • Valda Roric – From History to Mystery.
  • Parvaneh Pourshariati – Decline and Fall of the Sassanian Empire: The Sassanian-Parthian Confederacy and the Arab Conquest of Iran.
  • W. Harold Claflin – History of Persia: From the Sassanids to the 20th Century.
  • A.T. Olmstead – History of the Persian Empire.


Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Siapakah Prince of Persia Dalam Sejarah?