- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (27 Oktober 2014). Nubia and the Powerful Kingdom of Kush. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-ancient-places-africa/nubia-and-powerful-kingdom-kush-002257
https://www.ancient-origins.net/news-ancient-places-africa/nubia-and-powerful-kingdom-kush-002257
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Zaman Kefiraunan Mesir
diperdebatkan sebagai tamadun purba yang paling masyhur di benua Afrika. Walau
bagaimanapun, hal ini tidaklah bermaksud bahawa monarki tersebut merupakan
satu-satunya tamadun purba yang muncul di Afrika. Jiran Mesir di selatan, iaitu
masyarakat Nubia (bahasa Mesir yang bermaksud ‘emas’, berikutan banyaknya emas
di tanah masyarakat Nubia) mempunyai hubungan yang relatif renggang dengan
masyarakat Mesir selama ribuan tahun.
Pada suatu tempoh masa,
mereka dilihat sebagai sekutu Mesir sambil pada masa lain pula, mereka
dipandang sebagai musuh durjana. Namun di bawah pemerintahan Kerajaan Kush,
masyarakat Nubia berupaya menakluk Mesir dan menubuhkan sebuah dinasti
memerintah mereka yang tersendiri.
![]() |
| Firaun-firaun Nubia |
Kerajaan Kush sudah pun
wujud pada zaman Kerajaan Lama dan Kerajaan Pertengahan Mesir (sekitar
2686-1650SM). Pada zaman itu, kerajaan tersebut berpangkalan di sekitar
petempatan Kerma, betul-betul di atas Riam Ketiga Sungai Nil atau di wilayah
Nubia Atas. Namun, Kerajaan Kush hanya tampil sebagai kuasa yang berpengaruh
pada Zaman Pertengahan Kedua.
Memandangkan Mesir
Hilir tumbang ke tangan Hyksos pada lewat zaman Kerajaan Pertengahan, Kerajaan
Kush secara langsung menjadi kuasa dominan di Mesir Hulu. Namun, kedudukan
Kerajaan Kush sebagai kuasa serantau terus menjadi satu teka-teki yang
memeningkan kepala ahli-ahli arkeologi. Hal ini kerana tanpa ciri-ciri
konvensional bagi sesebuah kompleks kemasyarakatan seperti sistem tulisan, kota
urban yang besar, dan sistem kerajaan yang rumit, kejayaan Kerajaan Kush dalam
menguasai dan mendominasi Mesir Hulu kelihatan sebagai suatu keajaiban.
![]() |
| Lokasi Kush – Peta kerajaan-kerajaan, negara-negara dan kabilah-kabilah di Afrika pada 400SM |
Namun, penguasaan
Kerajaan Kush ke atas Mesir Hulu tidak bertahan lama. Dengan kemunculan Dinasti
Ke-18 pada pertengahan kurun ke-16SM, Mesir berupaya menyatukan barisan hadapan
mereka dalam menentang penguasa Hyksos. Setelah mengusir Hyksos, para
pemerintah Dinasti Ke-18 menumpahkan perhatian dan kudrat kepada jiran-jiran
mereka di selatan. Hal ini mengakibatkan berakhirnya Kerajaan Kush,
memandangkan Nubia menjadi koloni Mesir di bawah pentadbiran seorang wakil
pemerintah Kush.
Namun berikutan
tumbangnya Kerajaan Baru (sekitar 1070SM), kekuasaan Mesir ke atas jiran
selatan mereka sekali lagi melemah. Lantaran itu, elit-elit tempatan pun meraih
kuasa semula ke atas Kush. Pada hari-hari awalnya, Kerajaan Kush berpusat di
Napata, wilayah tengah Sudan moden. Perpecahan dalam politik Mesir pada kurun
ke-8SM dimanfaatkan oleh Kerajaan Kush. Perpecahan dan ketidakstabilan politik
dalaman di Mesir Hilir membolehkan raja Kush, iaitu Piye untuk melancarkan
sebuah kempen ketenteraan yang berjaya sekitar tahun 727SM sekaligus menubuhkan
Dinasti Ke-25.
![]() |
| Patung yang menggambarkan kepala seorang pemerintah Kush, sekitar 716-702SM |
Walaupun meraih
kejayaan sebegini, pemerintahan Kush ke atas Mesir hanya bertahan kurang
daripada seabad. Hal ini berlaku berikutan perluasan kuasa Empayar Neo-Assyria
di Timur Dekat. Walaupun Kush pada mulanya menjalinkan hubungan mesra dengan
Assyria, sokongan yang ditumpahkan oleh masyarakat Mesir terhadap persekutuan
anti-Assyria di Levant Selatan pada lewat kurun ke-8SM memutikkan permusuhan.
Pada tahun 671SM, Mesir diserang oleh Assyria dan Dinasti Kush di Mesir
berakhir pada tahun 654SM. Walau bagaimanapun, keadaan ini bukanlah penamat
mutlak bagi Kerajaan Kush memandangkan mereka terus bertahan di Nubia.
Kelangsungan hidup
bangsa Kush dapat dibuktikan menerusi catatan para penulis dari zaman Rom.
Misalnya, Strabo ada memerincikan tentang sebuah peperangan di antara Kush dan
Rom pada kurun pertama SM. Walaupun Kush tidaklah diserap masuk ke dalam
Empayar Rom, kuasa dan pengaruhnya mengalami keruduman secara bertahap.
Menjelang kurun ke-4 Masehi, serangan demi serangan yang dilakukan oleh kaum
nomad di selatan dan timur menjejaskan kuasa bangsa Kush. Kemudian, muncul pula
Kerajaan Aksum di Ethiopia yang menakluk serta membakar hangus ibu kota Kush di
Meroe sekaligus menandakan pengakhiran bagi Kerajaan Kush.
SUMBER
- Boddy-Evans, A. 2014. Kingdom of Kush.
- Kemezis, K. 2011. Ancient Kush (2nd millennium BC – 4th century AD).
- Spaulding, J. 2013. Sudan.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Firaun-Firaun Berkulit Hitam Dari Nubia’
- Get link
- X
- Other Apps



