- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (20 Jun 2018). One of the Largest Castles in Europe was Born to
Resist the Mongol Invasion. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/castles-europe-resist-mongol-invasion-0010233
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/castles-europe-resist-mongol-invasion-0010233
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada kurun ke-13,
Eropah diserang oleh Monggol dengan Kerajaan Hungary menjadi sasaran utama
serangan. Untuk menghindari pencerobohan ini, langkah membangunkan kubu-kubu
istana yang ampuh dilihat sebagai satu cara yang efisien.
Kubu Istana Spis adalah
sebuah kubu istana yang terletak di timur laut wilayah Presov, Slovakia.
Sejarah istana ini dapat dijejak kembali pada kurun ke-12, iaitu ketika ia
dibangunkan di tapak yang sebelum itu menjadi tempat berdirinya sebuah kubu
perbukitan. Pada kurun-kurun berikutnya, Istana Spis berfungsi sebagai penanda
sempadan utara Kerajaan Hungary.
Berikutan peranan
signifikan yang dimilikinya, struktur-struktur baru ditambah ke dalamnya dari
semasa ke semasa dan kubu istana ini dibina semula pada separuh kedua kurun
ke-15. Pembinaan semula ini mengubah imej Istana Spis daripada hanya sekadar
sebuah struktur ketenteraan kepada sebuah kediaman yang selesa buat
penghuninya.
Kubu Istana Spis pernah
mengalami kehancurkan akibat kebakaran yang berlaku pada kurun ke-18 dan
seterusnya ditinggalkan. Hal ini mengakibatkannya runtuh secara bertahap,
walaupun usaha yang dijalankan pada 1970an berjaya menghindarkan kubu istana
tersebut daripada mengalami kemusnahan total. Pada hari ini, Kubu Istana Spis
diperakui sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, dan dinamakan secara kolektif
sebagai ‘Levoca, Spissky Hrad dan Monumen-Monumen Kebudayaan Yang Berkaitan’.
![]() |
| Kubu Istana Spis (Spissky hrad) di wilayah Kosice, Slovakia timur |
PEMBINAAN SEBUAH KUBU
ISTANA
Sebelum kurun ke-12,
tapak tempat Kubu Istana Spis berdiri menempatkan sebuah kubu perbukitan.
Catatan bertulis tertua yang menyebut tentang kewujudan Kubu Istana Spis
ditemui pada sebuah manuskrip tahun 1120. Pada waktu itu, kubu istana yang
dibina mengikut seni bina Rom ini berfungsi sebagai penanda sempadan utara
Kerajaan Hungary. Pada tahun 1124, sebuah menara dan istana dibangunkan di
dalam kubu istana ini memandangkan raja Hungary, iaitu Bela IV menyedari bahawa
kubu-kubu istana, termasuklah Kubu Istana Spis adalah medium yang efektif dalam
menangani serangan Monggol yang menceroboh Hungary pada awal dekad tersebut.
Secara zahirnya, Kubu
Istana Spis dimiliki oleh raja Hungary yang memerintah. Namun pada hakikatnya,
ia dihuni oleh golongan bangsawan. Sebagai sebuah tapak yang memiliki nilai
strategik, Kubu Istana Spis sentiasa menjadi pusat konflik lantaran ramai yang
berebut mahu menguasainya. Sebagai contoh, Matus Cak Trenciansky, iaitu
bangsawan Hungary yang paling berkuasa pada awal kurun k-14, cuba untuk
menakluk Kubu Istana Spis pada 1312. Namun, usahanya itu berakhir dengan
kegagalan.
![]() |
| Potret Matus Cak Trenciansky (1252-1321), bangsawan Hungari. Dalam bahasa Hungary, namanya disebut sebagai Csak Mate |
STRUKTUR KUBU ISTANA
SPIS DI ZAMAN MODEN
Kubu Istana Spis hanya
meraih bentuknya seperti yang kita dapat lihat pada hari ini menjelang kurun
ke-15. Pada tahun 1443, istana ini berada di bawah kekuasaan Jan Jiskra dari
Brandys. Beliau adalah seorang tentera upahan dari Czech. Pada mulanya, beliau
memerintahkan agar sebuah benteng kecil dibina di lereng bukit yang terletak di
bawah istana. Kemudian, beliau menghubungkan kedua-dua struktur tersebut dengan
sebuah perkarangan yang besar. Pada separuh kedua kurun ke-15, kubu istana ini
dikurniakan oleh Raja Hungary kepada keluarga Zapolsky, yang menjadikannnya
sebagai kediaman rasminya walaupun pada waktu itu, mereka sudah pun memiliki
lebih 70 buah istana lain.
Stefan Zapolsky, si
pemilik baru Kubu Istana Spis, adalah orang yang bertanggungjawab melakukan
perubahan signifikan terhadap struktur bangunan itu. Sebagai contoh, kubu
istana yang dibina mengikut gaya Rom ini dibina semula mengikut gaya Gothic. Menara-menara
yang ada pula ditambahkan ketinggian dan ketebalan. Selain itu, bangunan Biara
St. Elizabeth (Chapel of St. Elizabeth) turut ditambahkan ke dalam kubu istana.
Susulan daripada perubahan-perubahan yang dilakukan ini, beliau menjadikan Kubu
Istana Spis sebagai sebuah kediaman yang selesa buat keluarga Zapolsky.
Malahan, sebagai nota sampingan, putera Stefan yang bernama Jan dilahirkan di
dalam istana ini. Beliau kemudiannya membesar menjadi Raja Hungary.
![]() |
Pemandangan panorama Kubu Istana Spis di Slovakia
|
Pemilikan Kubu Istana
Spis kemudiannya dipindahkan kepada keluarga Thurzo, dan seterusnya keluarga
Csaky. Keluarga Thurzo memiliki kubu istana ini pada kurun ke-16 dan kurun
ke-17, manakala keluarga Csaky pula menyelia bangunan itu sehingga pertengahan
kurun ke-20. Pada tahun 1780, ketika kubu istana ini berada dalam pemilikan
keluarga Csaky, ia mengalami kemusnahan akibat ditimpa kebakaran.
Tiada
sebarang usaha dilakukan untuk membaik-pulih istana, justeru ia terus
ditinggalkan dalam keadaan sedemikian. Sebagai nota sampingan, keluarga ini
tidak lagi mendiami istana tersebut sejak akhir kurun ke-17, memandangkan
keadaannya yang tidak cukup selesa untuk didiami.
![]() |
| Runtuhan Kubu Istana Spis di Slovakia timur merupakan salah sebuah tapak istana terbesar di Eropah Tengah |
Kerja-kerja
pembaikpulihan dilakukan pada 1970an dengan tujuan menyelamatkan kubu istana
itu dari runtuh sepenuhnya menjadi puing-peuing bangunan. Kerja-kerja tersebut
sememangnya sukar lantaran struktur lama itu diancam oleh ketidakstabilan batu
asas. Pada tahun 1993, Kubu Istana Spis disenaraikan sebagai Tapak Warisan
Dunia UNESCO, secara kolektif disebut sebagai ‘Levoca, Spissky Hrad dan
Monumen-Monumen Kebudayaan yang Berkaitan’. Kini, monumen bersejarah ini
menjadi sebuah destinasi pelancongan penting dan bekas istananya yang sudah
dibina semula pula dijadikan sebagai muzium.
SUMBER
- Kukura, R. 2018. Spissky hrad.
- Lonely Planet. 2018. Spis Castle.
- Slovakia. 2018. Spis Castle.
- Slovakia Travel. 2015. Spissky hrad Castle.
- Slovenske narodne museum. 2009. Spis museum.
- UNESCO. 2018. Levoca, Spissky Hrad and the Associated Cultural Monuments.
- Spiss Sk. 2018. Spissky hrad (Spis Castle)
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kubu Istana Spis – Antara Kubu Istana Terbesar Di Eropah’
- Get link
- X
- Other Apps




