BLENDA – PAHLAWAN SWEDEN YANG MENEWASKAN TENTERA DENMARK

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (4 Februari 2017). Blenda: The Cunning and Courageous Swedish Woman Who Defeated the Danish Army. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/blenda-cunning-and-courageous-swedish-woman-who-defeated-danish-army-007494

Penterjemah: Amir Zayyanid


Blenda adalah seorang wirawati yang muncul dalam mitos dan legenda Sweden. Walaupun sejarahwan tidak memiliki kepastian tentang tarikh kehidupannya, legenda mengisyaratkan bahawa beliau hidup pada era di mana Alle menjadi Raja Geats. Tempoh tersebut diperkirakan berlangsung pada suatu tempoh antara kurun ke-6 hingga kurun ke-8M. Blenda dikenang lantaran kegagahan (dan kelicikannya) ketika memimpin sepasukan kaum wanita memerangi tentera Denmark.


SERANGAN SWEDEN KE ATAS NORWAY

Pada era pemerintahan Raja Alle, Geats melancarkan seranan ke atas Norway. Raja Alle tidak hanya menghimpunkan kekuatan dari Geats Barat. Akan tetapi, beliau turut menyeru tentera dari Geats Selatan. Geats Selatan ini terdiri dari sebuah daerah yang bernama Smaland, yang juga merupakan kampung halaman Blenda. Susulan daripada ekspedisi ketenteraan ini, wilayah Geats terdedah kepada serangan musuh lantaran hampir seluruh kaum lelakinya keluar berperang. Keadaan ini disedari oleh pihak Denmark di selatan. Mereka memanfaatkan peluang tersebut untuk melakukan serangan ke atas Sweden.

Menurut perhitungan pasukan tentera Denmark, Smaland kosong dari sebarang pertahanan. Justeru, mereka pun terus mencerobohi kawasan itu. Tanpa mereka ketahui, Smaland adalah kampung halaman Blenda justeru beliau sama sekali tidak akan membiarkan pasukan tentera Denmark sewenang-sewenangnya menjarah kawasan itu. Blenda dicatatkan sebagai seorang wanita yang berkelahiran mulia. 

Tatkala beliau mendengar tentang kehadiran pasukan tentera Denmark, Blenda segera memutuskan untuk menghimpunkan seluruh kaum wanita bagi memerangi mereka.
Beliau mengumpulkan mereka menerusi isyarat yang dihantar melalui palang api (sejenis objek mirip kayu yang digunakan di Eropah Utara untuk menghimpunkan masyarakat atas tujuan tertentu) kepada kaum wanita di Konga, Albo, Kinnevald, Norrvidinge dan Uppvidinge.

Kaum wanita Smaland, lukisan oleh Hugo Hamilton (1830)


BLENDA SEBAGAI BARISAN PERTAHANAN TERAKHIR

Seluruh kaum wanita tersebut menyahut seruan Blenda dengan semangat yang berkobar-kobar. Blenda dan pasukannya menyedari bahawa mereka sama sekali tidak akan berjaya menewaskan pasukan tentera Denmark andai bertempur di medan terbuka. Justeru, mereka berpakat untuk menggunakan suatu helah licik.

Ketua-ketua kaum wanita ini bertindak mendekati tentera-tentera Denmark dan berlagak seperti mengagumi kegagahan mereka. Wanita-wanita ini kemudian menjemput mereka untuk menghadiri sebuah jamuan yang dipenuhi dengan makanan dan minuman, termasuklah arak. Lantas, tentera-tentera Denmark itu pun menikmati segala juadah yang ada sehingga kekenyangan dan mabuk. Tidak kurang juga ada yang terlena. Namun pada malam tersebut, lena mereka tidak lagi terjaga lantaran Blenda dan pasukannya menyerang mereka dengan menggunakan kapak.


GANJARAN

Tatkala Raja Alle pulang dari kempen memerangi Norway, beliau mendengar berita tentang keberanian dan kelicikan Blenda. Lantas, beliau mengurniakan hak-hak baru kepada Blenda dan rakan-rakan seperjuangannya sebagai ganjaran di atas jasa yang telah mereka curahkan. Sebagai contoh, mereka dibenarkan untuk memiliki hak pewarisan yang sama rata dengan suami serta adik-beradik mereka (dalam soal pemilikan tanah dan wang). Kelebihan-kelebihan lain yang turut dikurniakan termasuklah hak untuk memakai tali pengikat pinggang dan hak untuk memukul gendang dalam majlis perkahwinan.


MITOLOGI NORSE

Kewujudan pahlawan-pahlawan wanita bukanlah suatu konsep yang asing dalam masyarakat Norse di Zaman Viking. Misalnya, dalam mitologi Norse terdapat sekumpulan figura wanita yang dikenali sebagai Valkyrie. Mereka dipercayai sebagai orang-orang suruhan Odin, dewata terulung dalam pantheon Norse. Valkyrie dihantar oleh Odin ke medan tempur untuk memilih mana-mana pahlawan yang layak untuk memasuki Valhalla. Valkyrie digambarkan sebagai seorang pahlawan, lengkap dengan topi pelindung, zirah rantai dan lembing.

Seorang valkyrie sedang bercakap dengan seekor burung gagak (1862)


Contoh lain kehadiran pahlawan-pahlawan wanita dalam budaya masyarakat Norse dapat dilihat dalam Pertempuran Bravalla, sebuah pertempuran legenda yang dipercayai berlangsung pada kurun ke-8 Masehi. Direkodkan bahawa dalam pertempuran tersebut, seramai 300 orang pahlawan wanita yang dikenali sebagai shieldmaiden bertempur di sisi Raja Harald Wartooth. 

Namun, tidak seperti Valkyrie dan shieldmaiden, Blenda dan rakan-rakan seperjuangannya boleh disifatkan sebagai srikandi dalam konteks yang sedikit berbeza. Hal ini kerana mereka lebih bergantung pada kelicikan dan permainan helah berbanding kegagahan dan kekuatan fizikal dalam menewaskan musuh.

Pertempuran Bravalla


SUMBER