- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Theodoros Karasavvas. (23 November 2016). Socrates: The Father of Western
Philosophy. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/socrates-father-western-philosophy-007063
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/socrates-father-western-philosophy-007063
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Socrates, ahli falsafah
terkenal sepanjang zaman, yang mindanya dianggap antara yang paling halus dan
rumit pernah wujud dalam tamadun manusia. Kematiannya merupakan detik gelap
bagi sejarah Athens dan manusia. Namun, pemikiran dan ajaran-ajarannya
terselamat dan masih terus hidup, menyuluhkan cahaya selama 2500 tahun. Plato,
Aristotle, Nietszche dan ramai lagi pemikir ulung sepanjang zaman sama sekali
tidak berupaya memberikan analisis muktamad perihal idea-idea Socrates. Kami
juga tidak berhasrat untuk menyinggung tentang hal ini di dalam artikel ini. Namun,
artikel kali ini memberikan peluang bagi anda yang mahu mengenali Socrates,
yang mahu mendapatkan sentuhan atau gambaran tentang kehidupan dan pemikiran
ahli falsafah yang masyhur ini.
Socrates dilahirkan
pada tahun 470SM dan meninggal dunia pada tahun 399SM di Athens. Beliau lahir
di dalam sebuah keluarga yang miskin dan daif. Bapanya adalah seorang pemahat
arca manakala ibunya pula adalah seorang bidan. Socrates pada awalnya mengikuti
jejak langkah bapanya sebagai pemahat arca, profesion lazim pada masa itu.
Namun kemudiannya, beliau berhenti dan mendedikasikan hidupnya untuk falsafah.
Maklumat tentang latar
belakang pendidikan Socrates tidak dapat diketahui. Lantaran itu, kita hanya
boleh mengandaikannya sahaja. Sebahagian ilmuwan menduga bahawa beliau belajar
secara sendiri, berdasarkan ajarannya tentang pemerhatian terhadap dunia dan
penghuninya.
Banyak maklumat yang
kita ketahui tentang Socrates datang daripada penulisan Plato, yang menyatakan
bahawa Socrates merupakan seorang lelaki yang jujur dan budiman, serta seorang
rakyat yang mengasihi negaranya. Beliau tidak pernah gagal menjalankan
tanggungjawab keagamaan dan politik seperti mengundi. Beliau turut terlibat
dalam kehidupan berpolitik di Athens, negara kota yang sangat beliau kasihi.
![]() |
| Patung Socrates di hadapan Akademi Athens |
SOCRATES SI TENTERA
Fakta yang kurang
diketahui tentang Socrates adalah beliau juga pernah menjadi seorang tentera.
Beliau berperang dalam tiga kempen Perang Peloponnesian, di mana beliau
memperagakan keberanian dan kegagahan yang luar biasa, di samping ketahanan
menghadapi kesukaran semasa dan selepas pertempuran.
Dalam Symposium,
sebuah teks falsafah oleh Plato, seorang pemuda bernama Alcibiades memuji
keberanian Socrates serta kekuatannya yang tidak kalah kepada kesejukan dan
ketakutan. Alcibiades mengatakan bahawa Socrates telah menyelamatkan nyawanya
dalam pertempuran dan kemudian, enggan menerima penghormatan atas sebab
itu.Dalam Apology, iaitu laporan Plato tentang ucapan-ucapan Socrates
dalam mempertahankan dirinya, Socrates menyamakan tindakan mengundurkan diri
daripada falsafah dengan pengunduran diri seorang tentera daripada musuh
apabila situasi pertempuran cenderung untuknya terbunuh.
Terdapat satu kes
undang-undang di Athens yang masyhur lantaran ia menggambarkan kualiti moral
Socrates. Selepas berlakunya sebuah pertempuran laut, ketika ombak dan cuaca
yang dahsyat membuatkan mustahil untuk pasukan tentera berpatah balik, para
panglima yang sudah meriah kemenangan bertindak meninggalkan tentera-tentera
yang terkorban (tidak dikebumi dan tidak diberikan penghormatan selayaknya) dan
turut meninggalkan kelasi-kelasi yang berada di dalam kapal-kapal yang telah
digenangi air.
Panglima-panglima tersebut bukan hanya meninggalkan mereka,
malah mengejar armada Sparta yang sedang melarikan diri. Socrates merupakan
seorang ahli boule, iaitu sidang rakyat Athens. Bertekad untuk berpegang
teguh pada prinsip berbanding digoyahkan dengan pandangan popular yang berisiko
ditimpa pemulauan atau hukuman mati, beliau secara bersendirian menentang
perbicaraan yang beliau anggap tidak mematuhi perlembagaan. Beliau menghalang
undian sehingga gilirannya sebagai seorang ahli sidang tamat, yang sesudah itu
para panglima tadi dikenakan hukuman mati.
SOCRATES DAN TIGA PULUH
TIRANI
Setelah berakhirnya
Perang Peloponnesian dan pembubaran demokrasi, Athens ditadbir oleh Tiga Puluh
Tirani. Socrates adalah salah satu pengkritik mereka yang paling keras dan
beliau sering berkonflik dengan mereka, terutama sekali dengan rakan lama serta
bekas pelajarnya, Crito dari Alopece.
Tiga Puluh Tirani
bertindak balas terhadap individu yang dianggap sebagai ancaman terhadap mereka
dengan cara merampas harta dan menjatuhi hukuman mati. Socrates sering
bertelagah dengan Tiga Puluh Tirani ini dan enggan menerima autoriti mereka,
sekaligus hal ini menjadi satu faktor utama yang membawa kepada hukuman mati
yang dijatuhkan ke atasnya.
Walaupun Socrates
merupakan salah seorang individu yang paling kabur sejarah hidupnya dalam
dunia, beliau juga adalah salah seorang insan yang paling dipandang tinggi.
Ahli falsafah ini langsung tidak meninggalkan walau satu patah tulisan
sekalipun. Apa yang kita tahu tentang perjalanan dan ajaran falsafahnya datang
menerusi individu-individu ulung lain pada era itu, iaitu Aristotle, Xenophon
dan sudah tentu, Plato yang catatannya dianggap paling dipercayai dan tepat di
antara semua.
![]() |
| Xanthippe menuang air ke atas Socrates, lukisan oleh Luca Giordano |
Kematian Socrates yang
diselubungi ketidakadilan mengejutkan masyarakat Athens pada masa itu, di mana
Plato yang masih muda sedang berkembang besar sebagai seorang pemikir dan ahli
falsafah sekaligus mendorongnya untuk merekodkan kehidupan dan ajaran-ajaran
guru agungnya itu. Salah satu karyanya adalah The Apology, iaitu
himpunan ucapan Socrates dalam mempertahankan dirinya terhadap tuduhan penguasa
Athens yang dilemparkan ke atasnya, dalam versi Plato. Hampir kesemua yang kita
tahu tentang idea-idea falsafah Socrates datang daripada pelajarnya yang setia
itu, yang juga merupakan salah seorang ahli falsafah terulung dalam sejarah
manusia. Menurut Plato, titik mula dan akhir pemikiran Sokratik terletak pada
mottonya, “Aku tahu bahawa aku tidak mengetahui apa pun.”
FALSAFAH-FALSAFAH
SOCRATES
Socrates merupakan
seorang ahli fikir yang mendalam pemikirannya dan gemar terhadap skeptikisme.
Pemikiran dan persoalan-persoalannya secara umum berkisar pada permasalahan
harian kehidupan manusia. Hal ini merupakan salah satu kaedah prinsip yang
membezakan pemikiran Sokratik dengan ahli-ahli falsafah pra-Sokratik, yang
lapangan khususnya meliputi falsafah alamiah. Ahli-ahli falsafah pra-Sokratik
antara lain termasuklah Zeno dan Pythagoras. Falsafah ini menolak mitos yang
sebelum ini digunakan untuk menerangkan alam. Malahan, mereka cuba mencari
penerangan rasioanl dan matematik bagi fenomena alam, di samping turut cuba
menjawab persoalan-persoalan tentang alam secara logika dan munasabah.
Socrates mengasihi
masyarakatnya. Beliau gemar berhubung dengan mereka, mendengar permasalahan
mereka dan merenungi cara fikir mereka. Ajaran dan tutur-katanya sering
berkisar mengenai nilai moraliti, keberanian, kebaikan, kesetiaan kepada
undang-undang dan kepada negara. Beliau juga menuding kesan-kesan negatif yang
terdapat pada nilai-nilai yang berbalikan. Beliau mengajar golongan pemuda,
terutama mereka yang kaya, agar tidak berlebih-lebih dalam hal material dan
tidak terlalu menumpu pada penompokan harta, sebaliknya untuk bertingkah lebih
bermoral dan mementingkan pengembangan jiwa. Beliau meyakini bahawa masyarakat
boleh menyelesaikan masalah dan menemukan kebenaran dengan menggunakan logika
sebagai alat.
Mungkin Socrates paling
masyhur dengan kaedahnya yang dikenali sebagai ‘Kaedah Sokratik’. Socrates,
dalam perbincangan ini, bertingkah seperti seorang yang dungu total atau
bertingkah sepenuhnya seolah tidak menyedari isu-isu yang dibincangkan. Dengan
mengajukan persoalan demi persoalan, beliau cuba berusaha untuk mencungkil
kebenaran bersama ‘teman bicara’ yang pada akhirnya, selepas selesai menjawab
kesemua persoalan itu, dirinya dibawa kepada ‘kebenaran’ sebagaimana yang
disebut oleh Socrates sebagai kesimpulan bagi dialog-dialog yang dijalankan
itu.
Dalam Bahasa Yunani, ia
dikenali μαιευτική μέθοδος
sebagai – kaedah ‘maieutic’, yang merujuk kepada tanggapan bahawa
kebenaran itu berada di dalam minda dan – sama seperti bidan (pekerjaan ibunya)
yang membawa seorang bayi lahir ke dunia, maka Socrates membawa kebenaran
kepada teman-teman debatnya.
![]() |
| Debat di antara Socrates dan Aspasia |
Dalam pada keulungan
dan kemasyhuran yang diraihnya, Socrates juga mempunyai ramai musuh fanatik,
sebagai kesan daripada pengaruhnya yang besar dalam kalangan masyarakat dan
penentangannya terhadap autoriti di zamannya. Malangnya, penentangan beliau ini
membawa kepada kematiannya.
Perbicaraan masyhur ke
atas Socrates, yang dianggap sebagai salah satu kes kegagalan keadilan yang
paling sedih dalam sejarah manusia, membawa kepada penjatuhan hukuman mati ke
atas ‘Bapa Falsafah Barat’.
Pada tahun 399SM,
Socrates didakwa ‘gagal memperakui dewa-dewa yang diperakui kota’ dan
‘merosakkan pemuda Athens’. Ramai sejarahwan mempercayai bahawa pertuduhan ini
direka berikutan salah faham terhadap persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh
Socrates semasa beliau mengajar dengan menggunakan kaedah Sokratik-nya. Hukuman
ini menetapkan bahawa beliau perlu meminum racun.
Walaupun Socrates boleh
sahaja menyelamatkan dirinya dengan melarikan diri dari penjara, beliau memilih
untuk menghadapi kematian sama seperti beliau menjalani hidupnya – iaitu dengan
penuh bermaruah dan penuh keberanian, meninggikan kepercayaan dan nilai-nilai
yang beliau habiskan hidupnya untuk diajarkan kepada masyarakat.
![]() |
| ‘Kematian Socrates’, lukisan oleh Jacques-Louis David (1748-1825) |
FAKTA-FAKTA TAMBAHAN
- Crito adalah nama sebuah dialog yang berlangsung antara Socrates dan Crito dari Alopece tentang keadilan dan ketidakadilan. Kepingan sastera klasik ini mengandungi pernyataan purba tentang teori pentadbiran ‘kontrak sosial’. Ia menjadi sumber inspirasi selama hampir 2500 tahun.
- The Dialogues oleh
Plato merupakan catatan paling lengkap tentang ajaran Socrates yang terselamat
dan wujud sehingga kini.
- Kebanyakan kepercayaan Socrates dipanggil sebagai ‘paradoks’ kerana pada mulanya, ia kelihatan berkontradik dengan tanggapan umum. Kemudian, kita mengenalinya dengan istilah ‘paradoks Sokratik’.
- Socrates mengahwini Xanthippe, seorang gadis yang sangat muda dan sangat terkenal dengan sifat barannya. Mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki, iaitu Lamprocles, Sophroniscus dan Menexenus.
- Socrates sering diperincikan sebagai seorang yang perawakannya tidak menarik dan bahkan hodoh, selain individu yang tidak mengambil berat tentang penampilan dan pemakaiannya. Lebih daripada itu, beliau sering berjalan tanpa memakai kasut.
- Socrates dituduh tidak menghormati para dewa dan sebahagian sejarahwan menganggapnya sebagai salah seorang ateis awal yang paling masyhur dalam sejarah. Namun, Socrates ada menyebut tentang kuasa unggul. Hal ini sekaligus mendorong sebilangan sejarahwan untuk meyakini bahawa beliau adalah seorang monoteis.
- Socrates tidak menerima wang sebagai imbalan bagi ceramah dan ajarannya. Beliau malah menentang amalan golongan Sophist (guru-guru dan ilmuwan di Yunani purba) yang menawarkan khidmat nasihat dengan bayaran. ‘Protagoras’, salah satu catatan paling masyhur dari klasik Dialogues oleh Plato, memerihalkan tentang debat di antara Socrates dan ahli Sophist yang bernama Protagoras berkenaan topik kontroversi ini.
- Semasa beliau berusia 17 tahun, Socrates bertemu dengan seorang ahli falsafah yang bernama Archelaus. Ramai yang meyakini bahawa lelaki inilah yang menanamkan semangat cintakan falsafah dalam diri Socrates.
- Pada tahun 2011, kes Socrates dibuka semula dalam Mahkamah Persekutuan New York. Dalam perbicaraan bersejarah ini – yang dihadiri oleh ahli-ahli akademik, rakyat awam, peguam-peguam jenayah dan pemenang-pemenang anugerah Nobel Sastera dari seluruh dunia – Socrates dibebaskan dari tuduhan setelah 2500 tahun beliau dihukum mati. Selepas mendengar pembentangan kes oleh para siswa sejarah dalam membela dan mendakwa Socrates, dua dari tiga ahli majistret menganggap bahawa bukti tidak cukup untuk menyabit kesalahan ke atas ahli falsafah ulung itu.
- Socrates meninggal dunia pada usia 71 tahun.
SUMBER
- Socrates – Greek philosopher – Britannica.com.
- Socrates – Philosophical Life – Philosophy Pages.
- Socrates and Happiness – Pursuit of Happiness.
- The Suicide of Socrates, 399 BC – Eyewitness to History.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Socrates: Bapa Falsafah Agung Barat’
- Get link
- X
- Other Apps




