- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (26 Mei 2016). The Kusanagi: Unseen Legendary Japanese Sword.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/kusanagi-unseen-legendary-japanese-sword-005964
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/kusanagi-unseen-legendary-japanese-sword-005964
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kusanagni-no-Tsurugi
(bermaksud Pedang Pemotong Rumput) merupakan sebilah pedang legenda Jepun.
Pedang yang secara umum dipanggil sebagai Kusanagi ini adalah salah satu
daripada tiga darjah kebesaran Diraja Jepun. Malahan, pedang ini dianggap
mewakili nilai kegagahan. Sebagai kepilan, dua barangan lain adalah
Yata-no-Kagami (sebentuk cermin yang dipercayai mewakili kebijaksanaan) dan
Yasakani-no-Magatama (sebentuk batu permata yang dipercayai mewakili
keluhuran).
Berikutan hubungannya yang rapat dengan institusi
diraja Jepun, Kusanagi kadangkala disamakan dengan pedang Excalibur. Namun,
tidak seperti pedang milik Raja Arthur itu, lokasi penyimpanan Kusanagni
diketahui umum. Pun begitu, pada hari ini, tidak seorang pun pernah benar-benar
melihat pedang tersebut sekaligus membangkitkan persoalan tentang kesahihan
kewujudan pedang Kusanagi.
YAMATA-NO-OROCHI, ULAR
BERKEPALA LAPAN
Kusanagi pada asalnya
dikenali sebagai Ame-no-Murakumo-no-Tsurugi (bermaksud Pedang Himpunan Awan
Langit) dan asal-usulnya dikaitkan dengan legenda ular berkepala lapan. Ular
ini dikenali sebagai Yamata-no-Orochi. Ia menghantui sebuah keluarga kaya di
wilayah Izumo. Tahun demi tahun, ular ini memakan sehingga tujuh daripada lapan
anak perempuan keluarga tersebut. Justeru, ketua keluarga itu mengambil
keputusan untuk meminta bantuan Susanoo, dewa laut dan ribut dalam kepercayaan
Shinto. Dewa ini lantas menyerang Orochi, namun gagal menundukkannya dan
terpaksa berundur.
![]() |
| Susanoo membunuh Yamata no Orochi, oleh Yoshitoshi |
Susanoo kemudiannya
dikurniakan ilham untuk membunuh ular tersebut. Dalam satu versi legenda,
Susanoo ditawarkan untuk mengahwini anak perempuan itu seandainya berjaya
membunuh raksasa tersebut. Dalam versi yang lain pula, dihikayatkan bahawa dewa
itu sendiri yang meminang wanita itu dan permintaannya dipersetujui oleh si
bapa. Walau apapun keadaannya, rancangan Susanoo adalah memabukkan
kelapan-lapan kepala Orochi dan pada saat itu barulah beliau keluar
menyerangnya. Untuk tujuan itu, Susanoo menyiapkan lapan buah mangkuk besar
yang berisi sake. Lalu, beliau letakkannya di tempat yang dijangka bakal
dilalui oleh Orochi.
Orochi memasuki
perangkap tersebut dan tatkala ia sedang mabuk dan tidur, Susanoo pantas
memanfaatkan peluang. Beliau memenggal setiap kepala ular itu dan memotong
ekornya. Pada ekor raksasa itulah beliau menemukan sebilah pedang, iaitu
Kusanagi. Susanoo tidak menyimpan lama pedang tersebut. Dalam legenda, Susanoo
diceritakan pernah dihalau lantaran perseteruannya dengan Dewi Amaterasu. Untuk
berbaik-baik semula dengan saudara perempuannya itu, Susanoo pun menghadiahkan
Kusanagi kepadanya.
![]() |
| Susanoo membunuh Yamata no Orochi, oleh Utagawa Kuniyoshi |
KISAH YAMATO TAKERU
Dipercayai bahawa Dewi
Amaterasu kemudiannya menyerahkan Kusanagi kepada Yamato Takeru, putera
Maharaja Keiko. Pada waktu itulah pedang tersebut meraih nama Kusanagi. Menurut
legenda, ketika Yamato Takeru sedang keluar berburu, seorang seterunya
menyalakan api sekaligus membuatkan seluruh rumput kering di sekelilingnya
terbakar. Dengan menggunakan pedang pemberian Amaterasu, Yamato Takeru memotong
rumput-rumput kering yang terbakar itu. Lalu, beliau mengubah haluan api ke
arah seterunya. Daripada situlah pedang tersebut mendapatkan nama Kusanagi.
Terdapat sejumlah kisah
yang menyelubungi Kusanagi setelah ia dimiliki oleh Yamato Takeru. Misalnya,
dalam Hikayat Heike yang ditulis pada kurun ke-13, Kusanagi dilaporkan hilang
setelah berlakunya sebuah pertempuran laut. Namun, kesahihan hikayat ini
dipersoalkan lantaran ia disifatkan sebagai himpunan kisah-kisah lisan yang
ditulis 200 tahun setelah peristiwa sebenar berlaku. Replika demi replika
Kusanagi dihasilkan, lalu dicuri dan hilang apabila takhta Jepun saling
direbutkan dalam kalangan kerabat diraja mahupun seteru-seteru mereka.
![]() |
| Yamato Takeru berpakaian seperti pelayan wanita, bersiap-sedia untuk membunuh para pemimpin Kumaso |
KUSANAGI YANG TIDAK
PERNAH DILIHAT KEWUJUDANNYA
Pada hari ini, Kusanagi
dipercayai disimpan di dalam Kuil Atsusa, sebuah kuil suci Shinto yang terletak
di Nagoya. Namun, keberadaannya di sana tidak dapat dipastikan secara mutlak
memandangkan tidak seorang pun pernah melihat pedang itu. Malahan, Maharaja
Jepun sekarang pun diyakini tidak pernah melihat Kusanagi. Pedang ini pernah
digunakan semasa upacara pemahkotaan Maharaja Jepun dan kali terakhir ianya
berlangsung adalah pada tahun 1989. Maharaja Akihito sempat menerima regalia
diraja itu, walaupun ketika itu ianya diselubungi dengan kain balutan.
![]() |
| Imaginasi pelukis tentang tiga darjah kebesaran Diraja Jepun |
Berkemungkinan terdapat
sebab-musabab yang munasabah sehingga Kusanagi dihindarkan dari pandangan
manusia. Misalnya pada zaman Edo, terdapat seorang sami yang dikatakan pernah
melihat pedang itu dan mencatatkan pula perincian tentangnya meninggal dunia.
Kematiannya itu disifatkan sebagai sumpahan yang dikaitkan dengan pedang
tersebut. Tambahan lagi, pada asalnya pedang ini dikatakan disimpan di Istana
Diraja. Namun pada kurun ke-7M, pedang ini dipertanggungjawabkan ke atas
kegeringan dan seterusnya kemangkatan maharaja. Semenjak itu, Kusanagi dihantar
ke Kuil Atsusa untuk disimpan di sana.
SUMBER
- Holtom, D.C. 2011. The Japanese Enthronement Ceremonies with an Account of the Imperial Regalia. Oxford: Routledge.
- Maloney, I. 2010. Atsusa Shrine. The sword in the shrine?
- Nagoya International Center. 2014. Japan’s Excalibur Legend.
- Smith, R.G. 1918. Ancient Tales and Folk-lore of Japan, VIII: A Miraculous Sword.
- Veronese, K. 2013. The Search for Kusanagi-no-Tsurugi, the Lost Imperial Sword of Japan.
- Willey, N. 2013. 10 Mysterious Swords From Legend and History.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kusanagi – Pedang Legenda Jepun Yang Ghaib’
- Get link
- X
- Other Apps




