EMPAYAR MAJAPAHIT – EMPAYAR YANG PERNAH MENEWASKAN TENTERA MONGGOL

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (19 Ogos 2015). The Majapahit Empire: The Short Life of an Empire that Once Defeated the Mongols. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/majapahit-empire-short-life-empire-once-defeated-mongols-003623

Penterjemah: Amir Zayyanid


Pasukan tentera Monggol masyhur sebagai salah satu penakluk teragung di dunia. Tatkala mereka memperluaskan sempadan empayar, sejumlah empayar lain habis dihancurkan dan banyak dinasti yang digantikan. Walau bagaimanapun, terdapat sebuah peristiwa yang kurang masyhur melibatkan pasukan tentera Monggol (di bawah pemerintahan Kublai Khan dari Dinasti Yuan) yang menyerang Jawa. Ekspedisi tersebut berakhir dengan kekalahan di pihak Monggol sekaligus membawa kepada kebangkitan salah sebuah kuasa besar terakhir di rantau Asia Tenggara, iaitu Empayar Majapahit.


RAMPASAN KUASA DAN DUA KISAH BERBEZA

Kisah Empayar Majapahit bermula pada lewat kurun ke-13 Masehi, berlatar tempat di Kerajaan Singhasari dengan berkisar pada watak Raden Wijaya (pengasas Empayar Majapahit) dan Jayatakwang (pemerintah terakhir Kerajaan Singhasari). Bapa mertua Raden Wijaya, iaitu Kertanagara adalah pemerintah yang dirampas takhtanya oleh Jayakatwang. Pun begitu, Raden Wijaya tetap diampunkan dan malah, dikurniakan Trowulan yang terletak di Jawa Timur. Lokasi tersebut kemudiannya menjadi ibu kota Empayar Majapahit.

Gerbang Bajang Ratu dan Wringin Lawang, dua contoh seni bina Majpaahit, Trowulan, Jawa Timur, Indonesia


Menurut sumber-sumber China, sebelum berlakunya rampasan kuasa daripada Jayakatwang, Kertanagara ada menimbulkan kemurkaan Kublai Khan lantaran beliau enggan membayar ufti kepada Dinasti Yuan. Lebih daripada itu, beliau turut memalukan utusan yang dihantar oleh Yuan dan bahkan mencabar Kublai Khan. Sebagai susulan, Kublai Khan pun memutuskan untuk menghukum Kertanagara dengan menghantar sebanyak 1000 buah kapal perang dengan tujuan menakluk kerajaannya.

Walau bagaimanapun, sumber-sumber Jaya memberikan gambaran yang berbeza di mana mereka tidak menyatakan tentang keengganan Kertanagara membayar ufti kepada Dinasti Yuan, sebaliknya menyifatkan raja itu sebagai pemerintah bawahan Yuan yang bersikap mesra. Pasukan tentera yang dihantar oleh Kublai Khan ke Jawa pula dikatakan tidak bermaksud untuk menghukum Kertanagara, akan tetapi untuk membantu Raden Wijaya. Hal ini kerana Raden Wijaya telah terlebih dahulu menghantar delegasi kepada Kublai Khan yang meminta bantuan dalam memerangi Jayakatwang. Tambahan lagi, Raden Wijaya turut berjanji untuk membenarkan Kublai Khan memilih mana-mana puteri jelita dalam Kerajaan SInghasari untuk dimilikinya.


HELAH RADEN WIJAYA DALAM MENGALAHKAN TENTERA MONGGOL

Walau pun penceritaan sebenarnya, pasukan tentera Monggol yang dipimpin oleh Shi-bi, Ike Mese dan Gaoxing sememangnya dihantar ke Jawa pada tahun 1293. Raden Wijaya menjalinkan kerjasama dengan pasukan tentera Monggol itu dalam memerangi dan menewaskan Jayakatwang. Selepas meraih kemenangan, Raden Wijaya diberi kebenaran untuk pulang ke ibu kotanya, kononnya supaya beliau dapat mempersiapkan ufti untuk diberikan kepada Kublai Khan. 

Namun, Raden Wijaya sejak awal lagi tidak berhasrat untuk menjadi pemerintah bawahan Monggol. Beliau memutuskan untuk mengusir pasukan tentera Monggol itu keluar daripada Jawa. Raden Wijaya berjaya mencapai hajatnya itu selepas melancarkan serangan mengejut ke atas kem tentera Monggol. Pasukan tentera Monggol yang patah semangat lantar berundur menaiki kapal-kapal mereka dan berlayar pulang ke China setelah kehilangan seramai 3000 orang tentera.

Gambaran pemujaan Raden Wijaya sebagai Harihara (separuh Shiva, separuh dewa Krishna), Jakarta, Indonesia


KEBANGKITAN EMPAYAR MAJAPAHIT YANG KAYA LAGI BERKUASA

Raden Wijaya kemudiannya ditabalkan sebagai Maharaja Majapahit dan empayarnya mula berkembang secara bertahap tetapi pasti. Tambahan lagi, berikutan kedudukannya yang strategik, terletak di tengah-tengah laluan perdagangan rempah-ratus, Empayar Majapahit berupaya berkembang menjadi kuasa yang kaya menerusi cukai yang dikenakan ke atas barangan yang berlalu-lintas di perairannya.

Zaman keemasan Empayar Majapahit diperkirakan berlangsung pada era pemerintahan Hayam Wuruk, pemerintah keempat empayar berkenaan. Hayam Wuruk yang berkuasa pada tahun 1350 sehingga 1389, dibantu oleh seorang perdana menteri yang masyhur, iaitu Gajah Mada.

Patung kepala yang dipercayai sebagai gambaran Gajah Mada, Trowulan, Jawa Timur, Indonesia


Ketika bertugas sebagai perdana menteri, Gajah Mada berjaya memasukkan Bali, Jawa dan Sumatera ke dalam Empayar Majapahit. Walaupun Gajah Mada meninggal dunia sekitar tahun 1364, perluasan wilayah Empayar Majapahit terus berlanjutan. Menjelang tahun 1354, seluruh kepulauan Melayu, kecuali Srivijaya dan dua buah koloninya, habis ditakluki oleh Empayar Majapahit. Pada tahun 1377, Palembang, ibu kota Srivijaya, tumbang ke tangan pasukan tentera Hayam Wuruk. Kerajaan Singapura yang lahir daripada Srivijaya juga kemudiannya ditakluk. Walau bagaimanapun, seterunya itu tidak dihapuskan sepenuhnya. Oleh kerana itu, keturunannya kembali semula dan memberikan ancaman kepada Empayar Majapahit.

Pura Maospahit, ‘Kuil Majapahit’, Denpasar, Bali


KETUMBANGAN EMPAYAR MAJAPAHIT

Empayar Majapahit tidak berdiri lama memandangkan pengaruhnya mula merudum tidak lama selepas kemangkatan Hayam Wuruk. Pada masa yang sama, Islam mula tersebar di rantau berkenaan dan banyak kerajaan memeluk agama berkenaan. Antaranya seperti Kesultanan Melaka yang sedang bangkit. Kesultanan tersebut ditubuhkan oleh raja terakhir Singapura.

Peta Empayar Majapahit pada zaman kemuncaknya, kurun ke-14M


Kekal sebagai kerajaan Hindu-Buddha, Empayar Majapahit tidak berupaya bersaing dengan kerajaan-kerajaan Islam di sekelilingnya dan pada akhirnya tumbang pada tahun 1478 atau awal kurun ke-16.


SUMBER