DEWI PENGASUH NINSUN – DIPUJA OLEH BANGSA MESOPOTAMIA PURBA DAN IBUNDA GILGAMESH

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (12 Mac 2016). The Nurturing Goddess Ninsun: Worshipped by Ancient Mesopotamians and the Mother of Gilgamesh. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/nurturing-goddess-ninsun-worshipped-ancient-mesopotamians-and-mother-gilgamesh-020766

Penterjemah: Amir Zayyanid


Ninsun adalah figura wanita yang terdapat dalam mitologi Sumeria. Bapa kepada Ninsun adalah dewa Anu (dewa langit) manakala ibunya pula adalah dewi Uras (dewi bumi). Sebagai dewi, Ninsun dipuja oleh masyarakat Mesopotamia purba dan mempunyai sejumlah pusat kultusnya yang tersendiri dalam tamadun tersebut.
Namun pada hari ini, Ninsun mungkin paling dikenali sebagai ibu kepada Gilgamesh, wira utama dalam Epik Gilgamesh, karya sastera yang dianggap paling awal dalam sejarah manusia.


PERKAITAN DENGAN HAIWAN LEMBU

Nama Ninsun dikatakan membawa maksud ‘Wanita Kerbau Liar’. Tambahan lagi, beliau turut dipanggil dengan beberapa nama lain, seperti ‘lembu yang sempurna’, ‘lembu liar yang terkurung’, ‘lembu agung’ dan ‘ibunda yang penyayang’.
Berikutan perkaitan-perkaitan seperti ini terhadap lembu, Ninsun juga disinonimkan dengan kualiti-kualiti keibuan justeru beliau dianggap oleh masyarakat Mesopotamia purba sebagai dewi keibuan yang memiliki sifat lemah-lembut, penyayang, dan pengasuh yang prihatin. Sifat-sifat ini mungkin dapat dilihat dengan ketara dalam Epik Gilgamesh, di mana beliau bukanlah sekadar ibu dalam permaknaan simbolik, sebaliknya memang seorang ibu yang sebenar – yakni ibu kepada Gilgamesh.


NINSUN DALAM EPIK GILGAMESH

Dalam Epik Gilgamesh, perwatakan Gilgamesh diperincikan seperti berikut, “Dua pertiga dirinya bersifat kedewataan dan satu pertiga pula adalah manusia”. Dalam epik ini, dicatatkan bahawa ayah Gilgamesh adalah seorang raja Uruk yang bernama Lugalbanda, manakala ibunya pula sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, adalah Dewi Ninsun: “Putera kepada Lugalbanda, Gilgamesh yang sempurna kegagahannya / Putera kepada lembu tinggi, lembu liar Ninsun.” Daripada bapanya itulah Gilgamesh mewarisi sifat kemanusiaan sementara sifat-sifat kedewataannya diraih daripada ibunya, Ninsun.

Patung Gilgamesh


Dalam Epik Gilgamesh, Ninsun sebenarnya tidaklah memainkan peranan yang besar. Namun apapun, karakter utama dalam karya sastera ini adalah putera beliau, iaitu Gilgamesh. Malahan, tatkala Ninsun muncul dalam karya berkenaan, beliau digambarkan sebagai seorang ibu yang penyayang yang melakukan segalanya demi membantu puteranya. Hal ini dapat dilihat menerusi penafsiran mimpi Gilgamesh, di mana Ninsun kerap membuat kemunculan dalam babak ini. Dalam teks tersebut, Gilgamesh memaklumkan kepada ibunya perihal mimpi yang dialaminya:

“Ibu, aku bermimpi pada waktu malam di mana terdapat sejumlah bintang di langit berkerlipan padaku. Kemudian, (sesuatu) seperti tahi bintang berjatuhan ke atasku. Aku cuba mengangkatnya, namun ia terlalu berat bagiku. Aku cuba pula untuk mengalihkannya, namun tidak berupaya untuk membuatkannya berganjak. Kota Uruk berdiri di atasnya (mengerumuninya). Penduduk Uruk berkumpul di atasnya (mengerumuninya). Seluruh masyarakat berkerumun mendatanginya. Para pemuda bergerombolan menyambutnya dan mencium kakinya seperti anak kecil.
Dan aku sendiri menyayanginya seperti seorang isteri, membelainya, (aku membawanya) dan meletakkannya di hadapan ibu dan ibu melayaninya sama sepertiku.”

Tablet V Epik Gilgamesh


Ninsun menafsirkan mimpi puteranya itu sebagaimana berikut:

“(Mimpi ini bermaksud) seorang teman yang gagah akan mendatangi kamu, seorang yang akan menyelamatkan nyawa rakan. Dia hadir sebagai bantuan yang paling ampuh dan kuat di muka bumi ini. Kekuatannya sama hebat seperti tahi bintang Anu. Kamu akan menyayanginya sama seperti kamu menyayangi isteri kamu, kamu akan membelainya, (dan dia akan sentiasa) menjaga keselamatan kamu. (Inilah maksud) bagi mimpi kamu itu.”

Gilgamesh turut mengalami mimpi kedua, yang melibatkan sebilah kapak dilemparkan ke arah jalan-jalan di kota Uruk. Penafsiran mimpi ini yang dilakukan oleh Ninsun sama seperti mimpi pertama itu tadi. Mimpi Gilgamesh menjadi kenyataan menerusi kehadiran Enkidu, ‘Lelaki Liar’ yang dicipta oleh para dewa untuk mencabar Gilgamesh. Namun kemudiannya, Enkidu menjadi teman rapatnya. Malahan, Enkidu turut dilayani seperti anak sendiri oleh Ninsun, sebagaimana yang diisyaratkan di dalam mimpi Gilgamesh.

Relif pada bahagian hadapan kuil Inanna di Karaindash, dari Uruk. Muzium Pergamon


Pusat kultus utama Ninsun terletak di negara-kota Lagash. Apapun, beliau juga dipuja di beberapa buah bandar Mesopotamia purba, termasuklah Nippur, Ur dan Umma. Misalnya pada zaman Dinasti Ketiga Ur, pengasasnya iaitu Ur-Nammu membina sebuah kuil yang bernama Emah (bermaksud ‘Kuil Agung’) di Ur sebagai monumen yang didedikasikan kepada dewi ini.


SUMBER
  • Anon. The Epic of Gilgamesh. [Dalley, S. (trans). 2008. The Epic of Gilgamesh, in Myth from Mesopotamia, Creation, the Flood, Gilgamesh, and Others. Oxford: Oxford University Press.]
  • Harris, R. 2000. Gender and Aging in Mesopotamia: The Gilgamesh Epic and Other Ancient Literature. Norman, Okla: University of Oklahoma Press.
  • Brisch, N. 2013. Ninsumun (Ninsun) (goddess).