CUAUHTEMOC – MAHARAJA AZTEC TERAKHIR YANG MENENTANG PENJAJAHAN SEPANYOL

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (28 Februari. 2016). Cuauhtemoc, The Last Aztec Emperor to Fight Against the Spanish. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/cuauht-moc-last-aztec-emperor-fight-against-spanish-005435

Penterjemah: Amir Zayyanid


Cuauhtemoc (bermaksud ‘Matahari Terbenam’ atau ‘Helang Yang Terbang Menjunam’) merupakan tlatoani ke-11 bai Tenochtitlan, dan pemerintah terakhir Empayar Aztec. Secara harfiah, tlatoani membawa maksud ‘penutur’, tetapi ia juga boleh diterjemahkan sebagai ‘raja’. Cuauhtemoc memerintah pada tahun 1520 sehingga 1521 Masehi, era di mana para conquistador Sepanyol sedang berada di ambang penaklukan Empayar Aztec.

Cuauhtemoc mengambil pendirian untuk tidak menyerang kepada pihak penjajah, sebaliknya menentang dengan keras. Walaupun Cuauhtemoc pada akhirnya gagal menghalang penaklukan oleh tentera-tentera Sepanyol, beliau terus dikenang secara positif. Bahkan sehingga kini, Cuauhtemoc dianggap oleh kebanyakan masyarakat Mexico sebagai seorang perwira yang mempertahankan masyarakatnya daripada penjajah asing. Cuauhtemoc dipandang sebagai simbol penentangan.


KEHIDUPAN AWAL CUAUHTEMOC

Cuauhtemoc dipercayai lahir pada sekitar tahun 1495, walaupun tahun tepat kelahirannya tidak dapat dipastikan. Tidak banyak maklumat yang diketahui perihal Cuauhtemoc sebelum beliau menaiki takhta Empayar Aztec. Namun, sejarahwan sedia maklum bahawa keluarga Cuauhtemoc telah melahirkan ramai tlatoque (kata jamak bagi tlatoani). Datuk dan dua orang bapa saudaranya dicatatkan pernah menyandang kedudukan tersebut.

Tambahan lagi, dua orang pemerintah Aztec sebelum Cuauhtemoc (iaitu Moctezuma II dan penggantinya, Cuitlahuac) adalah sepupunya sendiri. Sebelum ketibaan Sepanyol, Cuauhtemoc yang masih muda belia mendaki tangga kekuasaan dalam kalangan elit Aztec, meraih kedudukan dalam jabatan tlacatecatl (panglima) dan menjadi sebahagian daripada anggota kehormat yang memerintah daerah Tlatelolco.

Monumen Cuauhtemoc di Zocalo


Cuauhtemoc sering ditegaskan mengambil sikap bermusuhan dengan Sepanyol sejak awal ketibaan mereka lagi. Beliau menjadi individu yang lantang dalam kalangan penasihat raja Aztec yang menentang penceroboh asing itu. Sebagai perbandingan, maharaja Aztec, Moctezuma II bersifat ragu-ragu dan acuh tak acuh dalam menangani urusan yang melibatkan pihak Sepanyol, di mana keadaan ini pada akhirnya mengakibatkan beliau kehilangan empayar dan nyawanya sendiri.


MALAM RATAPAN

Berikutan kemangkatan Moctezuma, salah seorang adiknya iaitu Cuitlahuac mewarisi takhta Aztec. Malangnya, maharaja baru ini menghidapi penyakit cacar yang dibawa oleh masyarakat Eropah ke Dunia Baru. Beliau mangkat kurang tiga bulan selepas memerintah. Walaupun pemerintahannya berlangsung singkat, Cuitlahuac sempat mengusir Sepanyol dari Tenochtitlan semasa upacara Noche Triste atau Malam Ratapan yang masyhur.

Pertempuran La Noche Triste


Masyarakat Aztec berpeluang menghapuskan saki-baki tentera Sepanyol secara sekaligus ketika mereka lari mengundurkan diri. Namun dalam Pertempuran Otumba, Sepanyol dan sekutu tempatannya berupaya menewaskan ketumbukan tentera Aztec yang jauh lebih besar saiznya. Hal ini bermaksud ancaman asing ini tidak dapat ditundukkan sepenuhnya dan Sepanyol kelak kembali untuk menyempurnakan usaha menakluk Empayar Aztec.

Walaupun mengalami kekalahan dalam Pertempuran Otumba, pembebasan Tenochtitlan dari cengkaman Sepanyol membolehkan masyarakat Aztec menyusun beberapa langkah penentangan ke atas musuhnya. Kematian Cuitlahuac secara tiba-tiba memberi maksud seorang pemimpin baru perlu dilantik. Pada waktu itu, tidak ramai calon yang dapat dipilih lantaran sejumlah besar individu kehormat sudah pun dibunuh oleh tentera-tentera Sepanyol dalam Keraian Toxcatl, sebuah insiden yang kini dipanggil sebagai Pembunuhan Beramai-Ramai Di Kuil.

Pertempuran Otumba


RUNTUHNYA EMPAYAR AZTEC

Cuauhtemoc dilantik sebagai pemimpin Aztec dan beliau segera menghulurkan bantuan kepada Tenochtitlan dan mencari sekutu. Tambahan, beliau turut memperkuatkan pasukan tentera yang bertahan di Guacachula, Xaltocan dan Itzocan dengan harapan dengan mengunci pergerakan tentera-tentera Sepanyol. Cuauhtemoc juga mengambil langkah ofensif dengan menghantar asukan tentera ke Xochimilco dengan tujuan menawan semula kota itu. Namun, pasukan tentera Aztec mengalami kekalahan. Masa untuk Cuauhtemoc menyelamatkan empayarnya semakin suntuk memandangkan angkatan penuh tentera-tentera Sepanyol dan sekutu tempatannya dibawa untuk menyerang Tenochtitlan.

Serangan daripada pihak Sepanyol ini mengakibatkan Tenochtitlan musnah dan direkodkan bahawa Cuauhtemoc sendiri ditangkap semasa cuba melarikan diri menggunakan kanu perang pada tanggal 13 Ogos 1521.

Pandangan umum mendakwa bahawa pihak Sepanyol menyeksa Cuauhtemoc dengan membakar tangan dan kakinya. Sebilangan sejarahwan berpendapat bahawa seksaan ini bertujuan untuk memaksa beliau agar mendedahkan lokasi persembunyian timbunan emas miliknya. Sebilangan yang lain pula berpandangan bahawa harta karun adalah harta-karun milik Sepanyol yang hilang semasa mereka bergegas menyelamatkan diri semasa peristiwa Malam Ratapan.

Walau bagaimanapun, Cuauhtemoc terus-menerus mendiamkan diri dan sama sekali tidak membuat sebarang pendedahan. Dalam satu catatan, Cuauhtemoc kemudiannya memaklumkan bahawa beliau membuang harta karun itu ke dalam tasik yang mengelilingi Tenochtitlan.

Patung Cuauhtemoc di Zocalo, Bandar Mexico


Pada tahun 1524, Cuauhtemoc dibawa ke selatan apabila pemimpin tentera Sepanyol, Hernan Cortes mengetuai sebuah ekspedisi ke daerah yang kini dikenali sebagai Honduras. Tindakan ini adalah kerana pihak Sepanyol khuatir Cuauhtemoc akan memanfaatkan ketiadaan Cortes dan melakukan pemberontakan. Pada tahun berikutnya, Cuauhtemoc dan beberapa orang pemimpin Aztec yang lain digantung mati atas dakwaan kononnya mereka berkomplot mahu menentan Cortes.

Gambar potret Hernan Cortes


Dalam satu versi penceritaan, tulang-tulang Cuauhtemoc diseludup oleh para pengikutnya pada tahun 1529 dan dibawa ke Ixcateopan, lokasi yang dipercayai sebagai kampung halamannya. Tulang-tulang itu dipercayai disemadikan di bawah tanah yang kelak menjadi foundasi kepada altar di sebuah gereja tempatan.

Pada tahun 1949, tulang-tulang yang dipercayai milik Cuauhtemoc ini ditemui oleh ahli-ahli arkeologi. Ketika diteliti dan diselidiki, tulang-tulang tersebut didapati adalah kepunyaan beberapa orang individu, termasuklah seorang wanita separuh-India Amerika dan separuh Sepanyol serta beberapa orang lelaki. Tambahan lagi, Cuauhtemoc secara diyakini secara umum sebagai warga tempatan Tenochtitlan dan bukannya Ixcateopan.

Walaupun bukti-bukti yang ditemui cenderung mendapati bahawa kepercayaan kononnya tulang-tulang Cuauhtemoc berada di Ixcateopan tidak benar, kepercayaan tersebut masih terus hidup sehingga kini. Malahan, terdapat sebuah keraian khusus untuk menghormati pemimpin Aztec ini yang mana ia diadakan di sana secara tahunan.


SUMBER