- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (3 Mei 2016). Queen Tamar: The Confident Female Ruler of the
Georgian Golden Age. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/queen-tamar-confident-female-ruler-georgian-golden-age-005815
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/queen-tamar-confident-female-ruler-georgian-golden-age-005815
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ratu Tamar adalah
seorang pemerintah Georgia yang hidup pada kurun ke-12 hingga kurun ke-13
Masehi. Beliau memerintah sebuah era yang kini dikenali sebagai Zaman Keemasan
Georgia. Era ini bermula pada kurun ke-12 semasa zaman pemerintahan Raja David
IV dan berakhir tidak lama selepas kemangkatan Ratu Tamar pada awal kurun
ke-13. Dalam era keemasan tersebut, zaman pemerintahan Tamar dianggap sebagai
titik kemuncak Kerajaan Georgia.
MEMERINTAH GEORGIA
SECARA BERSAMA DENGAN AYAHANDANYA
Ratu Tamar dilahirkan
pada tahun 1166M sebagai puteri kepada Raja George III dan Ratu Burdukhan.
Tamar adalah anak sulung pasangan diraja itu. Malahan, dipercayai bahawa Raja
George mengambil keputusan untuk menabalkan puterinya itu sebagai
pemerintah-bersama apabila Tamar mencapai usia 12 tahun.
Beliau mengambil
keputusan sedemikian lantaran berhajat agar Tamar mewarisi takhtanya. Namun,
Kerajaan Georga sebelum ini belum pernah diperintah oleh wanita. Justeru,
George berharap dengan keputusannya itu, para menteri dan bangsawan dapat
menerima Tamar sebagai pemerintah mereka walaupun secara bertahap. Makanya pada
tahun 1178, Tamar memerintah Kerajaan Georgia secara bersama dengan
ayahandanya.
![]() |
| George III (fresco dari Biara Kintsvisi) |
MENAIKI TAKHTA
Pada tahun 1184, George
III mangkat dan kedudukannya digantikan oleh Tamar. Pandangan umum terhadap
Tamar bergantung kepada salah satu dari dua versi gambaran yang dilakukan ke
atas Tamar. Dalam satu versi pandangan, keputusan George untuk membenarkan
Tamar memerintah secara bersama dengannya ternyata membuahkan hasil apabila
golongan bangsawan dan menteri menerima Tamar sebagai pemerintah baru Kerajaan
Georgia sekaligus membolehkan peralihan kuasa berlangsung lancar. Ini mungkin
pandangan konvensional terhadap Tamar. Namun, terdapat satu pandangan lain yang
dikemukakan.
![]() |
| Tamar (kiri) dan George III (kanan). Potret terawal Tamar yang kekal sehingga kini, dari gereja Dormition di Vardzia, sekitar 1184-1186 |
Menurut versi kedua,
golongan bangsawan dan menteri tidak bersenang hati dan enggan menerima Tamar
sebagai raja mereka. Lebih daripada itu, mereka turut menentang Tamar. Demi
menjamin kekuasaannya, Tamar kononnya menghapuskan mereka dengan kejam.
Memandangkan pandangan
konvensional menggambarkan Tamar sebagai simbol keluhuran peribadi, maka tidak
hairanlah sekiranya pihak yang berpandangan sebegini cuba menyelindungkan
peristiwa penentangan golongan bangsawan dan tindak balas agresif Tamar (jika
ia benar-benar berlaku) lantaran ianya hanya akan mencemarkan imej ratu yang
sering didendangkan sebagai seorang yang baik hati.
PEMERINTAHAN DAN
KELUARGA TAMAR
Sebaik sahaja Tamar
berjaya menjamin kedudukannya (baik dengan menundukkan pemberontakan mahupun
meraih penerimaan golongan bangsawan sejak awal pemerintahannya), beliau
menumpukan perhatian kepada pentadbiran kerajaan. Antara perkara pertama yang
beliau lakukan adalah mengadakan Sidang Gereja.
Daripada suatu sudut
pandangan, tindakan ini difahami sebagai cerminan sifat patuh Tamar terhadap
agama dan hormatnya kepada Gereja. Namun daripada sudut pandangan yang lain,
kepatuhan Tamar ini adalah bertujuan untuk meneguhkan lagi kedudukannya
lantaran Gereja sendiri merupakan sebuah institusi yang berkuasa lagi
berpengaruh. Justeru bagi satu pihak, Sidang Gereja ini dilihat sebagai satu
kaedah untuk Tamar membuang pendeta-pendeta dari Gereja Ortodoks Georgia yang
menentangnya dan mengantikan mereka dengan pendeta-pendeta yang menyokongnya.
![]() |
| Shota Rustaveli mempersembahkan puisinya kepada Ratu Tamar, sebuah lukisan oleh artis Hungary bernama Mihaly Zichy (1880an) |
Antara perkara lain
yang turut dilakukan oleh Tamar pada awal pemerintahannya adalah berkahwin.
Suami pertamanya adalah seorang putera Russia bernama Yuri (dikenali dalam
Bahasa Georgia sebagai George dari Russia). Walaupun Yuri merupakan seorang
komander yang cekap sehingga berjaya memimpin pasukan tentera Georgia meraih
sejumlah kemenangan, beliau disifatkan sebagai seorang yang tidak bermoral.
Lantaran itu, Yuri kemudiannya dibuang dari istana Georgia. Tamar kemudian
berkahwin dengan seorang putera Alan bernama David Soslan dan dikurniakan dua
orang anak.
![]() |
| Syiling yang mengukir nama Tamar dan David pada tahun 1200 |
MEMPERTAHANKAN KERAJAAN
DAN MEMPERLUASKAN SEMPADAN
Di bawah pemerintahan
Tamar, Georgia berjaya mempertahankan diri daripada serangan-serangan musuh.
Kerajaan Georgia sering menerima ancaman daripada beberapa orang pemerintah
Muslim dan kemenangan yang diraih oleh mereka sering dikreditkan kepada
kepatuhan Tamar terhadap agama.
Selain mempertahankan
wilayah pemerintahannya, Tamar juga melancarkan sejumlah kempen ketenteraan
demi meluaskan lagi sempadan kerajaannya. Di samping kejayaan-kejayaan yang
diraih dalam bidang ketenteraan, era pemerintahan Tamar juga menyaksikan
mekarnya budaya Georgia lantaran banyak monumen dan karya sastera agung
dihasilkan. Epik kebangsaan Georgia, iaitu The Knight in Panther’s Skin
juga dihasilkan pada zaman pemerintahan Tamar dan didedikasikan kepada ratu
tersebut.
![]() |
| Tamar di gereja Dormition di Vardzia |
Tamar menghembuskan
nafasnya yang terakhir pada tahun 1213. Tidak lama selepas kemangkatannya,
Zaman Keemasan Georgia berakhir. Salah satu sebab utamanya adalah serangan demi
serangan yang datang daripada luar, terutamanya serangan yang dilancarkan oleh
Khwarezmi dan Monggol.
Tamar merupakan figura
yang sangat dihormati dalam sejarah Georgia. Dalam Gereja Ortodoks Georgia,
beliau dianggap sebagai seorang wali. Malahan, di zaman yang lebih moden, Tamar
ditampilkan di dalam wang kertas 50 lira Georgia, selain namanya diabadikan
pada sebuah lapangan terbang kecil di negara berkenaan.
SUMBER
- Ahvenas. 2016. Queen Tamar Airport.
- Eurasia. Travel. 2016. Queen Tamar and Golden Age.
- Golubock, D. G. & Wilson, J. 2015. Georgia, New State, Deep Roots.
- Hunter, R. 2014. Queen, Saint, and Stateswoman: Commemorating the ‘Lion of Georgia’.
- Antiochian. 2016. St. Tamara, Queen of Georgia.
- Badass of the Week. 2014. Queen Tamar.
- World Bank Notes Coins. 2015. Georgia 50 Lari note Queen Tamar.
- Get link
- X
- Other Apps





