CHANDRAGUPTA MAURYA – PENGASAS EMPAYAR MAURYA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (1 November 2014). The Rise of Chandragupta Maurya, and the Golden Age of the Mauryan Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/rise-chandragupta-maurya-and-golden-age-mauryan-empire-002277

Penterjemah: Amir Zayyanid


Setelah menakluk Empayar Achaemenid, Alexander Agung menumpukan perhatiannya ke barat, atau tepatnya sub-benua India. Lantas pada tahun 327SM, raja Macedonia itu memulakan kempen ketenteraannya dengan menyerang kawasan di lembah berhampiran Sungai Kabul. Walaupun Alexander memenangi sejumlah pertempuran, pada hakikatnya kempennya di India berakhir dengan kegagalan mutlak baginya.

Kemenangan besarnya yang terakhir adalah ketika menewaskan Raja Porus. Memandangkan tentera-tentera Macedonia enggan berangkat lebih jauh ke timur, maka Alexander terpaksa menguburkan impiannya yang mahu menakluk seluruh dunia. Walau bagaimanapun, kempen-kempennya di India memberikan kesan susulan yang cukup besar pada sub-benua tersebut dan masyarakatnya. Salah satu kesan paling besar adalah penubuhan sebuah empayar baru di India, iaitu Empayar Maurya yang kelak menyatukan seluruh India.

Pengasas Empayar Maurya adalah Chandragupta Maurya. Beliau dipercayai lahir pada sekitar 340SM. Tidak banyak maklumat yang kita ketahui tentang susur-galur keturunan Chandragupta dan tahun-tahun awalnya. Menurut beberapa sumber yang lebih terkemudian, kedua ibu bapa Chandragupta datang dari kasta Ksyatria (pahlawan). Namun, sumber-sumber lain pula mendakwa bahawa bapanya adalah seorang raja manakala ibunya berasal dari kasta Sudra (hamba).

Ada juga yang berpendapat bahawa Chandragupta itu seorang putera Nanda (kuasa dominan di utara India pada kurun ke-4SM). Walau apapun jua keadaannya, suatu hal ini kita dapat pastikan adalah Chandragupta lahir sebagai seorang biasa memandangkan pemerincian tentang kehidupannya sebelum menjadi maharaja sama sekali tidak direkodkan oleh mana-mana penulis yang hidup sezaman dengannya.

Tugu Chandragupta Maurya


Dicatatkan bahawa pada usia mudanya, Chandragupta menyerlah dengan kualiti-kualiti sebagai seorang pemimpin sejati seperti berani dan berkarisma. Lantaran itu, peribadinya menggamit perhatian seorang ilmuwan Brahmin yang masyhur, iaitu Chanakya yang digelari ‘Machiavelli India’. Chanakya kemudiannya melatih Chandragupta untuk menjadi seorang raja yang hebat. 

Dengan bantuan beliau, Chandragupta berupaya menghimpunkan sepasukan tentera dan mengisytiharkan perang menentang Empayar Nanda. Walaupun pada mulanya pasukan tentera beliau mengalami kekalahan, Chandragupta tidak berputus asa dan terus-menerus memerangi Nanda. Menjelang tahun 312SM, Chandragupta Maurya mengepung dan seterusnya menawan ibu kota Empayar Nanda yang terletak di Pataliputra. Dengan demikian, Empayar Maurya pun didirikan.

Syiling Empayar Maurya, dengan simbol roda dan gajah


Kemangkatan Alexander pada tahun 323SM menghidangkan peluang untuk Chandragupta memperluaskan lagi empayarnya. Perpecahan menimpa empayar Alexander hinggakan ia terbahagi kepada sejumlah satrapi dan tidak lagi bersatu sebagai sebuah entiti. Maka, menjelang tahun 316SM, Chandragupta menewaskan dan seterusnya menyerap kesemua wilayah satrapi Yunani di pergunungan Asia Tengah. Hal ini sekaligus membuatkan sempadan barat Empayar Maurya melebar hingga ke hujung Iran, Tajikistan, dan Kyrgyzstan moden.

Pada tahun 305SM, Chandragupta berhajat untuk meluaskan empayarnya hingga ke timur Parsi. Rantau itu dikuasai oleh Empayar Seleucid yang ketika itu diperintah oleh pengasasnya, Seleucus I Nicator, salah seorang panglima utama Alexander Agung.
Walaupun konflik yang berlangsung antara dua empayar itu tidak terlerai secara muktamad, perjanjian damai dimeterai antara Seleucus dan Chandragupta dengan terma-termanya cenderung memihak Chandragupta. 

Seleucus terpaksa menyerahkan kawasan-kawasan naungannya di bahagian selatan Parsi. Lebih daripada itu, beliau juga diminta menyerahkan salah seorang puterinya untuk dikahwini oleh maharaja Maurya itu. Sebagai balasan, Chandragupta menghadiahkan 500 ekor gajah perang kepada Seleucus.

Empayar Maurya pada zaman kemuncaknya


Menurut beberapa sumber tradisi, Chandragupta mengambil keputusan untuk takhta ketika berumur 42 tahun dan berubah menjadi seorang pertapa. Sumber-sumber lain pula menceritakan bahawa Chandragupta menamatkan riwayat hidupnya menerusi amalan sallekhana, iaitu bermeditasi tanpa makan atau minum sehingga seseorang itu mati kebuluran.

Kedudukan beliau digantikan oleh puteranya, Bindusara. Namun, cucu beliau iaitu Ashoka adalah maharaja yang bertanggungjawab membawa zaman keemasan buat Empayar Maurya. Secara umum, Chandragupta mungkin dikenang pada hari ini sebagai raja yang menyatukan seluruh India.

Ilustrasi Chandragupta Maurya


SUMBER