- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (8 Februari 2016). Lao Tzu: The Founder of One of the Three Pillars
of Traditional Chinese Thought. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/lao-tzu-founder-one-three-pillars-traditional-chinese-thought-005318
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/lao-tzu-founder-one-three-pillars-traditional-chinese-thought-005318
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Lao Tzu secara
tradisinya dianggap sebagai pengasas Taoisme, sebuah aliran pemikiran di zaman
China purba. Taoisme dilihat sebagai salah sebuah dari tiga aliran pemikiran
utama masyarakat China. Dua aliran pemikiran yang lain adalah Buddhisme yang
tiba di China dari India, dan Confucianisme yang diasaskan oleh Confucius. Oleh
kerana itu, Lao Tzu dianggap sebagai figura yang sangat penting dalam sejarah
China dan beliau bahkan dihormati oleh ramai masyarakat China sebagai seorang
dewata dalam pantheon Taoist.
KEWUJUDAN LAO TZU YANG
DIPERDEBATKAN
Tidak seperti
Confucius, Lao Tzu merupakan seorang karakter yang jauh lebih sukar untuk
dikenali. Sebilangan ilmuwan moden bersikap skeptik terhadap kewujudannya dan
mereka berpandangan bahawa Lao Tzu tidak wujud ‘dalam sejarah’. Malahan, mereka
mendakwa bahawa Lao Tzu adalah seorang figura legenda sepenuhnya.
Namun menurut tradisi
China, Lao Tzu hidup pada kurun ke-6SM. Seorang sejarahwan China purba, iaitu
Sima Qian menyatakan bahawa Lao Tzu hidup sezaman dengan Confucius. Tambahan
lagi, biografi Lao Tzu dapat dijumpai dalam karya Sima Qian yang berjudul Shiji
atau juga dikenali sebagai Catatan-Catatan Sejarahwan Ulung.
![]() |
| Confucius, Lao-Tzhu dan Arhat |
SHIJI KARYA SIMA QIAN
Dalam Shiji,
dicatatkan bahawa Lao Tzu merupakan warga tempatan negara Chu, yang terletak di
bahagian selatan China moden. Juga dicatatkan di dalam sumber purba ini bahawa
nama sebenar Lao Tzu adalah Li Er. Beliau dipercayai berkhidmat sebagai pegawai
penyimpan rekod-rekod arkib di istana diraja Zhou. Terdapat juga pendapat yang
mengatakan bahawa Lao Tzu pernah didatangi oleh Confucius yang memintakan
nasihat tentang hal-hal ritual tertentu dan kemudian memberikan puji-pujian
kepadanya.
![]() |
| Catatan-Catatan Sejarahwan Ulung |
Selain itu, Sima Qian
juga ada menulis bahawa Lao Tzu hidup di negara Zhou buat tempoh yang cukup
lama sehingga beliau berperluang untuk menyaksikan kejatuhannya. Susulan
daripada itu, Lao Tzu mengambil keputusan untuk beredar meninggalkan negara
berkenaan. Tatkala beliau tiba di sempadan barat-laut yang memisahkan antara
China dan dunia luar, beliau bertemu dengan seorang pegawai, yang bernama Yin
Xi, yang bertanggungjawab ke atas lalu-lintas di sempadan.
Pegawai inilah yang
meminta kepada Lao Tzu agar mencurahkan segala ilmunya dalam bentuk penulisan.
Susulan daripada permintaan ini, maka terhasillah sebuah buku yang mengandungi
sekitar 5000 aksara China yang kini dikenali sebagai Tao Te Ching. Selepas
peristiwa ini, Lao Tzu menghilang daripada catatan sejarah. Malahan, tarikh dan
tempat kematiannya sama sekali tidak direkodkan dalam catatan Sima Qian.
TAO TE CHING
Tao Te Ching tanpa
diragukan lagi adalah karya yang memasyhurkan nama Lao Tzu. Tambahan, ia
merupakan salah sebuah karya utama bagi Taoisme. Apapun, terdapat sebilangan
sejarahwan yang memperdebatkan tentang status pengarang bagi naskhah penting
tersebut.
Menurut mereka, naskhah
ini tidak ditulis oleh seorang penulis tunggal, sebaliknya oleh sejumlah
penulis. Malahan, ada pula sejarahwan yang berpendapat bahawa isi kandungan Tao
Te Ching pada mulanya disebarkan secara lisan sebelum ditulis menjadi buku.
![]() |
| Dakwat pada manuskrip sutera Tao Te Ching, kurun ke-2SM, ditemui di Mawangdui |
Bagi pandangan
sebegini, ada yang berpendapat bahawa anak-anak murid Lao Tzu bertanggungjawab
menghidup dan menyebarkan ajaran guru mereka itu menerusi penyampaian secara
lisan. Kemudian, ajaran-ajaran tersebut dihimpun dan dikompilasikan oleh
seorang atau beberapa orang pelajar Lao Tzu.
Daripada pandangan
sebegini, hadir pula kemungkinan bahawa pengumpul Tao Te Ching turut terkait
dengan tradisi-tradisi atau ajaran-ajaran secara lisan yang lain. Dalam erti
kata lain, sejarahwan yang mengambil pandangan seperti ini berpendapat bahawa
Tao Te Ching tidak hanya mengandungi ajaran-ajaran Lao Tzu, tetapi turut
memuatkan butir-butir hikmah daripada cendekiawan-cendekiawan China purba yang
lain.
![]() |
| Menurut legenda China, Laozi (Lao Tzu) meninggalkan China dan menuju ke barat dengan menunggang kerbau air |
Walau apa pun jua
asal-usulnya, Tao Te Ching dan falsafah yang dibentangkannya dianggap sebagai
satu aliran pemikiran yang secara langsung berbalikan dengan Confucianisme.
Walaupun kedua-dua aliran pemikiran ini menyinggung persoalan-persoalan sosial,
politik dan falsafah yang dihadapi oleh masyarakat China purba, masing-masing
mengambil pendekatan yang berbeza. Sebagai contoh, Confucianisme menumpukan
pada hubungan sosial, kelakuan baik dan kemasyarakatan. Taosime pula secara
kontra mengambil pendekatan yang lebih bersifat mistik dan menumpu pada
individu serta alam.
Ciri-ciri penting
Taoisme yang lain adalah pendiriannya yang bersifat anti-autoritian,
penggalakannya terhadap kesederhanaan, dan perakuannya terhadap daya alam dan
daya sejagat yang dikenali sebagai Tao. Walaupun mungkin kita boleh mengatakan
bahawa Confucianisme lebih sesuai dengan citarasa para pemerintah China,
Taoisme tanpa dinafikan merupakan satu aliran pemikiran yang sangat berpengaruh
dan keadaan ini terus berkekalan dalam budaya China sehingga kini.
SUMBER
- Chan, A. 2013. Laozi.
- Littlejohn, R. 2016. Daoist Philosophy.
- Littlejohn, R. 2016. Laozi (Lao-tzu, fl. 6th cn. B.C.E)
- Majka, C. 2016. Lao Tzu: Father of Taoism.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Lao Tzu: Pengasas Pemikiran Taoism’
- Get link
- X
- Other Apps




