- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (1 Mei 2019). The Prosperity and Power of the Ghana Empire
Flourished on the Trans-Saharan Trade Route. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/ghana-empire-0011826
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/ghana-empire-0011826
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Empayar Ghana adalah
empayar agung pertama di Afrika Barat yang wujud pada Zaman Pertengahan.
Sejarah Empayar Ghana agak kabur dan kebanyakan maklumat yang kita miliki
tentang empayar ini diambil daripada sumber-sumber Arab, atau secara khusus,
kitab al-Masalik wa al-Mamalik karangan Al-Bakri. Daripada sumber ini jugalah
dapat kita temukan kisah berkenaan Tunka Manin (juga dieja sebagai Tenkamenin),
pemerintah terakhir Ghana.
PEMBENTUKAN EMPAYAR
GHANA
Walaupun pada hari ini
empayar tersebut dipanggil sebagai Empayar Ghana, rakyatnya memanggil kerajaan
mereka sebagai Wagadou yang membawa maksud ‘Tanah Ternakan’. Sebagai kepilan
fakta, Ghana adalah gelaran buat para pemerintahnya. Menurut tradisi lisan,
Empayar Ghana ditubuhkan oleh Diabe Cisse, putera bongsu Dinga. Dinga dianggap
sebagai leluhur kaum Soninke. Ketika ajal menyapa Dinga, beliau memutuskan
untuk mewariskan kedudukannya sebagai ketua kepada putera sulungnya.
Namun, lantaran bapanya
yang sudah tua itu buta, Diabe Cisse mengambil kesempatan untuk menyamar
sebagai abangnya dan menerima wasiat daripada Dinga. Diabe Cisse kemudiannya
meninggalkan kampung halamannya dan membawa diri ke sebuah tempat yang bernama
Koumbi Saleh. Tempat tersebut terletak di Mauretania moden, yang bersempadan
dengan Mali. Di tempat inilah Wagadou ditubuhkan, dengan Koumbi Saleh berfungsi
sebagai ibu kotanya.
![]() |
| Empayar Ghana meraih kuasa menerusi eksploitasi ke atas perdagangan emas, tembaga, garam dan peleburan besi |
Catatan bertulis
pertama berkenaan Empayar Ghana muncul pada kurun ke-8 oleh penulis-penulis
Arab. Pada waktu itu, Empayar Ghana sudah pun berkembang pesat berkat
penglibatannya dalam perdagangan trans-sahara. Kafilah-kafilah dari utara
datang membawa garam, manakala kafilah-kafilah dari selatan pula datang bersama
emas. Memandangkan laluan perdagangan tersebut merentasi wilayah-wilayah
kekuasaan Empayar Ghana, maka pemerintah mereka mengenakan cukai ke atas barang
dagangan tersebut. Hal ini menyumbang kepada peningkatan perbendaharaan
empayar.
EMPAYAR GHANA
BERKEMBANG MENJADI SALAH SEBUAH KERAJAAN TERKAYA
Empayar Ghana terus
mengecapi kegemilangan sehingga kurun ke-10. Seorang ahli geografi dan
sejarahwan Arab yang hidup pada kurun ke-9, iaitu al-Ya’qubi ada mencatatkan
bahawa Empayar Ghana merupakan salah satu dari dua buah kerajaan yang paling
berkuasa di Sudan Barat. Pemerintahnya pula berkuasa ke atas raja-raja kecil di
wilayah lain. Muhammad ibn Hawqal yang juga merupakan ahli geografi Arab turut
menulis dalam sebuah catatan tahun 988M bahawa pemerintah Ghana adalah raja
yang paling kaya di dunia.
![]() |
| Empayar Ghana pada zaman kemuncaknya |
Namun, pemerincian yang
paling mendalam berkenaan Empayar Ghana hanya dapat ditemukan dalam kitab yang
dikarang oleh Al-Bakri, berjudul Al-Masalik wa al-Mamalik. Al-Bakri
adalah seorang sejarahwan dan ahli geografi yang hidup pada kurun ke-11. Kitab
tersebut merupakan salah sebuah kitab Al-Bakri yang masih wujud sehingga ke
hari ini, justeru dijadikan sebagai sumber paling penting bagi mendalami
sejarah Afrika Barat.
Apapun, keadaan ini
agak ironik jika kita mempertimbangkan hakikat bahawa Al-Bakri sendiri tidak
pernah mengembara ke rantau tersebut dan hanya meluangkan hidupnya di
Al-Andalus. Pemerinciannya tentang Empayar Ghana dan Afrika Barat adalah
berdasarkan catatan-catatan yang diambil daripada individu-individu yang pernah
mengembara ke sana.
MENELUSURI EMPAYAR
GHANA
Al-Bakri menghidangkan
banyak pengetahuan yang menarik perihal Empayar Ghana. Sebagai contoh, beliau
melaporkan bahawa segala ketulan emas yang datang dari lombong-lombong di
seluruh empayar disimpan khusus untuk raja. Rakyat pula dibenarkan untuk
mengumpulkan habuk-habuk emas. Habuk-habuk emas ini dihimpunkan dalam kuantiti
yang sangat banyak hingga nilainya menyusut. Al-Bakri juga mencatatkan bahawa
masyarakat Ghana memakai perhiasan yang diperbuat daripada emas. Berkenaan
kekuatan pasukan tentera empayarnya pula, disebutkan bahawa seramai 200 000
orang dapat dihimpunkan dalam masa-masa perang.
![]() |
| Masyarakat Ghana menghias diri dengan barangan kemas yang diperbuat daripada emas |
Perihal pentadbiran
empayar, Al-Bakri memerincikan bahawa takhta diwarisi oleh putera kepada
saudara perempuan raja. Tambahan lagi, Al-Bakri turut menotakan bahawa para
pegawai penterjemah, menteri perbendaharaan dan kebanyakan jemaah menteri dalam
empayar ini adalah Muslim. Walaupun rajanya sendiri menganut kepercayaan
paganisme, dicatatkan bahawa beliau bersifat ramah kepada orang-orang Islam.
Menurut sumber-sumber
tradisi, Empayar Ghana tumbang pada tahun 1076, iaitu sembilan tahun selepas
Kitab Al-Masalik wa al-Mamalik dikarang. Al-Bakri mencatatkan bahawa pada tahun
tersebut, Empayar Ghana diperintah oleh Tunka Manin yang menaiki takhta sejak
1063. Beliau mewarisi takhta daripada ayah saudara sebelah ibunya, Bassi yang
menjadi raja pada usia 85 tahun. Selain daripada itu, Al-Bakri hanya menulis
bahawa ‘Tunka Manin ini seorang pemerintah yang berpengaruh, berkuasa ke atas
sebuah kerajaan yang besar dan autoritinya juga kukuh.”
![]() |
| Tunka Manin, pemerintah terakhir Empayar Ghana |
Tunka Manin direkodkan
sebagai pemerintah terakhir Empayar Ghana. Dalam erti kata lain, beliau adalah
pemerintah yang berhadapan dengan serangan al-Murabitun. Pasukan tentera Ghana
habis ditundukkan, sekaligus al-Murabitun memerintah rantau tersebut selama
kira-kira sedekad sebelum diusir. Kepenguasaan Al-Murabitun digantikan oleh
Sosso yang kemudiannya tumbang pada tahun 1240 di tangan Empayar Mali, sebuah
lagi empayar agung dalam sejarah Afrika Barat.
SUMBER
- Conrad, D. 2005. Great Empires of the Past: Empires of Medieval West Africa. New York, NY: Facts on File, Inc.
- Ademola, A. 2018. The untold heroics of the last ruler of ancient Ghana Empire before its tragic fall.
- New World Encyclopedia. 2017. Ghana Empire.
- The BBC. 2019. Ancient Ghana.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. Ghana.
- Users Rowan Edu. 2019. Al-Bakri, Roads and Kingdoms (1067CE).
- World Heritage Encyclopedia. 2019. Book of Highways and of Kingdoms (al-Bakri).
- Get link
- X
- Other Apps




