- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (31 Oktober 2018). The Mughal Empire: Tolerance, Taxes, Addiction,
Art, and Other Acts of Genghis Khan’s Relatives in India. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mughal-empire-0010922
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mughal-empire-0010922
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Monggol, Mughal, adakah
mereka itu sama? Sudah tentulah tidak. Namun, terdapat kaitan antara empayar
yang memerintah sebahagian besar sub-benua India dan empayar Khan yang datang
dari Monggolia. Apapun, Mughal tidak hanya meraih kemasyhuran lantaran
hubungannya dengan Genghis Khan – akan tetapi kewujudannya juga menjadi
penyebab Islam menjadi agama yang begitu terkemuka di India.
Para pemerintah Mughal
(kadangkala disebut sebagai Mogul) mengembalikan susur-galur keturunannya
kepada Genghis Khan (menerusi putera keduanya, Chagatai Khan) dan Timur.
Serangan ke atas sub-benua India yang dilakukan oleh Babur, pengasas Empayar
Mughal, diinspirasikan oleh kegemilangan-kegemilangan yang dikecapi Timur.
Empayar Mughal berakhir sekitar pertengahan kurun ke-19, walaupun kejatuhannya
sudah pun bermula sekurun setengah lebih awal.
![]() |
Potret Maharaja Zahir ud-Din Mohammad (Babur) |
PENUBUHAN EMPAYAR
MUGHAL
Pada tahun 1526,
Ibrahim Lodi, pemerintah terakhir Dinasti Lodi dalam Kesultanan Delhi,
ditewaskan oleh Babur dalam Pertempuran Pertama Panipat. Keadaan ini menandakan
bermulanya Empayar Mughal. Walaupun Babur dilahirkan di Ferghana (Uzbekistan
moden), kejayaan-kejayaan yang dikecapi leluhurnya, Timur, menjadi inspirasi
yang mendorongnya untuk bergerak ke selatan dan menyerang sub-benua India.
Tahun-tahun yang berlalu di antara kemenangan di Panipat dan kemangkatan Babur
pada 1530 diwarnai dengan peperangan demi peperangan yang tercetus antara
Empayar Mughal dan pelbagai pemerintah di India utara.
![]() |
Senjata api dan taktik pengepungan Mughal |
Walaupun Babur berupaya
memenangi peperangan tersebut, beliau tidak hidup cukup lama untuk menikmati
kejayaannya. Tugas pemerintahan ditinggalkan kepada putera merangkap
pewarisnya, Humayun. Namun, Humayun tidak secekap ayahandanya dan beliau
digulingkan serta dibuang negeri pada tahun 1540 oleh Sher Shah Suri.
Pada tempoh antara
tahun 1540 hingga 1555, Dinasti Mughal digantikan oleh Dinasti Suri. Keadaan
hanya kembali buat Mughal selepas menerima bantuan daripada Parsi-Safawi.
Humayun mangkat tidak lama selepas Dinasti Mughal berjaya ditegakkan kembali.
Apapun, sepanjang tempoh yang singkat itu, beliau berupaya meluaskan sempadan
empayar.
EMPAYAR MUGHAL DI BAWAH
PEMERINTAHAN AKBAR
Kedudukan Humayun
digantikan oleh puteranya yang berusia 13 tahun, Jalal-ud-Din Akbar. Lantaran
usianya yang muda, masing-masing menganggap tugas mentadbir dan meneguhkan
empayar sebagai suatu yang mustahil. Namun, Akbar dibantu oleh seorang ketua
menteri yang cekap, bernama Bairam Khan semasa tempoh pemerintahannya dipangku.
Apabila Akbar sudah cukup dewasa untuk memerintah sendirian, beliau membuktikan
dirinya sebagai seorang pemerintah yang cekap sehingga dikenali sebagai ‘Akbar
Agung’.
Akbar memerintah Mughal
sehingga tahun 1605 dan pemerintahannya dianggap sebagai permulaan Zaman
Keemasan Moghul. Selain meluaskan lagi sempadan Empayar Mughal, Akbar juga
dikenang menerusi kecekapannya mentadbir empayar. Sebagai contoh, pendapatan
rakyat diselaraskan mengikut penetapan kualiti tanaman dan tanah tempatan, dan
dibayar secara tunai. Hal ini sekaligus memastikan empayar meraih keuntungan
maksimum tanpa memberikan bebanan yang melampau kepada rakyat.
Tambahan lagi,
Akbar turut berusaha keras demi mengasimilasikan rakyatnya yang beragama Islam
dan Hindhu. Beliau turut menggalakkan toleransi beragama di samping membenarkan
perkahwinan campur antara aristokrasi Mughal dan Rajput.
PENCAPAIAN KESENIAN DAN
SENI BINA EMPAYAR MUGHHAL
Empayar Mughal terus
mengecapi kegemilangan di bawah pemerintahan tiga orang maharaja yang
berikutnya, iaitu Jahangir, Shah Jahan dan Aurangzeb. Kestabilan empayar pada
tempoh tersebut dapat dilihat dengan jelas, misalnya, menerusi hakikat bahawa
walaupun Jahangir merupakan seorang yang gemar meminum arak dan menghisap
candu, beliau berupaya memerintah empayar selama 22 tahun tanpa banyak
pergolakan.
Kerja-kerja seni yang
ulung juga dihasilkan pada tempoh ini. Dianggap sebagai monumen paling masyhur
di India, Taj Mahal dibina oleh Shah Jahan sebagai makam buat isterinya yang
tercinta, Mumtaz Mahal.
Pemerintah agung Mughal
yang terakhir adalah Aurangzeb. Beliau memerintah dari tahun 1658 hingga 1707.
Pada era pemerintahannya, keluasan sempadan empayar mencapai tahap kemuncaknya.
Namun, keadaan ini juga mendorong kepada kejatuhan empayar. Tambahan lagi,
pelbagai masalah dalaman dan luaran mula muncul sekaligus menandakan permulaan
kepada kejatuhan Empayar Mughal.
![]() |
Taj Mahal |
KEJATUHAN EMPAYAR
MUGHAL
Dalam tempoh 58 tahun
sesudah kemangkatan Aurangzeb, Empayar Mughal ditadbir oleh seramai lapan orang
maharaja. Empat orang daripadanya dibunuh manakala seorang digulingkan.
Walaupun Mughal mempunyai pasukan tentera yang cukup besar, senjata-senjata dan
taktik perang mereka ketinggalan zaman sekaligus membuatkan mereka kurang
efisyen dalam medan perang.
Oleh kerana itu,
gabenor-gabenor wilayah pun mengambil kesempatan untuk mengisytiharkan
kemerdekaan, manakala musuh-musuh daripada luar pula, seperti Parsi dan Afghan,
bertindak menyerang Delhi. Menjelang pertengahan kurun ke-19, kebanyakan
wilayah Mughal tumbang ke tangan British.
Maharaja terakhir
Mughal, Bahadur Shah Zafar, hanya maharaja atas nama sahaja. Berikutan
penglibatannya dalam Pemberontakan India 1857, beliau dibuang negeri ke Rangoon
(kini Yangon), Burma dan mangkat di sana pada tahun 1862.
![]() |
Dua ekor gajah memikul simbol ikan dan matahari yang menjadi simbol pemerintahan Mughal |
SUMBER
- Know India. Gov. 2018. The Mughal Empire.
- New World Encyclopedia. 2016. Mughal Empire.
- Samson, I. 2011. Great dynasties of the world: The Mughals.
- Szczepanski, K. 2018. The Mughal Empire in India.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. The Mughal Empire, 1526-1761.
- Victoria and Albert Museum. 2018. The Age of the Mughals.
- History World. 2018. History of the Moghul Empire.
- Get link
- X
- Other Apps