- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (5 September 2018). Theseus: The Greek Hero That Slayed the
Minotaur. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/theseus-0010674
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/theseus-0010674
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Theseus merupakan salah
seorang perwira dalam mitologi Yunani dan seorang raja legenda Athens Mitos
paling masyhur yang melibatkan Theseus adalah mitos di mana beliau menewaskan
Minotaur yang digeruni ramai. Kebanyakan kisah yang menceritakan tentang
Theseus menyebutkan bahawa beliau bukan hanya seorang yang berani dan gagah,
tetapi juga bijaksana dan cerdik. Tambahan lagi, sebagai raja Athens, Theseus
bertanggungjawab mengampuhkan lagi kota dan mengubahnya menjadi sebuah kuasa
serantau.
IBU BAPA THESEUS
Menurut mitologi
Yunani, Theseus dilahirkan di Troezen yang terletak di bahagian timur laut
Peloponnese. Ibunya bernama Aethra, puteri kepada Pittheus si raja Troezen.
Theseus mungkin mempunyai dua orang bapa; seorang dari kalangan manusia iaitu
Aegeus si raja Athens dan seorang lagi bapa dari kalangan dewata, iaitu
Poseidon. Selepas kelahiran Theseus, Aegeus meninggalkan Aethra dan puteranya
yang baru sahaja lahir itu lalu kembali ke Athens. Sebelum beredar, beliau
sempat meninggalkan sebilah pedang dan sepasang sepatunya di bawah sebongkah
batu besar. Beliau menitipkan pesanan kepada Aethra untuk menghantar Theseus ke
Athens sebaik sahaja anak itu berupaya mengangkat batu itu dan mendapatkan semula
barangan yang ditinggalkan olehnya, supaya anak itu dapat mewarisi takhtanya.
Theseus dibesarkan oleh
ibu dan datuknya di Troezen dan apabila beliau sudah cukup dewasa, beliau pun
mengangkat batu tersebut dan mendapatkan barangan diraja yang ditinggalkan oleh
Aegeus. Theseus kemudian mengembara ke Athens melalui jalan darat dan dalam
kesempatan itu, beliau bertembung dengan sejumlah perompak. Theseus berupaya
mengatasi halangan-halangan tersebut, tidak hanya dengan kekuatan yang
dimilikinya, malah dengan kepintarannya juga.
![]() |
| ‘Theseus dan Aethra’ (1635-1636) oleh Larent de la Hyre |
Misalnya, halangan
pertama yang Theseus temui dalam perjalanannya menuju ke Athens adalah seorang
perompak bernama Periphetes yang lazim membunuh mangsanya dengan memukul kepala
mereka dengan menggunakan sebatang cokmar. Theseus tidak cuba mengatasi
lawannya itu dengan kekuatan, sebaliknya beliau memutuskan untuk memanfaatkan
kelicikan yang dimilikinya. Wira itu memulakan perbualan bersama Periphetes
dengan mengatakan bahawa beliau tidak mempercayai bahawa cokmar itu diperbuat
daripada tembaga sebagaimana yang didakwa oleh perompak itu. Oleh kerana rasa
tercabar dengan kata-kata itu, Periphetes pun membenarkan Theseus memerika
senjatanya itu dengan menyerahkannya kepada perwira tersebut. Sebaik sahaja
cokmar itu berada dalam tangannya, Theseus pun membunuh perompak itu.
KISAH THESEUS YANG
PALING MASYHUR
Walau bagaimanapun,
kisah Theseus yang paling masyhur adalah kisah di mana beliau membunuh
Minotaur. Dalam mitos ini, Theseus menawarkan diri untuk menjadi salah seorang
daripada 14 orang korban yang akan dihantar kepada Raja Minos di Crete, dengan
tujuan supaya beliau dapat membunuh raksasa itu.
![]() |
| Theseus dimuliakan oleh penduduk Athens selepas membunuh Minotaur |
Walaupun Aegeus enggan
membenarkan puteranya itu membahayakan nyawa, beliau kemudiannya akur dengan
mengemukakan syarat agar Theseus mengibarkan kain layar kapal daripada hitam
kepada putih seandainya pulang dari Crete dengan selamat. Dengan bantuan
Ariadne, puteri Raja Minos, Theseus berjaya membunuh Minotaur. Namun malangnya,
wira ini terlupa untuk menukar kain layarnya dalam perjalanan pulang ke Athens.
Maka apabila Aegeus melihat kain layar kapal puteranya itu berwarna hitam,
beliau pun berduka cita dengan beramatan sehingga membunuh diri dengan
menghumban diri ke dalam laut.
RAJA ATHENS
Berikutan kematian
Aegeus, Theseus pun ditabalkan sebagai raja baru Athens. Beliau berjaya
menyatukan pelbagai komuniti Attic justeru membentuk sebuah negara berpusat dan
berkuasa. Tambahan lagi, beliau diberikan kredit atas penubuhan Isthmian Games,
yang bertujuan untuk memperingati pengembaraannya dari Troezen ke Athens, di
samping keraian Panathenaea yang diadakan khusus untuk dewata pelindung kota,
Athena. Selain itu, demokrasi di Athens juga boleh dijejak kembali sejarahnya
pada zaman pemerintahan Theseus, memandangkan beliau dikatakan telah memberikan
sebahagian kuasanya sebagai raja kepada Parlimen.
Theseus juga banyak
menyertai pengembaraan lain. Misalnya, Theseus dikatakan menemani Hercules
dalam Tugas Kesembilannya, iaitu mendapatkan semula Ikat Pinggang Hippolyta si
ratu Amazon. Beberapa sumber turut menyatakan bahawa Theseus merupakan salah
seorang ahli Argonaut yang menemani wira Jason dalam misi mencari Bulu Domba
Emas.
![]() |
| Kitaran amal Theseus: tengah, Minotaur; sekeliling, arah jam dari atas, Kerkyon, Prokrustes, Skiron, kerbau, Sinis, bajak. Sekitar 440-430SM |
PENGAKHIRAN HIDUP
THESEUS
Walau bagaimanapun,
sebaik sahaja usia Theseus meningkat tua, kebijaksanaannya turut menghilang dan
beliau mula melakukan perbuatan-perbuatan yang dangkal. Beliau seterusnya
kehilangan populariti dalam kalangan penduduk Athens dan pemberontakan pun
meletus. Theseus pada akhirnya digulingkan dan diusir ke pulau Skyros di mana
beliau dibunuh oleh Lycomedes, pemerintah pulau tersebut lantaran menganggap
Theseus datang dengan hasrat untuk merampas takhtanya.
Tulang-tulang Theseus
(atau apa yang diyakini sebagai tulangnya) kemudian dibawa kembali ke Athens
pada zaman Perang Parsi oleh panglima Athens yang bernama Cimon atas perintah
Oracle di Delphi.
![]() |
| ‘Theseus dan Achelous’ (1659-1660) oleh Jan Steen |
SUMBER
- Greekgodsandgoddesses. 2018. Theseus.
- Prof. Geller. 2018. Theseus.
- The Editors of Enyclopedia Britannica. 2018. Theseus.
- Greeka. 2018. Theseus, the king of Athens.
- Greekmythology. 2018. Theseus.
- Get link
- X
- Other Apps




