SEJARAH KEKUASAAN TAMADUN INCA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (9 November 2019). The Inca Empire: What Made it so Powerful? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/inca-empire-0012840

Penterjemah: Amir Zayyanid



Empayar Inca (atau juga dieja sebagai Inka) merupakan sebuah empayar di Amerika Selatan yang wujud pada kurun ke-15 hingga kurun ke-16 Masehi. Empayar Inca adalah tamadun pra-Sepanyol yang paling besar di Amerika Selatan dan memerintah kawasan di sepanjang pantai Pasifik benua itu. Pada zaman kemuncaknya, wilayah penguasaan Empayar Inca terbentang luas dari Ecuador di utara hingga ke tengah Chile di selatan. Lebih daripada itu, empayar ini memerintah populasi seramai 12 juta orang, yang terdiri daripada lebih 100 kumpulan etnik berbeza.

Mengekalkan kohesi atau kesatuan sesebuah empayar bukanlah satu tugas mudah. Hal ini menuntut sejumlah inovasi dan kemajuan dilakukan. Antaranya seperti pembangunan sistem jalan yang maju, teknik-teknik pertanian yang efisien, dan sebuah bahasa dan agama yang berpusat. Pembangunan-pembangunan ini tidak hanya menjamin kesatuan Empayar Inca, akan tetapi turut menyumbang kepada kekayaan dan kegemilangannya.

Walaupun memiliki kekuasaan yang dikagumi sejarah dunia, Empayar Inca tetap tumbang di tangan sepasukan conquistador Sepanyol yang dipimpin oleh Francisco Pizarro. Setelah menakluk Empayar Inca, para conquistador ini menjarah kekayaannya dan membiarkan tamadun Inca runtuh. Apapun, sejumlah legasi Empayar Inca masih kekal berdiri sehingga kini sekaligus memberikan kita gambaran tentang kegemilangannya yang sudah pun hilang.


EMPAT WILAYAH EMPAYAR INCA

Empayar Inca dikenali dalam kalangan masyarakatnya sebagai Tawantinsuyu, yang bermaksud ‘Empat Wilayah’ dalam bahasa Quechua, bahasa rasmi empayar. Ibu kota empayar ini pula, iaitu Cusco, terletak secara harfiah di tengah-tengah empayar, di mana lokasinya betul-betul berada di kedudukan di mana keempat-empat wilayah empayar ini bertemu.

Empat buah wilayah dalam Empayar Inca



Pada asalnya, perkataan ‘Inca’ adalah gelaran bagi maharaja. Permaknaan ini dikekalkan dalam Bahasa Inggeris sehingga ke hari ini. Apapun, istilah ‘Inca’ lebih lazim digunakan pada hari ini untuk merujuk kepada masyarakat dan tamadun itu sendiri.

Inca mempunyai dua tradisi lisan berkenaan penubuhan tamadun mereka. Menurut salah satu tradisi tersebut, dewa agung dalam pantheon Inca, iaitu Viracocha mengutus empat orang anak lelakinya dan empat orang anak perempuannya untuk menubuhkan sebuah kampung. Salah satu pasangan ini, iaitu Manco Capac dan Mama Oclia, mempunyai seorang anak lelaki bernama Sinchi Rocha. Anak inilah yang bertanggungjawab membawa mereka ke lembah Cusco (terletak di wilayah tenggara Peru moden).

Lantas, sebuah petempatan pun ditubuhkan di sana dan Manco Capac menjadi pemerintahnya yang pertama. Dalam versi lain, Maco Capac dan Mama Oclio diperintahkan oleh Inti si dewa matahari untuk memunculkan diri dari dasar Tasik Titicaca dan menubuhkan kota Cusco. Dengan memanfaatkan gua-gua bawah tanah yang ada, pasangan ini berjaya membawa diri ke Cusco dan menjadi leluhur kepada dinasti diraja empayar tersebut.

Manco Capac, pemerintah pertama Empayar Inca



Dalam pada itu, ilmuwan moden meyakini bahawa Inca muncul buat kali pertama sebagai sebuah kabilah kecil di lembah Cusco sekitar kurun ke-12. Kemudian, Inca menubuhkan sebuah negara-kota yang kecil di sana. Namun, ia masih dianggap tidak signifikan pada waktu itu. Mereka mula memperluaskan wilayah pada kurun ke-14, ketika zaman pemerintahan Mayta Capac, maharaja keempat.

Di bawah kepimpinan Mayta Capac, Inca menyerang kampung-kampung jiran dan malah, berkemungkinan turut menuntut ufti daripada mereka. Pun begitu, pengaruh Inca pada waktu itu masih belum melangkaui lembah Cusco. Hanya pada era pemerintahan maharaja seterusnya, iaitu Capac Yupanqui, barulah hal tersebut berjaya dicapai.

Apapun, wilayah yang dikuasai oleh Inca pada masa itu belum lagi dianggap sebagai sebuah empayar. Perluasan wilayah Inca hanya meraih momentum pada kurun ke-15. Di bawah pemerintahan maharaja kelapan, Viracocha, Ayamarca menjadi kumpulan etnik pertama yang ditundukkan oleh Inca.

Viracocha juga meraih kekuasaan ke atas Lembah Urubamba menerusi jalan ketenteraan. Selain itu, Viracocha turut memulakan sebuah polisi penaklukan kekal dengan meletakkan tentera-tentera pengawal di setiap petempatan yang telah ditakluki. Walau bagaimanapun, pemerintah yang bertanggungjawab mengubah status Inca sebagai sebuah negara-Kota menjadi sebuah empayar adalah pemerintah seterusnya, iaitu Pachacuti.


PERKEMBANGAN EMPAYAR INCA

Nama ‘Pachacuti’ mungkin boleh diterjemahkan sebagai ‘orang yang membina semula dunia’ atau ‘si penggegar bumi’, yang mana nama ini sememangnya sesuai bagi individu yang mengubah status Inca dari sebuah kabilah kecil menjadi sebuah empayar. Tahun 1438 adalah tarikh penting dalam pengkajian sejarah Empayar Inca memandangkan tahun tersebut adalah tahun terawal yang dikaitkan secara pasti dengan sejarah diraja tamadun berkenaan.

Pada tahun inilah Pachacuti ditabalkan sebagai pemerintah Inca. Menurut satu versi penceritaan, Pachacuti merampas kuasa daripada saudaranya, Urco. Versi lain pula mengisahkan bahawa Urco sudah pun dilantik sebagai putera mahkota. Semasa serangan yang dilancarkan oleh puak Chanka ke atas Cusco, maharaja dan putera mahkota melarikan diri demi menyelamatkan nyawa.

Tugu Pachacuti di Cusco, Peru. Pachacuti bertanggungjawab mengembangkan Empayar Inca



Tindakan yang sebaliknya pula ditunjukkan oleh Pachacuti yang kekal berada di barisan dan menyusun pertahanan kota. Puak Chanka berjaya dikalahkan dengan terus dalam pertempuran yang berlangsung. Menerusi kejayaan tersebut, Pachacuti memenangi sokongan masyarakat dan dilantik bagi menggantikan Urco sebagai putera mahkota.

Sebagai maharaja, Pachacuti bertanggungjawab meluaskan wilayah penguasaan Inca jauh ke selatan, menuju Lembangan Titicaca. Di utara pula, pengaruh Inca dilebarkan hingga ke Quito (ibu kota Ecuador moden). Dalam penaklukan yang berlangsung ini, banyak puak yang berkuasa seperti Chanka dan Quechea ditundukkan. Demi menjamin kestabilan politik empayarnya, Pachacuti melaksanakan suatu polisi penempatan-semula secara paksa ke atas puak-puak yang telah ditakluki.

Dengan kaedah mengagihkan pelbagai kumpulan etnik ke serata wilayah di seluruh empayar, Pachacuti berjaya menghindarkan mereka dari menyusun pemberontakan. Selain itu, Pachacuti turut melayani puak-puak yang ditakluki itu dengan mesra. Pemimpin-pemimpin puak lazimnya dibenarkan untuk mengekalkan kedudukan mereka. Malahan, kebudayaan puak-puak tersebut tidak dihapuskan, sebaliknya diasimilasikan.

Pachacuti bukan hanya seorang penakluk agung (yang meraihkannya gelaran ‘Napoleon di Andes’) tetapi juga seorang pentadbir yang cekap. Konsep ‘Tawantinsuyu’ lahir pada era pemerintahan Pachacuti, di mana beliau membahagikan empayar kepada empat buah wilayah – Chinchasuyu (di barat laut), Antisuyu (timur laut), Contisuyu (barat daya), dan Collasuyu (tenggara). Setiap satu wilayah ini ditadbir oleh seorang gabenor.

Gabenor-gabenor ini bertanggungjawab menyelia penetapan cukai buruh yang menjadi asas kepada ekonomi empayar. Cukai ini boleh dibayar sama ada menerusi khidmat ketenteraan, penglibatan dalam projek-projek pembinaan awam, ataupun dengan bertani.

Pachacuti mangkat pada tahun 1471 dan kedudukannya itu digantikan oleh putera beliau yang bernama Tupac. Sama seperti ayahandanya, Tupac adalah seorang pemimpin yang cekap dan beliau melanjutkan polisi perluasan kuasa ayahandanya. Hakikatnya, kebolehan Tupac dari sudut ketenteraan sudah pun terbukti semasa hayat ayahandanya lagi, iaitu ketikamana beliau menyertai kempen-kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh Pachacuti. Kejayaan militarinya yang paling signifikan adalah penaklukan Chimor (atau juga dieja sebagai Chimu), yang merupakan satu-satunya ancaman serius terhadap pemerintahan total Inca di pesisiran Peru.

Tambahan lagi, Tupac turut melebarkan sempadan selatan empayarnya hingga ke Chile moden. Malangnya, kemangkatan Tupac pada tahun 1493 disusuli oleh suatu era huru-hara singkat di mana putera-puteranya saling berebutkan takhta, dengan Huayna Capac tampil sebagai pemenang.

Walaupun tidak semegah para pendahulunya, Huayna Capac tetap berjaya memperluaskan lagi wilayah Empayar Inca. Penaklukan-penaklukan yang dilakukan oleh beliau berupaya melebarkan sempadan utara empayar hingga ke Sungai Ancasmayo, yang pada hari ini berfungsi sebagai sempadan antara Ecuador dan Colombia.


SEPANYOL DAN EMPAYAR INCA

Menjelang 1520an, tentera-tentera Sepanyol sudah pun menjejakkan kaki di benua Amerika dan memberikan pukulan yang pertama kepada Empayar Inca, walaupun tidaklah secara langsung. Tatkala pihak Sepanyol ini tiba di Dunia Baru, mereka turut membawa bersama penyakit-penyakit yang sebelum ini belum pernah menyerang masyarakat asli di sana. Antaranya seperti cacar, campak dan tifus. Penyakit-penyakit asing ini menular dengan begitu pantas dalam kalangan orang asli sehingga ia berubah menjadi suatu epidemik (wabak).

Penyakit-penyakit ini juga tersebar hingga ke tamadun Inca, dengan kemungkinan dibawa oleh sebuah puak yang tinggal jauh di timur dan berhubungan dengan tentera-tentera Sepanyol. Wabak ini meragut ramai masyarakat Inca, termasuklah Huayna Capac dan penggantinya. Kedua-duanya itu mangkat sekitar tahun 1525. Keadaan ini mendorong kepada berlakunya satu lagi perang pewarisan takhta. Namun kali ini, ia berpanjangan selama beberapa tahun.

Perang Saudara Inca (juga dikenali sebagai Perang Dua Beradik) ini berakhir pada tahun 1532, apabila Huascar ditewaskan oleh saudaranya, Atahualpa. Atahualpa lantas ditabalkan sebagai maharaja baru. Namun, kegirangannya itu tidak berpanjangan. Pada bulan November tahun sama, ketika Atahualpa sedang meraikan kemenangannya ke atas Huascar di Cajamarca, conquistador-conquistador Sepanyol yang dipimpin oleh Francisco Pizarro tiba.

Atahualpa bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan pihak Sepanyol, namun beliau diserang hendap di dataran bandar Cajamarca lalu ditangkap. Dengan maharaja mereka dijadikan sebagai tawanan, tiada siapa berani untuk mengapa-apakan tentera-tentera Sepanyol. Tambahan lagi, perang saudara yang berpanjangan telah melemahkan pasukan tentera Inca. Inca sendiri tidak bersatu, di mana satu pihak menyokong Atahualpa sementara pihak yang lain menumpahkan kesetiaan kepada Huascar.

Gambran Pertempuran Cajamarca, menunjukkan Atahualpa dikepung di atas tandunya



Perpecahan ini terbukti ketika berita penangkapan Atahualpa sampai ke pengetahuan Huascar (beliau sendiri adalah tawanan kepada Atahualpa) dan para pengikutnya, mereka menyambutnya dengan sorak gembira. Namun, mereka gagal menyedari bahawa tentera-tentera Sepanyol bukanlah sekadar musuh Atahualpa seorang, akan tetapi seluruh Empayar Inca.

Apapun, Atahualpa yang dibenarkan oleh pihak Sepanyol untuk memerintah empayarnya daripada penjara tawanan bertindak mengeluarkan perintah agar Huascar dijatuhi hukuman mati. Huascar dibunuh lantaran Atahualpa khuatir yang pertemuan di antara seterunya itu dan Sepanyol berpotensi mendatangkan susulan yang buruk buat dirinya. Kemudian, Atahualpa sendiri dibunuh oleh pihak Sepanyol pada 26 Julai 1533 atas dakwaan khianat.

Atahualpa, dijatuhi hukum mati oleh pihak Sepanyol



Pihak Sepanyol sempat mendengar khabar-khabar angin kononnya para panglima Atahualpa mengetuai sepasukan tentera dari Quito untuk membebaskan maharaja mereka. Pun begitu, khabar angin tersebut terbukti palsu. Berikutan kemangkatan Atahualpa, pihak Sepanyol melanjutkan kemaraan ke Cusco dan dengan mudah menakluk ibu kota Empayar Inca itu.

Namun, kemangkatan Atahualpa dan ketumbangan Cusco bukanlah penamat bagi Empayar Inca. Pihak Sepanyol menyedari bahawa bilangan mereka sangat kecil, justeru mereka cuba memenangi hati penduduk tempatan dengan menaikkan maharaja baru, Tupac Huallpa yang merupakan salah seorang putera Huayna Capac. Tatkala beliau mangkat akibat penyakit cacar tidak lama selepas pertabalannya, Manco Capac yang juga merupakan salah seorang putera Huayna Capac pula ditabalkan sebagai maharaja.

Tidak dinafikan bahawa pihak Sepanyol bertujuan mahu menggunakan ketiga-tiga orang maharaja tersebut sebagai boneka. Lantaran itu, mereka kurang menghormati autoriti Manco Capac dan maharaja itu dianiaya dengan begitu teruk, terutama oleh saudara-saudara Francsico Pizarro, iaitu Juan dan Gonzalo. Sebagai susulan, maharaja yang tidak lagi mampu bertahan dengan keadaan itu bertindak melarikan diri dari tawanan pada tahun 1535 dan kemudian melancarkan penentangan.

Walaupun seruan Manco Capac berjaya menghimpunkan bala tentera seramai tidak kurang 100 000 orang, mereka tetap gagal menguasai semula Cusco dan mengusir Sepanyol. Manco Capac berundur ke Vilcabamba dan daripada sana, beliau dan para penggantinya terus-menerus memberikan penentangan terhadap Sepanyol sehingga tahun 1572.


LEGASI EMPAYAR INCA

Walaupun para conquistador Sepanyol menjarah Empayar Inca, mereka tidak berupaya menghapuskan pencapaian empayar itu sepenuhnya. Pada hari ini, legasi mereka ditemukan semula oleh para ilmuwan. Salah sebuah kegemilangan yang pernah dicapai oleh Empayar Inca adalah pembinaan sistem jalan (juga dikenali sebagai Chapac Nan, bermaksud ‘Jalan Diraja’) yang diperakui sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2014.

Sistem jalan tersebut merupakan yang paling maju dan luas di Amerika Selatan pada era pra-Sepanyol. Sistem jalan ini meliputi jarak keluasan sehingga 18 641 batu (30 000 km) dan merentasi pelbagai permukaan bumi, daripada puncak Andes (beraltitud 19 700 kaki atau 6000m) hingga ke pesisiran pantai dan dari hutan belantara hingga ke gurun. Hal ini merupakan satu cabaran yang tersendiri buat para jurutera dan jurubina yang membangunkan sistem jalan Inca.

Sebatang jalan dari zaman Empayar Inca di sebuah kaki bukit berhampiran Tasik Mosollaqta, Peru



Sistem jalan ini mengambil masa berkurun lamanya untuk disiapkan. Pada hari ini, ia terbentang di Argentina, Bolivia, Chile, Colombia, Ecuador dan Peru. Rangkaian jalan yang maju ini membolehkan Inca mengawal empayarnya yang luas, memandangkan ia memudahkan aktiviti komunikasi, perdagangan dan pertahanan wilayah-wilayah di seluruh empayar.

Banyak lagi tinggalan lain yang membuktikan kegemilangan tamadun Inca, di mana sebilangannya lebih dikenali berbanding yang lain. Misalnya, Machu Picchu diperakui sebagai tapak Inca yang paling masyhur. Sama seperti sistem jalan mereka, Machu Picchu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Dalam pada itu, satu lagi pencapaian tamadun Inca adalah tahap kemahiran doktor-doktor mereka dalam bidang pembedahan tengkorak. Menurut satu laporan tahun 2018, kemahiran mereka terbukti jauh lebih tinggi berbanding doktor-doktor yang hidup pada zaman Perang Saudara Amerika.

Hasil-hasil kajian ke atas tengkorak orang-orang Inca dan masyarakat Peru pra-Sepanyol yang lain, yang diusahakan secara bersama oleh David Kushner (University of Miami), John Verano (Tulane University) dan Anne Titelbaum (University of Arizona) mendapati bahawa kadar ketepatan telahan (suatu proses pembedahan untuk menebuk lubang pada tengkorak atas tujuan perubatan) adalah setinggi 80% pada zaman Inca. Sebagai perbandingan, kadar ketepatan telahan doktor-doktor di zaman Perang Saudara Amerika hanya mencapai 50%.

Antara pencapaian lain tamadun Inca yang kurang dikenali adalah pengembanan sistem tulisan. Untuk tempoh yang cukup panjang, kebanyakan ilmuwan meyakini bahawa Empayar Inca berfungsi tanpa sistem tulisan. Hal ini dianggap sebagai satu misteri, lantaran tulisan diperkirakan sebagai salah satu aspek asas bagi sesebuah tamadun.

Walaupun Inca tidak diketahui meninggalkan sebarang rekod bertulis, mereka ada meninggalkan tali-tali pintal berwarna-warni yang dikenali sebagai khipu. Ilmuwan sememangnya mengetahui bahawa tali-tali ini digunakan untuk merekod angka.  Mereka juga menyedari bahawa khipu mungkin turut digunakan untuk merekodkan mitos, lagu dan kisah-kisah legenda, walaupun mereka sendiri masih belum berupaya memecahkan kod tersebut. Kebelakangan ini, suatu kejayaan berjaya dicapai dalam usaha mentafsir kod sistem perekodan ini dan diharapkan agar dengan demikian, hikayat-hikayat yang terkandung di dalam khipu dapat ditafsirkan dengan segera.

Khipu atau ‘simpulan-simpulan bercakap’ dari Empayar Inca dipamerkan di Museo Machu Picchu, Casa Concha, Cusco




Sebagai kesimpulan, Empayar Inca tidak diragukan lagi merupakan salah sebuah tamadun teragung di dunia. Walaupun pengakhirannya di tangan para conquistador Sepanyol diperkirakan cukup tragik, legasi Inca masih hidup sehingga ke hari ini. Kajian-kajian ilmiah ke atas tamadun Inca dan empayar mereka berupaya memberikan kita pengetahuan yang mendalam tentang tamadun tersebut, dan diharapkan keadaan ini akan terus berlanjutan di masa hadapan.


SUMBER


Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Inca: Empayar Pejalan Kaki Terbesar Di Dunia