MOCTEZUMA II – MAHARAJA YANG KEHILANGAN EMPAYAR

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (8 Julai 2018). Moctezuma II, The Emperor who Lost an Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/moctezuma-ii-emperor-0010344

Penterjemah: Amir Zayyanid


Moctezuma II adalah pemerintah ke-9 Empayar Aztec. Era pemerintahannya bersamaan dengan saat ketibaan pasukan tentera Sepanyol di bawah kepimpinan conquistador Hernan Cortez. Moctezuma dikenang pada hari ini sebagai pemerintah Aztec yang kehilangan empayarnya di tangan penguasa Eropah walaupun pada hakikatnya penilaian sebegini agak kurang adil baginya. Hal ini kerana Moctezuma adalah seorang pemerintah yang cekap lantaran pada zamannya, Empayar Aztec berjaya mengecapi kemuncak kuasanya.

Moctezuma II dilahirkan pada tahun 1466 sebagai putera kepada Axayactl, pemerintah ke-6 Empayar Aztec dan isterinya, Xochicueyetl. Ketika ayahandanya mangkat pada tahun 1481, takhta diserahkan kepada salah seorang bapa saudaranya, Tizocic, yang memerintah sehingga tahun 1486. Kedudukan beliau kemudiannya diwarisi oleh seorang lagi bapa saudara Moctezume, iaitu Ahuitzotl. 

Pada waktu itu, Moctezuma berkhidmat sebagai seorang panglima. Memandangkan Ahuitzotl melaksanakan polisi perluasan kuasa, Moctezuma banyak terlibat dalam kempen ketenteraan yang dilancarkan sekaligus hal ini membantunya meraih pengalaman yang penting untuk beliau memerintah sebagai maharaja Aztec kelak. Dalam kesempatan itu, Moctezuma berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang ketua tentera yang cekap.

Potret Moctezuma oleh Antonio Rodriguez. 1680-1697


MOCTEZUMA DITABALKAN SEBAGAI MAHARAJA

Apabila Ahuitzotl mangkat pada tahun 1502, Moctezuma ditabalkan sebagai pemerintah baru Empayar Aztec. Berkat kempen-kempen yang digerakkan oleh bapa saudaranya, Moctezuma berpeluang memerintah sebuah empayar yang luas, terbentang dari wilayah selatan Amerika Syarikat di sempadan utaranya hingga ke Amerika Tengah di sempadan selatan.

Berikutan saiz empayar yang sangat besar inilah menyukarkan raja-raja Aztec untuk mengawal rakyatnya. Sebagai susulan, kaum-kaum yang ditakluki Aztec mengambil kesempatan untuk memberontak dari semasa ke semasa. Moctezuma bertindak-balas ke atas pemberontakan ini dengan gerakan ketenteraan yang keras dan hal ini mengakibatkan beliau semakin dibenci oleh kaum-kaum tersebut.

Walau bagaimanapun, Moctezuma juga merupakan seorang pemerintah yang cekap. Hal ini terbukti menerusi polisi pembangunan infrastruktur yang beliau lakukan di Tenochtitlan.

Kota agung Tenochtitlan


PENCEROBOH ASING DARI TIMUR

Pada tahun 1517, sampai perkhabaran kepada Moctezume bahawa orang-orang asing dari timur berada di pantai Semenanjung Yucatan. Tatkala mendengar berita bahawa orang-orang asing ini menaiki kapal-kapal yang saiznya jauh lebih besar berbanding mana-mana kapal yang pernah dilihat oleh masyarakat Aztec, Moctezuma segera memerintahkan agar tinjauan lanjut dilakukan. Semasa pihak Sepanyol mula berlabuh di situ pada April 1519, Moctezume menjadi semakin cemas. Lebih-lebih lagi apabila mereka bergerak semakin mendekati wilayah kekuasaan Aztec.

Ketika Cortez bertemu dengan kaum-kaum yang ditakluki Empayar Aztec, beliau bertindak menubuhkan persekutuan dengan mereka dalam memerangi Empayar Aztec. Selain itu, mereka turut membunuh mana-mana individu yang mempamerkan kesetiaan kepada maharaja Aztec.

Tatkala pasukan tentera Sepanyol bergerak memasuki wilayah Aztec, Moctezuma secara jelas menampilkan ketidaktetapan pendiriannya. Walaupun saiz tentera Aztec jauh lebih besar berbanding Sepanyol, Moctezuma memilih untuk mengenepikan pendekatan yang menggunakan kekerasan. Sebaliknya, beliau cuba mengusir Sepanyol dengan merasuah mereka dengan pemberian hadiah.

Namun hakikatnya, tindakan ini memberikan kesan yang lebih buruk memandangkan ia menambahkan lagi keazaman pihak Sepanyol untuk menakluki Aztec. Justeru pada November 1519, pihak Sepanyol akhirnya tiba di Tenochtitlan.

Moctezuma memberikan hadiah kepada Cortez


HERNAN CORTEZ

Ketibaan Cortez dan pasukannya disambut oleh Moctezuma. Menurut sebilangan sumber, beliau meyakini bahawa Cortez adalah Dewa Quetzalcoatl, yang dipercayai oleh masyarakat Aztec akan muncul kembali pada suatu hari demi memerintah Mexica. Namun, sumber-sumber yang lain pula menyatakan bahawa Moctezuma sebenarnya mahu melengah-lengahkan masa dan mencari peluang yang sesuai untuk menggempur tentera Sepanyol.

Walau apa pun jua keadaannya yang sebenar, Cortez memanfaatkan layanan baik yang diberikan oleh Moctezuma. Mereka lantas menangkap Moctezuma dan menjadikannya sebagai tawanan kerana meyakini bahawa dengan demikian, tentera-tentera Aztec tidak akan mengapa-apakan mereka

Penangkapan Moctezuma


KEMANGKATAN MOCTEZUMA

Moctezuma mangkat pada Jun 1520, walaupun sejarahwan tidak begitu pasti bagaimana beliau menemui ajalnya. Menurut satu versi penceritaan, tentera Sepanyol membunuh Moctezuma setelah mereka merasakan bahawa beliau tidak lagi mendatangkan sebarang faedah atau kepentingan kepada mereka.

Versi yang lain (yang ditemui di dalam sumber Sepanyol) pula mendakwa bahawa Moctezuma dibunuh oleh rakyatnya sendiri. Dalam versi ini, diceritakan bahawa pada suatu ketika Cortez berangkat meninggalkan kota untuk menundukkan seorang conquistador lain yang menjadi seterunya.

Apabila beliau pulang, Cortez mendapati rakyat Tenochtitlan sedang bangkit memberontak. Untuk menenangkan mereka, Cortez pun menggunakan Moctezuma dan mengarahkan agar beliau berjumpa dan berbicara kepada rakyatnya dari bumbung/balkoni sebuah bangunan. Namun, keadaan yang sebaliknya berlaku apabila rakyat jelata yang sedang memberontak ini bertindak melempar batu dan panah kepada Moctezuma sehingga mengakibatkan beliau mangkat tiga hari kemudian akibat luka-luka yang diterimanya.


SUMBER