- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (31 Disember 2013). New Year’s Traditions around the World and
Their Origins. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-news-general/origins-new-year-s-traditions-around-world-001183
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-news-general/origins-new-year-s-traditions-around-world-001183
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Di kebanyakan negara di
seluruh dunia, Hari Tahun Baru diraikan pada tanggal 1 Januari dengan diiringi
bunga api dan keraian-keraian yang diadakan pada malam sebelumnya. Walau bagaimanapun,
ia bukanlah satu-satunya tanggal atau bentuk sambutan Tahun Baru yang ada dan
tidak semua kebudayaan menyambutnya pada tanggal 1 Januari. Dalam artikel kali
ini, kita akan melihat sambutan-sambutan Tahun Baru dalam pelbagai budaya di
seluruh dunia.
TAHUN BARU CINA DAN MAKHLUK
PENDAHAGA DARAH
Salah satu tradisi
tertua yang masih diraikan pada hari ini adalah Tahun Baru Cina yang dipercayai
berasal dari milenium ketiga yang lalu, di zaman pemerintahan Dinasti Shang.
Hari cuti umum pada Tahun Baru Cina bermula sebagai suatu kaedah untuk meraikan
permulaan baru musim bunga dan musim menanam. Namun di masa-masa terkemudian,
ia mula dikaitkan dengan mitos dan legenda. Menurut satu catatan, pada suatu
ketika dahulu, terdapat sejenis makhluk yang dahagakan darah. Makhluk ini
bernama Nian – kini merupakan perkataan berbahasa China yang bermaksud ‘tahun’.
Makhluk tersebut gemar memangsakan penduduk kampung pada setiap Tahun Baru.
Demi menakutkan makhluk
tersebut, penduduk kampung pun menghias rumah mereka dengan warna merah
menyala, membakar buluh dan membuat bising. Helah ini ternyata berkesan.
Lantas, warna yang terang dan cahaya yang menakutkan Nian itu kemudiannya
diserap ke dalam budaya yang masih dapat disaksikan sehingga ke hari ini.
Kini, keraian tersebut
disambut bersama dengan jamuan, kehadiran keluarga dan pemberian angpau
(bersampul merah) dan banyak lagi barangan berwarna merah sebagai tuah. Tarian
singa dan naga, pukulan gendang, mainan bunga api dan mercun serta pelbagai
jenis hiburan lain memenuhi jalan pada hari tersebut. Memandangkan Tahun Baru
China masih berteraskan pada kalendar bulan yang usianya boleh dijejak kmbali
pada milenium kedua Sebelum Masehi, maka hari cuti umum bagi sambutan tersebut
lazim jatuh pada lewat bulan Januari atau awal bulan Februari – bulan kedua
selepas solstis musim sejuk. Setiap tahun mereka dikaitkan dengan salah satu
daripada 12 ekor haiwan zodiak, iaitu tikus, kerbau, harimau, arnab, naga,
ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir.
NOWRUZ DAN TAHUN BARU
PARSI
Sambutan Tahun Baru
Parsi atau turut dipanggil sebagai Nowruz (atau Nooroz) merupakan sebuah
keraian musim bunga yang berlangsung selama 13 hari. Sejarah sambutan ini
berakar sejak dari zaman purba lagi. Pun begitu, kebanyakan tradisi yang dikaitkan
dengannya masih diraikan di Iran dan wilayah-wilayah lain di Timur Tengah dan
Asia. Festival ini disambut pada atau sekitar ekuinoks vernal sekitar bulan Mac
dan dipercayai bahawa keraian ini pada asalnya merupakan sebahagian daripada
agama Zoroastrian.
Catatan-catatan rasmi
tentang perayaan Nowruz tidak muncul melainkan pada kurun ke-2. Namun,
kebanyakan sejarahwan meyakini bahawa sejarah sambutan tersebut boleh dijejak
kembali pada kurun ke-6SM. Tidak seperti keraian-keraian Parsi yang lain,
Nowruz masih bertahan sebagai sebuah perayaan umum yang penting, bahkan setelah
wilayah itu ditakluk oleh Alexander Agung pada tahun 333SM dan kebangkitan
pemerintahan Islam pada kurun ke-7M.
Perayaan purba Nowruz
bertumpu pada elemen kelahiran semula yang mengiringi perkembalian musim bunga.
Tradisi perayaan ini melibatkan hidangan jamuan, pertukaran hadiah dengan ahli
keluarga dan jiran-tetangga, menyalakan unggun api, mewarnakan telur dan
memercikkan air sebagai simbol penciptaan. Nowruz mengalami evolusi atau perubahan
merentas peredaran masa. Namun, kebanyakan tradisi purbanya – terutama
berkaitan unggun api dan pewarnaan telur – masih kekal menjadi sebahagian
daripada perayaannya di zaman moden, yang dianggarkan disambut oleh 300 juta
orang pada setiap tahun.
TAHUN BARU SINHALA DAN
TAMIL
Tahun Baru Sinhala
diraikan oleh masyarakat Sinhala di Sri Lanka, manakala Tahun Baru Tamil pada
hari sama pula diraikan oleh masyarakat Tamil di Sri Lanka. Tahun Baru Sinhala
(aluth avurudda) menandakan berakhirnya musim menuai dan ia diadakan
pada tanggal 13 atau 14 April. Menurut mereka, terdapat suatu jurang masa
antara tahun lalu dan Tahun Baru, di mana hal ini disandarkan pada peredaran
matahari dari Meena Rashiya (buruj Pisces) ke Mesha Rashiya (buruj Aries) pada
sfera angkasa.
Perbezaan masa secara
astrologi di antara Tahun Baru dan tahun lalu diraikan oleh mereka bersama
dengan beberapa ritual dan adat Buddha, di samping perhimpunan sosial dan
parti. Jamuan, pertukaran hadiah, nyalaan lampu minyak dan upacara membuat nasi
susu adalah antara aspek penting bagi perayaan Tahun Baru Sinhala. Di Assam,
Bengal, Kerala, Nepal, Orissa, Punjab dan Tamil Nadu, keluarga Hindhu turut
meraikan Tahun Baru pada tanggal 14 atau 15 April.
WEPET RENPET BAGI
MASYARAKAT MESIR PURBA
Budaya masyarakat Mesir
purba terkait rapat dengan Sungai Nil. Tahun Baru mereka juga memiliki kaitan
dengan banjir tahunannya. Tahun Baru Mesir diramalkan apabila Sirius, bintang
paling cerah di langit malam mula kelihatan selepas hilang selama 70 hari. Hal
ini lazimnya berlaku pada pertengahan Julai sejurus sebelum banjir tahunan
Sungai Nil berlaku, di mana kejadian tersebut memastikan tanah-tanah pertanian
kekal subur untuk kegunaan tahun mendatang. Masyarakat Mesir menyambut permulaan
tahun baru ini dengan sebuah keraian yang dikenali sebagai Wepet Renpet, yang
bermaksud ‘pembuka tahun’. Tahun Baru dilihat sebagai masa kelahiran semula dan
keremajaan semula. Hari tersebut dimuliakan dengan kelangsungan jamuan dan
upacara-upacara keagamaan yang istimewa.
Penemuan-penemuan
terkini di Kuil Mut menunjukkan bahawa pada zaman pemerintahan Hatshepsut,
bulan pertama bagi tahun baru diadakan sebuah ‘Keraian Mabuk’. Parti besar ini
dikaitkan dengan mitos Sekhmet, dewi perang yang merancang untuk membunuh semua
manusia sampaikan dewa matahari, Ra terpaksa memperdayanya untuk minum sehingga
mabuk. Sebagai mengenang dan mensyukuri nikmat keselamatan yang diraih oleh
manusia, masyaakat Mesir menyambutnya dengan mainan muzik, amalan seks, berpesta
dan meminum arak.
ENQUTATASH BAGI MASYARAKAT
HABSYAH
Tahun Baru bagi
masyarakat Habsyah dipanggil sebagai Enqutatash dan ia disambut pada tanggal 11
atau 12 September, bergantung pada tahun lompat. Habsyah menggunakan kalendar
purbanya sendiri, iaitu kalendar Ge’ez. Tarikh Enqutatash menandakan ramalan
berakhirnya tempoh tiga bulan yang dipenuhi oleh hujan lebat. Bunga daisi (daisy)
berputik di seluruh gunung dan tanah lapang pula berubah menjadi kuning cerah
pada tempoh tersebut. Tempoh ini juga dikaitkan dengan kembalinya Ratu Saba’ ke
Habsyah selepas kunjungannya ke kerajaan Raja Sulaiman di Jerusalem sekitar
tahun 980SM.
Enqutatash merupakan
cuti umum yang dikongsi oleh seluruh masyarakat dan hampir kesemua budaya yang
terdapat di dalam negara berkenaan. Keraian-keraian besar diadakan sejak subuh,
di mana sebatang pokok Krismas yang diperbuat daripada ranting di hadapan rumah
dibakar. Hari Tahun Baru sebenar dimulakan dengan menyembelih binatang,
memberkati roti dan Tella (sejenis arak tradisional).
HOGMANAY BAGI MASYARAKAT
SCOTLAND
Penduduk Scotland
menandakan ketibaan Tahun Baru mereka menerusi sebuah cuti dan perayaan umum
yang mereka namakan sebagai Hogmanay, yang berakar daripada serangan,
ketahyulan dan upacara pagan purba Viking. Asal-usul Hogmanay berasal dari
sebuah ritual pagan yang bertujuan untuk menandakan tempoh solstis musim sejuk.
Keraian hedonistik semasa perayaan musim sejuk Saturnalia bagi masyarakat Rom
dan sambutan Yule bagi Viking menyumbang kepada perayaan-perayaan Scotland
sekitar Hari Tahun Baru.
Perayaan dan
upacara-upacara ini kemudiannya berevolusi merentas peredaran masa lalu
melahirkan Hogmanay yang diraikan di Scotland pada hari ini. Pada Zaman
Pertengahan, keraian-keraian musim sejuk masyarakat pagan dibayangi oleh pesta
jamuan yang diadakan menjelang Krismas. Lantaran itu, Tahun Baru dianjak
sehingga berbetulan dengan hari keramat Kristian. Berikutan reformasi yang
berjalan di Scotland, sambutan Krismas tidak digalakkan pada suatu tempoh
sekaligus amalan pemberian hadiah serta keraian yang mengiringi Krismas
dilangsungkan pada Tahun Baru lalu melahirkan keraian Hogmanay dalam masyarakat
Scotland.
Pelbagai tradisi
tempatan di Scotland yang memiliki kaitan dengan api turut memiliki sejarah
dari zaman lalu. Dalam sambutan-sambutan musim sejuk masyarakat pagan, api
menyimbolkan kemunculan semula matahari yang menyinari bumi, di samping
mengekang roh-roh jahat yang menghuni kegelapan. Api masih memainkan pengaruh
yang penting dalam sambutan Hogmanay, di mana perarakan lampu suluh, unggun api
dan bunga api agak masyhur di seluruh Scotland.
Adat lain yang dikenali
sebagai ‘tapakan pertama’ mempercayai bahawa orang pertama yang melintasi
kawasan sebuah rumah selepas tengah malam Tahun Baru menentukan untung nasib
pemilik rumah tersebut sepanjang tahun mendatang. Menurut kepercayaan dalam
adat ini, pengunjung yang ideal mestilah membawa hadiah – seperti arak whiskey,
arang untuk nyalaan api, kek kecil ataupun syiling – dan seharusnya seorang
lelaki berkulit hitam. Mengapa? Jawapannya boleh dirujuk kembali pada kurun
ke-8M, apabila Viking yang dikatakan berambut indah menyerang Scotland, justeru
pengunjung yang berambut perang bukanlah suatu petanda baik.
ADAT DAN TRADISI LAIN
Adat dan tradisi yang
disebutkan di atas hanyalah sebilangan kecil sambutan Tahun Baru bagi
budaya-budaya di seluruh dunia. Sudah tentulah terdapat banyak lagi budaya lain
yang boleh diperihalkan.
Di Sepanyol, menjadi
adat mereka untuk menyediakan 12 biji anggur dalam tangan semasa jarum jam
menunjukkan pukul 12 malam. Satu biji anggur dimakan pada setiap dentingan jam.
Jika kesemua anggur dapat dimakan dalam tempoh jam berdenting, maka ia membawa
maksud tuah baginya.
Di Jepun, ‘parti
melupakan tahun’ diadakan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada masalah dan
kerisauan tahun lalu dan bersedia untuk permulaan baru.
Di Belanda, mereka
menyalakan unggun api pada pokok Krismas di jalanan, di samping membakar bunga
api.
Di Greece, makanan
tradisional yang dihidang semasa sambutan Tahun Baru adalah Vassilopitta,
sejenis kek yang di dalamnya terdapat sekeping syiling yang disembunyikan.
Menurut mereka, sesiapa yang berjaya menemukan syiling dalam potongan kek
tersebut akan memperolehi tuah yang baik pada tahun mendatang.
Di Sweden dan Norway,
mereka menyembunyikan kacang almond di dalam pudding nasi. Sama seperti di
Greece, sesiapa yang dapat menemukan kacang tersebut dipercayai akan memperoleh
tuah.
Di kuil-kuil Buddha di
seluruh dunia, gong akan dipukul sebanyak 108 kali menjelang Tahun Baru dengan
tujuan untuk menghalau 108 jenis kelemahan manusia.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Tahun-Tahun Baru Dalam Pelbagai Bangsa Dan Budaya’
- Get link
- X
- Other Apps
