- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (18 Jun 2018). Gupta Empire of Ancient India was Golden Age of
Goodwill, Artistic Endeavors and Military Might. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/gupta-empire-ancient-india-golden-age-artistic-021947
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/gupta-empire-ancient-india-golden-age-artistic-021947
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Empayar Gupta adalah
sebuah empayar India purba yang wujud pada kurun ke-3 sehingga kurun ke-6
Masehi. Pada zaman ini, India mengalami kemajuan terutama pada sudut
kebudayaan. Pencapaian-pencapaian empayar ini dalam seni bina, seni pahat dan
seni lukisan meninggalkan pengaruh yang mendalam terhadap tamadun-tamadun
terkemudian dan malah menyebar luas sehingga melangkaui wilayah sempadan.
Raja-Raja Gupta pula dikenang lantaran kegagahan mereka dari sudut ketenteraan,
kebaikan hati yang dipamerkan serta usaha-usaha mereka dalam memelihara dan
membangunkan kesenian.
Empayar ini adalah
kuasa politik yang menggantikan Empayar Maurya, walaupun ia tidaklah menguasai
kawasan yang saiznya seluas empayar yang lama itu. Apapun, Empayar Gupta
berupaya mengekalkan kekuasaan ke atas bahagian utara India di bawah satu
pemerintah selama beberapa tempoh. Malahan, wilayah kekuasaannya merangkumi
juga bahagian tengah dan selatan India.
Empayar Maurya tumbang
pada sekitar 180SM, berikutan pembunuhan Brihadratha Maurya oleh salah seorang
panglimanya yang bernama Pushyamitra Shunga. Pada zaman pemerintahan Ashoka
yakni pada kurun ke-3SM, Empayar Maurya mencapai era kemuncak dalam perluasan
wilayahnya. Empayar ini menguasai hampir seluruh sub-benua India. Sebagai
susulan kepada ketumbangan empayar ini pada separuh pertama kurun ke-2SM,
berlaku kekosongan kuasa di rantau itu yang mana keadaan ini diisi oleh oleh
kemunculan pelbagai negara-negara kecil. Negara-negara ini secara berterusan
berperang antara satu sama lain dan keadaan ini berlanjutan selama 500 tahun,
sebelum tertubuhnya Empayar Gupta pada sekitar tahun 320M.
SIAPAKAH
PEMERINTAH-PEMERINTAH GUPTA?
Tidak banyak maklumat
yang kita ketahui berkenaan keturunan para pemerintah Gupta. Sejarahwan
cenderung berpendapat bahawa mereka adalah pemilik-pemilik tanah yang bangkit
berkuasa di wilayah selatan Bihar moden. Sebelum kebangkitan Empayar Maurya,
kawasan berkenaan diperintah oleh Kerajaan Magadha. Tambahan lagi, terdapat
juga pandangan yang mendakwa wilayah timur Uttar Prades sebagai sebahagian
daripada wilayah asal Gupta. Malahan, wilayah ini dianggap lebih penting
berbanding Bihar lantaran banyaknya syiling dan inskripsi raja-raja awal Gupta
ditemui di sini.
![]() |
| Syiling Raja Kumara Gupta I |
Direkodkan bahawa
pengasas Dinasti Gupta adalah Sri Gupta yang hidup pada kurun ke-3 Masehi.
Kedudukan beliau kemudiannya digantikan oleh puteranya yang bernama
Ghatotkhaca. Sejarahwan tidak mempunyai banyak maklumat perihal dua orang
pemerintah awal Gupta ini, dan pemerintahan mereka pula dianggap kurang
signifikan pada waktu itu.
Namun, keadaan mula
berubah apabila Chandragupta I, putera kepada Ghatotkhaca menaiki takhta pada
tahun 320M. Dengan menggabungkan antara kekuatan ketentaraan dan penjalinan
persekutuan menerusi jalan perkahwinan, Chandragupta memperluaskan wilayah
sempadan kerajaannya sehingga ia menjadi sebuah empayar.
Daripada kaum Kush yang
menghuni wilayah barat Gupta, Chandragupta dapat memahami kepentingan pasukan
kavalri. Lantas, beliau menggunakannya secara efektif dalam memerangi
musuh-musuhnya dan menewaskan mereka dalam medan pertempuran. Tambahan lagi,
Chandragupta turut membentuk persekutuan politik yang ampuh dengan mengahwini
Kumaradevi, putera puak Licchhavi. Puak ini berkuasa di bahagian utara Bihar,
dan menurut sebilangan pendapat, Nepal. Menjelang akhir pemerintahan
Chandragupta yakni sekitar 330M, Empayar Gupta sudah pun melebarkan wilayah
kekuasaan mereka di seluruh kawasan Allahabad, kota moden di wilayah Uttar
Pradesh. Hal ini benar-benar membuktikan gelaran yang digunakannya, iaitu maharajhadhiraja
(raja segala raja).
![]() |
| Chandragupta I dengan permaisurinya digambarkan pada sekeping syiling putera mereka, Samudragupta |
RAJA YANG IDEAL
Chandragupta
kemudiannya digantikan oleh puteranya yang bernana Samudragupta. Beliau
memerintah selama empat dekad. Samudragupta dianggap sebagai seorang raja yang
ideal dan zaman pemerintahannya diperkirakan sebagai ‘zaman keemasan dalam
sejarah India’. Samudragupta melanjutkan polisi perluasan wilayah yang
dilakukan oleh ayahandanya dan menakluk saki-baki wilayah utara India.
Berikutan kejayaannya itu, beliau pun mengalihkan tumpuannya ke wilayah selatan
pula dengan menakluk bahagian selatah India.
![]() |
| Syiling raja Samudragupta |
Samudragupta bukan
hanya seorang panglima yang cekap, malah pemerintah yang berkebolehan. Beliau
dicatatkan pernah menyumbangkan sejumlah besar wang untuk pelbagai tujuan,
termasuklah pendidikan. Beliau juga menggalakkan ketinggian sahsiah dalam
kalangan pelbagai komuniti keagamaan yang terdapat di dalam empayarnya. Lebih
daripada itu, Samudragupta turut disifatkan sebagai seorang penyair dan ahli
muzik. Di bawah pemerintahannya, Empayar Gupta mengalami tempoh keamanan dan
kegemilangan.
![]() |
| Lukisan Gua Padmapani 1 di Ajanta, sekitar 550M |
PENGAKHIRAN HARI-HARI
GEMILANG
Keadaan ini berlanjutan
di zaman pemerintahan tiga orang maharaja Gupta yang seterusnya, iaitu
Chandragupta II, Kumaragupta I dan Skandagupta. Menjelang akhir pemerintahan
Kumaragupta, empayar beliau menerima ancaman daripada kaum Pushyamitra, sebuah
kabilah dari India Tengah yang mungkin turut menjalinkan persekutuan dengan
kaum Huna, sebuah kabilah dari Asia Tengah. Pun begitu, raja-raja Gupta berjaya
menewaskan mereka. Pada zaman pemerintahan Skandagupta pula, kaum Huna menyerang
empayar Gupta. Namun kali ini juga mereka dapat ditewaskan.
Walau bagaimanapun,
serangan daripada kaum Huna kembali semula dan para penganti Skandagupta pula
tidak cukup kuat untuk menewaskan mereka. Sebagai susulan, mereka pun kehilangn
kuasa ke atas kebanyakan wilayah. Dinasti Gupta terus bertahan sehingga tahun
550M, walaupun pada waktu itu, mereka sudah pun menjadi sebuah negara yang
tidak penting. Hari-hari gemilang mereka sudah sirna jauh lebih awal
meninggalkan mereka.
![]() |
| Tentera berkuda Hephthalite pada sebuah mangkuk di Muzium British berusia 460-479M. Hephthalites adalah sekumpulan Huna |
SUMBER
- Aggarwal, M. 2018. History of the Gupta Empire.
- Dhwty. 2014. The Incredible Rust-Resistant Pillar of Delhi.
- Szczepanski, K. 2018. The Gupta Empire: India’s Golden Age.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2013. Samudra Gupta.
- US History. 2018. 8e. The Gupta Period of India.
- Indian Mirror. 2018. Gupta Dynasty.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Empayar Gupta – Zaman Keemasan India Purba’
- Get link
- X
- Other Apps





